31 Oktober 2009

Pentingnya Input

Input atau pengisian sebenarnya sangat penting dalam kehidupan. Dimasa muda saya, saya beruntung kerana didedahkan Allah dengan pelbagai pengisian kehidupan oleh mereka-mereka yang berada di sekeliling saya. Pengisian-pengisian ini membentuk sahsiah diri saya dan memberikan kekuatan pegangan sehinggalah sekarang.

Mengetahui hakikat inilah saya mengambil inisiatif untuk menulis dan menyampaikan pengisian kepada sesiapa juga yang lalu dalam kehidupan saya bersesuaian dengan perintah Allah Yang menyarankan umat Muhammad S.A.W untuk berdakwah.

Dalam budaya masyarakat Malaysia tugas menyampaikan pengisian akademik diletakkan di bahu guru dan ada juga ibubapa yang mengambil berat akan pengisian pembelajaran anak-anak mereka namun apa yang kurang adalah penerapan pengisian keimanan. Seperti yang sering diperkatakan pengisian keduniaan memang perlu untuk hidup di atas mukabumi ini namun pengisian akhirat juga perlu sebagai persiapan menuju ke akhirat nanti.

Lagipun mereka yang mengejar dunia, maka dunia akn menjadi sempit sedangkan mereka yang mengejar akhirat, dunia akan jadi lapang pula bagi mereka malah mereka bakal memiliki kedua-duanya sekali.

Oleh seeloknya kita memerhatikan setiap apa yang input dan pengisian yang masuk ke dalam diri anak-anak kita. Pengisian yang baik kita terapkan dan yang tak baik kita buang. Ini kerana semasa zaman kanak-kanak mereka belum mempunyai satu sistem automatik untuk menapis dan menangkis pengisian yang masuk ke dalam diri mereka. Oleh itu kitalah sebagai ibu bapa yang perlu menjadi mata dan telinga bagi pihak mereka bagi menentukan pengisian yang masuk ke dalam diri mereka itu. Kita sebagai ibubapalah yang mewarnakan hamparan kain putih yang ada di dalam diri mereka. Malangnya ramai juga ibubapa yang melahirkan anak dan kemudiannya hanya menyara, memberikan pendidikan namun tidak meneliti akan apakah pengisian yang masuk ke dalam diri anak-anak mereka. Mereka tak mengambil inisiatif untuk memberikan didikan dan bimbingan bila punya masa dan ketika untuk berbuat demikian.

Mungkin ada yang berkata yang dia telahpun menjalankan segala usaha-usaha untuk memberikan pengisian yang perlu ke dalam diri anak-anak namun masalahnyai ialah anak-anak itu sendiri yang degil dan tidak mahu mendengar kata. Bagi saya inilah cabarannya, inilah dugaan yang perlu kita ambil dan usahakan sehingga berjaya. Usaha ikhtiar dan doa.

Keadaan ini berlaku mungkin berpunca kepada keperbukaan pintu hati anak itu sendiri. Pintu hati yang terbuka akan memudahkan segala ilmu masuk ke dalamnya. Ini kerana hati yang bersih lebih suka kepada perkara yang bersih sedangkan hati yang kotor pula sebaliknya. Oleh itu hati yang bersih dan terbuka pasti akan suka kepada pengisian ilmu. Dalam hal ini kita akan dapat lihat perbezaan antara seorang anak yang mudah menerima ilmu dan mendengar kata dibandingkan dengan seorang lagi yang pemalas, sukar menerima ilmu dan kuat memberontak.

Pintu hati yang terbuka seakan air sungai yang terus-terusan mengalir memasukkan pengisian keimanan ke dalam hati mereka sedangkan hati yang tertutup ia menjadi empangan yang semakin lama semakin banyak airnya. Malangnya pengisian tersebut tidak masuk ke dalam hatinya. Walaupun demikian janganlah berputus asa berusaha mengetuk pintu hati tersebut dengan penyampaian pengisian, tawakal dan doa kerana saya yakin lambat laun dengan izin Allah ia akan terbuka.

Keadaan ini lebih mudah dilihat berlaku kepada anak seorang Imam masjid yang diberikan pengisian oleh bapanya namun demikian hatinya tidak mahu menerima lantas menangkis keluar semua pengisian yang disampaikan kepadanya. Hatinya pula lebih cenderung untuk menerima pengisian keduniaan. Menyanyi, menari dan berhibur.

Apapun dalam banyak kes yang saya jumpa mereka yang mempunyai pengisian ugama di masa mudanya sangatlah penting kerana kemungkinan untuk dia kembali ke jalan Allah adalah lebih tinggi bila mereka berumur nanti kalau dibandingkan dengan mereka yang tak punya pengisian itu tadi. Bak kata orang tua batu yang diukir akan meninggalkan kesan oleh itu hati yang kecil itu akan sentiasa mengingati pengisian ugama tersebut cuma mungkin ia belum lagi memberi kefahaman pada dirinya kerana fikiran mereka yang berfungsi secara logik keduniaan. Contohnya bersikap pemurah akan menjadikan diri miskin, setiap perbuatan perlukan ganjaran, riak, takbur, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Fikir- fikirkanlah..

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang lain yang dijodohkan dengannya. 

' style='padding: 0; border: none;'/>

30 Oktober 2009

Catatan Faizal Yusup

Salam sejahtera buat semua,


Saya dalam proses mengkompilasi blog-blog saya dengan tujuan hanya untuk meninggalkan satu blog iaitu blog ini sahaja. Jadi, maafkan saya sekiranya anda pernah terbaca artikel-artikel ini dalam blog saya yang lain. Artikel-artikel ini akan dipindahkan satu persatu sehinggalah kerja-kerja ini selesai. Kemudian InsyaAllah barulah artikel baru akan saya masukkan. Harap tuan puan semua dapat bersabar.


Sebelum berundur saya tinggalkan anda dengan kata-kata sokongan seorang sahabat yang tak akan saya lupakan yang menjadi pencetus semangat untuk saya terus berkarya.



“ Gunakanlah tintamu ke arah jalan kebaikan dan TULISlah kerana membantu anak bangsa kita dan IKHLASkan dirimu ketika menghidang ILMU itu dari sebuah pemikiran yang merupakan senjata fikirmu. Perjuangan tinta tidak akan selesai kerana DIA memilih DIRImu sebagai salah seorang insan yang layak berkongsi suka-duka, pengalaman dan ilmu kepada insan-insan yang senantiasa dahagakan bimbingan dan keceriaan dalam hidupnya. "


Sekian dulu. Wassalam.


Faizal Yusup


' style='padding: 0; border: none;'/>

Dugaan Kehidupan



Dalam kehidupan kita sebagai manusia kita tidak dapat lari dari menempuhi pelbagai dugaan-dugaan kehidupan. Saban hari kita diduga dari segi kewangan, kesihatan, pekerjaan, perniagaan, perhubungan dan sebagainya namun apakah tujuan Allah sebenarnya. Apakah tujuan kita sebagai manusia diuji sedemikian rupa. Kadangkala kita membuat pelbagai persiapan bagi mengelak masalah kewangan namun ia tetap akan datang juga, kita bersenam setiap hari sepanjang hidup namun penyakit datang juga dan begitulah seterusnya. Kalau kita tak punya masalah kewangan kita akan punya masalah perhubungan pula dan seribu satu macam lagi permasalahan yang bakal datang dan perlu kita tangani.


Setiap dekad kita akan bertemu dengan kejatuhan ekonomi dunia yang melibatkan ramai pihak, mungkin ia disebabkan oleh kenaikan harga minyak yang mendadak, penurunan saham, kejatuhan nilai matawang, masalah inflasi dan resessi dan sebagainya. Maka kita akan diuji dari sudut sudut kewangan dengan kekurangan pendapatan mahupun kehilangan pendapatan. Pada masa ini ramai yang bakal dibuang kerja, kadar penggangguran akan meningkat, perniagaan banyak yang tutup dan sebagainya. Kenapakah kita diuji sebegini?


Pun begitu di zaman kemerosotan ekonomi maka kita terfikirkan akan zaman kecemerlangan dan bertanyakan soalan kenapa semasa kita senang dahulu kita tak berjimat sebagai persiapan bagi melalui hari-hari sukar di zaman kemerosotan ini? Bila difikirkan keseangan yang kita terima dahulu juga merupakan satu ujian. Kenapakah kita diuji sedemikian rupa?


Ada yang kehilangan kerja, berpisah dengan yang tersayang, terjejas perhubungan, kemalangan, sakit, mengalami bencana alam banjir, tanah runtu, tsunami, gempa bumi dan puting beliung, ada yang kerugian saham, ditipu, kecurian, perniagaan yang rugi dan sebagainya. Sekali lagi kenapakah kita diuji sedemikian rupa?


Bagi saya jawapannya hanya satu. Sebenarnya Allah ingin MENGUJI KEIMANAN makhlukNya agar kita sebagai makhluk terus-terusan berada dalam landasan keimanan kepada Allah Taala. Adakah sakit akan menyebabkan seseorang yang belum beriman menjadi orang yang beriman atau adakah ujian sakit itu mempertahan serta memperteguhkan iman mereka yang telah sedia ada beriman atau sebaliknya mereka jadi putus asa dan kembali ke jalan yang sesat?


Kalau difikirkan dan kalau Allah berikan kesedaran maka pasti kita akan terfikir yang Allah berkuasa untuk menjadikan kita kebal dan bebas dari semua jenis penyakit tetapi Allah jadikan kita lemah supaya kita mudah diuji. Semakin kita tua semakinlah kita hilang upaya dan semakinlah kita dihinggapi dengan pelbagai jenis penyakit. Sebabnya mudah iaitu untuk kita merasa lemah, kerdil dan hina serta kembali ke jalan Allah Taala. Namun demikian ada juga diantara kita tidak punya kesedaran itu. Masih cuba menongkah arus, menongkat dunia.


Sedarlah apa juga dugaan yang datang, datangnya dari Allah sebagai peringatan, pembalasan, dugaan agar kita berada dalam landasan keimanan. Yang diluar diingatkan supaya masuk dalam landasan dan yang dalam landasan kena pastikan tidak terkeluar dan usaha atas keimanan terus-terusan dipertingkatkan. InsyaAllah.


Besar sangatkah dugaan yang sedang anda lalui ketika ini? Adakah ia sebesar dugaan sahabat Rasullullah S.A.W. Bilal bin Rabah yang diseksa di padang pasir yang panas dengan batu yang berat dihempap di atas dada? Atau adakah ia sebesar dugaan Nabi Ayub A.S. yang diduga dengan penyakit yang tak dapat diubati selama 7 tahun, ditinggalkan isteri, kematian anak dan kehilangan harta benda dan binatang ternak? Pastinya tidak. Dugaan kita rasanya jauh lebih kecil.


Sanggupkah kita kehilangan anak, isteri, rumah, kereta, pekerjaan, berada dalam kesakitan yang berpanjangan mahupun diseksa?


Oleh itu bersabarlah dalam menempuhi dugaan Allah sepanjang kita singgah dimuka bumi disepanjang kehidupan ini kerana di sebaliknya ia hanyalah dugaan bagi menguji keimanan kita pada Allah Taala dan membandingkan dugaan orang lain yang lebih teruk dari dugaan yang kita alami adalah lebih wajar dan InsyaAllah bakal membawa keinsafan dalam hati kita.

Fikir-fikirkanlah.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Lawak Corner

Penat jugak kalau kita asyik serius je kan. Okay mulai hari ini saya mengambil keputusan untuk memasukkan lawak corner ni sebagai iklan. Merehatkan minda seketika dua.


Kisah ini saya petik dari emel dari kawan-kawan.


Begini kisahnya.


Kisah Tijah


Tijah budak kampung, tapi bekerja di Kuala Lumpur .
Biasalah bila sudah duduk “town”, mula lupa asal usul. Pakaian seksi maut, bercinta pula dengan lelaki mat saleh. Ke hulu ke hilir menayang boyfriendnya yang bermata biru.


Punyalah eksyen si Tijah, hinggalah suatu hari dia ternampak lelaki Inggeris tadi dengan wanita lain yang lebih cantik dan bergaya daripadanya.


Tijah menangis tiga hari tiga malam. Pada malam ke empat, Tijah mengambil sehelai kertas dan menulis surat untuk memutuskan perhubungannya dengan lelaki mat saleh tadi yang baru sebulan dikenalinya.
Begini bunyi surat yang ditulis oleh Tijah binti Kulup Kecil, yang berjaya “dicuri” ...


Mike....


I WANT TO CUT CONNECTION US.
I have think about this very cook-cook. I know I clap one hand only. Correctly, I have seen you and she walk-walk together at town with eyes myself. You grab hand she.


You always ask for apology back-back. I don’t trust you again! You are really crocodile land.
My friend speak you play wood three. First-first I think my friend lie me. But now I know you correct-correct play wood three.


So, I break connection to pull my body from this love triangle. I know this result I pick is very correct, because you love she very high from me.


So, I cut this connection to go far from here. I don’t want you to play-play with my liver.
I have been crying until no more eye water thinking about you. I don’t want banana to fruit two times.


Safe walk..


Tijah

' style='padding: 0; border: none;'/>

IBADAH MANUSIA

Petikan ini saya ambil dari blog seorang sahabat - keretamayat kerana saya merasakan ia merupakan satu pengisian yang amat baik.

( Tidak Allah cipta Jin dan Manusia hanyalah untuk ibadah.)

Dalam proses kawan-kawan kita nak belajar jadi baik, nak belajar ‘gaya pulang ke pangkal jalan’, dah tentu satu elemen yang menjadi ramai kawan-kawan lain (Semoga Allah ampunkan dosa mereka) akan meluat bila mana member kita sorang ni akan sentiasa mengajak kita dan kawan-kawan yang lain pergi menunaikan solat secara berjemaah, lalu kita yang tak faham ugama akan jawab… “Alahai, kerja pun ibadah juga!” Dan buat muka ‘sardin’ sambil meneruskan kerja dunia kita.., atau lebih teruk kita caci maki kawan kita dengan menuduh beliau ahli riak, perasan bagus dan sibuk jaga tepi kain orang. Sabar, jangan tuduh kawan kita melulu sebagai tak faham ugama atau ahli riak, padahal kita yang tak tahu bezakan antara Hak dan Batil, untuk makluman, benarlah kerja dunia yang kita buat hari hari inipun adalah ibadah, akan tetapi dalam setiap ibadah ada tahap-tahapnya.

Bagi saya amalan adalah segala perbuatan yang dilakukan dan Ibadah pula ialah amalan yang membolehkan kita mendapat pahala kebaikan dari Allah Taala. Kerja merupakan amalan manusia tetapi kerja dengan niat kerana Allah adalah ibadah. Jadi ada amalan yang boleh jadi ibadah namun ada amalan yang hanya amalan tanpa mendapat apa-apa manfaat. Menyanyi, menari, berhibur, tengok TV, dan kerja-kerja yang tak berfaedah yang lainnya seharusnya dielakkan.

Izinkan saya yang juga sedang belajar ‘gaya pulang ke pangkal jalan’ huraikan serba sedikit, mudah-mudahan Allah bagi kita semua kefahaman yang benar :

Secara ringkasnya, ibadah itu bolehlah kita anggap terbahagi kepada empat tahap :

Ibadah tahap BINATANG
Contoh : Makan, minum, seks, cari tempat teduh dan lain-lain.
Dalil : Burung-burung keluar perut kosong balik perut penuh
sambil berzikir kepada Allah ( hadith )

Ibadah tahap MALAIKAT
Maksud : Buat hubungan dengan Allah,
Contoh : Haji, puasa, solat, zikir, tasbih, tahmid, membaca Al-Quran dan lain-lain.
Dalil : Manusia boleh mencapai lebih tahap malaikat atau bawah tahap syaitan ( hadith )

Ibadah tahap KHALIFAH
Maksud : Buat akhlak baik dengan orang ( makhluk ) kerana Allah.
Contoh : Adil, iqram, sedekah, senyum, kasih sayang, hormat dan lain-lain
Dalil : Sesungguhnya manusia itu dicipta sebagai khalifah ( Al- Quran )

Ibadah tahap NABI
Maksud : Ajak orang kepada Allah.
Contoh : Dakwah, Tabligh, Azan, Nasihat, Ceramah, Tazkirah dan lain-lain
Dalil : Sesungguhnya Kamu sebaik-baik Umat mengajak pada yang makruf… ( Al – Quran)

Jadi di sini kita dapat lihat yang makhluk binatang yang tidak dikurniakan dengan akal fikiran maka ia bergerak dengan mengikut naluri. Naluri untuk meneruskan hidup. “Survival of the Fittest”. Mereka mencari makanan, minuman, habitat tempat berlindung, melakukan hubungan seks untuk memperkembangkan zuriat mahupun demi untuk melepaskan syahwat, bergurau dan bermain dan sebagainya. Apapun binatang jelas tunduk patuh kepada perintah Allah dengan menjalankan peranan masing-masing tanpa soal. Lembu dan Kambing patuh makan rumput dan tak makan binatang lain, Harimau dan Ular makan binatang lain dan tak makan rumput dan sebagainya. Babi patuh tinggal dan makan benda-benda yang kotor dan andai Babi boleh bersuara pasti dia tak mahu makan makanan tersebut. Apapun kepatuhan binatang inilah merupakan ibadah dan khidmat mereka kepada Allah Taala.

