28 Julai 2009

Kisah Pendekar 4 Bhg 1



Salam buat semua, dengan doa dan harapan semoga anda semua dalam lindungan Allah Taala hendaknya. Kali ini izinkan saya bercerita tentang kisah Pendekar.


Suatu masa dahulu di sebuah kampung tinggal tiga orang jejaka yang ingin menimba ilmu persilatan. Mereka bernama Hang Satu, Hang Dua dan Hang Tiga. Maka mereka pun pergi mendaki sebuah gunung yang tinggi untuk sampai ke tempat di mana seorang pendekar bernama Pendekar Mastur tinggal. Setelah bersusah-payah merentasi onak dan duri, akhirnya mereka pun berjaya sampai ke puncak gunung tersebut. Malangnya pintu tempat itu tertutup. Namun mereka tidak berputus asa. Lantas mereka menunggu dan terus menunggu selama beberapa bulan hinggalah pada satu hari pintu itu dibuka.


Di hadapan pintu itu berdirilah Pendekar Mastur yang gagah perkasa.


“ Apa hajat kalian kemari? ” Soalnya.


        “ Kami ingin belajar silat untuk menjadi pendekar. ” Jawab Hang Satu.


“Baiklah. Jangan masuk lagi. Tunggu di sini.” Balas pendekar tersebut.


Dia melangkah masuk dan keluar semula sejurus kemudian dengan membawa sekole air dan gelas yang tertangkup di atas dulang.


“ Baiklah. Sebelum kamu boleh masuk ada beberapa peraturan yang perlu kamu patuhi. ” Kata Pendekar Mastur.


        “ Tuangkan air,” katanya


“ Tak boleh pendekar, gelasnya tertangkup. ” Kata Hang Satu.


        “ Tuangkan air! ” Tegasnya lagi.


Hang Dua mengambil keputusan membuka gelas di atas dulang itu supaya air dapat dimasukkan.


Namun usahanya tidak berhasil kerana sepantas kilat Pendekar Mastur menangkupkannya kembali seraya berkata,
       
“ Tuangkan air. ”


Lantas Hang Tiga mengambil kole itu dari tangan Hang Satu dan terus menuangkan air di atas gelas yang tertangkup. Air itu mengalir turun di sisi gelas membasahi dulang itu.


        “ Bagus! Jadi, apakah yang dapat kalian pelajari di sini? “ Tanya Pendekar Mastur.


        “ Jangan banyak soal? “ Jawab Hang Satu seakan mengakui kesilapannya.


        “ Jangan melanggar arahan? “ Jawab Hang Dua pula dengan nada perlahan.


        “ Hati yang tertutup tak akan dapat menerima ilmu sepertimana gelas yang tertangkup takkan dapat menampung air. ” Lafaz Hang Tiga penuh keyakinan.


Kalian semua betul. Peraturan pertama di sini jangan banyak soal, buat dahulu apa yang disuruh, penjelasannya akan saya berikan kemudian. Contohnya dalam Surah Al Baqarah ayat 67-71, apabila kaum Nabi Musa AS disuruh mencari dan menyembelih seekor sapi betina tetapi disebabkan mereka terlalu banyak soal akhirnya hampir sahaja mereka tidak menemui sapi tersebut.


Peraturan yang kedua hendaklah kamu mengikut arahan, kepatuhan dan ketaatan amat dititikberatkan sepanjang masa. Hamba patuh dan taat kepada Tuhannya, anak patuh dan taat kepada ibubapanya, pelajar patuh dan taat kepada gurunya.


Peraturan yang ketiga bukalah hati seluas-luasnya sekiranya kamu ingin menimba ilmu. Oleh itu, sentiasalah buka hati anda untuk belajar pelbagai perkara dalam kehidupan ini dari sesiapapun yang kita jumpa. Ini kerana, kita tidak akan dapat memperolehi semua pengalaman kehidupan dalam usia kita yang singkat ini. Seandainya kamu merasakan diri kamu pandai, sekiranya kamu sombong, sekiranya kamu menutup pancaindera dan menutup pintu hati maka  saya sarankan kamu kembali ke tempat asalmu.


Kemudian Pendekar Mastur membuka gelas di atas dulang itu dan mencurah air ke dalam gelas dari kole sehingga penuh.


Apa yang dapat kamu lihat di sini? Tanyanya lagi.


“ Gelas yang penuh tak boleh lagi diisi air. ” Jawab Hang Tiga.


