28 Ogos 2009

Rahsia Seorang Penulis

Alhamdullillah kerana selepas enam bulan menanti akhirnya buku motivasi umum ketiga saya berjudul Anda Yang Baru telahpun diterbitkan.


Kenapa agaknya penerbitan sesuatu buku itu begitu bererti bagi penulisnya? Mungkin penulis berpuas hati kerana penat lelahnya berkarya diterima penerbit dan menjadi sebuah buku untuk tatapan umum. Mungkin juga penulis memikirkan soal royalti yang bakal diterimanya atau mungkin juga mereka berharap dapat menempa nama dengannya mahupun atas sebab yang lain.


Apapun, dalam artikel kali ini saya ingin menceritakan serba sedikit perihal apa yang berlaku kepada diri saya semenjak menjadi seorang penulis. Ini hanyalah pengalaman saya dan mungkin pengalaman ini berbeza dari penulis yang lain. Namun demikian saya ingin kongsikannya bersama kerana mungkin ia sedikit sebanyak memberi pengetahuan yang berguna bagi diri anda.


Saya dikira beruntung kerana sejak kali pertama menulis manuskrip tersebut diterima penerbit untuk diterbitkan. Manuskrip pertama berjudul Keluar Dari Tempurung, Pembentukan Diri ke Arah Kecemerlangan yang siap dikarang pada tahun 2001 diterbitkan oleh pihak Utusan Publications pada penghujung tahun 2002. Terbitnya buku itu memberi kesedaran pada saya dikurniakan Allah dengan kebolehan menulis, mengarang dan mengolah cerita. Ini kerana ada penulis yang nasibnya tak sebaik saya kerana karyanya ditolak, dibuang dalam tong sampah, diminta diolah keseluruhannya dan sebagainya.


Itulah sejarah permulaan titik tolak bagaimana saya menjadi seorang penulis. Namun bukan itu yang hendak dibicarakan di sini. Dalam artikel ini saya ingin menceritakan akan kebaikan menulis ini.


Menulis bagi tujuan penyampaian ilmu pengetahuan ini juga merupakan satu pekerjaan yang mana termasuk dalam ibadah yang mana pahala kebaikannya tetap diterima bila kita mati kelak sepertimana amal jariah serta doa anak yang soleh. Pendeta Za’ba, Ibnu Sina, Imam Abu Hanifah, Khalil Gibran dan ramai lagi penulis yang masih diingati karyanya walaupun mereka telah lama meninggal dunia. Dalam ertikata lain satu-satu karya itu boleh melepasi zaman walaupun pengarangnya telah lama meninggal dunia.


Dalam hal ini mungkin ada yang melihat terdapat perbezaan yang ketara dari segi penyampaian saya kalau dibandingkan dengan penyampaian penulis yang lain. Cuma satu sahaja yang boleh beritahu. Kebanyakan orang menulis berkenaan pengetahuan semasa, saya pula menulis ilmu untuk ditinggalkan kepada anak cucu. Itu sahaja bezanya. 



Saya yakin menulis bagi tujuan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada khalayak ini saling tak tumpah seperti satu sedekah. Bila kita bersedekah maka Allah akan kurniakan rezeki yang berlipat kali ganda. Begitu jugalah dengan penyampaian ilmu ini kerana ia akan diganjari pula dengan ilmu yang berlipat kali ganda. Asalkan kita melakukannya dengan ikhlas dan dengan perasaan yang rendah diri kerana Allah. Terus terang saya katakan seringkali saya menghadapi masalah menulis kerana ilmu pengetahuan yang masuk ke dalam akal fikiran dan hati saya ini lebih laju kadarnya kalau dibandingkan dengan kelajuan saya dapat menulisnya.


Dahulu saya menyangka yang bila saya selesai menulis buku pertama saya akan langsung kekeringan idea tetapi sekarang tidak lagi. Ini kerana idea menulis itu akan terus-terusan datang selagi kita terus-terusan menulis dengan tujuan menyampaikan ilmu pengetahuan ini. Sekarang ini saya punya beberapa manuskrip yang sedang saya usahakan untuk dikongsi bersama. InsyaAllah. Ini yang pertama.


Keduanya bila saya perhatikan setiap kali terbitnya buku baru yang kemudiannya dipasarkan, tak lama selepas itu graf kehidupan saya akan mula meningkat baik dari sudut ketenangan dan kelapangan diri, perhubungan silaturrahim, kerjaya, ekonomi malah dari segenap sudut. Apa yang boleh saya katakan disini ialah mungkin manfaat yang tersebar melalui buku tersebut baik kepada pembacanya mahupun kepada penyampai yang menyampaikan ilmu pengetahuan darinya lantas digunapakai akhirnya membawa manfaat kepada saya. InsyaAllah saya cukup yakin buku kali ini juga bakal membawa kebaikan kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya dan pada masa yang sama membawa manfaat kepada saya. Win-Win.


Fikir-fikirkanlah.


Mungkin topik kali ini membuatkan anda terfikir untuk menulis dan menjadi seorang penulis yang memberi manfaat kepada bangsa, ugama mahupun manusia sejagat, maka ambillah pen dan kertas. Mulakan usaha mulia anda itu. Lagipun, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Kalau perlukan bantuan saya beritahulah. Saya akan cuba membantu mana yang terdaya. InsyaAllah.


Sekian dulu.


Ikhlas,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.