KESILAPAN PELABUR ZERO SIRI 9
Oleh Haji Faizal Yusup
Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia
BAB 9
TADBIR URUS,
INTEGRITI & PERKARA YANG PELABUR JARANG NAMPAK
Ramai pelabur menilai saham
berdasarkan angka. Keuntungan, nisbah kewangan, carta harga dan unjuran masa
depan. Semua ini penting. Namun ada satu perkara yang sering diabaikan,
walaupun kesannya sangat besar dalam jangka panjang, iaitu orang kuat di
sebalik angka tersebut.
Kadang-kadang kita lihat syarikat
yang kelihatan cantik di atas kertas, mencatat keuntungan bertahun-tahun dan
menjadi kegemaran bagi semua pelabur dalam pasaran. Namun dalam masa yang
singkat, semuanya runtuh akibat masalah tadbir urus, salah urus pengurusan, isu
integriti atau manipulasi. Apabila perkara ini berlaku, pelabur runcit biasanya
akan menjadi mangsa terakhir.
Bab ini membincangkan kesilapan pelabur yang jarang dibincangkan, tetapi sangat penting untuk kelangsungan pelaburan jangka panjang iaitu mengabaikan kualiti pengurusan, tadbir urus dan integriti.
Terlalu Percaya
Angka, Terlupa Menilai Manusia
Angka kewangan boleh kelihatan
meyakinkan. Laporan tahunan disusun rapi, jualan dan keuntungan meningkat
berlipat kali ganda dan prospek kelihatan cerah. Namun angka hanyalah hasil
daripada keputusan manusia.
Jika pengarah syarikat yang membuat
keputusan itu tidak berintegriti atau tidak cekap, angka yang baik hari ini
boleh bertukar menjadi masalah besar esok. Pelabur yang hanya melihat nombor
tanpa menilai siapa di belakang tabir yang mengurus syarikat sebenarnya sedang
mengambil risiko tersembunyi.
Pelaburan saham bukan sekadar membeli nombor, tetapi membeli kepercayaan terhadap pengurusan.
Mengabaikan
Kualiti Pengurusan Syarikat
Ramai pelabur tidak mengambil masa
untuk mengenali siapa yang menguruskan syarikat yang mereka labur. Selagi harga
saham naik, mereka beranggapan pengurusan itu baik.
Namun pengurusan yang lemah, tidak
dinamik, tidak telus atau terlalu agresif boleh memusnahkan perniagaan walaupun
produk dan pasaran syarikat tersebut kukuh. Keputusan strategik yang salah
selalunya datang dari bilik pengurusan, bukan dari pasaran.
Pelabur jangka panjang perlu menilai
rekod, prestasi dan hala tuju pengurusan, bukan sekadar laporan kewangan
semasa.
Tidak Peka
Terhadap Isu Tadbir Urus
Tadbir urus merangkumi cara syarikat
dikawal, bagaimana keputusan dibuat dan sejauh mana kepentingan pemegang saham
dilindungi. Isu tadbir urus jarang memberi kesan serta-merta, tetapi apabila ia
meletup, kesannya sangat besar.
Ramai pelabur menganggap isu tadbir
urus sebagai perkara remeh atau terlalu teknikal. Hakikatnya, inilah punca
kepada banyak kejatuhan syarikat besar.
Pelabur yang matang mesti sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal - konflik kepentingan, pengarah yang terlalu dominan, kurangnya ketelusan atau keputusan yang sukar dijelaskan secara logik.
Integriti Tidak
Kelihatan, Tetapi Kesan Sangat Terasa
Integriti pengurusan syarikat tidak
mudah diukur. Ia tidak tercatat secara jelas dalam laporan kewangan. Namun
apabila integriti tiada, kesannya akan muncul dalam pelbagai bentuk antaranya
manipulasi akaun, pendedahan mengejut atau tindakan undang-undang.
Pelabur yang mengabaikan integriti
sering terperangkap kerana mereka tidak bersedia menghadapi perkara di luar
jangkaan. Apabila isu terbongkar, harga saham biasanya jatuh mendadak dan sukar
untuk pulih.
Integriti adalah asas kepada kepercayaan, dan kepercayaan adalah asas kepada pelaburan jangka panjang.
Pelabur Runcit
Selalunya Mangsa Terakhir
Dalam banyak kes masalah tadbir
urus, pihak dalaman selalunya sudah bertindak lebih awal. Pelabur runcit yang
hanya bergantung kepada maklumat awam sering menjadi yang terakhir mengetahui.
Apabila berita buruk tersebar, harga
saham jatuh dengan pantas. Pada ketika itu, ruang untuk bertindak sudah sempit
dan terlewat.
Sebagai pelabur kita kena lebih peka dan tidak terlalu yakin bahawa semua perkara akan sentiasa berjalan lancar. Kes sebegini sudah banyak kali terjadi dalam mana-mana pasaran sekalipun.
Menilai Tadbir
Urus Sebagai Perlindungan Risiko
Menilai tadbir urus dan integriti dalam
sesebuah syarikat yang kita laburkan bukan bertujuan untuk mencari
kesempurnaan. Tiada syarikat yang sempurna. Namun ia membantu pelabur
mengurangkan risiko yang tidak kelihatan.
Pelabur yang mengambil kira faktor
ini mungkin terlepas beberapa peluang jangka pendek, tetapi mereka juga
mengelakkan banyak perangkap jangka panjang.
Ketenangan pelaburan bukan datang daripada keuntungan maksimum, tetapi daripada risiko minimum yang tidak disedari.
Penutup Bab
Pelaburan saham bukan sekadar soal
memilih syarikat yang boleh menjana keuntungan semata-mata, tetapi memilih
syarikat yang boleh dipercayai. Angka boleh berubah, pasaran boleh beralih,
tetapi integriti menentukan kelangsungan.
Pelaburan yang matang memerlukan
pandangan yang lebih meluas daripada carta dan laporan kewangan. Ia memerlukan
penilaian terhadap manusia dan nilai di sebalik perniagaan.
Dalam bab terakhir, FY akan
menyatukan semua pengajaran daripada bab-bab sebelumnya dan membawa pembaca
kepada satu kesimpulan penting iaitu menjadi pelabur yang lebih sedar,
berdisiplin dan berprinsip.
Follow.
Like. Subscribe dan Share andai bermanfaat.
Sekian
dulu,
Terima
kasih.
Haji
Faizal Yusup @ FY
“Haji
Faizal Yusup @ FY adalah Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank
Berhad, Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera, Pernah menjadi Speaker
InvestSmart Suruhanjaya Sekuriti dan Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia.”
“Seminar
Saham From Zero To Hero (FZTH) ialah program pendidikan saham Bursa Malaysia
untuk semua, diasaskan oleh Haji Faizal Yusup, remisier berpengalaman lebih 30
tahun dan ia diiktiraf Bursa Malaysia.”
Layari
www.seminarsaham.my untuk keterangan
lanjut.
#seminarfzth
#faizalyusup



Tiada ulasan:
Catat Ulasan