30 November 2010

Multitasking / Keseimbangan Diri


Salam hormat buat semua pengunjung blog Faizal Yusup ini.

Buat sekian kalinya saya mengucapkan beribu penghargaan buat anda semua yang datang berkunjung ke daerah ini. Harapan saya semoga ada sepatah dua kata yang diutarakan di sini membawa manfaat dalam kehidupan anda.

Apapun kebelakangan ini sejak kenaikan pasaran saham saya agak sibuk di tempat kerja dan bila pulang saya kepenatan, jadi selalunya tak sempat atau tak punya lagi tenaga untuk menulis... Walaupun hati saya ingin menyampaikan dan berkongsi akan pengamatan saya mengenai kehidupan... Bukan apa saya sebenarnya takut kalau-kalau ada ilmu yang Allah kurniakan pada saya yang tak sempat saya keluarkan dari otak ni. Takut ditanya mengenainya di akhirat kelak. Atas itu saya minta maaf kerana sumber tenaga saya yang terhad walaupun saya ingin menulis dan menyampaikan yang lebih banyak namun berupaya berbuat demikian buat masa ini.

Kadang-kadang saya pun tak tahu dimana kedudukan saya sebenarnya. Yelah saya bukannya seorang professor atau seorang ahli akademik tapi saya menulis buku, menjalankan kursus motivasi, menulis blog kajian sosial ini, serta mempunyai profesion dalam bidang pelaburan saham. Melakukan 3-4 perkara pada satu masa. Kekadang nak perkenalkan diri pun susah samaada nak perkenalkan diri sebagai remisier, kaunselor, motivator atau writer.

Apapun saya bersyukur kerana dikurniakan Allah dengan pelbagai kelebihan ini. Bak kata orang putih multitasking. Buat banyak kerja pada satu masa. Ia sebenarnya boleh dilakukan kerana kita sebenarnya punya banyak masa seharian untuk kita selitkan dengan ilmu pengetahuan atau apa juga yang kita citakan. Ia jauh lebih baik dari kita membiarkan sahaja masa itu berlalu begitu sahaja.

Dewasa ini kebanyakan manusia begitu sibuk dengan kerja mencari duit untuk diri dan keluarga dan adakalanya melakukan dua tiga kerja hanya untuk mencari duit dengan tujuan untuk mencari kemewahan hinggakan tak punya masa untuk anak-anak dan keluarga, tak punya masa untuk mencari ilmu pengetahuan atau dalam ertikata lain menjalani kehidupan yang tak seimbang.

Kesimbangan rohani, jasmani dan akal terjejas hingga menyebabkan tekanan melampau, darah tinggi dan ada juga yang diserang penyakit jantung dan mati kerananya. Hidup begitu sibuk dengan kerja dan menguruskan keluarga hingga tiada masa untuk bersenam, tak menjaga makan minum hingga menyebabkan kegemukan dan masalah kesihatan dek kerananya, tak punya masa mencari ilmu dan pengetahuan bagi makanan akal fikiran, tak punya masa yang cukup untuk merehatkan badan yang telah penat bekerja dan lebih teruk lagi tak punya masa untuk mengukuhkan kerohanian iaitu dengan beribadah mendekatkan diri dengan Allah Taala.

Cuba perhatikan keadaan diri anda. Adakah anda dalam keadaan yang sedemikian rupa? Kalau benar maka saranan saya carilah jalan keluar untuk menyeimbangkan kesemua elemen diri ini baik fizikal, mental mahupun spiritual. InsyaAllah ketenangan akan menjadi milik anda.

Fikir-fikirkanlah..

Ikhlas,

Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

26 November 2010

25 November 2010

Budak Menulis Blog?


Assalamualaikum...
Hari ini saya mendapat satu permintaan yang agak mengejutkan daripada anak pertama saya Nurul Aina yang berumur 13 tahun itu.

" Abah, boleh tak abah ajar Aina macamana nak buat blog? Ramai kawan-kawan Aina dah ada bloglah bah..."

Saya terkejut kerana pada umur 13 di zaman saya soalan ini tak pernah wujud dan saya juga tak sangka ia akan datang dari seorang anak remaja berumur 13 tahun.

Apakah jawapan anda kepada soalan ini?

Hem.. pastinya dia akan berada lebih lama depan komputer disamping facebook atau laman sosial yang lain, disamping games dalam komputer ni disamping itu dan ini dan pelbagai lagi.