“ Benar, sekiranya anda telah tamat pembelajaran di sini janganlah jadi seperti gelas yang penuh dan menyangkakan yang diri kita telah pandai, serba sempurna dan serba tahu kerana lagi banyak yang kita tahu maka lagi banyaklah yang kita tak tahu. ”


“ Jadi bagaimana tuan pendekar? ” Tanya Hang Tiga.


“ Ambillah iktibar dari alam semulajadi kurniaan Allah Taala yang penuh dengan tamsilan untuk dijadikan teladan. Jadilah seperti PERIGI! Airnya tenang dan tak akan penuh walau diisi berapa banyak air sekalipun, airnya tak akan habis walau diambil berulang kali, airnya akan jernih sekiranya ia sering digunakan. Maknanya sentiasa bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada apa ilmu sekalipun untuk masuk ke dalam diri. Sentiasa merendah diri dan menyampaikan ilmu kepada sesiapa juga yang ditemui. InsyaAllah, hati anda akan menjadi jernih. “


Ketiga-tiga Hang Satu, Dua dan Tiga hanya mengangguk diam membisu mendengar kebijaksanaan Si Pendekar.


“ Sekarang kamu sudah bersedia, silalah masuk... ” Jemput Si Pendekar.


Kisah bersambung...


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


' style='padding: 0; border: none;'/>

24 Julai 2009

KISAH NABI MUHAMMAD SAW DI ZAMAN JAHILIAH


Zaman Jahilliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW juga dikenali sebagai zaman kegelapan. Jahil membawa maksud bodoh, tak tahu dan sebagainya. Di zaman ini mereka tak punya undang-undang. Mereka bebas melakukan apa sahaja berzina, minum arak, membunuh, menanam anak perempuan hidup-hidup, perempuan dijadikan bahan melepaskan nafsu seks semata-mata, menyembah beratus-ratus berhala dan sebagainya. Mereka bersifat zalim, ganas dan rakus.
Semua yang aktiviti dijalankan dengan mengikut hawa nafsu semata-mata demi untuk mendapatkan keseronokan dan hiburan hinggalah kedatangan seorang Rasul yang membawa cahaya dari Allah Taala.


Cubalah anda bayangkan anda salah seorang Jahilliah yang bebas melakukan apa sahaja dan kemudian datang Rasullullah SAW yang berkata, haram berjudi, haram minum arak, haram membunuh, haram itu dan haram ini. Semua aktiviti melempiaskan nafsu selama ini diharamkan. Saya yakin anda akan berkata, tiada siapa yang akan menjadi pengikut Muhammad SAW. Pada kita semua yang diharamkan itu tak masuk akal. Bukankah seronok minum arak hingga boleh mengkhayalkan dan berada dalam dimensi yang lain? Bukankah seronok menyakitkan orang lain dan melihat orang lain berada dalam kesakitan? Bukankah seronok melakukan seks secara bebas?

Pasti anda berkata, tiada siapa yang akan menjadi pengikut Rasullullah SAW.

Tak cukup dengan itu kemudian Rasullullah berkata hendaklah kamu mendirikan solat, wajib berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, kalau ada lebihan duit dan cukup haulnya maka hendaklah kamu menunaikan zakat, menunaikan haji, berbuat baik terhadap perempuan dan hamba, terhadap ibubapa dan sebagainya.

Saya yakin anda akan berkata sudahlah Nabi haramkan itu ini, ini tak boleh itu tak boleh, lepas tu dia suruh pulak kita buat itu ini. Dia cuba merampas kebebasan kita, merampas harta kita, merampas keseronokan kita.

Pasti anda akan berkata dengan penuh yakin, tiada siapa yang akan menjadi pengikut Rasullullah!

Dan Nabi pasti akan menemui kegagalan dalam usahanya itu.

Namun demikian tanpa disedari pengikut Nabi semakin hari semakin bertambah. Kemudian dalam Perang Badar 313 orang pengikut Islam turut serta. Dalam perjanjian Hubaidiah yang nyata berat sebelah terhadap Islam itu seramai 10,000 pengikut turut serta, setahun selepas itu seramai 124,000 orang telah menjadi pengikut Muhammad SAW dan sehingga kini 1,800,000,000 penduduk bumi telah menjadi umat Islam pengikut Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam yang kebanyakannya percaya kepada Allah dan Rasulnya, percaya yang arak, judi dan seks bebas itu haram, patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Dalam ertikata lain, ugama Islam adalah ugama penyerahan, ugama kepatuhan, ugama hati. Ia bukan untuk orang yang berfikir secara logik, rasional akal. Saya rasa tak perlulah saya berhujah dengan panjang lebar tentang pelbagai topik yang lain kerana pintu masuk keislaman adalah di hati anda. Saya yakin semua persoalan manusia terjawab dalam ugama Islam dan tiada apa yang hendak diragukan.

