Petikan ini saya ambil dari blog seorang sahabat - keretamayat kerana saya merasakan ia merupakan satu pengisian yang amat baik.
( Tidak Allah cipta Jin dan Manusia hanyalah untuk ibadah.)
Dalam proses kawan-kawan kita nak belajar jadi baik, nak belajar ‘gaya pulang ke pangkal jalan’, dah tentu satu elemen yang menjadi ramai kawan-kawan lain (Semoga Allah ampunkan dosa mereka) akan meluat bila mana member kita sorang ni akan sentiasa mengajak kita dan kawan-kawan yang lain pergi menunaikan solat secara berjemaah, lalu kita yang tak faham ugama akan jawab… “Alahai, kerja pun ibadah juga!” Dan buat muka ