07 September 2009

Perbezaan penerapan nilai diri

Dalam bab kedua ini saya akan memperkenalkan bagaimana sesuatu prinsip boleh terbentuk dalam diri seseorang itu. Ini kerana pada pendapat saya ramai yang tidak tahu mengenainya, tidak tahu bagaimana proses pembentukan nilai tersebut, tak dapat membuat perbezaan antara sesuatu nilai juga prinsip dan sebagainya.

Dalam forum yang saya sertai di Internet persoalan yang berbentuk perbezaan penerapan nilai ini sering dipersoalkan. Walaupun ia disampaikan dalam bentuk soalan yang berbeza namun asas persoalannya tetapi sama. Ia berkenaan perbezaan penerapan nilai.

Biar saya bagi contoh soalan-soalan tersebut ;

1. Seorang guru Cina bertanya pada muridnya “ Bila besar nanti nak meniaga apa? ” Sedangkan seorang guru Melayu pula bertanya muridnya, “ Bila besar nanti nak kerja apa? ”
2. Kenapa seorang isteri sanggup memakaikan stokin suaminya?
3. Mengapa orang melayu tak pandai mempromosikan perniagaannya sepertimana orang Barat?
4. Kenapa ada orang mengejar gelaran Datuk, Tan Sri dan sebagainya?

Maka pelbagai jawapanlah yang bakal diterima dari akal yang logik mahupu dari sudut yang lain berdasarkan pengalaman serta pengetahuan mereka yang menjawab.

Sekali lagi saya ulangi ketiga-tiga soalan ini adalah berdasarkan persoalan yang sama. Perbezaan penerapan nilai. Mungkin kerana kita tidak mempelajarinya di sekolah atau mungkin kita tak punya pengetahuan mengenai aspek penerapan nilai ini maka kita tak dapat membuat penilaian ini.

Apapun dalam soalan pertama tadi, seorang guru Cina bertanya pada muridnya “ Bila besar nanti nak meniaga apa? ” Sedangkan seorang guru Melayu pula bertanya muridnya, “ Bila besar nanti nak kerja apa? ”

Ini adalah persoalan perbezaan penerapan nilai antara Melayu dan Cina. Orang Melayu kebanyakannya kerja makan gaji dibandingkan dengan orang Cina yang kebanyakan peniaga. Penerapan yang berlaku semenjak pemerintahan British di Tanah Melayu dengan sistem “segregate and rule” atau asing dan perintah iaitu mengasingkan orang Cina di bandar dalam bidang perniagaan, orang melayu di kampung dan orang India di ladang-ladang.

Soalan kedua pula, kenapa seorang isteri sanggup memakaikan stokin suaminya itu pula sebenarnya memperkatakan aspek perbezaan nilai Sekular keduniaan dibandingkan dengan nilai keislaman. Pendapat sekular merasakan yang ini bukanlah sesuatu yang boleh diterima akal oleh seorang isteri kerana hak persamaan yang antara lelaki dan perempuan dilaungkan dalam prinsip ini. Ia berbeza dengan prinsip lslam yang mana ini bukanlah satu masalah kerana ia dianggap jihad seorang isteri dan bakal mendapat ganjaran dari Allah Taala.

Dalam soalan ketiga pula mengapa orang melayu tak pandai mempromosikan perniagaannya sepertimana orang Barat lebih jelas menunjukkan isu perbezaan penerapan nilai ini. Isu perbezaan antara perniagaan orang melayu yang masih mentah kalau dibandingkan dengan perniagaan orang Barat yang telah dewasa sedewasa tamadunnya. Dalam hal ini kita tak membandingkan epal dengan epal tetapi kita membandingkan tembikai dengan epal yang mana perbezaannya terlalu jauh.

Seterusnya dalam soalan kenapa ada orang mengejar gelaran Datuk, Tan Sri dan Datin juga sekali lagi merupakan bentuk soalan perbezaan penerapan nilai. Perbezaan antara nilai dunia dan nilai akhirat antaranya. Biar saya huraikan. Pertamanya mari kita buat perbandingan. Gelaran-gelaran ini saling tak tumpah seperti gelaran Sir, Duke dan Madam yang dipelopori British dahulu namun apa yang pelik ia tidak digunakan di Amerika Syarikat salah sebuah negara yang termaju di dunia. President George Bush juga dikenali sebagai Mr George Bush selepas dia meletakkan jawatannya. Ramai yang terkenal seperti Micheal Jakson tidak pula diberi gelaran Tan Sri Micheal Jackson atau Sir Micheal Jackson contohnya.

Kalau perbandingan itu dibuat dengan Islam pula Allah memberikan gelaran Nabi dan Rasul kepada manusia, muslimin dan muslimat contohnya tetapi manusia pula yang membentuk gelaran saidina, haji, ustaz, kiyai, lebai dan sebagainya. Gelaran yang tidak dibawa mati ke akhirat kelak.

Berbezakah kedudukan Datuk dan Tan Sri ini di sisi Allah di akhirat kelak sedangkan kita semua tahu yang kemuliaan seseorang terletak pada ketakwaannya kepada Allah dan bukan kerana gelaran, nama, pangkat, harta benda dan segala yang ada di muka bumi ini. Lagipun adakah bila bersolat para Tan Sri dan Datuk bersolat atas udara? Apa bezanya?

Mungkin manusia perlukan penghargaan, mahukan darjat yang lebih tinggi kalau dibandingkan dengan orang lain tetapi persoalannya adakah ia selari dengan ketinggian darjatnya di sisi Allah?

Sebenarnya manusia telah ditipu oleh syaitan yang membisikan semua dakyah ini lantas menyebabkan manusia itu begitu bangga dengan pangkat, darjat dan gelarannya hingga sekiranya orang tersilap tulis Datuk dan Dato’ pun dimarahinya. Tipudaya syaitan yang menjanjikan dunia dan segala isinya ini menyebabkan ramailah yang mengejar gelaran, pangkat, nama, harta dan sebagainya yang hakikatnya tak menjanjikan apa-apa di akhirat kelak.

Kemudian ada pula yang memastikan mereka tak salah menulis semua ini kerana takut tak dapat kontrak dan tender dari Datuk tersebut. Persoalannya datuk yang memberi rezeki atau Allah yang memberi rezeki? Lebih takut pada makhluk manusia daripada takutkan Allah. Silap-silap boleh membawa kita kepada dosa syirik.

Cuba perhatikan analogi berikut ;

Seorang Datuk, yang hensem, kaya, pandai tetapi buruk perangainya dibandingkan dengan lelaki yang hodoh, miskin, kurang ilmunya tetapi baik budi pekertinya. Yang manakah lebih baik? Dalam hal ini saya yakin orang budi pekerti dan akhlak yang menjadi ukuran. Atas sebab inilah dewasa ini kemenangan ramai calon-calon dalam pilihan raya yang dipilih kebanyakannya adalah kerana budi pekerti akidahnya dan bukan perkara yang lain.

Walaubagaimanapun semua ini akan dikupas dalam topik-topik yang disertakan dalam bab kenali diri ini dengan harapan ia memberikan kefahaman yang mendalam kepada diri anda.

Artikel ini dipetik dari manuskrip buku saya yang belum siap.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.