28 Julai 2010

Jadilah Bapa Yang Hebat!



Pulang dari tempat kerja tempohari saya mendengar perihal seorang ustaz yang menceritakan tentang bagaimana mahu menjadi seorang bapa yang hebat di radio IKIM. Tak banyak yang dapat saya dengar kerana pada masa itu telah sampai ke penghujung program.

Apapun katanya Ultraman lebih diminati anak-anak kerana pakaiannya yang begitu canggih, cantik dan menarik tidak seperti bapa kita yang saban hari hanya memakai baju pagoda dengan kain pelikat tatkala berada di rumah. Mungkin kita perlu menukar imej kita serba sedikit dengan memakai pakaian yang elok siap dengan minyak wangi dan sebagainya.

Ultraman nampak hebat kerana setiap minggu dia akan menunjukkan kehebatannya mengalahkan raksasa lepas seekor seekor yang lain tak kiralah walau berapa kuat raksasa tersebut. Bila lampu ultraman sudah menyala dan bila lagu ultraman telah bermula kemenangan pasti akan berada dipihaknya. Ini akan mengukuhkan kepercayaan anak-anak terhadap idola mereka yang bernama Ultraman ini.

Bukan hanya ultraman, boleh dikatakan semua superhero mempunyai pakaian yang cantik, kekuatan dan kehebatan untuk membuat keputusan demi untuk mengalahkan penjarat atau musuh mereka.

Bagaimana pula diri kita sebagai bapa? Apa yang kita tonjolkan pada anak-anak? Pagi kita pergi kerja, petang atau malam kita balik kerja, kita kata yang kita pergi kerja cari duit untuk keluarga. Mereka tak faham akan kehebatan kita dalam perkataan mencari duit ini. Pada kefahaman mereka bapa mereka pergi kerja untuk mencari duit di sana sini agaknya. Tiada kehebatan yang dapat dipancarkan di situ. Oleh sebab itu semakin lama anak-anak semakin tidak hormat kerana mereka merasakan yang bapa mereka biasa sahaja dan tiada kehebatan yang dapat mereka lihat.

Masa anak-anak itu kecil semua yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kelihatan serba hebat dan sempurna tetapi bila mereka boleh menilai keadaan itu mula berubah. Contohnya seorang bapa yang besar dan berat pastinya tak akan menyahut cabaran anaknya untuk berlumba lari kerana tahu mereka akan dikalahkan oleh anak. Pastinya tiada kehebatan di situ. Kemudian anak melihat bapanya merokok, menghisap dadah, kaki tidur, pengganggur, berjudi, minuk arak, menonton porno di komputer, membawa makwe balik ke rumah tatkala ibu tiada, ditangkap berkhalwat dan sebagainya maka kemungkinan rasa hormat kepada bapanya itu akan terhakis dan hilang sama sekali. 

Lalu saya lihat pada diri saya sendiri samaada saya punya sikap dan sifat yang diperkatakan itu. Apapun setakat hari ini saya telahpun mempunyai 5 orang anak jadi saya juga menghadapi masalah yang sama. Anak saya yang paling besar berumur 13 tahun. Nurul Aina.

Kisah saya begini. Pada mulanya mereka tidaklah menghormati kerana bila mereka mula dikurniakan akal untuk berfikir mereka mula merasakan yang mereka lebih pandai atau mereka mula membuat perbandingan dengan bapa kawan-kawan mereka. Bagaimanapun kebolehan saya sebagai bapa yang mempunyai kebolehan yang pelbagai ini lambat laun menyebabkan mereka akur dan menerima yang bapa mereka memang hebat. J.

Kehebatan dalam hal ini ialah bila si bapa boleh melakukan sesuatu yang tidak dapat mereka capai atau atasi. Setkat ini mereka kalah dalam semua permainan badminton, lumba lari dan sebagainya. Mereka mengakui hakikat yang bapa mereka boleh menulis buku hingga diterbitkan, punya kebolehan dalam melukis hingga boleh melukis potret dan sebagainya. Semua ini buat masa ini terlalu jauh untuk mereka capai. Jadi saya sebagai bapa masih berada dalam keadaan yang selamat.

Bilamana saya menjalankan sesi motivasi di sekolah mereka dan sesi itu mendapat pujian ramai maka ini membuka mata mereka akan kebolehan bapa mereka ini. Bila mana minggu bicara buku diadakan dan buku bapa mereka yang dipilih mereka merasa bangga. Bila mana mereka ternampak seseorang membaca buku hasil tulisan bapa mereka di jalanan mereka terkedu dan umpama kisah Ultraman yang berulang-ulang menunjukkan kekuatannya saban minggu maka lambat laun mereka dapat menerima hakikat itu dan akhirnya mengakui kehebatan bapa mereka ini.

Kemudian saya bukanlah jenis bapa yang suka duduk diam, saya selalunya akan cuba meningkatkan diri dalam banyak segi. Belajar perkara-perkara baru, mencari modal-modal yang baru, teka teki yang baru, kisah motivasi yang baru, kemahiran yang baru, magik yang baru, lagu yang baru dan sebagainya untuk disampaikan pada mereka yang membuatkan mereka kagum dan terkejut.

Saya belajar buat rubik cube hingga selesai dan selagi mereka tak dapat menyelesaikannya maka mereka akan sentiasa merasakan yang bapa mereka ini hebat. Sayatulis novel dan bila hasil tulisan novel saya itu lebih baik dari novel yang pernah mereka baca ini menjadikan diri saya sebagai bapa seorang yang hebat. Anda tahu apa terjadi? Bila mereka membaca novel karangan saya mereka sudah tak mahu lagi membeli novel hasil tulisan orang lain. Hebat bukan?

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

' style='padding: 0; border: none;'/>

26 Julai 2010

Puisi Cinta



Aku hanyut dalam dakapan cintamu
Siang malam sentiasa merindu
Wajahmu laksana bidadari
Telah terpatri di dalam hati

Jantungku bergetar tak menentu
Setiap kali kita bertemu
Merungkai rasa rindu
Yang bersemayam di dalam kalbu

Dunia ini umpama pelangi
Saat cinta kita bersemi
Semoga ia bersemadi di relung hati
Hingga ke akhir detik waktu

' style='padding: 0; border: none;'/>

20 Julai 2010

Teka Teki Corner

-->

1.           Apa dia yang kelihatan betul-betul serupa dengan lutut kanan seorang manusia?
Lutut kiri manusialah, sama sahajakan

2.           Tekan kanan tekan kiri, bila tekan hiduplah dia, bergerak-gerak kesana-kesini, mati dan hidupnya ditangan manusia.
Tetikus

3.           Kalau polis jadi petani, menteri jadi petani, akauntan jadi petani, doktor jadi petani, lawyer jadi petani, abis tu petani jadi apa?
Petani jadi ramai

4.           Bermata tidak pandai melihat, bercakap tidak ada bunyi.
Pen

5.           Rodanya dua, kakinya lapan?
Kereta Lembu

6.           Macamana nak cakap "saya naik motosikal" dalam bahasa jepun?
Suzuki ku naiki

7.           Dalam banyak – banyak ubat, ubat apa yang di cipta bukan untuk menyembuhkan penyakit tetapi membunuh!?
Ubat nyamuk

8.           Makan menyelam, tidur bergantung. Apa dia?
Gayung

9.           Bulan bintang siapa bapa si bulan?
Tang. Bulan Bin Tang

10.        Jika anda menunggang motorsikal dengan tiba tiba adalah 2 ekor binatang iaitu ular dan biawak maka yang mana satukah perlu anda pijak ?
Brek Motorlah

11.        Hussein Abu Bakar yang sedang menunggang motosikal kena tahan oleh polis trafik dalam satu pemeriksaan polis di bandar. Tapi dia mematuhi peraturan iaitu mempunyai lesen memandu motosikal,memakai topi keselamatan dan motosikalnya dalam keadaan baik. So asal polis tu tahan?
Kerana motosikal itu ditunggang oleh tiga orang iaitu Hussein, Abu dan Bakar

12.        Apakah yang boleh naik tetapi tidak boleh turun?
Umur

13.        Selak kain, nampak bulu?
Jagung

14.        Ada orang melayu tengok orang cina makan dengan chopstik, selepas tu dia tengok orang India makan dengan apa?
Dengan matalah.

15.        Buah atau benda apa yang tidak bernyawa jika dilangkah mati?
Buah Dam

16.        Ada seorang budak berjalan ditepi pantai, bila dia pusing belakang nak tengok tapak kaki, tapi tapak kaki tu tak ada. kenapa?
Sebab dia jalan mengundur.

17.        Banyak-banyak sampah. sampah apa yang tidak berbau busuk? Sampah masyarakat

18.        Kenapa orang perempuan takleh berjalan kaki di padang pasir?
Sebab takut susunya bertukar menjadi keju.

19.        Antara ayam dengan telur yang mana dahulu?
'Antara'

20.        Abu, Bakar, Muthu, Samy. Mereka ini kawan baik. Suatu hari, Abu dituduh jahat, dia ditangkap dan didapati bersalah. Kenapa?
Abu Bakar motor Samy

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

16 Julai 2010

Patuhlah pada Allah




Dalam kehidupan seharian sejak kecil kita disuruh untuk melakukan itu ini oleh kedua ibubapa kita. Pergi buang sampah, kemas bilik, basuh pinggan, basuh kain, sidai kain, cuci bilik air, tolong cuci kereta, cuci longkang, siram bunga, buat homework, belajar, mencari uban, mengurut, pergi ke kedai dan sebagainya. Adakalanya kita melakukannya tanpa banyak soal tetapi adakalanya kita melakukannya dengan berdengus tanpa keikhlasan. Ini kerana kita kita sedang berehat menonton televisyen kerana ada rancangan yang menuju klimaks ceritanya namun ibubapa kita tak pedulikan itu semua dan tetap mahu kita membuat kerja yang disuruhnya itu.

Kemudian ada pula perkara-perkara yang ingin kita buat tetapi tak dibenarkan berbuat demikian. Jangan berlari, jangan memanjat, jangan main telefon, jangan mandi hujan, jangan hisap jari, jangan pakai cutex, jangan conteng badan, tak boleh tidur di rumah kawan, tak boleh pergi kompleks membeli belah sendirian dan sebagainya. Jangan itu jangan ini, tak boleh itu tak boleh ini. 

Saya yakin kita semua pernah berada dalam keadaan yang saya katakan itu.

Apapun sebenarnya semua ini samalah seperti apa yang Allah Taala perintah dan larang.

Manusia tak seperti mesin yang datang dengan manual penuh dengan arahan akan bagaimana untuk menggunakan mesin tersebut. Manusia dilahirkan tanpa manual, jadi Allah Taala memberikan manual yang perlu diikuti manusia iaitu kepada semua manusia. Manual itu adalah Al Quran dengan cara perlaksanaannya diajarkan oleh Rasullullah SAW. Hakikat semua orang tahu ianya begitu sukar untuk melakukan sesuatu itu hanya dengan teorinya tetapi ia akan dapat dilakukan dengan baik bila kita dapat melihat cara perbuatannya.

Al Quran (Allah) menyuruh kita bersolat tetapi bagaimana? Nabi SAW lah yang menjadi tauladan secara fizikalnya bagaimana untuk bersolat. Siap dengan wudhunya siap dengan rukuk, sujud dan salamnya.

Begitu juga kalau kita membaca buku origami, menyelesaikan rubik cube, membaiki engin atau apa sahaja. Sebenarnya lebih mudah kalau kita memperlajarinya dari youtube atau bila ada seseorang yang mengajarnya pada kita di depan mata secara praktikal.

Apapun huraian ini ialah berkenaan dengan kepatuhan. Dalam hidup kita kena patuh kepada banyak perkara. Patuh kepada undang-undang, peraturan dan hukum hakam dan sebagainya. Ketidakpatuhan kepada ibubapa kita akan dihukum, ketidakpatuhan kepada undang-undang kita mungkin akan didenda dan dipenjara, ketidakpatuhan kepada undang-undang di jalan raya mungkin akan menyebabkan kita kemalangan dan lebih teruk lagi ketidakpatuhan kepada Allah Taala mungkin akan menyebabkan kita menderita dalam neraka buat selama-lamanya.

Oleh itu kalau bapa kita menyuruh kita membantunya mencuci kereta patuhlah dan kalau Allah taala mewajibkan kita bersolat lima waktu patuhlah. Kalau bapa kita tak benarkan kita berbuat sesuatu, patuhlah begitu juga bila Allah mengharamkan sesuatu, patuhlah. Seperkara lagi patuhlah dengan ikhlas. Ini kerana kepatuhan mesti datang dengan keikhlasan. Tiada gunanya kita melakukan sesuatu tanpa keikhlasan. Dari segi amalan ibadah sekalipun kalau ia tidak akan dikira tanpa keikhlasan. Itu saya cukup yakin.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>