Memaparkan catatan dengan label Segmen Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Segmen Motivasi. Papar semua catatan

10 Julai 2012

Program Motivasi Anda Yang Baru Bersama FY



Assalamualaikum dan salam ceria,

Sebenarnya blog FY ini dahulu dipenuhi dengan pengisian motivasi dan kaunseling cuma sejak kebelakangan ini ia bertukar kepada pengisian pelaburan saham. Apapun ini bukan bermakna FY takkan menulis mengenai motivasi. InsyaAllah kepada peminat penulisan motivasi FY, Sesekali bila berkesempatan FY akan menulis mengenai pengisian motivasi bila punya kesempatan untuk berbuat demikian.

Sebenarnya selama 3 hari minggu lepas FY dijemput menyampaikan program motivasi persiapan pelajar-pelajar yang akan menyambung pelajaran mereka dalam bidang kedoktoran di Mesir. Mereka akan berlepas September ini. Pada pemerhatian FY mereka ini mempunyai hati yang bersih lagi terang dan atas sebab itulah Allah Taala memilih mereka untuk ke tanah suci itu. Dapat bertemu dengan mereka dalam satu program begitu sebenarnya merupakan satu privilege bagi FY. Sesungguhnya FY amat bersyukur dan berdoa semoga anak-anak FY juga dikurniakan dengan hati serta akhlak yang sedemikian rupa.

Objektif program ini ialah untuk menjadikan mereka umpama “ikan di laut, yang tak masin walaupun laut itu masin”. Ia bermakna para pelajar ini takkan terpengaruh dengan keadaan persekitaran, tidak lari objektif pembelajarannya, tidak terganggu dengan apa juga permasalahan juga dapat menangan dan mengatasi sebarang masalah yang dihadapi baik masalah itu diduga mahupun tidak.


Setelah 3 hari menyampaikan pengisian pengenalan diri, pengisian kesedaran fungsi diri, perihal niat dan pengorbanan, perihal perkakas diri dan keupayaannya, pengisian penerapan nilai pembentukan diri serta pengisian akhirat ia membawa kepada satu program yang berjaya. Berjaya membawa mereka kepada kefahaman dan InsyaAllah ia berbekas di hati mereka dan anggaplah ia umpama buah tangan dari FY kepada adik-adik yang bakal ke Mesir itu. Harapan FY ia tak terhenti setakat itu, harap ia kekal di hati mereka, memperkukuhkan jiwa mereka dalam menjalani kehidupan yang penuh berliku ini hingga ke hari mereka meninggalkan dunia ini. InsyaAllah.

Testimoni yang FY dengar dari muut setiap peserta di penghujung program itu membuat hati FY syahdu dan hiba. Malah anda di antara mereka yang sebak menangis di penghujung program itu. Program yang sepatutnya berakhir pada jam 10:30 berlanjutan hingga jam 12:40 pagi kerana para pelajar itu seakan tidak mahu pulang. Betapa FY bersyukur dikurniakan ilmu pengetahuan yang sedemikian rupa untuk dikongsikan kepada siapapun juga yang dijodohkan dengan FY.



Apa yang FY boleh katakan, semua ilmu pengetahuan ini datang dalam bentuk yang tidak teratur sepanjang kehidupan FY. Ia datang secara rawak dan datang dari pelbagai sudut dan cara. Apapun mungkin sebagai penulis semua yang datang bersepah ini dapat disusunatur manjadi satu modul motivasi pembangunan insan yang baik dalam system otak FY. Terus terang pada pandangan FY ia bukan ilmu lambakan yang selalu anda dengar di luar sana. Kalau tak percaya panggil FY untuk menyampaikan program ini. InsyaAllah nanti anda akan faham apa yang FY maksudkan. Apapun ia semua hak Allah Taala dan FY cumalah perantaranya yang menjalankan tugas untuk menyampaikan. FY yakin mereka yang telah mendengarnya dan faham akan pengisiannya akan menjadi orang yang tenang jauh dari stress, kebosanan, kesunyian, dapat mempertingkatkan amalan, dapat mengenali diri dan sebagainya.

Dan kalau semua orang Islam dalam negara ini tahu dan dapat mengamalkan pengisian ini maka kita akan menjadi umat yang sangat kuat!

Apapun, terima kasih kerana sudi membaca. Seperti biasa sesungguhnya yang baik itu dari Allah Taala yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

Sekian dulu.

FY



' style='padding: 0; border: none;'/>

23 Januari 2012

Rahsia Hubungan / Rumahtangga Bahagia




Sepanjang kehidupan FY sering bertemu dengan mereka-mereka yang punya masalah dalam perhubungan. Yang bersengketa, yang retak menanti belah, yang putus cinta, yang bercerai berai dan sebagainya. Baik perhubungan kawan, kekasih, saudara mara, adik beradik serta keluarga. Asal dua pihak ini bernama manusia maka inilah yang sering kedengaran dan terjadi.

Kemudian ada pula pakar-pakar motivasi dan kaunseling yang mengatakan itu ini bagi menjelaskan atau kembali memulihkan keadaan namun ada yang berjaya dan ada juga yang tidak.

Apapun disini sekali lagi FY akan mengutarakan penjelasan kenapa permasalahan dalam perhubungan ini boleh terjadi.

Sebenarnya sebagai manusia yang mana punya pengisian yang pelbagai maka lambat laun mereka akan membentuk diri kepada dua golongan utama iaitu golongan orang keduniaan dan kedua golongan orang keakhiratan.

Biar FY terangkan serba sedikit antara ciri-cirinya.

Orang Dunia
  • Mementingkan dunia dan segala isinya.
  • Sentiasa berusaha untuk mencantikkan luarannya namun dalamannya busuk.
  • Punya prinsip kehidupan yang bebas dan tidak tetap.
  • Berambut kuning dan bermata biru.
  • Kaki Clubbing, minum, judi, arak, maksiat dan sebagainya.
  • Mereka menyusahkan dan tidak menyenangkan. Mereka merupakan punca setiap kali masalah terjadi.

Orang Akhirat
  • Melakukan perbuatan kerana Allah Taala.
  • Bersih di luar dan cantik di dalam.
  • Punya prinsip kehidupan berlandaskan hukum hakam Allah Taala dan Sunnah.
  • Menutup aurat.
  • Kaki solat, surau, madrasah dan masjid.
  • Mereka menyenangkan dan tidak menyusahkan. Mereka bukan punca sesuatu masalah terjadi.

Jadi dua golongan ini akan bersatu bercampur baur dalam kehidupan. Mereka berkawan, bersaudara, berkasih dan berkahwin.

Hakikatnya kebanyakan novel drama dan kisah yang dipaparkan difilem adalah berdasarkan plot kedua-dua golongan ini. Sebagai contoh Filem Ombak Rindu mahupun Drama Nur Kasih yang popular baru-baru ini juga memaparkan kisah yang serupa.

Kalau dalam Ombak Rindu Hariz heronya merupakan orang dunia yang mengamalkan kehidupan bebas seakan oarng Barat sedangkan Izzah pula merupakan orang akhirat yang mengamalkan hidup Islam. Izaah memohon untuk berkahwin, mengaji, menyiapkan hidangan, menutup aurat, membantu mengurut dan membukakan kasut dan stokin dan sebagainya. Semua ini hanya dilakukan oleh isteri mithali yang faham akan prinsip keislaman untuk berbakti kepada suaminya.

Kisah dalam Ombak Rindu itu jelas menunjukkan perbezaan antara orang dunia dengan orang akhirat. Dalam drama Nur Kasih juga serupa yang mana akhirnya keislaman juga yang membawa bahagia.

Baiklah di sini biar FY jelaskan apa yang terjadi dalam perhubungan diantara mereka-mereka golongan dunia dan golongan akhirat ini.

Orang Dunia VS Orang Akhirat

Masalah akan terjadi kerana perbezaan prinsip dalam diri mereka.

Si suami orang dunia akhirnya menceraikan isteri orang akhirat yang baik bertudung kerana dia mempunyai kekasih gelap bilamana dia semakin mewah dan berkemampuan.

Si isteri orang dunia memilih untuk tidak patuh dan meminta cerai kepada suaminya orang akhirat kerana tak dapat menyediakannya dengan kemewahan hidup. Kalau dahulu semasa suami dapat membelikan kereta dan barang mewah sayangnya tidak terhingga tetapi bila perniagaan suaminya jatuh maka suaminya itu ditinggalkan pergi. Ini kerana dia berkahwin kerana kemewahan dan bukan kerana Allah Taala.

Ibu bapa orang akhirat bergaduh dengan anaknya orang dunia yang mahukan kehidupan bebas umpama orang Barat. Ibubapa yang menyuruh anaknya bersolat, menutup aurat, menziarah dan sebagainya namun tidak dipedulikan malah membawa kepada pergaduhan dan pertelingkahan.

Perhubungan mula menjarak dan pertelingkahan mula terjadi antara suami isteri bila isteri yang mula mendapat hidayah dan mula memakai tudung dan mendekati kuliah-kuliah di masjid. Ia disebabkan kerana perubahan prisip kehidupan bilamana isteri mula mengikut hukum hakam Allah Taala. Contohnya kalau dahulu di ranjang semua boleh dilakukan dan bila si isteri mengelak dari melakukan yang haram maka suami mula bengang dan marah.

Orang Dunia VS Orang Dunia

Mungkin anda akan berkata kenapa pula keretakan akan berlaku diantara orang dunia dengan orang dunia walhal mereka berada dalam kelompok yang sama?

Sebenarnya ia berlaku kerana perbezaan nilai, prinsip dan pendapat. Contohnya prinsip kemaafan.
  • Si Suami hanya akan memaafkan kalau dia datang dan meminta maaf.
  • Si Isteri hanya akan memaafkan kalau dia membayar ganti rugi.
  • Si Ibu hanya akan memaafkan kalau anaknya sujud dikakinya.
  • Si Ayah takkan memaafkan sampai bila-bila.
  • Si kekasih takkan maafkan walaupun dia telah meminta maaf. Forgive but never forget katanya.
  • Dan banyak lagi.

Dalam prinsip kemaafan ini kita boleh lihat berapa banyak nilai perbezaannya. Sedangkan prinsip keakhiratan cuma satu;

  • Maafkan sahaja dengan ikhlas 100% kerana Nabi ampunkan ummat dan ALLAH TAALA juga MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI.

Itu baru FY terangkan mengenai prinsip kemaafan bagaimana pula dengan prinsip-prinsip yang lainnya? Prinsip kerajinan, keyakinan, keikhlasan, kepercayaan, kemurahan, kebaikan akhlak, toleransi, perhubungan dan sebagainya?

Penceraian boleh berlaku hanya kerana perbezaan-perbezaan prinsip-prinsip ini dalam diri dua insan yang sedang dalam perhubungan itu. Bercerai berai kerana cemburu buta, kerana isterinya pemalas, kerana isterinya meminta-minta, kerana suaminya lebihkan ibunya (yang mana bersesuaian dengan prinsip Islam), kerana suaminya panas baran, kaki pukul, kaki todi dan sebagainya.  

Faham tak ni?

Kesimpulannya orang dunia tak punya prinsip asas kehidupan yang sama. Perbezaan prinsip ini membawa kepada perbalahan, pergaduhan dan pemutusan silaturrahim yang dibenci Allah Taala.

Orang Akhirat VS Orang Akhirat  

Orang akhirat yang mana kedua-duanya berpegang kepada Al Quran dan Sunnah pastinya akan hidup dalam keadaan aman damai dan sejahtera kerana mereka takut kepada Allah Taala, menjalankan kehidupan dengan memenuhkan aktiviti ibadah dan menjauhkan maksiat.

Mereka ini tenang, memaafkan, pemurah, bersangka baik dan punya sikap mahmudah yang penuh dengan kebaikan. Anak-anaknya menutup aurat, menjaga solatnya, penuh dengan sopan santun serta punya budi pekerti yang mulia.

Tiada cemburu pada suaminya kerana percaya, tiada sengketa dengan ibubapanya kerana sift taat dan patuh. Sesungguhnya mereka ini merupakan sahabat yang sentiasa menyokong dan setia.

Kesimpulan.

Contoh—contoh ini adalah kebiasaan yang FY nampak dalam semua perhubungan baik kawan, kekasih, keluarga, suami isteri dan sebagainya. Cuba perhatikan dan buat kajian, FY yakin orang kawan di sebelah anda dan masih di sebelah anda selama ini mungkin merupakan orang akhirat yang boleh bersabar dengan kerenah anda si orang dunia atau anda merupakan orang akhirat kerana anda boleh bersabar dengan segala kerenah mereka dan selalu mendoakan mereka mendapat hidayah dari Allah Taala. Ini kerana perhubungan dengan antara orang dunia dengan orang dunia seringkali terputus, penuh dengan masalah dan sengketa. Bila terputus maka kita akan mencari orang dunia yang lain dan acapkali perkara yang sama akan berlaku.

