10 Mei 2010

Nak Berhenti Merokok?


 

Salam sejahtera semua...


Kali ini FY ingin menulis mengenai perihal merokok...


Pengalaman FY

Menurut kajian 50% daripada lelaki dewasa di Malaysia merokok.

Faizal Yusup merokok? Ya saya PERNAH merokok tetapi saya dah lama berhenti. Apapun berbelas tahun jugalah saya dalam arena merokok ini.

Seperti kebanyakan saya mula merokok di zaman remaja dan kemuncaknya semasa di Amerika Syarikat memandangkan rokok Marlboro pada masa itu hanya berharga USD1.99 sekotak, satu harga yang murah kalau dibandingkan dengan jumlah elaun yang kami terima. Pada masa itu saya boleh merokok melebihi 20 batang sehari, cuaca sejuk menambah lagi keinginan untuk merokok ini.

Mulanya begitu murah semakin lama semakin meningkat harganya dari RM2.00 ke RM3.00 ke RM4.00 dan pada harga RM5.70 pada tahun 1997 saya mengambil keputusan untuk berhenti. Satunya kerana harganya yang mahal dan saya rasakan ia satu pembaziran, keduanya kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan disebabkan kejatuhan pasaran saham yang begitu teruk dan alasan yang ketiganya ialah anak saya yang pertama bakal lahir. Ianya sukar untuk keluar dari rumah dan menjauhkan diri dari isteri yang mengandung hanya untuk merokok.


Jom tengok diari saya mengenainya yang saya tulis pada tahun 1997...


Pada hari Khamis tanggal 3 haribulan Julai 1997 aku mengambil keputusan untuk berhenti merokok. Setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam arena perokokan ini aku rasa masanya sudah sampai untuk aku meninggalkan tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini. Aku sebenarnya ada beberapa sebab mengapa. Pertamanya aku terbaca sebuah risalah mengenai saudara seagamaku di Palestin yang banyak terbunuh oleh Israel kerana duit yang aku dan mereka-mereka yang merokok "dermakan" kepada mereka  untuk pembelian senjata. Alangkah malangnya saudara-saudaraku itu. Keduanya atas nasihat doktor yang menyatakan ianya boleh menjejaskan kandungan isteriku dan akhir sekali ianya adalah satu pembaziran yang nyata. Kadangkala aku juga agak tidak percaya dengan pencapaian ini. Tapi aku rasa  kesedaran memainkan peranan penting dalam pencapaian aku kali ini.

Ini bermakna sekiranya seseorang ingin mengubah sesuatu hendaklah satu bentuk kesedaran timbul dalam dirinya sebelum perubahan itu boleh berlaku disamping itu pengetahuan dari segi pendidikan juga penting untuk mendapatkan kesedaran itu.


Tahukah anda rupanya itu merupakan alasan atau niat yang salah. Apapun kali pertama ini saya berjaya berhenti selama 5 tahun hinggalah ke tahun 2002 atas sebab-sebab yang tertentu atau lebih jelas lagi bila ekonomi semakin kukuh dan bila isteri saya tak lagi mengandung semuanya kembali bermula. Ini ditambah dengan kelompok kawan-kawan yang semuanya terdiri daripada perokok.

Saya kembali merokok.


Ini berlangsung kira-kira 2 tahun sehingga harga rokok mencecah RM6.50 sekotak. Kali ini saya berhenti kerana saya betul-betul mahu berhenti dan bukannya sebab yang lainnya. Saya berhenti kerana Allah Taala. Saya berhenti kerana saya tak mahu kalah kepada nafsu, tak mahu kalah kepada rokok ciptaan manusia. Saya cukup yakin kalau Nabi SAW diberikan rokok maka baginda tak akan merokok. Kita manusia makhluk mulia kalah dengan kejadian yang lebih rendah tarafnya dari kita. Persoalannya kenapa kita perlu jadi hamba rokok?

Semenjak itu saya berhenti dan hingga kini setelah saya langsung tak berminat / tak ada rasa untuk merokok.

Demikianlah kisah saya yang boleh saya kisahkan setakat ini. InsyaAllah saya harap ia akan berkekalan begitu. Hidup bebas dari rokok. Rasanya tak perlulah saya huraikan statistik, fakta, akibat dan sebagainya mengenai rokok ini kerana saya yakin anda telahpun tahu mengenainya.

Saranan saya berhentilah kerana anda betul-betul ingin berhenti, berhentilah kerana Allah Taala dan bukan atas sebab yang lainnya.

Tanya diri satu soalan ini..

Adakah anda suka / minat merokok?

Selagi anda menjawab anda suka merokok maka anda akan terus-terusan merokok.

Bila anda dah jawab dengan perkataan tidak suka. Saya yakin pada masa itu anda telahpun berhenti dari merokok.


Mari kita buat satu kajian ringkas mengenai kebaikan serta keburukannya.

Apa manfaatnya?
Apa mudaratnya?

Membazir duit

Mudarat pada kesihatan

Mudarat pada kesihatan orang lain

Puntung dan habuk bersepah

Buang masa

Menyusahkan orang lain

Bau yang kurang menyenangkan

Manfaat?
Anda carilah sendiri kerana saya buat-buat tak tahu.

Membazir duit?
Selalu kita dengar mengenai perkara ini. Sekotak rokok mencukupi malah melebihi jumlah wang yang dibelanjakan untuk makan tengahari dan kalau dikumpulkan duit membeli rokok itu dalam masa setahun dan cukup untuk beli sebuah motorsikal, kalau dikumpulkan selama 10 tahun dan cukup untuk beli sebuah kereta.

Mudarat pada kesihatan?
Mudarat pada kesihatan orang lain?
Tak perlulah nak dihuraikan sebab dah bersepah artikel mengenainya.

Puntung dan Habuk bersepah?
Saya rasa anda pun boleh nampak di kedai-kedai mamak, di dalam tandas, di tangga dan tempat-tempat port perokok yang lainnya.

Buang masa?
Ada orang sanggup meninggalkan mesyuarat itu ini hanya kerana ingin keluar dari bangunan seketika untuk melepaskan ketagihan.

Menyusahkan orang lain?
Nak kena suruh anak pergi kedai belikan rokok, minta rokok orang lain bila kehabisan rokok dan lelain lagi. Yakin ikhlas ke diorang bagi rokok tu?

Bau yang kurang menyenangkan?

Dan banyak lagi. Apa yang pasti keburukannya lebih banyak dari kebaikannya. Saya yakin para Nabi dan orang yang beriman kepada Allah Taala pastinya akan mengelakkan amalan-amalan yang tak berfaedah ini.

Jadi kalau boleh berhentilah. Jangan bazirkan sumber yang ada.

Di sini yang pasti ia lebih memudaratkan daripada memanfaatkan. Dari segi hukum ada yang mengatakan yang ianya makruh, ada yang mengatakan ia makruh berat dan ada juga yang mengatakan yang ianya HARAM. Sepertimana di negara Arab Saudi.

Apapun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Hal Ehwal Islam Malaysia ke 37 pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa amalan merokok itu adalah HARAM menurut Islam. (Harian Metro 10 Mei 2010)

Maka mereka yang merokok akan marah kepada saya dengan mengatakan itu ini dan akan selagi daya menegakkan benang yang basah. Menegakkan kebenaran yang merokok itu dibolehkan. (Sama macam saya dahulu). Hakikatnya tetap satu diri kita sendiri yang sebenarnya kalah dengan rokok! Rokok tu kalau tak dinyalakan tak akan dapat buat apa-apapun. Kita yang salah. Pergi ke kedai beli rokok, nyalakan api dan menghisapnya.

Nak kata apa lagi?

Merokok juga sebenarnya tanda yang kita gagal mengalahkan nafsu untuk merokok tak kiralah walau apa juga alasan yang kita keluarkan. Kalau kita gagal melawan nafsu untuk merokok maka saya yakin banyak lagi dugaan yang bakal gagal kita kalahkan. Kalau kita gagal dalam mengatasi dugaan merokok ini maka kita mungkin akan gagal dalam dugaan arak, dadah, zina, hiburan, porno, game, judi dan segala macam dugaan yang lain.


Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Dugaan Kesakitan




Sepanjang kehidupan saya yang pendek ini saya telah ditemukan Allah dengan dua kes Ketumbuhan pada Saraf Tunjang atau Spinal Cord Tumor. Antara sintom-sintomnya ialah rasa kebas atau sakit pada tangan dan kaki atau mana-mana bahagian badan, fungsinya yang semakin lemah dan sebagainya. ( Rujuk pada doktor ). Apapun penyakit ini hanya boleh dilihat dan diketahui dengan menjalani MRI.

Mengalami dugaan berbentuk kesakitan pada diri ini adalah merupakan salah satu dugaan yang hebat di dunia ini. Ini kerana ia menyebabkan pesakitnya tak dapat berfungsi dan menjalani kehidupan dengan sempurna.

Alhamdullillah sehingga kini saya masih sihat, walaupun pernah mengalami beberapa kemalangan tetapi saya dapat pulih dan meneruskan kehidupan. Kalau adapun saya diduga apabila dua daripada lima anak saya yang menghidap penyakit jantung berlubang. Seorang telahpun dibedah dan seorang lagi masih lagi dalam pemerhatian. Doakanlah semoga mereka kembali sihat doa dari kalian semua amat saya hargai.

Tak kesahlah apapun juga dugaan kesakitan yang anda terima di sini saya ingin memberi 10 tips positif agar anda dapat menjalaninya dengan tenang. Sekali lagi tip-tip ini sesuai diterapkan dalam apa-apa kesakitan sekalipun baik dari aspek zahir, mental, emosi juga rohani. 

1.         Redhalah
Ramai yang mempersoalkan kenapa mereka diuji dengan dugaan yang sedemikian rupa sedangkan dalam diri rasa tak bersalah. Persoalannya apakah yang boleh kita lakukan kalau kita tak redha dengan dugaan tersebut? Kalau kita menangis air mata darah sekalipun penyakit tersebut tak akan hilang. Ia tetap akan berada di situ dan tiada apa yang boleh kita lakukan melainkan berusaha mencari jalan keluar dengan apa cara sekalipun.

Sifat redha iaitu menerima Qada dan Kadar Allah dan percaya yang semua ini berlaku atas susunan dan ketentuan Allah merupakan salah satu dari Rukun Iman sebagai seorang Islam. Mempunyai sifat ini merupakan satu petanda keimanan kita kepada Allah Taala.

Ramai yang tak redha dan tak dapat menerima dugaan begini yang akhirnya membawa kepada penyakit dan komplikasi yang lain. Sifat tak redha dan tak puas hati dengan dugaan itu seterusnya menyebabkan tekanan yang melampau, stress, tekanan mental, hilusinasi, insomnia tak boleh tidur dan sebagainya. Bermula dengan satu masalah, ia ditokok tambah pula oleh kelemahan diri sendiri yang dimulakan oleh sifat negatif dalam diri.

2.         Terimalah yang kita dipilih Allah untuk melaluinya. Kita sebenarnya istimewa.
Kalau difikirkan dari segi nisbah berapa ramaikah yang diuji dengan dugaan yang sedemikian rupa? Katalah anda diuji dengan anak yang terencat akal, soalannya dalam dunia ini tak ramai yang diuji sedemikian rupa, oleh itu bersyukurlah sesungguhnya anda dipilih Allah untuk melaluinya dan ini menjadikan diri anda istimewa. Ramai lagi dalam dunia ini yang boleh diuji tetapi Allah mahu anda yang melaluinya. Apapun bersyukurlah.

3.         Dugaan penebus dosa.
Seterusnya ambillah dugaan kesakitan ini mahupun dugaan yang lainnya sebagai penebus dosa atau kifarah atas dosa-dosa masa yang lalu. Saya pasti sebagai manusia kita pernah melakukan dosa dan kesilapan di masa yang lalu. Tiada manusia yang sempurna. Dalam hal ini ada yang sedar dan tahu lantas mereka menerima dugaan ini dengan hati yang senang, hati yang redha namun demikian ramai juga yang tak begitu. Mereka tak SEDAR yang mereka pernah melakukan pelbagai kesilapan dalam kehidupan lantas menyalahkan pelbagai faktor lain termasuklah secara tak sedar menyalahkan Allah Taala atas dugaan yang melanda.


