Setiap pendapat yang dikemukakan sebagai orang Islam hendaklah dirujuk kepada Al Quran dan Hadis.
Sebenarnya sebagai seorang yang beragama Islam kita langsung tak boleh mengeluarkan pendapat mengikut akal logik. Ini kerana perkara ini telah dilakukan oleh orang Yahudi dan Nasrani dahulu. Mereka bebas memberi pendapat dan hujah mengikut logik. Ideologi ini telah menyebabkan kitab Injil yang satu terbentuk atau berubah menjadi lebih daripada 50 variasi. Dalam ertikata lain Paderi A memberi pendapat A, Paderi B memberi pendapat B dan Paderi C memberi pendapat C dalam memperkatakan isu yang sama.
Tidak seperti umat yang terdahulu umat Islam pula beruntung kerana Allah telah berjanji untuk memelihara isi kandungan Al Quran dan atas sebab inilah kita tidak bertemu dengan variasi Al Quran di mana-mana di dunia ini walaupun ia telah berada di muka bumi semenjak 1400 tahun yang lalu. Dalam hal ini, Imam A memberi pendapat A, Imam B memberi pendapat A dan Imam C juga memberi pendapat A berlandaskan Al Quran dan Hadis dan ia sebenarnya bukan hanya tugas Imam untuk berbuat demikian malah kita semua sebagai umat Islam.
Kalau dahulu orang Barat mengikut dan meniru budaya Greek yang dianggap agung. Pada masa itu mereka meniru cara pemikiran malah bangunan yang dibina pada masa itu juga melambangkan pengaruh Greek ini dengan begitu jelas. Namun demikian pemodenan tamadun kemudian bertukar corak. Mereka mencipta budaya sekular dengan melakukan apa juga tindakan termasuk proses undang-undang berdasarkan kajian logik akal.
Dalam hal ini kita tak ada bezanya dengan orang Yahudi dan Nasrani seperti yang telah dibuktikan dalam sejarah kalau kita menggunakan akal logik dalam membentangkan atau menyelesaikan sesuatu isu. Dalam ertikata lain kita juga seakan mencuba untuk mengubah hukum Islam, mengubah Al Quran namun ini mustahil terjadi kerana Allah telah berjanji memelihara isi kandungannya.
Dari apa yang dapat dilihat dewasa ini kebanyakan orang kita di Malaysia ini tidak membezakan satu-satu pengisian. Samaada ia pengisian sekular mahupun pengisian ugama. Pengisian yang keluar dari dalam diri mereka juga adalah pengisian rojak yang bercampur nilainya.
Ini kerana di Malaysia yang mana negaranya pernah dijajah oleh orang British satu ketika dahulu, mereka secara tak langsung meninggalkan nilai budaya mereka di negara ini. Oleh sebab kita dilahirkan dalam zaman ini, zaman yang mana kurikulum sekolahnya diasaskan oleh orang British maka secara tidak disedari minda kita juga telah dijajah dengan penerapan nilai sekular. Nilai sekular Barat ini banyak mempengaruhi orang kita sehingga kini.
Ramai yang percaya kepada kajian para saintis Barat dan mengatakan yang kajian itu adalah satu kebenaran malah menyampaikan kepada khalayak walhal ia tidak disokong Al Quran dan Sunnah. Ia adalah kajian berdasarkan logik akal.
Contoh mudah yang sering saya petik ialah kalau Saintis Barat mengatakan kita perlu tidur 8 jam kita mempercayainya sedangkan dalam Islam tidur yang terbaik ialah tidur Nabi Daud AS iaitu 4 jam. Isu poligami dihurai dan dipertahankan dengan mengikut akal logik, nafsu dan emosi, masalah isu hak kesamaan lelaki dan perempuan dan beribu persoalan lagi.
Oleh itu sekali lagi saya ulangi setiap pendapat yang dikemukakan sebagai orang Islam hendaklah dirujuk kepada Al Quran dan Hadis. Imam al-Syafie contohnya selalu menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai landasan dan sumber hukumnya. Dalam hal ini beliau berkata,
"Jika kalian mendapati sunnah Nabi, maka ikutilah dan janganlah kalian berpaling dengan mengambil pendapat yang lain."
Disamping itu beliau juga pernah berpesan,
"Kamu semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari Hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia".
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.