Kesimpulan dari semua ini perhatikanlah hubungan anda baik suami isteri, pasangan kekasih, kawan, keluarga dan sebagainya. Kawan makan kawan hanya berlaku kepada golongan orang dunia namun ini tak berlaku kepada golongan akhirat. Mereka selalu sahaja bergembira, berbahagia dan sejahtera. Mereka menyenangkan dan tidak menyusahkan. Mereka bukan punca sesuatu masalah terjadi.

Bak kata professor Hamka dalam buku falsafah Hidup,

“Mereka yang bahagia dia akhirat adalah mereka yang bahagia di dunia terlebih dahulu.”

Fikir-fikirkanlah. Kalau masih tak faham cari FY, InsyaAllah FY akan cuba membantu menerangkannya dengan lebih lanjut.

Sekian dahulu semoga artikel ini membawa manfaat kepada anda.

' style='padding: 0; border: none;'/>

15 Mac 2011

Hidup Yang Pendek / Membaca Meningkatkan Ilmu


Hidup ini sebenarnya terlalu pendek. Lihatlah pelbagai kejadian yang berlaku di sekeliling kita yang membawa kematian. Saban hari ada sahaja manusia yang mati, ada yang mati secara individu dan ada juga yang berdua, bertiga malah beribu selai serentak sepertimana yang berlaku dalam sesebuah bencana alam. Apapun giliran kita akan tiba juga akhirnya. Cumanya kita tak tahu bilakah masa kita hidup di alam fana ini akan berakhir. Entah cepat entah lambat. entah esok entah lusa. Apapun sebagai manusia kita tak dapat menghalangnya. mati itu WAJIB bagi kita dan segala makhluk yang hidup di muka bumi ini.

Semenjak kita lahir ke dunia dalam keadaan yang kosong kemudian diberi pengisian demi pengisian yang lama kelamaan mejadikan diri kita pandai dan pakar dalam apa juga bidang pengkhususan kehidupan. kita jadi Doktor, Jurutera, Peguam, Guru, Pekerja Kilang dan sebagainya berdasarkan apa yang telah kita pelajari. Ada ang setakat SPM, ada juga yang sampai ke tarap Diploma, Ijazah, Masters, PhD malah lebih tinggi dari itu dan kita berjaya mendapat kerja dengan pangkat yang terbaik dan gaji yang begitu banyak namun untuk apa? Selepas berjuta ringgit kita laburkan untuk mendapatkan kesemua pelajaran dan kelayakan itu penghujungnya kita menuju kematian. Tempat kita diambil oeh orang lain dan pelajaran dan kelayakan yang kita usahakan selama ini dibawa kembali ke dalam kubur dan ia telah tidak berguna lagi.

Genarasi atau individu yang bakal lahir selepas itu juga akan mengalami keadaan yang sama. Mereka lahir dalam keadaan yang kosong dan kemudian diisi dengan ilmu serta pengetahuan bagi tujuan menjalani perjalanan kehidupan yang pendek ini. Apa yang pasti kita tak dapat mengambil SEMUA pelajaran, ilmu dan pengalaman selama kita hidup di dunia ini kerana jangkamasa kehidupan kita sebagai manusia yang begitu pendek.

Dalam hal ini ramai orang kita yang diluar sana yang punya ilmu pengetahuan yang cetek tanpa mereka sedari kerana mereka MALAS MEMBACA namun demikian mereka merasakan yang mereka punya ilmu yang mendalam kerana ego mereka mengatasi fakta sebenarnya. Selepas SPM mereka tidak lagi menjadikan aspek pencarian ilmu ini sebagai satu kemestian dalam kehidupan. 

Ketahuilah mereka yang cetek ilmunya hanya sekadar punya ilmu sebanyak secawan kopi sedangkan sepanjang kehidupan kita boleh mencari ilmu sebesar tasik malah lebih besar dari itu andai diberi keizinan Allah Taala. Namun tak ramai yang mahu mencarinya sedangkan ilmu mempunyai banyak kelebihannya dalam kehidupan ini dalam banyak segi dan yang penting sekali ilmu ini MENDEKATKAN kita kepada Allah SWT dalam persiapan untuk kembali kepadaNya.

Saranan saya, BACALAH, tingkatkan ilmu pengetahuan anda.. Bacalah pengisian-pengisian yang berilmu, pengisian yang MENDEKATKAN diri dengan ALLAH TAALA dan bukan pengisian yang MENDEKATKAN diri kita dengan DUNIA. Pengisian mengenai artis, sukan, lawak, lucu dan lucah yang bersifat MAKRUH dan HARAM. Bukankah ini semua merupakan satu pembaziran MASA yang nyata? Sedangkan kita tahu yang kita hanya hidup sementara di alam fana ini.

