KESILAPAN PELABUR ZERO SIRI 2
Oleh Haji Faizal Yusup
Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia
Pelaburan Tanpa
Ilmu Adalah Judi Yang Tersembunyi
Ramai orang menyangka bahawa untuk berjaya dalam saham, cukuplah dengan keberanian dan keyakinan. Asalkan berani masuk, berani ambil risiko, dan berani menunggu, keuntungan akan datang dengan sendirinya. Hakikatnya, keberanian tanpa ilmu bukan kekuatan, tetapi kelemahan yang merbahaya.
FY sering melihat pelabur yang masuk ke pasaran dengan penuh yakin, tetapi kosong dari segi kefahaman. Mereka tidak sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat tanpa ilmu sebenarnya adalah satu bentuk pertaruhan. Bezanya, pertaruhan ini disembunyikan dengan istilah pelaburan, analisis ringkas dan harapan.
Bab ini membincangkan kesilapan
pelabur yang kelihatan kecil, tetapi membawa implikasi besar iaitu melabur
tanpa ilmu dan kefahaman sebenar.
Tiada Ilmu Pelaburan
Antara kesilapan paling asas ialah apabila seseorang masuk ke pasaran saham tanpa ilmu yang mencukupi. Mereka belajar secara separuh jalan, dengar sedikit di sana sini, kemudian terus berani melabur dengan wang sebenar.
Pelabur sebegini biasanya tidak tahu
mengapa mereka membeli sesuatu saham. Mereka hanya tahu harga sedang naik atau
orang lain sedang bercakap tentangnya. Apabila harga bergerak berlawanan arah,
mereka mula panik kerana tiada sandaran bagi mempertahankan keputusan tersebut.
FY percaya ilmu pelaburan bukan
untuk menjadikan seseorang itu pandai bercakap, tetapi untuk menjadikan mereka tenang
apabila pasaran tidak menentu. Tanpa ilmu, ketenangan hampir mustahil.
Tidak Faham Perniagaan Yang Dilabur
Ramai pelabur membeli saham syarikat yang mereka sendiri tidak faham bagaimana syarikat itu menjana keuntungan. Selagi harga saham naik, mereka rasa yakin dan selesa.
Masalah timbul apabila berlaku
perubahan dalam perniagaan atau industri. Apabila keuntungan menurun atau
syarikat berdepan cabaran mahupun harga sahamnya dimanipulasi, pelabur menjadi
keliru. Mereka tidak tahu samaada masalah itu sementara atau serius kerana
mereka tidak memahami bisnes tersebut sejak awal.
FY sering tekankan bahawa melabur
saham bermaksud melabur dalam sesebuah perniagaan. Jika pelabur tidak faham operasi
perniagaan syarikat yang mereka beli, maka mereka akan panik apabila berdepan
ujian pasaran.
Tak Faham Penyata Kewangan Syarikat
Satu kesilapan besar yang sering
berlaku ialah menganggap penyata kewangan sebagai sesuatu yang rumit dan tidak
perlu difahami. Ramai pelabur menyerahkan tugas ini kepada orang lain atau
mengabaikannya terus.
Sedangkan penyata kewangan
menceritakan keadaan sebenar syarikat. Ia menerangkan bagaimana ia menjana
keuntungan, mengurus hutang dan aliran tunai. Tanpa kefahaman asas ini, pelabur
mudah terpedaya dengan angka yang kelihatan cantik dalam penyata kewangannya.
FY tidak mengatakan semua pelabur
perlu menjadi akauntan, tetapi memahami asas penyata kewangan adalah
tanggungjawab minimum seorang pelabur.
Tidak Membuat Analisis
Beli saham tanpa analisis bermaksud membeli berdasarkan sangkaan dan harapan. Ramai pelabur masuk hanya kerana mendengar cerita, membaca tajuk berita atau melihat harga saham bergerak laju.
Apabila pelabur tidak membuat
analisis sendiri, mereka juga tidak tahu bila sepatutnya keluar. Keputusan
menjadi kabur dan sering berubah-ubah.
Analisis bukan jaminan keuntungan,
tetapi ia memberi sebab yang jelas kenapa sesuatu saham dibeli dan bila ia
perlu dilepaskan.
Ilmu Tanpa Amalan Juga Satu Masalah
FY juga sering melihat pelabur yang
sudah belajar, tetapi gagal mengamalkan apa yang dipelajari. Mereka tahu apa
yang betul, tetapi tidak melakukannya apabila emosi terganggu.
Ilmu tanpa amalan tidak memberi
kesan. Ia hanya menjadi hiasan minda, bukan panduan tindakan.
Pelabur yang berjaya ialah mereka
yang sanggup mempraktikkan ilmu dengan disiplin, walaupun dalam pasaran yang mencabar.
Penutup Bab
Ilmu bukan jaminan kekayaan, tetapi
ketiadaan ilmu hampir pasti membawa kepada kerugian. Pelaburan tanpa ilmu
hanyalah perjudian yang disamar, walaupun niat kelihatan baik.
FY ingin pembaca faham bahawa
melabur saham bukan soal berani atau tidak, tetapi soal faham atau tidak.
Semakin tinggi kefahaman, semakin tenang perjalanan pelaburan.
Dalam bab seterusnya, FY akan membawa pembaca melihat satu lagi punca besar kegagalan pelabur iaitu tiada perancangan, sistem dan disiplin, walaupun ilmu sudah ada.
' style='padding: 0; border: none;'/>



Tiada ulasan:
Catat Ulasan