13 Julai 2010

Catatan Penulis



Semasa saya menulis puisi yang dikhaskan sempena Hari Bapa tempohari ia mengingatkan saya mengenai kehidupan yang pendek ini. Ini kerana arwah bapa saya Mohamed Yusup bin Haji Jamal itu meninggal dunia pada tanggal 9 Mei 2001 pada umurnya 53 tahun. Jawatan terakhirnya ialah sebagai seorang ketua pengawal keselamatan di Universiti Malaya.

Terus terang saya katakan adakalanya saya begitu merindui lawak jenaka, lagu-lagu lama yang dinyanyikan itu juga kata-kata nasihat yang sering diutarakan di malam-malam hari ketika kami duduk bersantai di depan rumah di Kampung Awal Universiti Malaya satu ketika dahulu.

Lagu-lagu D’loyds, Mercy’s, Bob Tutopoly, Beatles, Black Dog Bone, Broery Marantika dan banyak yang lain sering berkumandang petang-petang tatkala di memetik gitar kapuknya menyanyi menghiburkan kami. Saya juga naik hafal akan lagu-lagu yang dinyanyikan itu.

Seperti yang saya katakan dia adalah bapa yang terbaik di dunia. Sikapnya yang penuh toleransi, mendidik, suka mendorong, memahami jiwa anak-anaknya dalam tegas sudah cukup untuk menjadikan kami anak-anak yang matang. 

Anda tahu bagaimana dia meninggal dunia?

Dia meninggal dunia semasa berlatih menyanyi kerana dia akan membuat persiapan sempena Hari Kualiti yang akan berlangsung di Dewan Tunku Chanselor pada tahun 2001. Semasa itu dia sedang memetik gitar menyanyikan lagu ini...

D' Lloyd

Keagungan Tuhan

Insaflah wahai manusia
Jika diri mu bernoda
Dunia hanya naungan
'tuk makhluk ciptaan tuhan

Dengan tiada terduga
Dunia ini kan binasa
Kita kembali ke asalnya
Menghadap Tuhan Yang Esa

( korus )
Dialah Pengasih dan Penyayang
Kepada semua insan
Janganlah ragu atau bimbang
Pada Keagungan Tuhan

Betapa Maha Besarnya
Pencipta alam semesta

Siapa selalu berbakti
Mengabdi pada Ilahi
Kan sentosa selamanya
Di dunia dan akhir masa

Mungkin lagu ini merupakan lagu terakhirnya untuk kita sama-sama mengambil iktibar ke atasnya. Dia diserang penyakit jantung pada pukul 3.35 petang dan disahkan meninggal dunia pada 5.10 petang Hari Jumaat 9 Mei 2001 di Hospital Universiti, Kuala Lumpur. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Apapun bila saya fikirkan andaikata saya juga akan meninggal dunia pada umur 53 tahun maknanya saya cuma punya 13 tahun lagi untuk hidup. 13 tahun bukanlah satu jangkamasa yang lama. Jadi bagaimanakah pula saya akan diingati lebih-lebih lagi oleh anak-anak saya yang seramai 5 orang itu?

Nurul Aina, Nur Nadia, Ammar Faris, Nur Danisha dan Nurul Huda. Sengaja saya menyebut nama mereka di sini dengan harapan agar andai saya telah tiada di masa depan blog ini masih ada untuk dijadikan tempat mereka mengambil nasihat-nasihat dari bapa mereka ini. Bapa mereka yang bernama Faizal Yusup.

Mungkin atas sebab yang sama saya lebih suka menulis entri-entri yang original dan bukannya yang di “copy and paste” kerana saya yakin mereka tak mahu membaca sesuatu yang diciplak dan pastinya mereka hanya ingin membaca apa yang bapa mereka tulis rasanya. Umpama kisah Lukman menasihati anaknya gitu...

Ketahuilah menjadi penulis dan berkarya dan dengan terbitnya sesuatu karya itu sebenarnya sesuatu yang baik. Ini kerana selagi buku itu ada di pasaran dan selagi ia ada dalam simpanan keluarga pastinya ia merupakan satu peninggalan yang berharga buat anak dan cucunya.

Paling tidakpun bila seseorang penulis itu meninggal dunia dia akan meninggalkan cenderahati kenangan buat keluarganya yang masih tinggal. Inilah kelebihan seorang karyawan.

Saya yakin keluarga, anak cucu P Ramlee, AR Tompel, Sudirman, Pendeta Zaaba dan para karyawan yang lainnya dapat mengingati peninggalan mereka-mereka ini sebagai tanda kenangan yang mereka pernah singgah di mukabumi ini satu ketika dahulu. Pastinya ia akan mengingatkan mereka pada seribu kenangan saat mereka bersama dahulu.

Jadi, soalan saya kepada anda ialah, apakah yang akan anda tinggalkan untuk anak cucu anda bila anda meninggalkan dunia ini kelak?


Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.