02 September 2009

Iklim membentuk kita?


Saya ingin mulakan dengan huraian tentang bagaimana iklim negara ini boleh mempengaruhi program diri kita tanpa kita sedari. Huraian ini hanyalah sebagai pengetahuan am. Ini kerana, terdapat banyak lagi elemen lain yang membentuk sesuatu sikap, budaya, bangsa, ideologi, adat resam dan sebagainya.


Keadaan di sini tidaklah seperti semasa saya belajar di Amerika Syarikat dahulu. Saya tinggal di tengah-tengah negara Amerika Syarikat iaitu di Nebraska selama berada di sana. Perubahan cuaca berlaku dengan begitu kerap hingga menyukarkan proses menyesuaikan diri. Ini kerana mereka umumnya mengalami iklim empat musim. Kebiasaannya, masa bertukar menjadi pendek di musim sejuk. Namun, ia akan bertukar menjadi panjang di musim panas. Adakalanya siang boleh muncul pada pukul 4 pagi dan malam hanya datang pada pukul 9:30 malam. Disebabkan itu, kita mestilah selalu bersedia dengan perubahan cuaca ini. Adakalanya ribut taufan dan juga ribut salji melanda. Ada ketikanya hujan air batu sebesar guli yang dikenali sebagai ‘hale’ pula yang melanda. Mungkin atas sebab inilah maka kebanyakan rumah di sana mempunyai garaj meletak kereta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini menimpa mereka. Perubahan cuaca ini pula adakalanya begitu ekstrem. Contohnya, musim sejuk yang terlalu sejuk dan musim panas yang terlalu panas.


Semua ini menyebabkan mereka mencari jalan yang sesuai bagi menangani segala perubahan-perubahan ini dengan tujuan untuk menyesuaikan diri dan mencari keselesaan hidup. Kebanyakan rumah mereka diperbuat daripada kayu dan mempunyai rongga udara yang berfungsi sebagai penebat haba. Kereta mereka turut dilengkapi dengan penyaman udara bagi kegunaan di kala musim panas dan juga pemanas bagi kegunaan di kala musim sejuk.


Perubahan iklim yang ketara ini secara tidak langsung mengubah perspektif mereka tentang cara berfikir dan cara bekerja. Ia menyebabkan mereka lebih kreatif dan juga lebih berimaginatif dalam mencari jalan penyesuaian diri kepada perubahan persekitaran. Mungkin inilah juga kelebihan mereka jika dibandingkan dengan kita. Keadaan ini jugalah yang mungkin menyebabkan mereka jauh lebih maju dari kita dalam banyak segi. Persekitaran kita yang agak sekata pula secara tidak langsung menyebabkan kita sukar untuk menerima perubahan, apatah lagi untuk berubah. Kita umumnya lebih suka dengan cara yang telah sedia ada.


Pada masa yang sama, saya juga percaya bahawa ia menjadikan perenggu minda ataupun mindset kita lebih sekata dan kurang kreatif. Bukan negara ini sahaja, malah banyak lagi negara lain yang mempunyai iklim yang sama terdiri daripada negara-negara dunia ketiga yang distatuskan sebagai negara mundur.


Satu kajian yang telah dijalankan oleh Profesor Richard Lynn mendapati bahawa mereka yang tinggal dan hidup di daerah yang lebih panas mempunyai otak yang lebih kecil jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di daerah yang lebih sejuk dengan keadaan persekitaran yang lebih mencabar.


Perkara ini jelas menunjukkan bahawa iklim negara ini juga merupakan salah satu elemen yang boleh mengubah bentuk prinsip diri kita. Bayangkanlah pula betapa banyak lagi elemen-elemen yang ada di sekeliling kita yang tanpa kita sedari berupaya melakukan perkara yang serupa terhadap kepercayaan diri kita.


Petikan dari buku motivasi Anda Yang Baru.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.