4.         Bersyukurlah dengan dugaan peringatan dari Allah Taala itu.
Bersyukurlah kerana anda diduga dengan dugaan kesakitan ini kerana ia sebenarnya merupakan petanda yang Allah Taala ingat pada kita. Para sahabat Nabi SAW dahulu begitu risau bila mereka lama tak mendapat demam contohnya. Mereka takut Allah taala lupa atau tak ingat pada mereka. Jadi dalan hal ini terimalah dugaan kesakitan ini sebagai tanda peringatan dari Allah.

5.         Dugaan sebenarnya mendekatkan diri kita kepada Allah Taala.
Seterusnya dugaan kesakitan ini juga mendekatkan diri kepada Allah Taala. Dalam hal ini ramai yang bila senang melupakan Allah dan bila diuji dengan ujian kesakitan ini barulah ingatan kepada Allah meningkat seterusnya meningkatkan ibadah lebih-lebih lagi bila kesakitan itu kritikal iaitu bila peluang untuk meneruskan hidup menjadi semakin tipis.

6.         Bandingkan dengan orang yang lebih susah.
Sebaiknya kalau anda demam bandingkanlah dengan orang yang sakit lebih teruk hingga terpaksa masuk wad, kalau anda patah kaki bandingkan pula dengan orang yang terpaksa dipotong kakinya, kalau anda dipotong kakinya bandingkanlah pula dengan orang yang lumpuh kakinya, kalau anda lumpuh kaki bandingkanlah pula dengan orang yang lumpuh hingga paras tengkuk dan begitu jugalah seterusnya. Dalam keadaan manapun kita pasti ada orang yang lebih susah. Bila kita berbuat demikian maka kita akan merasakan yang sakit yang kita hadapi itu taklah seTERUK yang kita sangka.

7.         Bersikap positiflah.
Kemudian dalam hal ini ada orang yang sakitnya lebih kurang sama dengan anda tetapi dia rileks, tabah dan sabar. Malah meneruskan kehidupan dengan gelak tawa walaupun berada di atas katil di wad dan lumpuh tak boleh bergerak. Anda pula punyalah teruk sengsara, merengek macam nak mati walhal masih boleh lagi ke sana-kemari. Bersikap positiflah. Pandanglah kepada kebaikan di dalam dugaan yang anda hadapi itu. Pasti ada hikmah di dalamnya untuk kita ambil pelajaran darinya.


8.         Allah beri rehat.
Mungkin juga dugaan kesakitan yang kita terima itu merupakan peluang untuk anda berehat setelah sekian lama tak berehat. Berehat dari rutin kebiasaan untuk memulihkan tenaga, memulihkan minda, memperbaiki ibadah, untuk berfikir sejenak mengenai perjalanan kehidupan dan mungkin bertemu ruang untuk dibaiki. Jadi, berehatlah.

9.         Ia merupakan dugaan bagi orang sekeliling.
Dugaan kesakitan yang kita terima juga itu juga bukan hanya ditujukan buat kita tetapi ia juga secara tak langsung ada kena mengena dengan orang yang ada kena mengena dengan kita. Ini kerana kesakitan yang kita alami itu mungkin akan menjejaskan mereka, menyebabkan mereka runsing, menyebabkan mereka terpaksa membantu baik dari segi fizikal, kewangan dan sebagainya. Kita merupakan perantara dugaan pada mereka.

10.     Ia menunjukkan yang kita ini kerdil dan tak mampu berbuat apa-apa.
Akhir sekali dalam tip ini, kesakitan juga bakal menunjukkan yang kita bukanlah kuat, bukanlah handal mana. Kalaupun kita punya badan yang sasa berketul-ketul bak Mr Universe tetapi kita tetap akan diduga juga. Mr Universe juga bakal menjadi lembik. Ia akan hanya menunjukkan yang sebagai manusia kita sebenarnya tak ada kuasa, tak ada daya upaya, kita sebenarnya kerdil dan lemah.