Sekali lagi BACALAH, pengisian yang terbaik ialah pengisian ilmu yang mana ia mendekatkan diri kita kepada ALLAH TAALA dan bukannya sebaliknya mendekatan diri kita kepada DUNIA. Andai apa yang kita baca itu berkesan di hati dan ia menginsafkan dan membawa kepada peningkatan amal ibadah kepada Allah Taala maka pastinya ia adalah pengisian yang benar dan baik.

Fikir-fikirkanlah.

Sekian dulu buat kali ini..

Selamat mencari ilmu!

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.

' style='padding: 0; border: none;'/>

20 Januari 2011

Who Moved My Cheese - Merangka Perubahan

Petikan dari novel yang sedang saya tulis;

“Tapi saya dah biasa begitu,” Ujar Ikram

“Ikram dah terbiasa dengan cara yang sama atau tanpa disedari menerapkan nilai yang Ikram selesa ke dalam diri dan begitu sukar untuk mengubahnya. Ramai orang yang begitu. Lebih-lebih lagi orang tua. Ikram pernah dengar tak kisah tikus dengan keju yang diambil dari buku who move my cheese. Dekat youtube pun ada.” Balas pakcik Mail pula.

Saya tak tahulah pakcik. Pakcik ni mana tahu semua ni?

“Ish! Kan ilmu tu ada dimana-mana. Kita cari ajelah Ikram. Nak dengan taknak jer. Kalau kita cari hiburan, hiburanlah yang kita dapat, kalau kita cari ilmu, ilmulah yang bakal kita dapat. Itu je. Apapun kisah tikus tu pasal perubahan. Kita mesti sentiasa bersedia untuk berubah kerana hanya perubahan adalah sesuatu yang tetap akan berlaku. Dunia berputar, teknologi dan kaedah baru dicipta dari masa ke semasa tapi dan kalau kita tak berubah maka kita akan ketinggalan. Kalau senang Ikram carilah kisah tikus dengan keju ni, mungkin ada pelajaran yang boleh Ikram ambil darinya.”

“Baiklah pakcik. Nanti saya cari dan tengok. Manalah tahu saya boleh berubah kerananya.”

XXXXXX

Baru-baru pejabat saya berindah ke tempat yang baru, bangunan yang baru. Perubahan yang berlaku pastinya akan menjejaskan kebiasaan, cara dan tabiat. Manusia tidak seperti binatang yang mengambil masa yang begitu  lama untuk menyesuaikan diri di tempat atau habitat yang baru, Manusia dikurniakan akal untuk berfikir dan ini membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan setempat dengan lebih baik.

Maka di tempat yang baru ini pelbagai rungutanlah yang boleh didengari, Kena naik turun bangunan untuk bertemu dengan boss, masalah silau kerana lampu yang terlalu terang, masalah bilik dan cubicle yang kecil, masalah air cond terlalu sejuk, masalah teh tarik yang tak sedap, masalah ketiadaan internet, masalah tiada tempat makan dan sebagainya. Malah ada beberapa orang yang terlanggar cermin hingga berdarah hidungnya kerana tak nampak cermin baru yang lutsinar di pintu masuk.

Biasalah manusia memang begitu penuh dengan rungutan walhal memang begitulah keadaannya bilakala kita berpindah ke alam yang baru. Kita akan menyentuh benda yang di luar kebiasaan dan kalau boleh kita ingin mengembalikan keadaan seperti dahulu.

Soalannya, manusia cuma nampak kepada kekurangan sedangkan begitu banyak kelebihan tidak kita perhatikan. Keadaan yang terang, suasana yang aman, tandas baru yang bersih, kemudahan surau yang ada, khidmat tea lady dan sebagainya yang tidak ada di tempat yang lama.

Dalam hal ini kurangkan rungutan dan banyakkan keredhaan kerana apa yang pasti, pasti ada sebab kenapa kita perlu berpindah, berhijrah dan berubah. Sesungguhnya Allah Taala Maha Mengetahui atas setiap sesuatu.

Ingatlah dalam kehidupan tiada apa yang TETAP kecuali PERUBAHAN. Oleh itu sentiasa bersedialah untuk BERUBAH! (ke jalan yang labih baiklah..)

Sekian dahulu.