Kemudian pastinya dia akan menggunakan komputer saya atau komputer ibunya untuk menulis blognya itu.

Seterusnya apalah cerita yang bakal ditulis dalam blognya itu juga menjadi persoalan saya. Takut juga dia menulis sesuatu yang boleh merosakkan.

Apapun jawapan saya - Pasti boleh! Tapi dengan syarat saya dapat memantaunya.

Wah! bukan main gembira anak saya itu bila mendengar jawapan saya itu.

Kenapa saya benarkan?

Jawapannya mudah. Kalau dahulu saya mula penglibatan diri sehingga menjadi seorang penulis buku ialah kerana dorongan bapa saya untuk menulis diari namun sekarang anak sekarang begitu malas menulis diari jadi blog dijadikan diari mereka. Keadaan ini secara tak langsung sebenarnya akan menerapkan nilai penulisan dalam dirinya jadi manalah tahu satu hari nanti mungkin dia mengikut jejak langkah bapanya ini untuk menjadi seorang penulis.

Pada saya blogging ini punya banyak kebaikan dan salah satunya ialah ia meninggalkan legasi penulisnya walaupun dia telah lama meninggalkan dunia. Maksud saya paling tidakpun ia boleh dibuka dan dibaca oleh anak cucu penulis blog itu. Besar harapan saya agar blog saya ini juga bakal menjadi legasi untuk generasi masa hadapan kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya selagi blog ini berada di sini.

Apapun anak saya itu telahpun memulakan langkah pertamanya dalam penulisan blog pada umurnya 13 tahun menjelang harilahirnya pada bulan Disember nanti.

Kalau senang dan ada masa terluang, singgahlah ke blog anak saya itu sebagai tanda sokongan anda kepada cita-citanya itu. Alamat lamannya ialah http://ainafaizal.blogspot.com

Saya cuma berharap ia bukanlah satu projek yang hangat-hangat tahi ayam dan saya harap usahanya itu berterusan.

Sekian dulu buat kali ini,
Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

23 November 2010

Saleem Iklim - Di Pintu Mahligai

' style='padding: 0; border: none;'/>

KeAgungan Tuhan - D'lloyd

' style='padding: 0; border: none;'/>

Salam Terakhir Sudirman(lyrics).wmv

' style='padding: 0; border: none;'/>

Mental Block / Writer's Block?


Assalamualaikum...

Masuk hari ini sudah seminggu saya tak menulis walhal sebenarnya kalau diikutkan kebiasaan menulis adalah satu tabiat harian saya tapi entah kenapa kebelakangan ini semuanya seakan terhenti.
  • Mungkin keadaan ini dinamakan writer's block tapi terus terang saya tidak mempercayainya kerana pada saya ilmu bersifat hidup dan ia akan selalu sahaja datang kalau Allah Taala mengizinkan dan kalau kita menyampaikan.
  • Mungkin juga Allah Taala berikan masa untuk mata saya berehat kerana memandang komputer untuk satu jangka masa yang lama menyebabkan mata sering kekeringan dan ia juga boleh menyebabkan masalah selaput pada mata dan boleh menyebabkan kerabunan.
  • Mungkin juga DIA memberikan masa untuk saya membaca dan mencari ilmu baru untuk disampaikan pada anda semua.
  • Mungkin juga saya menantikan inspirasi yang baru dan lebih baik untuk saya berkarya.
  • Mungkin juga kesibukan di pejabat disebabkan kenaikan pasaran menyebabkan otak saya letih / overload untuk berkarya.
  • Mungkin juga Allah Taala memberi saya ruang untuk menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga, isteri tersayang serta anak-anak memandangkan cuti sekolah telahpun bermula.
  • dan pelbagai kemungkinan lagi.
Apapun buat masa ini masa menulis yang tak terisi ini menyebabkan saya rasa terdapat satu ruang kosong dalam diri saya yang tidak terisi. Saya harap ia tak lama dan semoga saya dapat meneruskan perjuangan untuk menyampaikan apa juga ilmu serta pengetahuan yang dikurniakan Allah kepada saya ini dengan harapan ia membawa kebaikan buat anda.

Buat masa ini izinkan saya berehat seketika dan menghargai masa terluang yang Allah kurniakan ini untuk bersantai dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. InsyaAllah saya akan tetap memasukkan entri-entri namun demikian dalam kadar yang mungkin jauh lebih perlahan sehinggalah saya dapat kembali mendayung seperti biasa.

