11 Februari 2026

Kesilapan Pelabur Zero, Newbie, Beginner 7 - Memilih Penasihat atau Mentor Yang Salah

KESILAPAN PELABUR ZERO SIRI 7

Oleh Haji Faizal Yusup

Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia


Pengaruh Manusia & Keputusan Yang Salah

Manusia adalah makhluk sosial. Dalam banyak aspek kehidupan, kita bergantung kepada pandangan dan nasihat orang lain. Dalam pelaburan saham, keadaan ini tidak terkecuali. Malah, pengaruh manusia sering menjadi faktor besar yang menentukan keputusan pelabur, samaada secara sedar atau tidak.

Ramai pelabur baru yang asalnya yakin dengan analisis sendiri, tetapi berubah fikiran selepas mendengar pandangan orang lain. Ada yang beli saham kerana yakin, tetapi jual kerana mendengar pandangan orang lain. Ada juga yang beli kerana orang lain untung, bukan kerana mereka sendiri faham sebab musababnya.

Bab ini membincangkan bagaimana pengaruh manusia, salah memilih penasihat dan kegagalan memikul tanggungjawab keputusan sendiri menjadi punca utama kerugian yang sebenarnya boleh dielakkan.

Salah Memilih Penasihat

Tidak semua penasihat pelaburan mempunyai niat yang sama. Ada yang benar-benar mahu membantu, tetapi ada juga yang lebih mementingkan kepentingan sendiri samaada komisen, populariti atau kerana agenda tertentu.

Pelabur yang terlalu mempercayai penasihat tanpa menilai kesesuaian nasihat tersebut dengan situasi sendiri mudah terperangkap. Apa yang sesuai untuk orang lain belum tentu sesuai untuk diri kita sendiri.

FY sering menegaskan bahawa penasihat sepatutnya membantu pelabur berfikir dengan lebih jelas, bukan menggantikan pemikiran pelabur sepenuhnya. Penasihat yang baik tidak memaksa keputusan, tetapi memberi khidmat nasihat dan panduan dengan penuh hemah.

Terlalu Bergantung Kepada Orang Lain

Ramai pelabur berasa selamat apabila mereka tidak membuat keputusan sendiri. Mereka lebih selesa mengikut orang lain kerana tidak mahu menanggung risiko kesilapan.

Masalahnya, apabila keputusan itu membawa kepada kerugian, pelabur tidak tahu apa yang perlu diperbaiki. Mereka tidak belajar apa-apa kerana mereka tidak benar-benar faham keputusan pelaburan tersebut sejak awal.

Kebergantungan berlebihan kepada orang lain akan melemah anda sebagai pelabur. Pelabur yang matang mengambil nasihat sebagai input, tetapi keputusan akhir tetap dibuat dengan ilmu, kajian dan kefahaman sendiri.

Ikut-Ikutan Tanpa Faham

Fenomena ikut-ikutan sangat ketara dalam pasaran saham. Apabila sesuatu saham menjadi bualan, ramai yang masuk tanpa memahami sebab sebenar.

Selagi harga naik, mereka rasa betul. Namun apabila harga berhenti naik atau mula turun, pelabur menjadi panik kerana mereka tidak tahu apa yang mereka pegang.

FY melihat sikap ikut-ikutan sebagai tanda pelabur belum bersedia dari sudut ilmu dan mental. Pelaburan yang baik memerlukan keyakinan yang lahir daripada kefahaman, bukan kerana FOMO (Fear of Missing Out) hanya kerana ramai orang lain buat perkara yang sama. Sikap lalang begini perlu diketepikan sama sekali.

Tidak Bertanggungjawab Atas Keputusan Sendiri

Apabila pelaburan untung, ramai pelabur cepat mengaku itu hasil kebijaksanaan sendiri. Namun apabila rugi, mereka mencari pihak lain untuk dipersalahkan antaranya remisier, penasihat, pasaran atau berita.

Sikap ini menghalang proses pembelajaran. Selagi pelabur tidak bertanggungjawab atas keputusan sendiri, selagi itu mereka akan mengulangi kesilapan yang sama.

FY percaya kematangan pelabur bermula apabila seseorang berani berkata, “Ini keputusan aku sendiri dan aku bertanggungjawab atas akibatnya.”

Autoriti & Persepsi Kepakaran

Ramai pelabur mudah terpengaruh dengan individu yang kelihatan berautoriti samaada kerana pengalaman, jawatan atau cara bercakap yang meyakinkan. Tanpa disedari, persepsi ini mempengaruhi keputusan pelaburan.

Masalahnya, kepakaran dalam bercakap dan menjalankan seminar tidak semestinya sama dengan kepakaran dalam melabur dan berdagang. Pelabur yang tidak berhati-hati mudah menganggap pandanga orang sebegini sebagai kebenaran mutlak.

Dalam pasaran saham, tiada siapa yang betul sepanjang masa. Setiap pandangan perlu dinilai termasuklah pandangan FY sendiri, jangan sesekali menerimanya bulat-bulat.

Belajar Berdikari Dalam Membuat Keputusan

Pelabur yang berjaya bukan mereka yang tidak pernah meminta pandangan, tetapi mereka yang tahu bagaimana menapis maklumat. Mereka mendengar, menilai dan membuat keputusan sendiri.

Berdikari dalam pelaburan bukan bermaksud sombong atau menolak nasihat, tetapi memahami bahawa tanggungjawab akhir sentiasa berada di tangan sendiri.

FY percaya inilah peralihan penting dalam perjalanan pelabur daripada bergantung kepada orang lain, kepada yakin dengan proses pembelajaran diri sendiri.

Penutup Bab

Pengaruh manusia tidak boleh dielakkan, tetapi boleh diurus. Pelabur yang gagal mengurus pengaruh luar akan sentiasa punya tindakan pelaburan yang berubah-ubah dan tidak konsisten.

Dalam pelaburan saham, nasihat boleh dipinjam, tetapi keputusan tidak boleh dipindahkan. Kejayaan dan kegagalan akhirnya adalah milik diri sendiri.

Dalam bab seterusnya, FY akan membawa anda melihat satu lagi punca besar kegagalan pelabur iaitu kesilapan kewangan peribadi yang memusnahkan kesabaran dan disiplin.

Follow. Like. Subscribe dan Share andai bermanfaat.

Sekian dulu,

Terima kasih.

Haji Faizal Yusup @ FY

“Haji Faizal Yusup @ FY adalah Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad, Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera, Pernah menjadi Speaker InvestSmart Suruhanjaya Sekuriti dan Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia.”

“Seminar Saham From Zero To Hero (FZTH) ialah program pendidikan saham Bursa Malaysia untuk semua, diasaskan oleh Haji Faizal Yusup, remisier berpengalaman lebih 30 tahun dan ia diiktiraf Bursa Malaysia.”

Layari www.seminarsaham.my untuk keterangan lanjut.

#seminarfzth

#faizalyusup


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan