28 Julai 2010
Jadilah Bapa Yang Hebat!
Pulang dari tempat kerja tempohari saya mendengar perihal seorang ustaz yang menceritakan tentang bagaimana mahu menjadi seorang bapa yang hebat di radio IKIM. Tak banyak yang dapat saya dengar kerana pada masa itu telah sampai ke penghujung program.
Apapun katanya Ultraman lebih diminati anak-anak kerana pakaiannya yang begitu canggih, cantik dan menarik tidak seperti bapa kita yang saban hari hanya memakai baju pagoda dengan kain pelikat tatkala berada di rumah. Mungkin kita perlu menukar imej kita serba sedikit dengan memakai pakaian yang elok siap dengan minyak wangi dan sebagainya.
Ultraman nampak hebat kerana setiap minggu dia akan menunjukkan kehebatannya mengalahkan raksasa lepas seekor seekor yang lain tak kiralah walau berapa kuat raksasa tersebut. Bila lampu ultraman sudah menyala dan bila lagu ultraman telah bermula kemenangan pasti akan berada dipihaknya. Ini akan mengukuhkan kepercayaan anak-anak terhadap idola mereka yang bernama Ultraman ini.
Bukan hanya ultraman, boleh dikatakan semua superhero mempunyai pakaian yang cantik, kekuatan dan kehebatan untuk membuat keputusan demi untuk mengalahkan penjarat atau musuh mereka.
Bagaimana pula diri kita sebagai bapa? Apa yang kita tonjolkan pada anak-anak? Pagi kita pergi kerja, petang atau malam kita balik kerja, kita kata yang kita pergi kerja cari duit untuk keluarga. Mereka tak faham akan kehebatan kita dalam perkataan mencari duit ini. Pada kefahaman mereka bapa mereka pergi kerja untuk mencari duit di sana sini agaknya. Tiada kehebatan yang dapat dipancarkan di situ. Oleh sebab itu semakin lama anak-anak semakin tidak hormat kerana mereka merasakan yang bapa mereka biasa sahaja dan tiada kehebatan yang dapat mereka lihat.
Masa anak-anak itu kecil semua yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kelihatan serba hebat dan sempurna tetapi bila mereka boleh menilai keadaan itu mula berubah. Contohnya seorang bapa yang besar dan berat pastinya tak akan menyahut cabaran anaknya untuk berlumba lari kerana tahu mereka akan dikalahkan oleh anak. Pastinya tiada kehebatan di situ. Kemudian anak melihat bapanya merokok, menghisap dadah, kaki tidur, pengganggur, berjudi, minuk arak, menonton porno di komputer, membawa makwe balik ke rumah tatkala ibu tiada, ditangkap berkhalwat dan sebagainya maka kemungkinan rasa hormat kepada bapanya itu akan terhakis dan hilang sama sekali.
Lalu saya lihat pada diri saya sendiri samaada saya punya sikap dan sifat yang diperkatakan itu. Apapun setakat hari ini saya telahpun mempunyai 5 orang anak jadi saya juga menghadapi masalah yang sama. Anak saya yang paling besar berumur 13 tahun. Nurul Aina.
Kisah saya begini. Pada mulanya mereka tidaklah menghormati kerana bila mereka mula dikurniakan akal untuk berfikir mereka mula merasakan yang mereka lebih pandai atau mereka mula membuat perbandingan dengan bapa kawan-kawan mereka. Bagaimanapun kebolehan saya sebagai bapa yang mempunyai kebolehan yang pelbagai ini lambat laun menyebabkan mereka akur dan menerima yang bapa mereka memang hebat. J.
Kehebatan dalam hal ini ialah bila si bapa boleh melakukan sesuatu yang tidak dapat mereka capai atau atasi. Setkat ini mereka kalah dalam semua permainan badminton, lumba lari dan sebagainya. Mereka mengakui hakikat yang bapa mereka boleh menulis buku hingga diterbitkan, punya kebolehan dalam melukis hingga boleh melukis potret dan sebagainya. Semua ini buat masa ini terlalu jauh untuk mereka capai. Jadi saya sebagai bapa masih berada dalam keadaan yang selamat.
Bilamana saya menjalankan sesi motivasi di sekolah mereka dan sesi itu mendapat pujian ramai maka ini membuka mata mereka akan kebolehan bapa mereka ini. Bila mana minggu bicara buku diadakan dan buku bapa mereka yang dipilih mereka merasa bangga. Bila mana mereka ternampak seseorang membaca buku hasil tulisan bapa mereka di jalanan mereka terkedu dan umpama kisah Ultraman yang berulang-ulang menunjukkan kekuatannya saban minggu maka lambat laun mereka dapat menerima hakikat itu dan akhirnya mengakui kehebatan bapa mereka ini.
Kemudian saya bukanlah jenis bapa yang suka duduk diam, saya selalunya akan cuba meningkatkan diri dalam banyak segi. Belajar perkara-perkara baru, mencari modal-modal yang baru, teka teki yang baru, kisah motivasi yang baru, kemahiran yang baru, magik yang baru, lagu yang baru dan sebagainya untuk disampaikan pada mereka yang membuatkan mereka kagum dan terkejut.
Saya belajar buat rubik cube hingga selesai dan selagi mereka tak dapat menyelesaikannya maka mereka akan sentiasa merasakan yang bapa mereka ini hebat. Sayatulis novel dan bila hasil tulisan novel saya itu lebih baik dari novel yang pernah mereka baca ini menjadikan diri saya sebagai bapa seorang yang hebat. Anda tahu apa terjadi? Bila mereka membaca novel karangan saya mereka sudah tak mahu lagi membeli novel hasil tulisan orang lain. Hebat bukan?
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Ditulis oleh
faizal yusup
pada
2:13 PTG
Labels:
Segmen Motivasi,
Segmen Motivasi Keibubapaan,
Segmen Pengisian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.