Salam hormat dan salam ceria buat semua.

Wassalam.

Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

21 November 2010

Maher zain- Alhamdulilah

' style='padding: 0; border: none;'/>

Maher Zain - Open Your Eye with Lyrics

' style='padding: 0; border: none;'/>

Sami Yusuf Asma ALLAH New album 2009

' style='padding: 0; border: none;'/>

KONFLIK CINTA - Bab 4 Bahagian 2


Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 4 Bahagian 2
 

Malam itu aku mengambil keputusan untuk menulis pada Kak Ina mengenai apa yang terjadi secara kasarnya. Setelah bertanyakan perkhabarannya dan menceritakan fitnah Wati dan pemulauan yang berlaku. Titipan penku di atas kertas mula mengatur rentaknya seakan mengikut kata hati yang terbuku...


Kak Ina yang diingati,

Nampaknya dalam dugaan kali ini masyarakat sekeliling membuat tohmahan dan memulaukan Man. Inilah masalahnya hidup dalam masyarakat melayu yang kecil. Segala apa kejanggalan yang berlaku akan kelihatan dan dijadikan bahan bicara mereka, samaada benar atau tidak, tidak pula mereka selidiki. Ini jelas menunjukkan yang melayu tidak semestinya Islam. Keadaan ini membuatkan Man membuka mata dan mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

Bagi Man semua ini bergantung kepada kebersihan hati seseorang itu. Cetusan berprasangka buruk, hinaan dan tohmahan yang bersifat negatif tanpa usul periksa sebenarnya mencerminkan hati mereka. Kebersihan hati akan menyebabkan semua yang kita lakukan itu adalah dengan niat kerana Allah baik dari segi hati, lidah dengan pengeluaran kata-kata serta perbuatan. Man percaya yang nawaitu sebegini berniatkan Allah Taala akan menjadikan apa yang kita lakukan itu diberkati Allah.

Sebenarnya kita boleh tahu dan rasa apakah cetusan yang keluar dari mulut kita itu samaada ia adalah cetusan yang dikeluarkan akal dan dengan niat kerana Allah atas tujuan dan matlamat ibadah atau adakah apa yang dikeluarkan itu adalah cetusan nafsu yang membawa kepada kemungkaran. Dalam hal ini cetusan nafsu mereka hanya bertujuan untuk memuaskan hati dan untuk mendapatkan pakatan ramai.

Ramai tak semestinya benar dan sedikit tak semestinya salah. Peperangan Badar telah membuktikannya. Bila Man kaji kembali setiap hari cetusan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang berada di sekeliling, maka semakin lama Man boleh nampak dan membezakan samaada ia keluar dari akal dengan niat yang baik mahupun dari nafsu dengan niat yang terpesong.
       
Kak Ina yang dihormati,      

Kadang-kadang Man hairan kenapa manusia perlu menzalimi diri dengan mengeluarkan cetusan berbentuk kemarahan dan kebencian, tohmahan dan hinaan dan segalanya yang hitam dan kotor yang bakal membawa kemudaratan tanpa kita sedari, tanpa matlamat sedangkan adalah lebih baik kita memelihara kata dengan kebersihan dan keputihan dengan matlamat yang baik. Man yakin cetusan yang baik mempunyai matlamat jangkamasa panjang, tanpa prasangka, bersih dan sebagainya. Ia bertujuan untuk membantu, menyokong, mengasihani, mengasihi dan menyayangi.

Apa yang pasti mereka yang dapat mengawal diri dari mengeluarkan kata-kata yang berbentuk nafsu dengan mengalahkan nafsu tersebut dengan kekuatan akal, cetusan yang bakal keluar dari mulut mereka akan bersifat lembut dan berisi. Mereka akan hanya berkata apa yang perlu dengan cara pertuturan yang baik tanpa meninggikan suara bagi tujuan menyampaikan maksud.

Bagi mereka yang gagal membersihkan kata-kata dengan mengeluarkan cetusan-cetusan berbentuk nafsu ini sebenarnya hanya memberikan kemenangan kepada syaitan.

Ah! Lantaklah diorang. Ikut suka hati dioranglah nak buat apa. Kan Kak Ina?

Kak Ina, sorilah Man merapu begini... Hanya nak meluahkan rasa.

