01 November 2009

Matlamat Ditentukan

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata seperti “He lived to serve his purpose” atau dalam Bahasa Melayu “dia hidup bagi mencapai sesuatu matlamat”.

Mungkin kalau kita balik kepada perumpamaan yang dibuat dalam topik yang lalu tentang perjalanan di lebuh raya itu, perbezaan yang ketara ialah kepada penentuan destinasi. Dalam topik lencongan tadi destinasi titik B yang ingin kita tujui itu ditentukan oleh kita sendiri dengan meletakkan matlamat diri yang tertentu tetapi dalam topik ini pula ia berbeza kerana destinasi atau matlamat tersebut disediakan oleh Allah Taala.

Bagi memulakan topik ini biar saya mengajak anda sidang pembaca yang budiman sekelian berfikir sejenak.

Nabi kita yang mulia, Nabi Muhammad S.A.W. wafat pada umurnya 63 tahun setelah berdakwah selama 23 tahun bermula dengan menjalankannya secara sembunyi-sembunyi hinggalah dalam terang-terangan seterusnya menyempurnakan ajaran Islam. Cuba anda bayangkan sekiranya Nabi wafat pada umur 20 tahun, 40 tahun mahupun 75 tahun. Apakah yang akan terjadi kepada ajaran Islam tersebut? Apa yang saya pasti ajaran Islam tak akan sempurna dan sampai ke seluruh pelusuk dunia juga Al Quran tak akan lengkap sepertimana yang anda lihat sekarang.

Andaikata baginda wafat pada umur 20 tahun maka sudah pastinya Islam tak akan sampai, andaikata baginda wafat pada umur 40 tahun maka mungkin ia tak sempat disampaikan atau ia disampaikan oleh isteri atau sahabat-sahabatnya terdekat. Mungkin kita semua akan hanya tahu surah Al-Alaq, tak tahu ajaran Islam yang lainnya dan kalaulah baginda wafat semasa umur 75 tahun 12 tahun selepas lengkapnya Islam tak tahulah apa lagi input yang bakal kita dapati dari baginda.

Inilah antara tanda-tanda kebesaran Allah Taala. Dalam ertikata lain mungkin Nabi dihidupkan Allah Taala di muka bumi ini bertujuan untuk mencapai satu matlamat iaitu menyebarkan Islam ke seluruh dunia dan setelah tercapai matlamat tersebut bagindapun diwafatkan.

Rock Hudson contohnya adalah seorang pelakon Hollywood yang terkenal satu ketika dahulu yang mati pada 2 Oktober 1985 dan seterusnya memperkenalkan penyakit AIDS ke seluruh dunia. Kisah Sultan Salahuddin yang berjaya menakluk Jerusalem dalam dua perang salib dan meninggal dunia pada umur 55 tahun, kisah Nepoleon Bonaparte dan yang lainnya.

Bukankah sekiranya sesuatu matlamat itu belum dicapai maka takkanlah mereka-mereka ini akan mati sebelum dari itu? Ia seumpama mereka terlibat dalam kemalangan maut dalam perjalanan menuju ke destinasi!

Dalam kehidupan kita boleh memilih untuk menjadi kerani, cikgu, doktor, ahli perniagaan, jurutera, peguam, akauntan dan sebagainya tetapi apakah takdir ketentuan Allah pada kita? Kalau kita bernasib baik maka perancangan itu selari dengan ketentuan Allah maka bila tiba masanya dapatlah kita menjadi doktor dalam senang mahupun susah. Maksud saya ada orang terpaksa melalui jalan yang sukar dan sebahagian yang lain lebih bernasib baik untuk menjadi doktor contohnya.

Analoginya mudah. Kita ke restoran dan dalam menu terdapat pelbagai makanan yang boleh dipesan. Contohnya, kalau dalam bahagian nasi, ada nasi goreng USA, nasi goreng Kampung, nasi goreng Pattaya, nasi goreng Ikan Masin, nasi goreng Daging Merah, nasi goreng Biasa, nasi goreng Paprik, nasi goreng Singapore, nasi goreng Kung Fu, nasi goreng Cina, nasi goreng Ayam, nasi goreng Udang, nasi goreng Hainan, nasi goreng Cantonese dan banyak lagi untuk dibuat pilihan samalah sepertimana kita boleh buat pilihan untuk menjadi kerani, cikgu, doktor, ahli perniagaan, jurutera, peguam, akauntan dan sebagainya.

tetapi;

katalah kita buat pilihan untuk order Nasi goreng Ikan Masin malangnya pelayan tu kata ikan masin dah habis. Kita tukar order nasi goreng Ayam sekali lagi dia kata ayam pun dan habis, Maka terpaksalah kita order nasi goreng yang lain pulak. Silap haribulan satu nasi goreng pun tak ada dan di penghujung cerita kita kena makan mi goreng. Tak ke haru dibuatnya? Dalam analogi Ini, ia bermakna kita boleh buat pilihan tetapi ketentuan takdir masih lagi di tangan Allah Taala. Kita yang nak jadi doktor tak dapat tapi dapat jadi jururawat. Tak apa lagi tu malangnya ada yang tersasar dan jadi penagih dadah. Doktor juga tu sebab kena pakai jarum suntikan dan tulisan pun jadi macam doktor lepas tu.

Kesimpulannya, Allah Taala pasti tahu apakah tujuan seseorang itu dihidupkan, kenapa dia dihidupkan ke dalam sesuatu golongan dan sebagainya. Dia mungkin menjadi terkenal hingga ke seluruh dunia atau dia mungkin hanya akan dikenali di kalangan kelompok yang kecil namun matlamat yang bakal disampaikan jelas. Ramai yang berada di keliling kita yang meninggal dunia membawa pelbagai iktibar kepada kita yang hidup. Selalunya iktibar itu bertujuan untuk kita fikirkan apabila berlaku kematian, menghargai kehidupan serta mengambil contoh kepada apa yang telah dilakukan simati sepanjang hidupnya baik mahupun buruk.

Ada juga yang tidak dikenali semasa hidupnya tetapi dikenali dan dihargai jasa-jasanya hanya selepas kematianya dan begitulah seterusnya.
Kalau difikirkan tak perlukah kita menunggu sesuatu kematian sebelum mendapat iktibar dari apa yang hendak disampaikan oleh insan-insan yang berada di sekeliling kita. Bukalah mata hati untuk menilai dan memerhatikan mereka-mereka yang berada di sekeliling kita kerana mungkin apa yang mereka lakukan atau buat sebenarnya mempunyai iktibar untuk kita ambil sebagai pedoman.

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang lain yang dijodohkan dengannya. 

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.