' style='padding: 0; border: none;'/>

31 Oktober 2010

Rahsia Kebahagiaan Rumahtangga / Perhubungan Sesama Manusia / Memahami Manusia



Pada saya setiap orang melayu mahupun mana-mana bangsa sekalipun akan terdiri daripada dua golongan iaitu pertamanya golongan yang pengisiannya lebih kepada keduniaan dan kedua golongan yang lebih ke arah keakhiratan. Saya sering menulis mengenai perkara ini dan kali ini sebagai pengukuhan sekali lagi saya akan menulis mengenainya.

Ini kerana mengenali perbezaan kedua golongan ini membolehkan kita memahami diri juga memahami orang lain di sekeliling kita. Kita boleh memahami pasangan kita, orang di sekeliling kinta, kawan-kawan kita, pemimpin kita dan sebagainya.

Untuk memudahkan bicara manusia ini terdiri daripada dua golongan ;

Orang Dunia dan Orang Akhirat.

Berikut ini adalah perbezaan antara orang dunia dengan orang akhirat ini dengan berdasarkan ciri-cirinya ;



ORANG DUNIA
ORANG AKHIRAT

Orang dunia ini ialah orang yang meletakkan dunia dan isi kandungannya sebagai matlamat hidup.


Orang akhirat adalah orang yang matlamat hidupnya untuk mencari keredhaan Allah.

Mereka begitu sibuk mencari kekayaan dan harta benda.


Mereka begitu sibuk membuat persiapan untuk mati.

Mereka begitu sibuk mencantikkan kulit luaran. Maknanya di sini sibuk dengan membeli kereta mewah, rumah besar, kamera mahal, handphone canggih, pakaian branded dan sebagainya.


Mereka hidup dalam keseimbangan jasmani, rohani dan akal. Hidup dengan mengambil apa yang perlu dalam kesederhanaan. Kecantikan dalaman kelihatan di luar dengan akhlak mereka yang baik.

Kesimpulan ;

Semua ini membawa kepada sifat riak dan membazir. Bukankah makruh mengambil gambar benda hidup? Islam ugama fitrah ia tak perlu semua itu. Mana ada gambar binatang dan manusia di masjid-masjid?

LUARAN DIRI

Mereka ini umpama mangga yang kulitnya cantik tetapi dalamnya busuk.


Mereka ini umpama mangga yang cantik di luar dan sedap di dalam.

Mereka berambut pacak / karat, bermata biru, memakai pewarna kuku, memakai pakaian yang terdedah, rebonding rambut, implant, pembedahan plastik, mengalis kening dan sebagainya.


Mereka menutup aurat dan cuba meniru pakaian Rasullullah SAW bagi mendapatkan pahala sunnah.

Kesimpulan ;

Sebenarnya golongan ini terpedaya dengan konsumerism yang mengeluarkan pelbagai produk yang menguntungkan orang Barat dan para Kapitalis. Bukankah Barat kerugian kalau orang Islam menutup aurat, memakai pakaian yang perlu tanpa perlu fesyen yang menjolok mata mahupun yang berjenama, tanpa perlu memakai make up? Sebenarnya mereka ini hanya mengkayakan para pengeluar produk-produk ini.

Menutup aurat sebenarnya memelihara kehormatan wanita dan bukankah mereka yang mendedahkan aurat dihubungkaitkan dengan orang-orang yang buruk akhlaknya. Analoginya, makanan yang tertutup lebih baik dari makanan yang terdedah.

DUIT LEBIHAN

Mereka menyimpan duit untuk pergi melancong.


Mereka menyimpan duit untuk pergi menunaikan Haji dan Umrah di Mekah.


Mereka ini mementingkan kekayaan, ilmu, amalan dan anak yang pandai untuk ditunjukkan pada orang ramai. Menyebarkan syiar Islam bukan matlamat.


Mereka ini mementingkan sedekah amal jariah, ilmu yang bermanfaat serta pembentukan anak yang soleh demi menyebarkan syiar Islam.
MASA

Membazir masa sia-sia, bermain game komputer, berjudi, melayari internet melihat benda-benda yang kotor, lucah, lucu, yang menimbulkan konflik, fitnah, mengadi domba dan sebagainya sedangkan kesabaran.


Mereka memegang konsep demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang makruh dan haram.


Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang wajib dan sunat.

Mereka suka berhibur dan mengikut nafsu.


Mereka suka beribadah dan mengawal nafsu menggunakan akal.

Orang akhirat yang beriman dengan hari akhirat ini tahu dan sedar yang mereka hidup dan singgah di mukabumi ini untuk satu jangkamasa yang singkat. Iaitu secara puratanya 70 tahun atau 25,000 hari, itupun kalau tidak ada apa-apa kemalangan dan kesakitan yang boleh membawa maut dalam perjalanan kehidupan itu.

Mengetahui hakikat ini maka sebenarnya MASA adalah satu elemen yang sangat berharga dan tak boleh dibazirkan begitu sahaja. Kita mesti mencari jalan untuk melakukan perkara yang paling bernilai pada setiap masa. Melakukan tindakan yang bersifat ibadah, berdakwah, berfikir dan berzikir adalah jauh lebih baik dari melakukan perbuatan yang sia-sia yang membazir masa juga menjalani kehidupan dengan senyum dan ceria adalah lebih baik dari menjalaninya dalam keadaan yang duka nestapa.

Oleh itu keluarkan diri dan kedukaan dan kesedihan kerana hidup ini pendek, hidup ini hanya sementara dan kita akan kembali kepadaNya bila tiba masanya kelak.

SIKAP

Bila suka mereka terlalu suka, bila duka mereka terlalu menderita.


Mereka ini biasa sahaja dalam suka dan duka.

Mereka ini kelam kabut.


Mereka ini tenang.

Mereka ini selalu bersengketa.


Mereka ini bahagia.

Mereka ini pendendam.


Mereka ini pemaaf.

Mereka ini berharap balasan atas bantuan.


Mereka ini ikhlas dalam menghulur bantuan.

Mereka ini berprasangka buruk.


Mereka ini berprasangka baik.

Mereka ini selalu tidak berpuas hati.


Mereka ini redha dengan ujian.

Mereka ini meletakkan makhluk nombor satu. Pasangan, duit, hutang, kereta, artis dll.


Mereka ini meletakkan Allah nombor satu.

Mereka ini takut pada hantu, rugi, miskin mahupun makhluk-makhluk yang lainnya.


Mereka ini hanya takut pada Allah.

Mereka buat larangan Allah dan tinggalkan perintahNya.


Mereka ikut perintah Allah dan tinggalkan larangannya.

Mereka ini tak mempedulikan hukum Allah Taala.


Mereka ini takut melanggar hukum Allah Taala.

Mereka ini tak mahu mencari ilmu


Mereka ini belajar dan mencari ilmu.

Mereka banyak melakukan maksiat saban hari. Judi, zina, bergaul bebas, arak dll.


Mereka banyak melakukan ibadah saban hari.

Mereka suka menyanyi.


Mereka suka berzikir.

Mereka ini pentingkan diri sendiri.


Mereka ini prihatin pada kepayahan orang lain.

Mereka tak ingat pasal mati.


Mereka selalu mengingati mati.

Mereka suka kepada pengisian dunia. Artis, hiburan, kereta, motor dll.


Mereka suka kepada pengisian ugama.

Mereka ini hipokrit, penipu, memanipulasi.


Mereka ini telus dan bercakap benar.

Mereka ini suka menyorok dan perahsia.


Mereka ini terbuka dan berterus terang.

Mereka merasakan mereka berkuasa melakukan itu dan ini.


Mereka ini tahu Allah yang berkuasa atas setiap sesuatu.

Mereka ini melawan suami, ibubapa malah Allah Taala kerana merasakan diri lebih pandai.


Mereka ini menghormati suami dan patuh pada ibubapa serta taat kepada Allah Taala.

Mereka tak dapat mengawal nafsu walaupun hanya rokok.


Mereka dapat mengawal diri dari merokok.

Dalam hal ini kalau ditegur dalam mana-mana elemen sekalipun maka mereka akan melenting marah sedangkan apa yang mereka lakukan itu membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan namun mereka tidak mengetahuinya. Walhal pada masa yang sama teguran orang akhirat itu ialah bertujuan untuk menyelamatkan tetapi mereka tidak memahaminya.

Dan bila mereka membaca artikel ini mereka marah lalu mengatakan yang walaupun mereka berambut kuning tetapi mereka juga beriman. Lalu ingin FY tujukan soalan ini kepada mereka. Kalau anda orang akhirat yang beriman kenapa melakukan perkara yang Makruh dan Haram sedangkan Allah suka kepada mereka yang melakukan perkara yang Wajib dan Sunat?






Perbezaan ini sebenarnya disebabkan kerana iman, taufik dan hidayah dikurniakan Allah kepada sesiapa juga yang dikehendakinya. Ia adalah mutiara yang tak boleh diwarisi mahupun dijual beli. Kalau bapanya beriman belum tentu lagi ahli keluarganya itu juga beriman sepertimana bapanya itu. Kalau Isterinya beriman belum tentu lagi suaminya beriman. Mereka yang beriman itu dalam konteks ini saya namakan orang akhirat.