Agaknya kalau Allah bisukan mereka dan benarkan mereka hanya sepuluh perkataan sahaja untuk bercakap maka mereka masih menggunakannya untuk berkata benda yang tak baik. Mentang-mentanglah boleh cakap berjuta-juta perkataan maka bolehlah dibazirkan begitu sahaja. Tak tahu ke nanti kena kita soal kat akhirat dengan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita itu?


Kemudian aku menyambung warkah ini dengan cerita tentang Zila, tentang pelajaran dan aku akhiri warkah ini dengan doa agar dia sentiasa sejahtera dalam lindungan Allah Taala.

Aku masukkan surat itu terus ke dalam sampul tanpa membacanya sekali lagi. Esok aku akan mengeposnya.

XXXXXX

Kesibukan menyiapkan kertas kerja untuk subjek Psikologi di sebelah siangnya dan sebelah malamnya pula aku kena bekerja menyebabkan masalah Wati dan fitnahnya terhadapku terlepas dari ingatan. Pun begitu boleh dikatakan semua ahli rakan serumahku telah berdiam diri dan menjauhkan diri dariku. Hanya Zamri yang melayan aku itupun dalam keadaan yang berjaga-jaga. Mungkin dia berada dalam keadaan yang serba salah.

Terdapat sedikit perubahan pada Zila selepas dia mengetahui akan hal Wati. Dia lebih banyak mendiamkan diri. Keceriaan yang biasa ditonjolkan terpadam. Dalam hal ini jelas menunjukkan betapa dia sebenarnya tidak mengenali aku secara keseluruhan dan masih ada perkara yang perlu dia pelajari dan terokai bagi mengenali hati budi diriku ini. Mungkin tak logik baginya mengenangkan aku seorang lelaki yang berada di Amerika Syarikat berdua-duaan dengan seorang gadis dalam satu ruang yang tertutup dan tak berlaku apa-apa.

Peristiwa ini telah menyebabkan berlakunya seakan perang dingin antara aku dengan Zila. Cuma apa yang dapat aku katakan ialah entah kenapa ia berlaku tetapi aku rasa yang calaran ini bermula semenjak peristiwa hari tu. Mungkin juga perasaan cemburunya sebagai seorang perempuan. Kalau benar dia cemburu maka mungkin ini tanda kasih sayangnya padaku semakin menebal. Telahanku.

Entahlah aku rasa yang semua ini hanya akan menjejaskan perhubunganku dengannya namun bila aku fikirkan aku perlu menyampaikan padanya akan hukum hakam Allah Taala dan menjauhkan dirinya dari mengikut perasaan. Aku perlu menjalankan kaunseling pengisian kepadanya kerana ia amat penting untuk membawa kesedaran dan kefahaman dalam dirinya. Mungkin selama hari ini aku terlepas pandang mengenai hal ini namun sekarang aku rasa tindakan perlu aku ambil bagi memperbaiki keadaan dan perspektifnya mengenai kehidupan. Apapun aku rasa cara yang paling baik ialah dengan menjalankannya dengan kaedah atau cara yang tersirat.

Biarlah, satu hari nanti aku yakin yang Allah Taala akan membuka hatinya kelak. Ibuku sering mengingatkan aku, apa yang tidak difahami hari ini mungkin akan difahami di masa yang akan datang. Ia mungkin akan datang dengan kematangan atau mungkin juga ia akan datang dengan hidayah yang Allah kurniakan ke dalam hati.

Kuliah Psikologi selesai dalam pukul 2.00 petang lantas akupun menghantar kertas kerja yang telah aku siapkan semalam. Kelas Management seterusnya pada jam 4:00 petang. Aku ada dua jam untuk menunggu. Aku malas nak ke Union sebab ramai pelajar melayu melepak di situ. Aku mengambil keputusan untuk melepak di Cafe yang terletak di College of Business Administration itu. Minum kopi dan barangkali boleh menelaah sedikit atau mungkin juga aku boleh hanya berehat selepas penat menyiapkan kertas kerja yang panjang itu. Matapun mengantuk sebab semalam aku tidur lewat.

        Suasana keliling sejuk walaupun keadaannya terang. Bahang matahari tak sampai ke muka bumi dalam musim sebegini. Aku memasukkan tanganku ke dalam poket jaket tebalku dan terus melangkah laju melalui Perpustakaan menuju ke Cafe. Ramai juga pelajar yang berada di sana mungkin mencari tempat berlindung jauh dari kesejukan.