Bayangkanlah sekiranya kita makhluk manusia tidak dikurniakan akal oleh Allah Taala maka bukankah kita juga akan jadi sama seperti binatang? Pun begitu walaupun dengan kurniaan akal kita masih lagi dapat lihat manusia yang hidupnya seperti binatang langsung tidak menjalankan ibadah-ibadah yang disebutkan di atas. Mereka hidup tanpa hukum, makan minum tak kira halal atau haram, seks bebas, sumbang muhrim, buang anak dan sebagainya hingga kadangkala lebih rendah martabatnya dari makhluk binatang itu sendiri. Mereka ini hanya mencari jalan untuk meneruskan kehidupan mengikut naluri kata hati.

Bagi makhluk malaikat pula, ia dijadikan Allah tidak sama dengan binatang yang perlukan makan, minum dan tidur sebaliknya ia dijadikan Allah untuk menghambakan diri dengan menjalankan ritual beribadat kepada Allah dengan secara terus-terusan tanpa henti dengan berzikir, bertahmid, bersolat dan sebagainya. Inilah tugas malaikat selain dari tugas 10 malaikat-malaikat yang telah kita ketahui secara umumnya. Ketua Malaikat Jibril A.S. penyampai wahyu, Malaikat Mikail menyampaikan rezeki, Malaikat Malek menjaga pintu neraka dan sebagainya. Apapun malaikat juga berkhidmat untuk Allah dan berkhidmat untuk manusia maka inilah ibadah mereka.

Di sini jelas sebagai makhluk manusia jika kita terlalu sibuk hanya melakukan ritual maka saya pasti Allah tidak menjadikan kita sebagai manusia tetapi akan menjadikan kita sebagai malaikat yang saban hari menjalankan ritual kepatuhan kepada Allah sepertimana yang disebutkan tadi. Ini bermakna yang tugas makhluk manusia sebagai khalifah di mukabumi ini lebih dari binatang malah lebih dari malaikat. Mungkin atas sebab inilah Allah Taala memuliakan makhluk bernama manusia ini.

Dalam hal ini tak semua makhluk bernama manusia dijadikan Allah sebagai seorang ulamak, ahli sufi, kiai, atau mufti dan sebagainya. Namun pemahaman dalam konsep ibadah ini amat penting kerana dengannya barulah kita nampak akan kedudukan kita yang sebenarnya. Kita boleh berada dalam golongan yang beribadah dengan tahap malaikat sedangkan pada masa itu kita sebenarnya berada pada tahap ibadah yang rendah.

Kita juga pernah mendengar cerita orang Alim yang tinggal di hujung kampung dan bila bala melanda kampung itu, dia juga tak terlepas dari azab sengsara yang menimpa.

Kenapa?

Kerana dia tidak tidak berdakwah ( Ibadah tahap Nabi ) kepada orang-orang kampungnya, sibuk beribadat ( tahap Malaikat ) dan mungkin tidak bergaul dengan masyarakat, menyendiri ( tidak menunaikah hak sebagai manusia -Khalifah ).

Nah! sekarang kita dah tahu maksud dalam setiap ibadah, memanglah kerja tu ibadah tapi ibadah tahap binatang, memang wajib kena buat tapi pandai-pandailah kita bagi masa sebab tu turun surah ‘demi masa.’ Jadi sebaiknyalah masa itu kita gunakan bagi mendapatkan tahap ibadah yang paling tinggi iaitu dengan berdakwah. Setiap seorang dari umat Muhammad S.A.W telah diberikan amanah ini jadi janganlah kita memalingkan diri darinya kerana takut / malu kepada mana-mana makhluk.

Sekarang kita pergi kepada beberapa contoh cerita dalam menambah kefahaman kita bersama :

Kisah Satu

Ada seorang sahabat Nabi sedang membina rumah ( ibadah tahap binatang ) tiba-tiba beliau terdengar azan lalu berhenti ( ibadah tahap malaikat ) walaupun hanya tinggal seketul batu sahaja lagi nak letak bagi menyiapkan rumah tersebut.

Lalu ditegur seseorang..
“Kenapa tak siapkan? Satu batu sahaja lagi yang tinggal…”

Sahabat tadi tak marah ( ibadah tahap khalifah ) dan beritahu pada orang tu,
“Aku takut nanti Allah tanya di akhirat mana yang kau lebih diutamakan , Allah atau batu?” Lantas mengajak sahabat tu pergi masjid. ( ibadah tahap nabi )

Kisah Dua

Kalau kita tengah kerja tu, kira ibadah tahap binatanglah, wajib kita cari rezeki untuk anak-anak serta keluarga tetapi bila dah dengar azan wajiblah kita pergi masjid, tu ibadah tahap malaikat. Dalam perjalanan ada orang lemas minta tolong, tak tolong jadi mayatlah pula, maka kita wajib tolong dia , itu ibadah tahap khalifah dan kau dapati dia orang Islam dan sah tak sembahyang lagi, (sebab lemas masa azan) lalu kita ajak dia sembahyang berjemaah sekali. Itulah ibadah tahap Nabi.

Bukan capai tahap Nabi tetapi ibadah tahap Nabi.

Maka kesimpulannya kepada mereka yang masih meneruskan kerja selepas dengar Azan dan diri tiada uzur : Sesungguhnya, kerja itu adalah ibadah tahap binatang.