Hakikatnya manusia selalu sahaja menyalahgunakan sumber dan kurniaan yang diberikan Allah kepadanya. Bila diberi mata mereka menyalahgunakannya untuk melihat yang lucah, mereka punya suara mereka menyalahgunakan untuk menghina, mengutuk, menipu dan menabur fitnah, mereka punya kaki mereka menggunakannya untuk ke tempat-tempat yang maksiat, mereka dikurniakan dengan rezeki mereka menyalahgunakannya untuk melakukan yang makruh dan haram dan begitulah seterusnya. Setiap kurniaan disalahgunakan dan digunakan tanpa dapat mengekang nafsu. Dalam ertikata lain ianya lebih mudah untuk kita menjadi orang dunia lebih-lebih lagi di negara ini kerana pengisian media massa kebanyakannya menunjukkan perihal sekular yang bersifat keduniaan. Hanya mereka yang mengambil garispanduan Islam dengan sepenuhnya sahaja yang akan meninggalkan segala larangan Allah ini dan menurut perintahnya.

Mereka yang berkawan dan berhubungan kerana dunia dan segala isinya akan mendapati yang perhubungan itu takkan kekal sedangakan mereka yang berhubungan ikhlas kerana Allah Taala akan berkekalan.

Begitu juga dalam hal kepimpinan. Kita mahukan pemimpin yang bersih, tidak mengambil rasuah, bukan kaki seks, kaki judi, kaki arak dan sebagainya. Namun di kebanyakan tempat dan di kebanyakan negara kita akan dapat lihat yang yang pemimpin ini terdiri dari orang dunia yang hakikatnya membawa kerosakan kepada rakyatnya. Mereka mengatakan mereka beriman tapi mereka melakukan banyak kekotoran serta maksiat yang membawa kepada kerosakan.

Ramai juga yang menunggu dan menanti hidayah dengan berkata, “Tak mengapalah saya akan berubah nanti bila Allah kurniakan hidayah kepada saya... Sedarilah ini adalah falsafah Nasrani yang menantikan Tuhan datang dalam bentuk Nabi Isa AS untuk menyampaikan hidayah kepada mereka sedangkan dalam Islam kita kena mencari Tuhan, kita kena berniat dan berusaha untuk pergi mencari hidayah Allah Taala.

Kemudian ada juga yang mengatakan lelaki yang membunuh 100 orang juga boleh masuk syurga maka ingin saya jelaskan sesungguhnya saya percaya semua itu berlaku sebelum Islam itu lengkap. Bila ia telah lengkap maka kita wajib percaya kepada Rukun Iman dan menjalankan Rukun Islam. Sesungguhnya Solat itu dapat menggelakkan perbuatan keji dan mungkar jadi kenapa kita masih melakukan kemungkaran dan maksiat kalau kita seorang Islam yang bersolat? Pastinya ada kelemahan yang perlu kita baiki dalam solat itu bagi menjauhkan diri kita dari melanggar hukum hakam Allah Taala. Kalau solat kita betul takkanlah kita mahu membunuh orang lain?

Sedarilah Islam itu membaiki akhlak dan Nabi SAW mempunyai akhlak yang paling baik. Dalam hal ini pastinya orang akhirat akan dikurniakan dengan akhlak yang cantik dan baik.

Jadi sekiranya anda masih punya kekotoran dalam diri maka bersihkanlah. Sesungguhnya mereka yang mengejar dunia, dunia akan menjadi sempit pada mereka sedangkan mereka yang mengejar akhirat maka dunia akan menjadi lapang kepada mereka. Mereka akan mendapat nikmat dan kelazatan yang sukar dimengertikan, nikmat yang jauh lebih bernilai dari emas, perak serta wang ringgit.

Orang akhirat akan kenal orang dunia kerana mereka juga orang dunia sebelumnya tetapi orang dunia takkan mengenali orang akhirat kerana mereka belum lagi menemuinya.

Sedarilah pada ketika orang Barat berpusu-pusu untuk menjadi orang Islam dan takutkan Islamiphobia, orang kita pula berpusu-pusu untuk jadi macam orang Barat.

Wallauhu’alam. Saya hanya mengingatkan diri saya sendiri.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.

' style='padding: 0; border: none;'/>