Sekian lama dalam kehidupan saya cuba mencari satu formula yang saya rasakan begitu penting dalam perjalanan hidup seorang manusia. Formula yang saya perkatakan itu ialah formula keimanan. Namun demikian setelah membuat pelbagai kajian ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia bukanlah satu formula matematik yang mana bila semua variablesnya telah berada di tempatnya maka kita akan mendapat keimanan tersebut. Ia bukan semudah itu. Apapun saya akan terus-terusan mencarinya dengan harapan ia akan dapat ditemui dan dengannya memudahkan kita semua berada dalam keimanan dan keislaman.
Daripada kajian yang saya lakukan ia tak cukup hanya dengan mengisi ilmu dan pengetahuan mengenai Islam di dalam diri, ia juga mesti dijalankan dengan ibadah yang ikhlas kerana Allah Taala. Sentiasa berusaha ke atas ilmu dan amal bagi mendapat keimanan. Sesungguhnya keimanan itu hak milik Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.
Pada saya ia boleh dilihat pada diri seseorang itu. Mereka yang beriman pasti menjaga solatnya, melakukan kerja-kerja dalam rangkuman wajib dan sunat. Percaya kepada hari akhirat dan membuat persiapan menuju kematian. Dia hanya takut kepada Allah dan langsung tak memuja mana-mana makhluk atau dalam ertikata lain tidak menduakan Allah Taala. Sentiasa berserah dan bertakwa, bersifat ehsan, bersih dan tenang hatinya atau dalam ertikata lain berakhlak mulia. Sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan ibadah dan amalan kebaikan dalam apa juga caranya. Berjalan di tempat yang terang dan bukannya penuh dengan hipokasi dalam kekaburan dan kegelapan.
Dewasa ini dalam zaman moden ini begitu banyak orang yang terpesong dan memilih jalan keduniaan. Dalam hal ini kekadang saya menziarah blog-blog yang lain yang ramai pengunjungnya dan dalam banyak aspek bila saya kaji mereka merupakan blogger yang tak SEDAR apa yang mereka katakan. Tak SEDAR apa yang mereka terapkan kepada pembacanya dan tak SEDAR yang akibat dari semua penyampaian itu.
Ada blog yang menekankan kepada cerita-cerita seksual. Cerita berkenaan kehidupan mereka dalam bilik. Ada yang bercerita tentang hal dunia mainan baru, kamera baru, hand bag baru, kereta baru, rumah baru dan sebagainya, kisah melancong di sini sana, kisah hiburan, kisah lucu, kisah lucah dan sebagainya. Kisah-kisah yang sebenarnya menggegarkan nafsu pembacanya. Tak hairanlah begitu ramai yang berkunjung ke blog-blog tersebut. Begitulah keadaannya di akhir zaman ini. Penyampai ilmu semakin berkurangan sedangkan penyampai perkara yang karut marut semakin berleluasa. Kajian Dato’ Dr Fadzilah Kamsahpun menunjukkan hanya 20% umat Islam di negara ini yang cukup solatnya lima waktu. Fikirkanlah.
Apapun dalam mencari formula keimanan ini, mungkin kita boleh pecahkannya begini.
Dari sudut Tauhid. Saya banyak kali menghuraikan tentang aspek ini. Ketauhidan ini ialah kepercayaan kepada Allah yang satu. Hanya Allah Pencipta dan yang lainnya pula dicipta. Hanya Allah yang berkuasa memberi manfaat dan mudarat dan sesungguhnya tiada makhluk lain yang berupaya berbuat demikian tanpa izin Allah Taala.
Dari sudut Fekah. Ia berkenaan dengan hukum hakam, halal haram yang telah disarankan Allah Taala. Mengikuti segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Dan akhir sekali dari sudut Akhlak dari segi sikap dan sifat, budi pekerti yang mulia.
Dalam hal semua hal ini kita kena mencari ilmu mengenainya. Kita kena cari ilmu Tauhid agar kita taklah percaya yang makhluk berkuasa boleh buat itu ini. Taklah kita percaya kepada hantu yang pelbagai yang boleh melakukan itu ini pada kita. Taklah kita percaya gelang yang boleh membawa kesihatan, ubat yang boleh buat kita kuat dan sebagainya. Kita kenalah mencari ilmu Fekah agar kita tahu hukum hakam perintah Allah. Taklah kita makan duit haram, makanan haram, melakukan perkara yang makruh dan haram saban hari dan sebagainya.
Perhatikan apa juga kelemahan yang ada pada diri dan seterusnya berusaha untuk memperbaikinya. Itu yang penting. Mungkin dengan usaha yang istiqomah, berterusan dengan rendah hati dan ikhlas kepada Allah maka Allah Taala akan mengurniakan pelbagai kebaikan pada diri kita di dunia mahupun di akhirat kelak. InsyaAllah.
Sayapun banyak lagi nak belajar ni. Apapun saya nak terus cari formula tersebutlah. InsyaAllah mungkin saya akan bertemu dengannya satu hari nanti. Formula jalan mudah menuju hidayah.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.