        Aku mencari tempat duduk di celah-celah pelajar yang ramai itu.

        “ Man! Man! ” Terdengar suara Zila memanggil aku dalam keriuhan suasana di situ. Di hujung cafe yang berdindingkan kaca itu ternampak sesusuk tubuh berdiri melambai padaku di tengah orang yang ramai itu.

Aku menuju ke arah Zila.

“ Zila tak ada kelas ke? ” Tanyaku padanya seraya duduk di bangku bertentangan dengannya.

“ Zila ponteng, nak kena study sikit sebab ada kuiz jap lagi. ” Jawabnya.

Senyap. Dia kembali membaca buku tebal dengan lampiran yang terbuka sejak tadi.

Aku bangun dan meminta izin untuk pergi membeli kopi. Aku kembali dengan dua gelas kopi di tangan dan aku berikan satu pada Zila. Dia masih membisu.

Dia panggil aku tadi hanya untuk membisu seribu bahasa? Detik hatiku.

“ Zila, Man minta maaflah kalau ada buat apa-apa kesalahan pada Zila. ” Aku serkap jarang cuba meneutralkan keadaan yang gelisah.

“ Apa pulak ni.. ” Balasnya namun matanya masih tepat memandang pada lampiran buku yang dibacanya.

Aku diam. Mungkin dia tak mahu aku mengganggu fokusnya lantas akupun membuka beg dan mengeluarkan kertas lukisan sketch dengan pensel. Aku duduk di situ sambil melukis gambar Zila. Melukis merupakan salah satu theraphy diri yang aku gunakan bagi melepaskan tekanan sebab kadang-kadang berfikir, membaca dan menelaah memerlukan pengunaan kapasiti otak yang banyak jadi aku melukis.


Separuh jalan telefon yang aku letak di atas meja tadi berbunyi. Di panelnya jelas nama Wati. Aku tahu Zila juga perasan.

Wati telefon? Kenapa pulak ni? Hatiku jadi tak tentu arah.

“ Hello.. Assalamualaikum.. ”

“ Waalaikumussalam, Man kau kat mana tu?

“ Kat Cafe Business School kenapa? ”

“ Kau dengan Zila ye? Aku ada hal penting nak cakap dengan kau. ”

 “ Jap..”

“ Zila, kejap. ” Izin kupinta dari Zila yang masih duduk terconggok memerhatikan tingkah lakuku. Aku bingkas bangun menuju ke arah pintu tandas lelaki di hujung cafe tersebut. Di situ keadaannya jauh lebih aman.

“ Kenapa kau tabur fitnah macam tu Wati? Berdosa kau tahu tak? ” Soalku tatkala sampai di situ.

“ Aku peduli apa Man, asalkan hati aku puas! Macamana keadaan kau sekarang? Sedap tak kena pulau dengan orang sekeliling? ” Tegasnya lagi.

“ Aku tak kesah Wati tapi kalau aku ceritakan hal yang sebenarnya malu kau nanti. ”

“ Kau nak cerita ceritalah, It’s my say against yours. Aku akan nafikan sekeras-kerasnya. Orang sure percaya punya. ”

“ Kau ni gilalah kau tau tak? ” Sesekali mata aku memandang pada Zila dan aku juga perasan sesekali dia memerhatikan gerak-geriku. Mungkin dia sedang cuba membacanya. Di luar salji kelihatan mula turun.

“ Aku peduli apa. Kau yang bersalah tinggalkan aku for Zila.. Tapi aku ada satu cadangan untuk kau. Kira macam peace offeringslah. ”

“ Apa dia? ” Dahiku mengerut memikirkan apakah agenda si Wati seterusnya.

“ Macam ni, aku akan tarik balik semua yang aku katakan dengan satu syarat. ”

“ Syarat apa? ”

“ Kau balik dengan aku dan kau tinggalkan Zila for good. ”

“ Berapa lama aku ada masa untuk beri jawapan? ” Aku cuba mencari helah untuk melengah-lengahkan keadaan walhal jauh di sudut hatiku aku sudah tahu apakah jawapan yang akan aku berikan.

