28 Julai 2009

Kisah Pendekar 4 Bhg 1



Salam buat semua, dengan doa dan harapan semoga anda semua dalam lindungan Allah Taala hendaknya. Kali ini izinkan saya bercerita tentang kisah Pendekar.


Suatu masa dahulu di sebuah kampung tinggal tiga orang jejaka yang ingin menimba ilmu persilatan. Mereka bernama Hang Satu, Hang Dua dan Hang Tiga. Maka mereka pun pergi mendaki sebuah gunung yang tinggi untuk sampai ke tempat di mana seorang pendekar bernama Pendekar Mastur tinggal. Setelah bersusah-payah merentasi onak dan duri, akhirnya mereka pun berjaya sampai ke puncak gunung tersebut. Malangnya pintu tempat itu tertutup. Namun mereka tidak berputus asa. Lantas mereka menunggu dan terus menunggu selama beberapa bulan hinggalah pada satu hari pintu itu dibuka.


Di hadapan pintu itu berdirilah Pendekar Mastur yang gagah perkasa.


“ Apa hajat kalian kemari? ” Soalnya.


        “ Kami ingin belajar silat untuk menjadi pendekar. ” Jawab Hang Satu.


“Baiklah. Jangan masuk lagi. Tunggu di sini.” Balas pendekar tersebut.


Dia melangkah masuk dan keluar semula sejurus kemudian dengan membawa sekole air dan gelas yang tertangkup di atas dulang.


“ Baiklah. Sebelum kamu boleh masuk ada beberapa peraturan yang perlu kamu patuhi. ” Kata Pendekar Mastur.


        “ Tuangkan air,” katanya


“ Tak boleh pendekar, gelasnya tertangkup. ” Kata Hang Satu.


        “ Tuangkan air! ” Tegasnya lagi.


Hang Dua mengambil keputusan membuka gelas di atas dulang itu supaya air dapat dimasukkan.


Namun usahanya tidak berhasil kerana sepantas kilat Pendekar Mastur menangkupkannya kembali seraya berkata,
       
“ Tuangkan air. ”


Lantas Hang Tiga mengambil kole itu dari tangan Hang Satu dan terus menuangkan air di atas gelas yang tertangkup. Air itu mengalir turun di sisi gelas membasahi dulang itu.


        “ Bagus! Jadi, apakah yang dapat kalian pelajari di sini? “ Tanya Pendekar Mastur.


        “ Jangan banyak soal? “ Jawab Hang Satu seakan mengakui kesilapannya.


        “ Jangan melanggar arahan? “ Jawab Hang Dua pula dengan nada perlahan.


        “ Hati yang tertutup tak akan dapat menerima ilmu sepertimana gelas yang tertangkup takkan dapat menampung air. ” Lafaz Hang Tiga penuh keyakinan.


Kalian semua betul. Peraturan pertama di sini jangan banyak soal, buat dahulu apa yang disuruh, penjelasannya akan saya berikan kemudian. Contohnya dalam Surah Al Baqarah ayat 67-71, apabila kaum Nabi Musa AS disuruh mencari dan menyembelih seekor sapi betina tetapi disebabkan mereka terlalu banyak soal akhirnya hampir sahaja mereka tidak menemui sapi tersebut.


Peraturan yang kedua hendaklah kamu mengikut arahan, kepatuhan dan ketaatan amat dititikberatkan sepanjang masa. Hamba patuh dan taat kepada Tuhannya, anak patuh dan taat kepada ibubapanya, pelajar patuh dan taat kepada gurunya.


Peraturan yang ketiga bukalah hati seluas-luasnya sekiranya kamu ingin menimba ilmu. Oleh itu, sentiasalah buka hati anda untuk belajar pelbagai perkara dalam kehidupan ini dari sesiapapun yang kita jumpa. Ini kerana, kita tidak akan dapat memperolehi semua pengalaman kehidupan dalam usia kita yang singkat ini. Seandainya kamu merasakan diri kamu pandai, sekiranya kamu sombong, sekiranya kamu menutup pancaindera dan menutup pintu hati maka  saya sarankan kamu kembali ke tempat asalmu.


Kemudian Pendekar Mastur membuka gelas di atas dulang itu dan mencurah air ke dalam gelas dari kole sehingga penuh.


Apa yang dapat kamu lihat di sini? Tanyanya lagi.


“ Gelas yang penuh tak boleh lagi diisi air. ” Jawab Hang Tiga.


“ Benar, sekiranya anda telah tamat pembelajaran di sini janganlah jadi seperti gelas yang penuh dan menyangkakan yang diri kita telah pandai, serba sempurna dan serba tahu kerana lagi banyak yang kita tahu maka lagi banyaklah yang kita tak tahu. ”


“ Jadi bagaimana tuan pendekar? ” Tanya Hang Tiga.


“ Ambillah iktibar dari alam semulajadi kurniaan Allah Taala yang penuh dengan tamsilan untuk dijadikan teladan. Jadilah seperti PERIGI! Airnya tenang dan tak akan penuh walau diisi berapa banyak air sekalipun, airnya tak akan habis walau diambil berulang kali, airnya akan jernih sekiranya ia sering digunakan. Maknanya sentiasa bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada apa ilmu sekalipun untuk masuk ke dalam diri. Sentiasa merendah diri dan menyampaikan ilmu kepada sesiapa juga yang ditemui. InsyaAllah, hati anda akan menjadi jernih. “


Ketiga-tiga Hang Satu, Dua dan Tiga hanya mengangguk diam membisu mendengar kebijaksanaan Si Pendekar.


“ Sekarang kamu sudah bersedia, silalah masuk... ” Jemput Si Pendekar.


Kisah bersambung...


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.