31 Ogos 2010

Bicara Politik




Baru–baru ini saya bertemu dengan kawan-kawan lama seramai 24 orang setelah sekian lama tidak bertemu, ada yang menjangkaui jangkamasa 23 tahun lamanya iaitu semenjak tahun 1987 ketika kami meninggalkan sekolah dahulu. Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Dari sini ada yang menyambung pelajarannya ke peringkat Universiti hingga ke PHD ada juga yang tidak dan mereka pula bekerja dalam pelbagai bidang. 

Apapun dalam pertemuan yang singkat itu pelbagai perkara yang dapat saya perhatikan. Selain bercerita tentang memori lama, ada juga yang sibuk bercerita tentang politik, tentang perniagaan, tentang kerja dan sebagainya berdasarkan pengalaman yang mereka lalui selama ini. Ada juga yang Islamik dan ada juga yang tidak.

Apapun dalam artikel kali ini ada dua elemen yang ingin saya utarakan. Seorang yang bercerita tentang ketidakpuasan hatinya dalam hal politik negara dan seorang lagi yang bercerita tentang masalah sikap orang melayu di kilang tempat dia bekerja.

Mula-mula kisah politik. Politik di negara ini mengalami pelbagai gegaran permasalahan dalam negara dewasa ini dan yang menyedihkan saya ialah ialah ia membawa kepada perpecahan yang lebih mendalam dalam rangkuman kaum melayu di negara ini. Di negara ini, dewasa ini begitu ramai yang bercerita tentang kisah-kisah politik ini, kisah rasuah, kisah ditindas dan menindas, kisah masalah perilaku ahli politik negara ini, kisah pecah amanah, kisah maksiat, kisah konspirasi dan sebagainya. Maka ramailah orang yang masuk ke dalam band wagon politik ini dan mahu bercerita tentang semua kisah ini.

Pada saya kisah politik ini merupakan satu kisah yang menimbulkan banyak konflik. Konflik bermakna ia lebih banyak membawa kepada kemudaratan dan perpecahan daripada kesatuan. Kemudian kisah ini juga tak dapat nak dipastikan akan kebenarannya. Kalau apa yang disampaikan itu benar maka ia taklah menjadi masalah tetapi kalau apa yang disampaikan itu fitnah, menipu dan dari sumber yang tak betul maka kita juga yang akan menanggung dosanya. Kita bersalahan sesama manusia dengan tuduhan yang tak betul kepada manusia yang masih hidup maka ia akan menjadi sukar untuk kita meminta maaf dan membetulkannya.

Terus terang bukankah lebih baik kita memilih pengisian yang berbentuk meningkatkan iman dari pengisian yang bersifat makruh ke haram sebegini? Bukankah sebagai seorang yang beragama Islam menyampaikan dakwah. Menyebarkan syiar Islam dan menyampaikan yang benar dari Allah Taala itu merupakan pengisian yang paling tinggi nilainya. Dan ganjaran kebaikannya akan menjadi amalan yang bakal kita bawa mati kelak? Bukankah Nabi SAW mengatakan yang orang yang paling bijak ialah mereka yang mengingati mati dan membuat persediaan menuju kematian?

Ah... bercerita tentang pemimpin di negara ini. Mana ada ahli politik yang yang sebenarnya menjadi ahli politik untuk berbakti kepada rakyat dengan gaji mereka yang rendah itu? Mereka kena menyumbang di sana dan di sini di luar kemampuan mereka jadi dari mana mereka mendapat sumber kewangan itu? Lainlah kalau ahli politik di Australian atau di Singapura yang mana gaji mereka begitu tinggi dan dalam keadaan ini dapat mengelakkan rasuah. Kemudian bila melihat kepada rangkuman ahli politik di Malaysia tak ramai daripada mereka yang terdiri dari ahli-ahli profesional. Kebanyakannya dari golongan yang kurang berpelajaran baik dari kepimpinan hinggalah jauh ke akar umbinya.

Namun demikian siapalah saya untuk mengatakan itu ini. Pada saya sesiapa sahaja yang diamanahkan berada di tempat itu atas susunan Allah Taala maka sebarang kesalahan yang mereka lakukan maka pastinya mereka tak akan dapat lari dari hukuman. Kalaupun mereka lepas di dunia yang pastinya mereka tak akan dapat lepas hukuman Allah Taala di akhirat kelak. Sendiri makan pengat, sendiri mau ingat!

Terus terang pada saya pemimpin yang terbaik ialah pemimpin yang menjunjung Al Quran dan Sunnah Rasullullah SAW. Inilah pemimpin yang saya cari dan akan saya sokong.

Pada mereka sibuk dengan perihal politik ini pula, sudahkan kita betulkan diri kita, keluarga kita, masyarakat di sekeliling kita? Macamana kita nak menjadi juara di luar sana kalau dalam diri kita masih berkeladak? Rokok pun kita tak boleh berhenti. Syak wasangka buruk pula masih menguasai diri? Ketahuilah orang yang beriman kepada Allah Taala pasti akan dapat menguasai semua ini. Mereka membuat keputusan berdasarkan akal dan bukannya nafsu. Mereka sentiasa tenang dan redha dengan ketentuan Allah Taala. Mereka punya akhlah yang mulia, hatinya dipenuhi dengan sifat mahmudah dan terpuji dan bukannya sifat mazmumah yang terkeji.

Fikir-fikirkanlah.

Bersambung...

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.