“ Secepat mungkin. Aku bagi kau tempoh seminggu untuk berfikir. ”

“ Okay.. I’ll think about it. ”

Aku menekan punat merah pada telefon itu untuk memutuskan talian. Bila aku angkat kepala Zila sudah tiada lagi di tempat duduknya. Air kopi dua gelas bersama buku sketch lukisanku masih berada di atas meja. Jaket dan begku juga masih terletak di tempatnya.

“ Payah ni... ” Bisikku perlahan.

Bersambung...

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda, sharekan atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

16 November 2010

For The Sea - invisible Octopus Hunting At Night

' style='padding: 0; border: none;'/>

Aku Dah Beruban


SALAM AIDIL ADHA

Kepada anda semua pengunjung blog Faizal Yusup yang saya hormati sekelian dengan ucapan tak buat korban ke tahun ni?

Telah 4 hari saya tak menulis dalam blog ini atas alasan saya agak sibuk dengan kerja kebelakangan ini memandangkan keadaan pasaran saham yang aktif. Kemudian perlawanan futsal hujung minggu lepas juga menyebabkan saya keletihan dan mengambil masa untuk kembali cergas. Mungkin saya kena terima hakikat yang pada umur 40 tahun ianya sudah tidak sesuai lagi untuk saya bermain futsal.

Walaupun demikian saya bersyukur ke hadrat Allah kerana walaupun saya tidak menulis sekian lama, blog ini masih dikunjungi ramai. Seperti yang pernah saya katakan dahulu ilmu bersifat menjangkaui zaman dan ia hidup. Maka InsyaAllah pasti ada yang mencarinya dan saya harap apa yang anda cari bakal anda temui di sini. Kalau tak banyak sedikitpun jadilah.

Apapun semasa sesi futsal itu berlangsung saya bertemu dengan seorang kawan lama yang agak lama tidak saya temui, rakan yang lebih kurang sama baya dengan saya. Dahulu semasa mudanya orangnya merupakan seorang yang kacak dan tampan. Namun pertemuan kali ini saya dapat lihat satu perbezaan yang ketara. Dia telahpun mula botak di bahagian tengah rambutnya dan rambutnya itu pula dipenuhi uban. Dia dah kelihatan begitu tua.

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan saya kepada diri saya sendiri. Mungkin tak lama lagi saya juga akan mengalami nasib yang sama. 

Apapun uban ini sebenarnya salah satu petanda malaikat maut, petanda yang kita sudah semakin tua dan menghampiri hari kematian. Dari sudut psaikologi pula ia menunjukkan tanda stress dan kalau dilihat dari sudut yang lagi satu mereka mengatakan yang ia ada kena mengena dengan isu genetik dan makanan. Apapun saya lebih suka mengambilnya dari sudut yang pertama iaitu ia petanda malaikat maut kerana ini akan mengingatkan saya kepada kematian yang pasti muncul dan tak akan dapat dielakkan.

Dewasa ini dalam zaman moden ini ramai yang stress disebabkan rutin kehidupan yang begitu mencabar. Sibuk dengan kerja yang mencabar saban hari, peihal peribadi, perihal keluarga dan sebagainya. Akhirnya ada yang gagal menanganinya hingga menyebabkan gangguan fizikal, mental dan spiritual, botak, beruban, stress, tekanan mental, resah gelisah, tak boleh tidur, putus asa, bunuh diri dan sebagainya. Mungkin betul juga stress ini menyebabkan uban tumbuh dengan jayanya.

Terus terang kalau ada pilihan, pilihlah jalan yang lebih tenang, jalan yang tidak begitu mencabar. Terus terang saya katakan, tak ada apa yang nak dikejarkan dalam dunia ini. Ia bersifat sementara dan bila tiba masa kita akan pergi juga.

Maka dalam hal ini beruntunglah mereka yang menjalani kehidupan jauh dari stress, dalam keadaan yang aman tenteram, dapat melakukan amal ibadah dan sebagainya dengan penuh keharmonian dan kesejahteraan.

Dalam hal ini ada pula mereka yang agaknya TAKUT TUA lalu mewarnakan rambut dengan warna hitam untuk menyembunyikan uban tersebut yang mana saya yakin ia melanggar hukum Allah melainkan untuk tujuan perang. 