Sesungguhnya, manusia itu apabila ia Benar, akan menjadi lebih mulia dari Malaikat, dan diberi kedudukan di sisi para Nabi alahisalam, akan tetapi apabila ia Salah, bukan sahaja dihina seperti binatang, malahan akan diazab bersama Syaitan...

Kereta Mayat

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang lain yang dijodohkan dengannya. 

' style='padding: 0; border: none;'/>

Kisah Pendekar 4 Bhg 2

Bahagian 1 kisah ini ada di awal blog ini.


Nak tahu apakah sambungan Kisah Pendekar yang saya selitkan dalam blog ini? Mari kita lihat sambungannya.


Mungkin anda pernah menonton cerita Karate Kid. Cerita mengenai seorang budak remaja yang ingin belajar seni mempertahan diri Karate dengan seorang guru karate bernama Mr. Miyagi.


Apa yang pelik ialah sebagai permulaan gurunya menyuruh dia menyental lantai dengan berus dengan gerakan membulat. Selepas tangan kanan tangan kiri. Keesokan harinya dia menyuruh hero itu untuk mengecat dinding ke atas dan ke bawah dan begitulah juga hari-hari yang seterusnya.


Lambat laun hero menjadi marah kerana dia ingin berlatih Karate tetapi asyik disuruh mengemas.


Namun demikian ada tujuan tersirat kenapa gurunya menyuruh dia berbuat demikian. Rupa-rupanya ia adalah jurus gerakan yang bertujuan untuk pertahanan. Bila musuh memukul, gerakan membulat, ke atas dan ke bawah itu dapat menepis pukulan musuh.


Begitu jugalah dalam kisah Pendekar. Selama tiga bulan pertama mereka hanya disuruh mengemas, mengecat, menimba air di perigi dan membawanya ke puncak gunung, memotong pokok, menebas serta membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya sepertimana kisah Karate Kid tadi. Hang Dua tak tahu apakah yang tersirat dari semua kerja-kerja ini.


Pada suatu hari dia berkata kepada kedua-dua rakannya,


“ Mungkin Pendekar Mastur ini pendekar tipu yang tak tahu mengajar silat kerana selepas tiga bulan kita hanya disuruh mengemas dan dijadikan orang suruhan. ” Luah hatinya.


“ Habis tu kau nak buat apa? ” Tanya Hang Empat.


“ Aku dah tak larat dan aku mahu pulang ke kampung tetapi sebelum aku mengalah aku mahu mengujinya. ” Jawabnya bersemangat.


“ Besok semasa menebas aku akan menyerangnya dengan parang ini. ” Sambungnya sambil menunjukkan parang panjang yang digenggam erat.


“ Kau ni dah gila agaknya Dua. ”


“ Ah! Aku tak peduli. Lagipun dia dah tua dan selalunya hanya mencangkul batas di hujung sana. ” Sambil menghalakan jarinya ke sebuah pondok dalam kawasan itu.


Keesokan harinya...


Sepertimana kebiasaannya selepas subuh dan bersarapan mereka disuruh untuk menyambung kerja-kerja menebas. Pendekar Masturpun mengambil cangkulnya menuju ke arah pondok kecil di hujung sana. Tak semena-mena Hang Dua terus menerjah dan menyerang Pendekar Mastur dengan melibaskan parang panjangnya. Pendekar Mastur pantas mengelak sambil menghalakan batang cangkulnya serong ke arah libasan parang Hang Dua.


Libasan parang panjang Hang Dua menyebabkan batang cangkul terpotong menyerong dan menjadikannya runcing. Tak semena-mena batang cangkul itu menjadi senjata dan menghunus di leher Hang Dua.


Hang Dua begitu terkejut dan terpaku. Serangannya disanggah hanya dengan satu gerakan. Satu jurus yang cukup membuktikan kehebatan pendekar ulung yang terkenal di seluruk pelusuk tanah air itu. Terbeliak keempat-empat biji mata Hang Tiga dan Empat menonton drama yang terjadi di hadapan mereka. Buat seketika drama itu seakan terhenti, terpaku tanpa gerakan.


Hanya permohonan kemaafan yang dapat dilafazkan oleh Hang Dua selepas dari itu. Malam itu Hang Dua menerangkan sebab kenapa dia menyerang Pendekar Mastur dan Pendekar Mastur faham kerana peristiwa yang sama pernah berlaku dahulu. Katanya dalam hidup kita kena selalu bersedia kerana kebanyakan dugaan yang datang bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.


Hang Dua berasa sangat bersalah lantas mengambil keputusan untuk berhenti berlatih dan kembali ke kampungnya. Maka tinggalkan Hang Tiga dan Hang Empat yang masih meneruskan latihan untuk menjadi pendekar di puncak gunung tersebut.


Pada satu malam setelah selesai mengemaskan seluruh kawasan persilatan, Pendekar Masturpun menerangkan kepada mereka berdua sebab musabab kenapa untuk sekian lama dia menyuruh mereka mengemaskan tempat itu. Pertamanya dia mahu menguji kesabaran mereka. Kesabaran dan ketabahan amat penting dalam ilmu persilatan kerana dia tak mahu anak didiknya nanti menyalahgunakan ilmu persilatan yang bakal diajarnya. Kisah Hang Dua dijadikannya contoh.


Seterusnya, tujuan dia menyuruh menimba dan mengandar air dari perigi ialah untuk meningkatkan stamina serta menguatkan otot-otot kaki mereka. Tujuan mengecat dengan kaedah yang tertentu itu ialah untuk mengukuhkan jurus pertahanan dan tujuan menebas serta memotong pokok pula adalah bagi tujuan penyerangan.


