30 Oktober 2009

Sistem Akal – Konsep 4T

Pernahkah anda pergi ke sebuah pertemuan dengan kawan-kawan dan bila anda pulang anda merasakan yang anda tak dapat mencakup walau satupun input baru? Ini kerana isu yang dibincangkan tidak bersifat ilmiah hanya bergosip, menceritakan perihal orang lain dan sebagainya atau mungkin juga anda telah punya ilmu pengetahuan yang terdahulu yang kukuh dalam diri lantas menyebabkan keadaan ini terjadi.


Atau


Pernahkah anda membaca sebuah buku dan merasakan yang ia begitu membosankan kerana anda telah tahu kebanyakan isinya dengan hanya satu dua isi tambahan yang dapat anda cakupi.


Atau


Pernahkah anda bertemu dengan pengikut ajaran sesat dan anda kemudiannya menyanggah semua pengisian yang cuba diberikan mereka.


Atau


Pernahkah anda menyertai sebuah seminar atau kursus motivasi dan merasakan yang ia begitu membosankan kerana anda telah tahu kebanyakan isinya dan anda merasakan yang anda boleh memberikan pengisian yang lebih baik?


Dan pelbagai contoh yang lainnya.


Terus terang saya katakan saya telah melalui semua pengalaman ini. Kadangkala hati saya meronta-ronta untuk ke depan bilik seminar dan seakan ingin mengambil alih tempat guru di hadapan kerana merasakan saya boleh menyampaikan dengan lebih baik dengan kaedah yang lebih berkesan namun demikian ia tak pernah berlaku kerana saya tak mahu mengganggu kredibiliti guru yang berkenaan. Bukanlah nak mengatakan yang diri ini pandai tetapi saya mahu berbuat demikian kerana saya ingin membantu menambahbaikan seminar tersebut dengan harapan ia membawa manfaat kepada pendengarnya. Itu sahaja niat saya.


Mungkin sebab inilah saya menulis buku bagi menyampaikan apa yang tahu dengan niat yang sama. Semoga ia membawa manfaat kepada anda. Kalau anda merasakan yang buku saya ini tiada input maka saya yakin anda seorang yang banyak ilmunya, jadi saya ingin sarankan agar anda mula menulis dan sampaikan kepada khalayak akan ilmu yang anda tahu itu. Saya yakin pasti ia akan membawa kebaikan.


Apapun bila mendapat sesuatu pengisian saranan saya gunakanlah Konsep 4T yang bakal saya huraikan ini dengan itu anda bakal mendapat mengasingkan ilmu yang jitu dari maklumat yang begitu banyak kita terima saban hari.


Konsep 4T


Tangkis
Tapis
Tukar
Tambah


Disini izinkan saya menerangkan mengenai konsep 4T dalam sistem akal ini. Sistem yang saya gunakan dan mungkin juga berguna untuk anda. Di sini saya terangkan dengan cara yang ringkas.


Tangkis
Tangkis ini bermakna dalam satu-satu pengisian kita perlu membuang apa yang tak perlu. Pengisian dengan kelucuan dan kelucahan yang melampau contohnya, pengisian yang menimbulkan konflik serta kontroversi, firnah, menipu, yang membebankan dan sebagainya.


Tapis
Maklumat dan pengetahuan yang kita dapati itu sebenarnya bersifat mentah. Kita perlu menapisnya bagi mendapatkan intipatinya isinya. Hampasnya kita buang. Sebagai seorang Islam Al Quran dan Hadith Nabi adalah merupakan penapis dan penangkis yang baik. Setiap pengisian mestilah ditapis dengan melihat adakah ia selari dengan Islam. Kalau benar maka ia boleh diambil, kalau tidak maka keluarkan pengisian itu walaupun pahit.


Tukar
Seterusnya kalau dahulu kita percaya kepada prinsip B yang telah menjadi prinsip diri sekian lama tetapi kemudiannya kita bertemu dengan prinsip A yang jauh lebih baik juga merupakan prinsip yang benar, maka saya sarankan kita buang prinsip yang terdahulu dan gantikan dengan prinsip yang baru ini.


Tambah
Kalau kita sudah ada prinsip A contohnya dan penyampai menyampaikan pengisian yang sama tetapi ia jauh lebih baik dari apa yang kita ada. Di sini kita akan berkesempatan untuk mencantikkan prinsip A kita itu. Menambah bunga mencantikkan ia menjadi prinsip A yang berkilat.


Setelah melakukan semua proses ini dalam minda maka saya percaya maklumat yang kta terima itu akan menjadi ilmu yang benar. Ia secara tak langsung akan mengutuhkan penyampaian kita dan meningkatkan kredibiliti kita sebagai penyampai.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


PS - Saya ada menulis huraian yang lebih mendalam dalam manuskrip buku Anda Yang Cemerlang yang sedang saya usahakan. InsyaAllah anda boleh mendapatkan buku tersebut bila ia terbit nanti.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.