Kemudian ada pul ayang mencabutnya. Janganlah cabut uban. tersebut ini kerana uban adalah cahaya bagi orang Islam. Nabi S.A.W menegah kita mencabutnya sebagaimana yang diriwayatkan 'Amr bin Syu'aib daripada ayahnya daripada datuknya bahawa baginda SAW bersabda :

"Jangan cabut uban kerana ia cahaya orang Islam. Tidaklah seorang muslim yang ditumbuhi uban dalam Islam, melainkan Allah menulis baginya 1 pahala dan mengangkat 1 darjatnya. Dan Dia menghapuskan 1 dosanya."
 
(Hadith riwayat Abu Dawud, Ahmad, Tirmizi, an-Nasai dan Ibn Majah)
Apapun saya cukup yakin kesejahteraan dalaman ini bakal dapat dilihat dari luarannya yang awet muda, segar dan cergas dalam menjalani kehidupan seharian.

Fikir-fikirkanlah.

Sekian dahulu. 

Wassalam.


' style='padding: 0; border: none;'/>

11 November 2010

Why He Convert in Islam -Amazing Story Part 2 ( Last)

' style='padding: 0; border: none;'/>

Why He Convert in Islam -Amazing Story Part 1

' style='padding: 0; border: none;'/>

Catatan 1111


Salam buat semua...

Hari ini 11.11.10.

Apa ada dengan 1111 - saya pun tak tahu tapi saya selalu bertemu dengan nombor ini tapi hingga kini saya tak tahu apa misteri disebaliknya. Apapun untuk pengetahuan anda kalau anda google nombor 1111 ni ada banyak laman web yang menceritakan tentangnya. Apapun saya tak nak berceloteh panjang mengenainya. Mungkin satu hari nanti saya akan bertemu dengan jawapannya dengan izin Allah taala. 

Cerita hari ini ialah berkenaan pelbagai video clips yang saya utarakan di blog ini. Sebenarnya semua video-video ini bukanlah saya letakkan tanpa sebab.  Pastinya ada sebab dan objektif yang tertentu yang ingin saya sampaikan. Ada yang bersifat inspirasi, ada yang kreatif, penuh dengan inovasi mahupun dakwah.

Saya seorang begitu menghargai inovasi dan kreativiti. Inovasi dan kreativiti yang datang dari akal fikiran manusia yang pelbagai. Mereka ini terdiri daripada orang yang berfikir di luar kotak, diluar tempurung kebiasaan. Oleh itu saya percaya dengan selalu memaparkan video-video seperti ini secara tak langsung mungkin ia akan menggerakan otak kita untuk juga berfikir akan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang kreatif, fusion, baru, segar dan sebagainya.

Apapun kita sepatutnya punya sebab dan objektif bila kita memaparkan sesuatu itu untuk paparan umum. Yang baik bakal membawa manfaat kepada mereka malah kepada kita sebaliknya yang tak baik bakal membawa mudarat kepada mereka malah kepada kita juga. 

Tepuk dada tanya selera!

Fikir-fikirkanlah..

Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

10 November 2010

Rowan Atkinson Live - Star of Mr.Bean - Funny invisible drum

' style='padding: 0; border: none;'/>

Konflik Pengisian Dalam Budaya Melayu




Salam mesra di angin lalu...


FY sambung menulis...


Mungkin tanpa kita sedari dalam diri kita sebagai seorang Melayu beragama Islam adakalanya berlaku apa yang saya namakan konflik input. Sepanjang hidup kita, kita menerima pelbagai input atau penerapan maklumat dari pelbagai sudut. Bagi kebanyakan kita, antara input yang utama ialah dari sudut pegangan agama iaitu agama Islam, kemudiannya input kemelayuan dan juga kebaratan. Konflik ini terjadi sebagai contoh, bila berlakunya pertembungan antara input Barat dengan input Islam ataupun input adat dengan input Islam.

Bagi yang hanya memegang utuh input Islam maka segala prinsip yang dipegangnya akan berlandaskan hukum hakam agama Islam manakala sebaliknya ada juga yang terus membuang prinsip-prinsip Islam dan sekaligus memegang prinsip Barat.

Dalam hal ini mereka memegang prinsip moral dan bukannya prinsip akhlak sebagai contoh. Prinsip moral diwar-warkan sebagai prinsip yang universal namun demikian walaupun secara asasnya ia baik namun demikian prinsip akhlak jauh lebih baik ciri-cirinya kerana ia melibatkan keikhlasan dan hubungan dengan Allah Taala bagi mereka yang tahu membezakannya.