Seperkara lagi Pendekar Mastur menerangkan yang dalam kehidupan setiap perkara punya dua sudut. Sudut yang tersurat dan sudut yang tersirat. Apa yang kelihatan pada mata kasar tak semestinya menerangkan keadaan yang sebenarnya. Kita mesti selalu peka untuk meneliti dan mengambil iktibar dari setiap kejadian.


“ Kamu berdua telah melepasi semua ujian ini. Maka bersedialah untuk ke peringkat yang seterusnya. ” Hujah Pendekar Mastur lagi.


Kisah bersambung lagi...



' style='padding: 0; border: none;'/>

Kebersihan Hati

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan kamu dan tidak juga kepada rupa kamu tetapi Allah memandang kepada hati kamu.


Riwayat Muslim




Kebersihan hati akan menyebabkan semua yang kita lakukan itu adalah dengan niat kerana Allah baik dari segi hati, lidah dengan pengeluaran kata-kata serta perbuatan. Saya percaya yang nawaitu sebegini berniatkan Allah Taala akan menjadikan apa yang kita lakukan itu diberkati Allah. Hati yang bersih akan menyebabkan pemiliknya melakukan pekerjaan yang baik dari semua sudut pancainderanya. Bercakap perkara yang baik, buah fikiran yang positif, cetusan yang penuh kerendahan hati, melakukan pekerjaan yang baik dan sebagainya.


Mari kita lihat dari sudut perkataan dan cetusan yang dikeluarkan. Sebenarnya kita boleh tahu dan rasa apakah cetusan yang keluar dari mulut kita itu samaada ia adalah cetusan yang dikeluarkan akal fikiran dan dengan niat kerana Allah atas tujuan dan matlamat yang tertentu atau adakah apa yang dikeluarkan itu adalah cetusan perasaan, emosi dan nafsu yang membawa kepada kemungkaran.


Cetusan nafsu akan bermatlamatkan untuk bergembira, berjenaka, kotor, mencarut, atas rasa tak puas hati, memuaskan nafsu syahwat dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan yang tertentu yang bersifat sementara. Seorang yang kotor hatinya akan menumpukan kepada permasalahan serta bersikap negatif dalam cetusannya.


Contohnya sekiranya dia pergi ke sebuah restoran maka dia akan menumpukan kepada perkara buruk yang ada dalam restoran tersebut. Maka dia mungkin akan menumpukan kepada perkhidmatannya yang lambat tetapi orang bersih hatinya pula akan mencari faktor positif. Makanannya yang sedap, tempatnya yang bersih, suasana yang menyenangkan dan sebagainya. Tempat yang sedap dan ramai orang maka logiklah perkhidmatannya agak lambat. Orang yang kotor hatinya memandang hujan sebagai satu kesusahan sedangkan orang yang bersih hatinya akan memandang hujan sebagi rahmat.


Cetusan akal dari hati yang bersih ini mempunyai matlamat jangkamasa panjang, berniat baik, tanpa prasangka, ikhlas dan sebagainya. Ia bertujuan untuk membantu, menyokong, mengasihani, mengasihi dan menyayangi. Ia mempunyai sifat yang positif dalam menjalani kehidupan.


Cuba kaji kembali cetusan-cetusan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang berada di sekeliling kita, maka sebenarnya kita boleh nampak dan membezakan samada ia keluar dari akal dengan niat yang baik mahupun dari nafsu dengan niat yang terpesong.


Persoalannya kenapa kita perlu menzalimi diri dengan mengeluarkan cetusan berbentuk lucu dan lucah, kemarahan dan kebencian, tohmahan dan hinaan dan segalanya yang hitam dan kotor yang bakal membawa kemudaratan tanpa kita sedari, tanpa matlamat sedangkan adalah lebih baik kita memelihara kata-kata dengan kebersihan dan keputihan untuk mencapai matlamat yang tentu. Pastinya lidah yang dicipta dan dikurniakan kepada kita itu bukan gunanya untuk berkata yang sia-sia.


Mereka yang gagal membersihkan hati dengan mengeluarkan cetusan-cetusan berbentuk nafsu ini sebenarnya memberikan kemenangan kepada setan dan lambat laun ia akan menggelapkannya. Mungkin hati boleh dibersihkan dengan mendekatkan diri dengan Allah dan orang-orang yang soleh, boleh dilembutkan dengan mendengar ayat-ayat Al Quran dan sebagainya. Cuba lihat sekeliling anda, adakah anda punya kawan orang-orang soleh yang bercerita tentang pengisian keimanan, kehebatan Allah dan isu ugama Islam serta mengajak ke jalan yang benar yang mana boleh membersihkan hati dan meningkatkan keimanan pada Allah atau adakah kawan-kawan anda terdiri dari mereka-mereka yang hanya bercerita tentang dunia serta segala isinya kandungannya, cerita isu semasa mahupun kebanggaan dalam melakukan perkara yang mungkar?


Oleh itu perhatikanlah setiap cetusan yang tercetus di hati, analisa setiap kata yang keluar dari mulut yang kemudiannya diikuti dengan perkataan. Pastikan yang cetusan yang keluar itu keluar dari akal bersandarkan kalimah kerana Allah Taala.


Apa yang pasti mereka yang dapat mengawal diri dari mengeluarkan cetusan yang berbentuk nafsu dengan mengalahkannya dengan kekuatan akal, cetusan yang bakal keluar dari mulut mereka akan bersifat lembut dan berisi. Mereka akan hanya berkata apa yang perlu dengan cara pertuturan yang baik tanpa meninggikan suara bagi tujuan menyampaikan maksud. Dalam ertikata lain menyampaikan dengan hikmah. Mereka juga tahu akan sebab kurniaan mulut lidah dan suara. Andai lidah mulut dan suara boleh bersuara maka apakah yang akan dikatakan? Andai kita hanya punya suara yang terhad bagaimana pula akan kita gunakan suara itu?