Persoalannya, adakah anda seorang yang lebih zalim, ganas dan lebih rakus dari orang di zaman Jahilliah?

Pastinya tidak.

- Kalau sekadar berpakaian seksi, bermata biru dan berambut merah.
- Kalau sekadar mengambil dadah, minum arak dan berjudi sembunyi-sembunyi.
- Kalau sekadar menjalankan seks bebas di luar pengetahuan mak dan bapak.
- Kalau sekadar menjadi gay dan lesbian.
- Kalau sekadar percaya kepada skinhead, punk dan death metal.
- Kalau gagal melawan nafsu untuk melaku semua ini.

Kerana anda tak membunuh secara sesuka hati, kerana anda tak membunuh anak perempuan hidup-hidup dan hidup bebas tanpa undang-undang.

Kalau dibuat perbandingan kejahatan anda hanya sekelumit dari apa yang dilakukan oleh kaum Jahilliah. Kalau kaum Jahilliah melihat anda dengan kejahatan yang anda lakukan pada hari ini maka mereka pasti akan gelak terbahak-bahak dan terguling-guling kerana merasakan kejahatan yang anda lakukan sekadar di celah gigi mereka. Buat malu je!

Persoalannya di sini kalau orang Jahilliah juga akhirnya boleh memeluk Islam dan patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya kenapa tidak anda?


Petikan dari manuskrip buku Anda Yang Cemerlang yang sedang saya tulis...




' style='padding: 0; border: none;'/>

23 Julai 2009

CATATAN SULUNG


Assalamualaikum semua,

Terima kasih kerana bertamu di sini. Saya amat menghargainya kehadiran anda semua.

Nama saya Ahmad Faizal bin Mohamed Yusup atau panggil sahaja Faizal Yusup. Saya seorang penulis bebas yang suka berkarya.

Hari ni saya mengambil keputusan untuk menulis dalam blog sendiri. Saya berumur 39 tahun dan mungkin sayalah satu-satunya manusia yang tak sabar menantikan umur 40 tahun tahun depan. InsyaAllah kalau ada umur saya akan tiba di sana nanti.

Kenapa?

Ini kerana saya yakin yang ketetapan hati akan datang bersamanya bila berumur 40 tahun nanti dan saya harap Allah Taala akan menetapkan hati ini untuk memilih jalan yang benar dan diredaiNya. Amin.

Dari kajian kacamata hati ini dengan melihat kepada orang yang berada di sekeliling saya yakin yang melintasi umur 40 tahun ini membayangkan pelbagai perkara. Ada yang saya lihat menjadi orang yang kekal dalam kebahagiaan namun ada juga yang saya lihat mereka yang semakin luntur dan hanyut.

Lagipun kalau penyanyi dan pelakon mungkinlah dia akan dikenali pada umur 20 tahun di zaman bujang dan panas namun demikian ahli motivasi mungkin dikenali pada umurnya melebihi 40 tahun kerana pengalaman dan ilmunya telah mapan dan utuh. Setelah banyak makan garam, setelah merasai pelbagai pengalaman kehidupan yang boleh dikongsikan dan sebagainya.

Apapun blog ini bertujuan untuk menyampaikan artikel-artikel yang bersifat motivasi yang membina, membuka mata akal dan hati, mengajak pembaca yang budiman sekelian berfikir akan sebuah kehidupan dengan harapan ia bisa memangkinkan perubahan ke arah kebaikan. Anggaplah saya umpama seorang posmen yang menyampaikan surat. Janganlah pandang pada posmen tu tetapi bacalah isi kandungan surat yang disampaikan. Itu lebih penting dan kalau ada kesilapan dalam mana-mana pengisian di sini saya harap anda dapat menegur. Ramai yang bakal mendapat manfaat dari pembetulan itu. Ini saya yakin.

Oh ya, satu peringatan,

Orang dunia akan kata "macam bagus je mamat nih!" tapi orang akhirat akan kata "hem... memang bagus mamat nih."

Orang dunia akan membenci saya tetapi orang akhirat akan menyayangi saya.

Apapun itu terpulang kepada anda. Saya redha. Apa yang saya tahu yang baik datang dari Allah dan yang tak baik datang dari kelemahan diri saya sendiri.

Bukalah pintu hati, InsyaAllah anda akan memahami.

Sekian dulu.

Wassalam.

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang lain yang dijodohkan dengannya. 

' style='padding: 0; border: none;'/>