Sebagai contoh lain seorang lelaki yang diterapkan dengan nilai sukakan perempuan cantik dan seksi bermula dengan perkenalan hinggalah kepada menjalinkan hubungan seks. Ia menyebabkan kita begitu suka kepada perempuan yang cantik dan seksi dan ini akhirnya membawa kepada maksiat dan zina. Walaupun Allah menciptakan kaum Hawa sebagai makhluk yang begitu cantik dari kacamata seorang lelaki namun sebenarnya ia adalah sebagai ujian untuk melihat samada si lelaki dapat menahan nafsu syahwatnya atau tidak. Begitu jugalah dengan dugaan-dugaan yang lainnya.

Sajian input Barat ini yang terhidang dalam pelbagai sudut kehidupan merupakan faktor penyumbang yang utama baik dari segi siri televisyen, wayang, iklan, majalah dan sebagainya. Ini diperkukuhkan lagi dengan keadaan sekeliling yang memaparkan cerita yang sama.

Harta dan kekayaan kita ambil sebagai contoh lain, adalah input dunia dan ia menimbulkan konflik dengan input Islam. Namun begitu ramai yang suka kepada harta dan kekayaan sebegini atas sebab yang sama sehinggakan kita sanggup bergolok bergadai dan berhutang bagi memenuhi status ini. Namun demikian Islam mementingkan ilmu lebih dari harta dan pada kaca mata Islam Ilmu jauh lebih berharga dari harta. Kekayaan dan kemashyuran penting di alam dunia namun ilmu lebih penting di alam ghaib.

Mungkin kita perlu menukar perpektif bagi mengatasi keadaan ini kerana kita tahu yang ianya adalah satu sikap yang buruk dan akhirnya akan membawa kesusahan pada diri kita sendiri. Ini mungkin boleh dilakukan dengan mempelajari dan menerapkan hukum hakam Islam ke dalam diri.

Masalah tak akan berlaku sekiranya ia go hand ini hand atau input Barat tadi diperkukuhkan oleh input Islam. Sebagai contoh penerapan nilai kaedah saintifik yang mana kemudiannya didapati sama atau disahkan benar oleh input Islam.

Sebagai contoh lain, keraian sambutan Tahun Baru Masehi yang mana ia tidak diterima oleh input Islam namun ia tetap diraikan dengan besar-besaran siap dengan azamnya sekali. Pun begitu sebenarnya pada pendapat saya ia boleh disambut kerana ia hanyalah merupakan satu sistem perkiraan kalendar berlandaskan matahari dan titik permulaannya diambil semenjak kelahiran Nabi isa AS. Itu sahaja. Tidak ada apa-apapun yang melanggar hukum hakam Islam.

Sebenarnya yang menjadi masalah ialah cara sambutannya bersifat pesta yang mana tidak dianjurkan Islam sama sekali.

Dalam hal ini kita perlu tahu bagaimana untuk mengasingkan input budaya, input sekular dan input Islam. Ia menjadi salah kalau kita mencampur adukkan hingga ia bercanggah dengan hukum Islam namun ia boleh diterima selagi ia selari.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda, sharekan atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

08 November 2010

Catatan Faizal Yusup


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Semoga anda semua berada dalam daerah kewalafiatan yang baik hendaknya. InsyaAllah.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan sekali lagi berbanyak terima kasih kepada mereka-mereka yang berkunjung ke blog Faizal Yusup ini. Sungguh saya amat menghargai kehadiran anda semua walau di mana anda berada.

Tujuan saya menulis catatan ini ialah kerana saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka-mereka yang meng"link"kan blog mereka dengan blog ini. InsyaAllah mereka yang dijodohkan melalui link itu juga akan mendapat manfaat darinya. Seperkara saya juga ingin meminta maaf kerana buat masa ini saya masih belum dapat berbuat perkara yang sama. Ini kerana saya masih lagi dalam proses menyelenggara blog ini. InsyaAllah saya akan berbuat demikian tak lama lagi.

Apapun saya harap anda semua ceria berada di sini, dapat mencari apa yang dihajati hati dan semoga ada diantara susunan ayat dalam blog ini yang memangkinkan kebaikan dalam hati kita semua. InsyaAllah selagi ada kesempatan dan kurniaan ilham saya akan terus-terusan menulis buat tatapan anda pembaca yang saya muliakan.

Sekian dulu buat catatan kali ini. 
Wassalam.

Ikhlas,
Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>