Kalau kita lihat dan ambil tamsilan dari pokok maka kita akan lihat yang terdapat pelbagai jenis pokok, flora dan fauna di alam ini. Ada pokok yang rendah dan ada yang tinggi, ada yang rendang, rimbun, berbunga, berbuah, berdaun lembut, panjang, pendek, berduri, renek, melata, pelbagai warna dan sebagainya. Kalau difikirkan ia tak ubah mencerminkan kita manusia. Sekiranya setiap pokok ada fungsinya yang tersendiri maka manusia pun begitu. Bezanya manusia punya akal fikiran untuk memilih namun adakah pilihan kita itu betul?
Pokok bunga kertas contohnya hidup subur dan berbunga dalam cuaca panas, pokok keladi pula hidup subur dalam tempat yang redup. Persoalannya mudah setiap pokok dan binatang punya habitatnya, tempat, fungsinya yang tersendiri. Meletakkan mereka di tempat yang berlainan dari habitat sebenarnya akan menyebabkan samaada mereka mati, takpun hidup segan mati tak mahu. Penguin yang hidup di tempat sejuk pasti tak akan dapat hidup di Gurun Sahara dalam cuaca yang begitu panas. Itu perihal pokok dan binatang yang tak punya akal fikiran namun mereka perlu berada di“tempat” mereka dengan fungsi yang telah ditentukan. Manusia pula jauh berbeza.
Zainal seorang eksekutif yang bekerja di sebuah bank. Dia berasal dari Kuching Sarawak dan bapanya adalah seorang petani. Walaupun dia bekerja sebagai eksekutif bank dan mendapat pendapatan yang lumayan tetapi hatinya tak tenteram. Setiap pekerjaan yang dilakukan di bank itu dijalankan dengan separuh hati. Sejak saya mengenali Zainal dia sering mengatakan hasratnya untuk menjadi petani.
Entah bagaimana kegawatan ekonomi telah menyebabkan pihak bank menawarkan Voluntary Separation Scheme ( VSS ) yang mana pemohon yang berjaya akan diberikan pampasan kewangan. Zainal terus bertindak dan dengan wang pampasan itu dia memulakan projek pertaniannya dengan menanam pokok pisang dan nangka.
Beberapa tahun selepas itu saya ada bertemu dengannya. Walaupun kulitnya yang cerah telah menjadi agak gelap namun keceriaannya jelas kelihatan. Dia sekarang memiliki ladang pisang dan nangka di samping tanaman yang lainnya. Zainal seakan sudah kembali ke tempatnya kerana dia nampaknya begitu suka, passionate dan teruja menceritakan pengalamannya menjadi petani. Mungkin inilah yang dia sepatutnya lakukan sejak dulu lagi.
Saya juga pernah bekerja sebagai seorang eksekutif Bank, kemudian sebagai seorang remisier yang menjalankan transaksi saham. Saya punya kelayakan akademik di peringkat ijazah dalam bidang kewangan ini tetapi peliknya hati saya cenderung kepada penulisan motivasi dan kaunseling yang tak ada kena mengena dengan bidang kewangan yang saya pelajari.
Apapun keadaan ini membuatkan saya terfikir akan apakah fungsi sebenar saya dalam kehidupan ini. Apapun saya yakin yang saya dijadikan Allah sebagai penyampai. Jadi inilah yang saya lakukan dan berharap semoga ia selari dengan kehendak Allah Taala. InsyaAllah.
Jadi persoalannya apakah fungsi anda? Adakah anda berada di tempat yang betul? Adakah anda gembira dan bahagia dengan kerjaya anda, perniagaan yang anda jalankan? Perhubungan anda dan sebagainya? Sekiranya anda melalui kehidupan seakan ayam berak kapur dalam kemendungan yang panjang, maka saya sarankan mungkin anda perlu mengorak langkah untuk mengejar apa yang sebenarnya yang anda impikan jauh di sudut hati. Mungkin dengan berbuat demikian anda akan temui kebebasan dan kegembiraan. Mungkin juga anda akan bertemu dengan “kehidupan.”
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.