Ini baru huraian perihal cetusan kata-kata yang tercetus dari hati. Bagaimana pula dengan pendengaran, penglihatan, pernafasan, penulisan, pekerjaan dan sebagainya. Hati yang bersih akan menjadikan semua itu bersih dan begitu jugalah sebaliknya.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Sistem Akal – Konsep 4T

Pernahkah anda pergi ke sebuah pertemuan dengan kawan-kawan dan bila anda pulang anda merasakan yang anda tak dapat mencakup walau satupun input baru? Ini kerana isu yang dibincangkan tidak bersifat ilmiah hanya bergosip, menceritakan perihal orang lain dan sebagainya atau mungkin juga anda telah punya ilmu pengetahuan yang terdahulu yang kukuh dalam diri lantas menyebabkan keadaan ini terjadi.


Atau


Pernahkah anda membaca sebuah buku dan merasakan yang ia begitu membosankan kerana anda telah tahu kebanyakan isinya dengan hanya satu dua isi tambahan yang dapat anda cakupi.


Atau


Pernahkah anda bertemu dengan pengikut ajaran sesat dan anda kemudiannya menyanggah semua pengisian yang cuba diberikan mereka.


Atau


Pernahkah anda menyertai sebuah seminar atau kursus motivasi dan merasakan yang ia begitu membosankan kerana anda telah tahu kebanyakan isinya dan anda merasakan yang anda boleh memberikan pengisian yang lebih baik?


Dan pelbagai contoh yang lainnya.


Terus terang saya katakan saya telah melalui semua pengalaman ini. Kadangkala hati saya meronta-ronta untuk ke depan bilik seminar dan seakan ingin mengambil alih tempat guru di hadapan kerana merasakan saya boleh menyampaikan dengan lebih baik dengan kaedah yang lebih berkesan namun demikian ia tak pernah berlaku kerana saya tak mahu mengganggu kredibiliti guru yang berkenaan. Bukanlah nak mengatakan yang diri ini pandai tetapi saya mahu berbuat demikian kerana saya ingin membantu menambahbaikan seminar tersebut dengan harapan ia membawa manfaat kepada pendengarnya. Itu sahaja niat saya.


Mungkin sebab inilah saya menulis buku bagi menyampaikan apa yang tahu dengan niat yang sama. Semoga ia membawa manfaat kepada anda. Kalau anda merasakan yang buku saya ini tiada input maka saya yakin anda seorang yang banyak ilmunya, jadi saya ingin sarankan agar anda mula menulis dan sampaikan kepada khalayak akan ilmu yang anda tahu itu. Saya yakin pasti ia akan membawa kebaikan.


Apapun bila mendapat sesuatu pengisian saranan saya gunakanlah Konsep 4T yang bakal saya huraikan ini dengan itu anda bakal mendapat mengasingkan ilmu yang jitu dari maklumat yang begitu banyak kita terima saban hari.


Konsep 4T


Tangkis
Tapis
Tukar
Tambah


Disini izinkan saya menerangkan mengenai konsep 4T dalam sistem akal ini. Sistem yang saya gunakan dan mungkin juga berguna untuk anda. Di sini saya terangkan dengan cara yang ringkas.


Tangkis
Tangkis ini bermakna dalam satu-satu pengisian kita perlu membuang apa yang tak perlu. Pengisian dengan kelucuan dan kelucahan yang melampau contohnya, pengisian yang menimbulkan konflik serta kontroversi, firnah, menipu, yang membebankan dan sebagainya.


Tapis
Maklumat dan pengetahuan yang kita dapati itu sebenarnya bersifat mentah. Kita perlu menapisnya bagi mendapatkan intipatinya isinya. Hampasnya kita buang. Sebagai seorang Islam Al Quran dan Hadith Nabi adalah merupakan penapis dan penangkis yang baik. Setiap pengisian mestilah ditapis dengan melihat adakah ia selari dengan Islam. Kalau benar maka ia boleh diambil, kalau tidak maka keluarkan pengisian itu walaupun pahit.


Tukar
Seterusnya kalau dahulu kita percaya kepada prinsip B yang telah menjadi prinsip diri sekian lama tetapi kemudiannya kita bertemu dengan prinsip A yang jauh lebih baik juga merupakan prinsip yang benar, maka saya sarankan kita buang prinsip yang terdahulu dan gantikan dengan prinsip yang baru ini.


Tambah
Kalau kita sudah ada prinsip A contohnya dan penyampai menyampaikan pengisian yang sama tetapi ia jauh lebih baik dari apa yang kita ada. Di sini kita akan berkesempatan untuk mencantikkan prinsip A kita itu. Menambah bunga mencantikkan ia menjadi prinsip A yang berkilat.


Setelah melakukan semua proses ini dalam minda maka saya percaya maklumat yang kta terima itu akan menjadi ilmu yang benar. Ia secara tak langsung akan mengutuhkan penyampaian kita dan meningkatkan kredibiliti kita sebagai penyampai.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


PS - Saya ada menulis huraian yang lebih mendalam dalam manuskrip buku Anda Yang Cemerlang yang sedang saya usahakan. InsyaAllah anda boleh mendapatkan buku tersebut bila ia terbit nanti.

' style='padding: 0; border: none;'/>

29 Oktober 2009

Tujuan Hidup

Seringkali dalam kehidupan ini kita bertemu dengan soalan “Apakah tujuan kita dilahirkan dimuka bumi ini atau apakah objektif sebuah kehidupan? Sebuah kehidupan yang pastinya menuju ke arah kematian. Kematian yang pasti tak dapat disangkal oleh sesiapapun juga walaupun telah ramai saintis yang mencuba untuk mengelakkan kematian namun ia tetap datang juga.


