17 September 2009

Perihal Bahasa Melayu

Saya pernah menghuraikan isu ini dalam buku Anda Yang Baru dahulu dan atas alasan pengukuhan saya akan menjelaskannya secara ringkas di sini.


          Disini isu pendidikan matapelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Melayu sering diperdebatkan. Sekejap ia dalam Bahasa Melayu kemudian ditukar kepada Bahasa Inggeris dan seterusnya kembali kepada Bahasa Melayu. Tak tahulah apa pula selepas ini.


       Apapun saya tak mahu memperdebatkannya. Huraian ini hanyalah sebagai satu pengisian untuk difikirkan bersama.
            
Di Malaysia kita kena belajar bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab bagi tujuan membaca Al Quran. Isu bahasa ini sudah cukup membebankan otak kita. Contohnya mesyuarat, meeting dan mesyuarah merupakan perkataan bagi menerangkan satu perjumpaan formal, mayat, corpse dan jenazah, tiga bahasa yang menerangkan perihal orang yang telah meninggal dunia. Dalam ertikata lain otak kita dipenuhi dengan pengisian bahasa yang bersifat luaran.
           
     Di negara maju contohnya Jepun, German, Amerika mereka hanya punya satu bahasa dalam otak mereka. Jadi terdapat ruang yang luas dalam otak mereka untuk memikirkan perkara yang seterusnya. Perkara yang lebih dalam. Seterusnya seperti yang semua ketahui bahasa menyatukan bangsa. Di Korea mereka punya satu bangsa, satu bahasa dan satu negara menuju ke arah objektif yang sama untuk membangunkan negaranya. Kita pula secara dasarnya punya tiga bangsa dengan tiga bahasa yang menuju ke arah tiga objektif yang berbeza.  Mungkin atas alasan inilah kerajaan memperkenalkan kempen 1 Malaysia bagi tujuan menyatukan semua kaum di dalam negara ini untuk mencapai objektif yang satu.


Analogi seakan sebilah tombak dengan satu mata dibandingkan dengan sebilah tombak bercabang tiga. Yang satu menuju ke sasarannya yang satu dan yang satu lagi punya tiga sasaran yang berbeza.


            Mungkin anda akan berkata ada negara yang menggunakan satu bahasa, satu bangsa dan satu negara tetapi masih mundur. Dalam hal ini, kita bandingkan pula tahap penyelidikan dan jangkamasa tamadun mereka. Dalam ertikata lain kalau kita buat kutubkhanah atau perpustakaan dan memasukkan semua buku yang ada maka kita akan lihat buku Bahasa Inggeris bakal menguasai. Buku kajian dan penyelidikan, buku yang diterjemah dari bahasa lain dan sebagainya. Ini kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling banyak penuturnya di dunia ini. Begitu juga perpustakaan Bangsa Jepun, China dan sebagainya lebih banyak materialnya disebabkan tamadunnya yang lebih lama semenjak dulu. Perpustakaan melayu pula jelas begitu kecil kerana jumlah bukunya yang terhad.


            Oleh sebab itulah ada golongan yang percaya penguasaan Bahasa Inggeris sangat penting bagi tujuan quantum leap atau loncatan dalam benang tamadun atau mempercepatkan perkembangan tamadun kerana kita tak perlu buat penyelidikan dengan kaedah trial and error atau percubaan dan kesalahan kerana kita hanya perlu mempelajari dari penyelidikan yang telah dibuat, seterusnya memperbaiki atau memperbaharuinya. Bezanya cuma memilih jalan secara perlahan atau laju. Itu sahaja. Memilih jalan perlahan akan menjadikan kita lebih kukuh asasnya dan kalau kita memilih jalan laju kita mungkin lebih mudah jatuh. Itu sahaja bezanya.


            Apapun bagi saya kalau kita punya pilihan jalan pintas untuk meningkatkan tamadun tak ada salahnya kalau kita mengambilnya. Ia mungkin akan mempercepatkan kita sampai ke tempat yang dituju dan bersaing dengan mereka yang lebih maju.


            Sebagai penutup topik ini hanya satu yang ingin saya kongsikan. Tahukah anda Bahasa Arab adalah bahasa yang paling baik dan terlalu dalam makna tersiratnya. Perkataan seperti Ihsan, Takwa dan Iman contohnya tak dapat didefinasikan dengan tepat dalam apa juga bahasa. Inilah sebabnya Orang Inggeris, Peranchis, Jepun dan yang lainnya yang ingin menterjemahkan Al Quran satu ketika dahulu menghadapi masalah kerana perbendaharaan kata mereka yang tidak mencukupi bagi menerangkan maksud. Ini menjadikan semua terjemahan Al Quran itu sebenarnya tidak tepat maksudnya. Tapi janganlah ini dijadikan alasan untuk tidak membaca dan memahami isi kandungan Al Quran itu.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.


Ikhlas dari,

' style='padding: 0; border: none;'/>

07 September 2009

Perbezaan penerapan nilai diri

Dalam bab kedua ini saya akan memperkenalkan bagaimana sesuatu prinsip boleh terbentuk dalam diri seseorang itu. Ini kerana pada pendapat saya ramai yang tidak tahu mengenainya, tidak tahu bagaimana proses pembentukan nilai tersebut, tak dapat membuat perbezaan antara sesuatu nilai juga prinsip dan sebagainya.

Dalam forum yang saya sertai di Internet persoalan yang berbentuk perbezaan penerapan nilai ini sering dipersoalkan. Walaupun ia disampaikan dalam bentuk soalan yang berbeza namun asas persoalannya tetapi sama. Ia berkenaan perbezaan penerapan nilai.

Biar saya bagi contoh soalan-soalan tersebut ;

1. Seorang guru Cina bertanya pada muridnya “ Bila besar nanti nak meniaga apa? ” Sedangkan seorang guru Melayu pula bertanya muridnya, “ Bila besar nanti nak kerja apa? ”
2. Kenapa seorang isteri sanggup memakaikan stokin suaminya?
3. Mengapa orang melayu tak pandai mempromosikan perniagaannya sepertimana orang Barat?
4. Kenapa ada orang mengejar gelaran Datuk, Tan Sri dan sebagainya?

Maka pelbagai jawapanlah yang bakal diterima dari akal yang logik mahupu dari sudut yang lain berdasarkan pengalaman serta pengetahuan mereka yang menjawab.

Sekali lagi saya ulangi ketiga-tiga soalan ini adalah berdasarkan persoalan yang sama. Perbezaan penerapan nilai. Mungkin kerana kita tidak mempelajarinya di sekolah atau mungkin kita tak punya pengetahuan mengenai aspek penerapan nilai ini maka kita tak dapat membuat penilaian ini.

Apapun dalam soalan pertama tadi, seorang guru Cina bertanya pada muridnya “ Bila besar nanti nak meniaga apa? ” Sedangkan seorang guru Melayu pula bertanya muridnya, “ Bila besar nanti nak kerja apa? ”

Ini adalah persoalan perbezaan penerapan nilai antara Melayu dan Cina. Orang Melayu kebanyakannya kerja makan gaji dibandingkan dengan orang Cina yang kebanyakan peniaga. Penerapan yang berlaku semenjak pemerintahan British di Tanah Melayu dengan sistem “segregate and rule” atau asing dan perintah iaitu mengasingkan orang Cina di bandar dalam bidang perniagaan, orang melayu di kampung dan orang India di ladang-ladang.

Soalan kedua pula, kenapa seorang isteri sanggup memakaikan stokin suaminya itu pula sebenarnya memperkatakan aspek perbezaan nilai Sekular keduniaan dibandingkan dengan nilai keislaman. Pendapat sekular merasakan yang ini bukanlah sesuatu yang boleh diterima akal oleh seorang isteri kerana hak persamaan yang antara lelaki dan perempuan dilaungkan dalam prinsip ini. Ia berbeza dengan prinsip lslam yang mana ini bukanlah satu masalah kerana ia dianggap jihad seorang isteri dan bakal mendapat ganjaran dari Allah Taala.

