12 Ogos 2009

Ketepuan hati


Tidak Allah jadikan manusia melainkan untuk mengabdikan (beribadah) kepada Allah Taala.

Huraian mengenai ibadah ini telahpun saya sampaikan dalam artikel yang lalu yang mana setiap amalan dan kebaikan yang kita lakukan termasuk dalam rangkuman ibadah ini. Sebaliknya amalan yang membawa keburukan pula dipanggil maksiat yang membawa dosa.

Dalam huraian ini adalah lebih baik kita menepukan hati dengan mengingati Allah kerana ini termasuk dalam tindakan dalam rangkuman ibadah. Mereka yang selalu mengingati Allah akan mendapat ketenangan hati sepertimana yang Allah Taala firmankan dalam Al Quran. Tepu di sini membawa maksud tiada ruang dan peluang untuk apa-apa perkara lain memasuki diri.

Inilah kelebihan seorang muslim. Kita boleh menggunakan anggota dan pancaindera untuk menjalankan ibadah, kita juga boleh menggunakan otak berfikir dalam rangkuman ibadah dan kita juga boleh menggunakan hati untuk berzikir mengingati Allah. Apa yang boleh dilakukan oleh orang bukan Islam sekiranya dia tidak bergerak dan tidak berfikir? Berzikir? Pastinya tidak! Mereka menyanyi agaknya. Sekali lagi saya ulangi inilah kelebihan seorang muslim. Kita boleh berzikir sekiranya kita tidak bertindak dan tiada apa yang hendak difikirkan. Apapun bertindak adalah lebih baik dari berfikir, berfikir sesaat pula adalah lebih baik dari berzikir sepanjang malam.

Seharian dalam menjalani kehidupan di alam yang fana ini kita bakal melalui pelbagai dugaan dan ujian. Dugaan dan ujian ini ditujukan kepada kita bertujuan untuk menguji keimanan dalam diri. Ada yang mengalah lantas tertekan dengan ujian dan dugaan Allah hinggakan mereka tak dapat bangun lantas hidup dalam kegelapan. Umpama kapal selam yang menyelam di dalam laut yang luas tanpa kita ketahui di mana kedudukannya. Keceriaan dan keseronokan dalam kehidupan tiba-tiba menghilang.

Dalam keadaan ini akal fikiran dan hatinya gundah dipenuhi dengan pelbagai persoalan yang seakan tiada jawapan. Tekanan memuncak. Diri dipenuhi dengan memikirkan masalah yang dihadapi itu. Masalah pasangan curang, masalah perpisahan, masalah anak yang sakit, masalah kewangan, masalah hutang dan sebagainya. Pada masa yang sama keadaan yang menekan ini berlarutan dalam satu jangkamasa yang begitu panjang. Berada dalam kemeruduman dan kesedihan hati hati yang panjang ini sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam. Dugaan kemiskinan, kesakitan dan sebagainya ini pula boleh membawa kepada kekufuran.

Keadaan yang sama juga boleh membawa kepada tindakan yang bakal menyeksa diri sendiri. Misalnya, masalah dengan pasangan dibalas dengan kecurangan di luar, masalah hutang dibalas dengan mencuri hak orang lain, masalah kekecewaan dibalas dengan mencederakan orang lain mahupun bunuh diri.

Bukankah secara tak langsung keadaan ini memesongkan, melencongkan ingatan kita daripada mendekati Allah Taala. Melalaikan kita dari melakukan ibadah?

Oleh yang demikian, berusahalah untuk keluar, untuk bangkit dan jangan biarkan diri kalah ditekan dugaan. Buka mata dan lihatlah dunia yang penuh dengan warna warni ini.

Dalam situasi yang lain pula kesibukan dalam urusan dunia juga bisa menjadikan keadaan begitu. Kita begitu sibuk bermain permainan video, melayari internet ke laman-laman yang melalaikan, sibuk menonton wayang dan rancangan yang tak berfaedah, berkaraoke, menghabiskan masa di kelab serta pub dan sebagainya. Dalam hal ini ada orang yang saya temui boleh menghabiskan masa sehari suntuk bermain game di internet, bermain PS2 di peti televisyen, ada yang menyumbat telinga dengan MP3 mendengar lagu-lagu kegemaran dengan kepala yang terhanguk-hangguk sepanjang masa dan sebagainya.

Semua tindakan ini sebenarnya menjauhkan diri kita dari menjalankan ibadah kepada Allah. Dalam sesetengah keadaan yang lain kita masih boleh berzikir walaupun kita sedang menonton televisyen, sedang memandu sambil mendengar radio, sedang bersiap di depan cermin mahupun ketika bermain bolasepak tetapi saya rasa ianya sukar untuk berbuat demikian ketika kita sedang mendengar lagu melalui MP3 yang terus disambungkan ke telinga.

Apa yang boleh saya katakan di sini, lebih baik kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melalaikan ingatan kita kepada Allah Taala. Ini kerana para rasul, Nabi, sahabatnya, alim ulama dan sebagainya tak akan melepaskan ingatan kepada Allah dalam apa juga keadaan sekalipun. Mereka tak akan membenarkan masalah menguasai dan menekan diri mereka. Begitu juga mereka tak akan lalai kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia hingga menyebabkan mereka lupa beribadah kepada Allah. Ingatan, fikiran dan hati mereka sentiasa mengingati Allah.

Mereka sakit, mereka mengatakan yang dugaan ini tanda ingatan Allah kepada mereka, mereka bersyukur diseksa dan sanggup menggadaikan nyawa kerana Allah. Alhamdullillah – Syukur ke hadrat Allah kata mereka. Bila melihat pokok, matahari, gerhana, duit, kenderaan, gadis yang cantik malah apa juga kejadian, mereka akan menyambungkannya dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. SubhanAllah – Maha suci Allah kata mereka.

Oleh itu, dalam hal ini sambungkan apa juga masalah, apa juga tindakan, apa juga yang kita lihat dengan kekuasaan Allah. Tepukan hati dengan ingatan kepada Allah. Bila diduga dengan apa cara sekalipun, walau bagaimana berat bebanannya sekalipun hendaklah kita yakin yang ia datang dari Allah, Dia yang memberi dugaan dan Dia jugalah yang akan memberikan jalan keluar darinya. Dia akan menyediakan jalan keluar dari tempat yang tak dijangka andai kita bertakwa, Dia juga akan mencukupkan andai kita bertawakal kepadaNya.

Lagipun biar saya ulangi satu ungkapan yang biasa kita dengar iaitu ;

“ Ada hikmah bagi setiap kejadian ”.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.