29 Oktober 2009

Tujuan Hidup

Seringkali dalam kehidupan ini kita bertemu dengan soalan “Apakah tujuan kita dilahirkan dimuka bumi ini atau apakah objektif sebuah kehidupan? Sebuah kehidupan yang pastinya menuju ke arah kematian. Kematian yang pasti tak dapat disangkal oleh sesiapapun juga walaupun telah ramai saintis yang mencuba untuk mengelakkan kematian namun ia tetap datang juga.


Pernahkah anda bertanyakan soalan kenapakah anda dilahirkan di mukabumi ini kepada diri anda sendiri dan apakah jawapan anda?


Tak pernah?


Kalau tak pernah, izinkan saya bertanya kepada anda apakah tujuan anda dilahirkan di muka bumi ini?


Apakah jawapan anda?


Persoalannya adakah kehidupan di dunia ini hanya untuk bergembira, berhibur, berseronok, bekerja, berniaga mencari rezeki, mencari kemewahan, kekayaan mahupun mengumpul harta atau adakah ia untuk kita menjadi terkenal, mendapat gelaran, pangkat dan nama? Atau mungkin juga untuk kita berusaha menjadi ilmuan, cendiakawan, saintis dan sebagainya? Namun demikian kita tetap juga mati dan lama kelamaan bila masa beredar kita bakal dilupakan sepertimana begitu ramai manusia yang pernah terkenal, yang pernah kaya yang singgah di mukabumi ini satu ketika dahulu yang mati tanpa kita mengenali mereka.


Apa yang pasti ialah kita punya masa yang singkat dalam dunia ini. Bagi kebanyakan kita, kehidupan kita di mukabumi ini tak sampaipun 100 tahun. Jadi apakah tujuan kita dihidupkan?


Kalau kita asyik berseronok dan bergembira saya pasti kehidupan kita sama seakan binatang yang hanya makan minum tidur dan melakukan hubungan seks dan bermain. Ramai juga yang saya kenal yang hidup begini. Masih bujang walaupun umur sudah lanjut, bertukar-tukar pasangan dan hidup seakan tanpa tujuan. Setiap hari apa yang dicari hanyalah hiburan semata-mata, Muzik, internet, bermain “games”, “clubbing” di hujung minggu dan sebagainya. Inikah tujuan kehidupan?


Bagaimana pula sebelum semua ini dicipta manusia. Apakah pula yang mereka lakukan di zaman dahulu? Pada masa zaman snooker, bowling, panggung wayang, teknologi komputer dan internet belum lagi dicipta. Apa pula yang mereka lakukan untuk mencari hiburan? Beruntung kita punya pelbagai elemen keseronokan kalau dibandingkan dengan orang zaman dahulu. Elemen keseronokkan yang akan terus-terusan dicipta selagi daya untuk tujuan tersebut.


Suatu hari saya memandu kereta sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya melalui jalanraya yang bertar, mempunyai garisan, pembahagi jalan, round about, traffic light, flyover, papan tanda jalan dan sebagainya. Kemudian saya terfikir. Semua ini disediakan oleh kerajaan atau manusia bagi tujuan memberi manfaat kepada saya yang sedang memandu ini. Malah kereta yang saya pandu ini juga memberi manfaat kepada saya untuk memudahkan saya sampai ke destinasi siap dengan udara sejuk dan nyaman dari penghawa dingin dan bumbung yang dapat melindungi saya dari panas terik dan hujan.


Kemudian kelihatan pula di kiri kanan jalan tanah batu batan dan pasir, pokok-pokok yang besar dan kecil, awan dan langit malah matahari juga memberi manfaat kepada saya. Bila difikirkan tanpa udara kita akan mati tanpa matahari kita akan hidup dalam kegelapan dan sebagainya. Pokok menghasilkan kayu, batang, daun, buah dan oksigen, haiwan menjadi makanan, pakaian dan sebagainya. Semuanya mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Apapun pastinya ada manfaat yang datang dari mereka dan seterusnya menyeimbangkan kehidupan ini.


Jadi apakah fungsi kita sebagai manusia? Saya pasti kita juga ada fungsinya yang tersendiri. Fungsi yang mana kita juga perlu bertindak untuk membawa manfaat bukan hanya pada diri malah kepada makhluk lain sepertimana yang dilakukan oleh elemen-elemen yang telah saya perkatakan tadi. Ini bersesuaian dengan saranan Rasullullah S.A.W. yang menyarankan matlamat kita sebagai manusia iaitu agar kita menjadi khalifah di atas mukabumi ini dan memakmurkannya. Bukankah semua elemen yang diperkatakan tadi membawa manfaat yang bertujuan membawa kemakmuran kepada bumi? Maka pastinya kita dijadikan Allah Taala bagi tujuan kebaikan iaitu untuk membawa manfaat kepada semua. Malangnya ramai yang tidak sedar lantas bertindak membawa kerosakan, kemusnahan, peperangan dan sebagainya baik kepada diri sendiri mahupun kepada umum.


Seterusnya dalam Islam, tujuan kehidupan manusia telah diperjelaskan dengan sangat jelas iaitu Allah berfirman “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah / mengabdikan diri padaKu ”.


Jadi apakah yang telah kita usahakan saban hari sepanjang umur kehidupan kita selama ini? Adakah kita menjalankan usaha-usaha pengabdian atau ibadah tu atau sebaliknya kita terlalu sibuk mengejar dunia dan segala isinya?


Ramai yang menyangka perkataan ibadah membawa kepada amalan seperti solat, zikir, mengaji, puasa, sedekah dan sebagainya tetapi sebenarnya ia jauh lebih mudah dari tu. Sebenarnya segala perbuatan yang baik dan dilakukan dengan niat kerana Allah Taala berada dalam rangkuman ibadah. Senyum itu sedekah maka senyum juga termasuk dalam rangkuman ibadah. Makan, minum, tidur, bekerja, berniaga, bersilaturahim, bantu membantu, berdakwah, solat, puasa, haji , zakat dan sebagainya juga berada dalam rangkuman ibadah dan semua ini InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel-artikel yang mendatang.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Ada banyak artikel motivasi era baru percuma.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.