Cukuplah 10 tips ini untuk mereka yang diduga dengan kesakitan. Kalau sejuta tips pun disampaikan namun kalau ia tak menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam diri tak ada gunanya. Saya harap ada diantaranya yang dapat membantu anda memahami perihal kesakitan ini. Lagipun kita dilahirkan lemah sebagai bayi kemudian menjadi semakin kuat di zaman remaja dan dewasa namun demikian kembali lemah dan lembik bila mula sakit bila kita semakin tua menuju alam kematian.

Masalahnya badan fizikal dan jasmani kita semakin tua tetapi hati kita masih muda tak setua jasmani kita. Itulah masalahnya. Hati kata larat tapi badan sebenarnya dah tak larat. Dalam hal ini selarikan keadaan fizikal dan keadaan hati kerana pada saya ini lebih baik. InsyaAllah akan saya tulis mengenai bab ini dalam artikel yang lain kelak.

Apapun DUGAAN memang tugasnya untuk berkhidmat pada manusia dan ia hanya untuk satu tujuan iaitu sebagai penguji keimanan.

DUGAAN MENGUJI KEIMANAN.

Persoalannya ialah ;

Adakah dugaan akan menyebabkan kita mendekati Allah dengan meningkatkan ibadah dan sebagainya atau adakah dugaan itu akan menjadikan kita KUFUR menyalahkan Allah, berputus asa mahupun membunuh diri?

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

09 Mei 2010

Dugaan Aktif ke Pasif?

 
Kebelakangan ini saya ditemukan Allah Taala dengan mereka-mereka yang menghadapi masalah kemurungan atau tekanan atau stress. Salah seorang darinya telah dimasukkan ke hospital mental kerana keadaannya  yang serius.

Hidup ini sebenarnya penuh dengan dugaan dan sebagai manusia yang singgah di muka bumi inikita tak dapat lari darinya. Hendak atau tak hendak kita tetap akan diduga.

Cukuplah itu sebagai kata-kata mukaddimah. Dalam artikel ini saya cuma ingin menghuraikan samaada dugaan tersebut merupakan dugaan aktif atau pasif.

Makhluk dan kejadian tak boleh bawa manfaat mahupun mudarat tanpa izin Allah. Kalau ada yang mengatakan makhluk beupaya berbuat demikian maka mereka sebenarnya menyatakan yang makhluk dan kejadian mempunyai kuasa, dan bila kita mengatakan demikian maka kita sebenarnya menyamakannya dengan Allah. Dalam ertikata lain kita menduakan Allah. Syirik jadinya.

Oleh itu sebagai pengukuhan janganlah mengatakan yang warna, aroma, gelang, ubat, kopi dan sebagainya berupaya berbuat itu ini. Ini kerana hakikatnya ia tak boleh berbuat apa-apa. Maksudnya begini. Allah telah menjadikan api contohnya dengan sifatnya yang panas dan itulah kepatuhan kejadian api ini hinggalah Allah perintahkannya menjadi sejuk seperti dalam kes Nabi Ibrahim AS dahulu.

Maknanya janganlah mengatakan yang gelang, bau, batu dan mana-mana makhluk serta kejadian sekalipun boleh berbuat itu ini, begitu begini kerana pada hakikatnya ia tak berupaya berbuat apa-apa. Ia hanya menjalankan tugasannya dengan keizinan Allah Taala dan kalau Allah membenarkan sesuatu yang berbeza maka ia akan berlaku. Pokok yang boleh bergerak dan batu yang boleh terapung mahu mengikut Nabi SAW. Setan yang boleh kelihatan dan berbicara dengan Rasullullah SAW, malaikat yang boleh bertukar menjadi manusia, api yang bertukar menjadi sejuk, air dan bulan yang terbelah, tongkat yang bertukar menjadi ular, manusia yang boleh tidur selama beratus tahun dan bangun kembali dalam keadaan sihat, manusia yang sudah mati hidup kembali, burung yang dah mati dan terbelah dibahagikan kepada empat bahagian boleh kembali bercantum dan hidup dan banyak lagi.


Ini semua berlaku dengan perintah dan keizinan Allah Taala. Baiklah dah semakin jauh pulak saya ni.

Apa itu dugaan pasif dan apa itu dugaan aktif yang saya maksudkan itu?

Sebagai manusia kita mudah terjebak dengan pelbagai dugaan contohnya hutang, arak, permainan komputer / video, pornografi, dadah, rokok, makanan, pancing dan sebagainya sedangkan ia bersifat pasif. Bersifat pasif bermakna kalau kita tak pergi kepadanya maka tiada apalah yang akan berlaku.

Bagaimana kita boleh jadi penagih rokok, arak dan dadah kalau kita tak “pergi” kepadanya? Setiap kali ia mendekati kita menghalang atau menjauhi. Masalahnya dalam hal ini kita sendiri yang membenarkan ia masuk ke dalam diri dan seterusnya menguasai diri terjebak dan tak dapat keluar darinya.

Rokok juga tak boleh berbuat apa-apa kalau kita tak ke kedai membeli sekotak rokok, menyalakan api dan menyedut asapnya. Kalau ada rokok dan kalau tak ada api sekalipun ia tak akan bererti apa-apa. Orang gila je yang menghisap rokok tanpa api.

Maka dalam keadaan ini terbentuklah penagih dadah, penagih alkohol, kaki mabuk, kaki pancing, kaki hiburan, kaki porno dan yang lainnya. Bila dah terjebak disebabkan kelemahan akal diri sendiri yang tak dapat mengalahkan nafsu maka pelbagai alasanlah yang diberikan kerana kegagalan diri untuk keluar darinya. Kebanyakan alasan itu pula diletakkan di luar dari diri. Kesalahan diletakkan pada kawan-kawan, ibubapa, masalah kehidupan, kerajaan dan segala yang ada namun untuk menyalahkan DIRI SENDIRI jauh sekali.


Sebenarnya diri kita sendiri yang lemah dan tak dapat menggunakan akal yang Allah kurniakan untuk mengalahkan nafsu.

Apa pula dugaan aktif?

Pada saya dugaan aktif ini melibatkan manusia. Ini kerana manusia sifatnya aktif boleh bercakap, boleh memujuk, merayu, membelai, memanipulasi, menipu, menyamar, mencabar dan sebagainya.

Maka ramailah lelaki yang cair dengan perempuan, bapuk, maknyah malah dengan lelaki sendiri (para gay) dan ramailah perempuan yang cair dengan lelaki, pengkid dan perempuan sendiri (para lesbian) dan sebagainya hingga menyebabkan hidup jadi porak peranda. Institusi perkahwinan yang dibina berpuluh tahun jatuh berkecai, pembuangan bayi, kes kecurangan suami mahupun isteri, kes khalwat dan bermacam gejala sosial yang lainnya.
  

Dalam dugaan aktif ini, kalau kita tak “pergi” kepadanya ia boleh datang kepada kita. Si dia boleh menghubungi kita melalui chatting, sms, telefon dan pelbagai cara lagi memujuk rayu, membelai, memberi hadiah itu ini. Tak cukup dengan itu mereka boleh mencabar dan menggunakan khidmat bomoh untuk mengalahkan kita.

Hanya yang cukup faham dan cukup kuat sahaja yang dapat mengalahkan semua dugaan ini. Kalau tak, cairlah...

Semua perhubungan melibatkan manusia termasuk dalam dugaan aktif ini. Ini termasuklah ibu bapa, keluarga, anak, saudara mara, rakan sekerja, boss, masyarakat dan semua perhubungan yang lainnya.

Kemudian dugaan aktif dan pasif ini bergabung. Manusia yang mengajak kita merokok, mengambil dadah, ke tempat-tempat maksiat dan hiburan dan sebagainya.

Sekali lagi,

Sebenarnya diri kita sendiri yang lemah dan tak dapat menggunakan akal yang Allah kurniakan untuk mengalahkan nafsu.

Jadi tak payahlah kita salahkan sebab musabab yang lain.

Apapun saya harap penerangan ini jelas buat anda untuk menilai dan semoga kita semua dapat mengawal diri / menguasai diri dari terjebak lantas mengotorkan diri dalam sedar mahupun tidak. Sebagai seorang Islam kita kena jauhkan diri dari semua kekotoran ini kerana kita semua tertakluk dalam rangkuman hukum hakam yang tertentu.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…


' style='padding: 0; border: none;'/>