Pernahkah anda bertanyakan soalan kenapakah anda dilahirkan di mukabumi ini kepada diri anda sendiri dan apakah jawapan anda?


Tak pernah?


Kalau tak pernah, izinkan saya bertanya kepada anda apakah tujuan anda dilahirkan di muka bumi ini?


Apakah jawapan anda?


Persoalannya adakah kehidupan di dunia ini hanya untuk bergembira, berhibur, berseronok, bekerja, berniaga mencari rezeki, mencari kemewahan, kekayaan mahupun mengumpul harta atau adakah ia untuk kita menjadi terkenal, mendapat gelaran, pangkat dan nama? Atau mungkin juga untuk kita berusaha menjadi ilmuan, cendiakawan, saintis dan sebagainya? Namun demikian kita tetap juga mati dan lama kelamaan bila masa beredar kita bakal dilupakan sepertimana begitu ramai manusia yang pernah terkenal, yang pernah kaya yang singgah di mukabumi ini satu ketika dahulu yang mati tanpa kita mengenali mereka.


Apa yang pasti ialah kita punya masa yang singkat dalam dunia ini. Bagi kebanyakan kita, kehidupan kita di mukabumi ini tak sampaipun 100 tahun. Jadi apakah tujuan kita dihidupkan?


Kalau kita asyik berseronok dan bergembira saya pasti kehidupan kita sama seakan binatang yang hanya makan minum tidur dan melakukan hubungan seks dan bermain. Ramai juga yang saya kenal yang hidup begini. Masih bujang walaupun umur sudah lanjut, bertukar-tukar pasangan dan hidup seakan tanpa tujuan. Setiap hari apa yang dicari hanyalah hiburan semata-mata, Muzik, internet, bermain “games”, “clubbing” di hujung minggu dan sebagainya. Inikah tujuan kehidupan?


Bagaimana pula sebelum semua ini dicipta manusia. Apakah pula yang mereka lakukan di zaman dahulu? Pada masa zaman snooker, bowling, panggung wayang, teknologi komputer dan internet belum lagi dicipta. Apa pula yang mereka lakukan untuk mencari hiburan? Beruntung kita punya pelbagai elemen keseronokan kalau dibandingkan dengan orang zaman dahulu. Elemen keseronokkan yang akan terus-terusan dicipta selagi daya untuk tujuan tersebut.


Suatu hari saya memandu kereta sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya melalui jalanraya yang bertar, mempunyai garisan, pembahagi jalan, round about, traffic light, flyover, papan tanda jalan dan sebagainya. Kemudian saya terfikir. Semua ini disediakan oleh kerajaan atau manusia bagi tujuan memberi manfaat kepada saya yang sedang memandu ini. Malah kereta yang saya pandu ini juga memberi manfaat kepada saya untuk memudahkan saya sampai ke destinasi siap dengan udara sejuk dan nyaman dari penghawa dingin dan bumbung yang dapat melindungi saya dari panas terik dan hujan.


Kemudian kelihatan pula di kiri kanan jalan tanah batu batan dan pasir, pokok-pokok yang besar dan kecil, awan dan langit malah matahari juga memberi manfaat kepada saya. Bila difikirkan tanpa udara kita akan mati tanpa matahari kita akan hidup dalam kegelapan dan sebagainya. Pokok menghasilkan kayu, batang, daun, buah dan oksigen, haiwan menjadi makanan, pakaian dan sebagainya. Semuanya mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Apapun pastinya ada manfaat yang datang dari mereka dan seterusnya menyeimbangkan kehidupan ini.


Jadi apakah fungsi kita sebagai manusia? Saya pasti kita juga ada fungsinya yang tersendiri. Fungsi yang mana kita juga perlu bertindak untuk membawa manfaat bukan hanya pada diri malah kepada makhluk lain sepertimana yang dilakukan oleh elemen-elemen yang telah saya perkatakan tadi. Ini bersesuaian dengan saranan Rasullullah S.A.W. yang menyarankan matlamat kita sebagai manusia iaitu agar kita menjadi khalifah di atas mukabumi ini dan memakmurkannya. Bukankah semua elemen yang diperkatakan tadi membawa manfaat yang bertujuan membawa kemakmuran kepada bumi? Maka pastinya kita dijadikan Allah Taala bagi tujuan kebaikan iaitu untuk membawa manfaat kepada semua. Malangnya ramai yang tidak sedar lantas bertindak membawa kerosakan, kemusnahan, peperangan dan sebagainya baik kepada diri sendiri mahupun kepada umum.


Seterusnya dalam Islam, tujuan kehidupan manusia telah diperjelaskan dengan sangat jelas iaitu Allah berfirman “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah / mengabdikan diri padaKu ”.


Jadi apakah yang telah kita usahakan saban hari sepanjang umur kehidupan kita selama ini? Adakah kita menjalankan usaha-usaha pengabdian atau ibadah tu atau sebaliknya kita terlalu sibuk mengejar dunia dan segala isinya?


Ramai yang menyangka perkataan ibadah membawa kepada amalan seperti solat, zikir, mengaji, puasa, sedekah dan sebagainya tetapi sebenarnya ia jauh lebih mudah dari tu. Sebenarnya segala perbuatan yang baik dan dilakukan dengan niat kerana Allah Taala berada dalam rangkuman ibadah. Senyum itu sedekah maka senyum juga termasuk dalam rangkuman ibadah. Makan, minum, tidur, bekerja, berniaga, bersilaturahim, bantu membantu, berdakwah, solat, puasa, haji , zakat dan sebagainya juga berada dalam rangkuman ibadah dan semua ini InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel-artikel yang mendatang.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Ada banyak artikel motivasi era baru percuma.

' style='padding: 0; border: none;'/>