Dalam soalan ketiga pula mengapa orang melayu tak pandai mempromosikan perniagaannya sepertimana orang Barat lebih jelas menunjukkan isu perbezaan penerapan nilai ini. Isu perbezaan antara perniagaan orang melayu yang masih mentah kalau dibandingkan dengan perniagaan orang Barat yang telah dewasa sedewasa tamadunnya. Dalam hal ini kita tak membandingkan epal dengan epal tetapi kita membandingkan tembikai dengan epal yang mana perbezaannya terlalu jauh.

Seterusnya dalam soalan kenapa ada orang mengejar gelaran Datuk, Tan Sri dan Datin juga sekali lagi merupakan bentuk soalan perbezaan penerapan nilai. Perbezaan antara nilai dunia dan nilai akhirat antaranya. Biar saya huraikan. Pertamanya mari kita buat perbandingan. Gelaran-gelaran ini saling tak tumpah seperti gelaran Sir, Duke dan Madam yang dipelopori British dahulu namun apa yang pelik ia tidak digunakan di Amerika Syarikat salah sebuah negara yang termaju di dunia. President George Bush juga dikenali sebagai Mr George Bush selepas dia meletakkan jawatannya. Ramai yang terkenal seperti Micheal Jakson tidak pula diberi gelaran Tan Sri Micheal Jackson atau Sir Micheal Jackson contohnya.

Kalau perbandingan itu dibuat dengan Islam pula Allah memberikan gelaran Nabi dan Rasul kepada manusia, muslimin dan muslimat contohnya tetapi manusia pula yang membentuk gelaran saidina, haji, ustaz, kiyai, lebai dan sebagainya. Gelaran yang tidak dibawa mati ke akhirat kelak.

Berbezakah kedudukan Datuk dan Tan Sri ini di sisi Allah di akhirat kelak sedangkan kita semua tahu yang kemuliaan seseorang terletak pada ketakwaannya kepada Allah dan bukan kerana gelaran, nama, pangkat, harta benda dan segala yang ada di muka bumi ini. Lagipun adakah bila bersolat para Tan Sri dan Datuk bersolat atas udara? Apa bezanya?

Mungkin manusia perlukan penghargaan, mahukan darjat yang lebih tinggi kalau dibandingkan dengan orang lain tetapi persoalannya adakah ia selari dengan ketinggian darjatnya di sisi Allah?

Sebenarnya manusia telah ditipu oleh syaitan yang membisikan semua dakyah ini lantas menyebabkan manusia itu begitu bangga dengan pangkat, darjat dan gelarannya hingga sekiranya orang tersilap tulis Datuk dan Dato’ pun dimarahinya. Tipudaya syaitan yang menjanjikan dunia dan segala isinya ini menyebabkan ramailah yang mengejar gelaran, pangkat, nama, harta dan sebagainya yang hakikatnya tak menjanjikan apa-apa di akhirat kelak.

Kemudian ada pula yang memastikan mereka tak salah menulis semua ini kerana takut tak dapat kontrak dan tender dari Datuk tersebut. Persoalannya datuk yang memberi rezeki atau Allah yang memberi rezeki? Lebih takut pada makhluk manusia daripada takutkan Allah. Silap-silap boleh membawa kita kepada dosa syirik.

Cuba perhatikan analogi berikut ;

Seorang Datuk, yang hensem, kaya, pandai tetapi buruk perangainya dibandingkan dengan lelaki yang hodoh, miskin, kurang ilmunya tetapi baik budi pekertinya. Yang manakah lebih baik? Dalam hal ini saya yakin orang budi pekerti dan akhlak yang menjadi ukuran. Atas sebab inilah dewasa ini kemenangan ramai calon-calon dalam pilihan raya yang dipilih kebanyakannya adalah kerana budi pekerti akidahnya dan bukan perkara yang lain.

Walaubagaimanapun semua ini akan dikupas dalam topik-topik yang disertakan dalam bab kenali diri ini dengan harapan ia memberikan kefahaman yang mendalam kepada diri anda.

Artikel ini dipetik dari manuskrip buku saya yang belum siap.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.

' style='padding: 0; border: none;'/>

02 September 2009

Iklim membentuk kita?


Saya ingin mulakan dengan huraian tentang bagaimana iklim negara ini boleh mempengaruhi program diri kita tanpa kita sedari. Huraian ini hanyalah sebagai pengetahuan am. Ini kerana, terdapat banyak lagi elemen lain yang membentuk sesuatu sikap, budaya, bangsa, ideologi, adat resam dan sebagainya.


Keadaan di sini tidaklah seperti semasa saya belajar di Amerika Syarikat dahulu. Saya tinggal di tengah-tengah negara Amerika Syarikat iaitu di Nebraska selama berada di sana. Perubahan cuaca berlaku dengan begitu kerap hingga menyukarkan proses menyesuaikan diri. Ini kerana mereka umumnya mengalami iklim empat musim. Kebiasaannya, masa bertukar menjadi pendek di musim sejuk. Namun, ia akan bertukar menjadi panjang di musim panas. Adakalanya siang boleh muncul pada pukul 4 pagi dan malam hanya datang pada pukul 9:30 malam. Disebabkan itu, kita mestilah selalu bersedia dengan perubahan cuaca ini. Adakalanya ribut taufan dan juga ribut salji melanda. Ada ketikanya hujan air batu sebesar guli yang dikenali sebagai ‘hale’ pula yang melanda. Mungkin atas sebab inilah maka kebanyakan rumah di sana mempunyai garaj meletak kereta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini menimpa mereka. Perubahan cuaca ini pula adakalanya begitu ekstrem. Contohnya, musim sejuk yang terlalu sejuk dan musim panas yang terlalu panas.


Semua ini menyebabkan mereka mencari jalan yang sesuai bagi menangani segala perubahan-perubahan ini dengan tujuan untuk menyesuaikan diri dan mencari keselesaan hidup. Kebanyakan rumah mereka diperbuat daripada kayu dan mempunyai rongga udara yang berfungsi sebagai penebat haba. Kereta mereka turut dilengkapi dengan penyaman udara bagi kegunaan di kala musim panas dan juga pemanas bagi kegunaan di kala musim sejuk.


Perubahan iklim yang ketara ini secara tidak langsung mengubah perspektif mereka tentang cara berfikir dan cara bekerja. Ia menyebabkan mereka lebih kreatif dan juga lebih berimaginatif dalam mencari jalan penyesuaian diri kepada perubahan persekitaran. Mungkin inilah juga kelebihan mereka jika dibandingkan dengan kita. Keadaan ini jugalah yang mungkin menyebabkan mereka jauh lebih maju dari kita dalam banyak segi. Persekitaran kita yang agak sekata pula secara tidak langsung menyebabkan kita sukar untuk menerima perubahan, apatah lagi untuk berubah. Kita umumnya lebih suka dengan cara yang telah sedia ada.


Pada masa yang sama, saya juga percaya bahawa ia menjadikan perenggu minda ataupun mindset kita lebih sekata dan kurang kreatif. Bukan negara ini sahaja, malah banyak lagi negara lain yang mempunyai iklim yang sama terdiri daripada negara-negara dunia ketiga yang distatuskan sebagai negara mundur.


Satu kajian yang telah dijalankan oleh Profesor Richard Lynn mendapati bahawa mereka yang tinggal dan hidup di daerah yang lebih panas mempunyai otak yang lebih kecil jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di daerah yang lebih sejuk dengan keadaan persekitaran yang lebih mencabar.


Perkara ini jelas menunjukkan bahawa iklim negara ini juga merupakan salah satu elemen yang boleh mengubah bentuk prinsip diri kita. Bayangkanlah pula betapa banyak lagi elemen-elemen yang ada di sekeliling kita yang tanpa kita sedari berupaya melakukan perkara yang serupa terhadap kepercayaan diri kita.


Petikan dari buku motivasi Anda Yang Baru.

' style='padding: 0; border: none;'/>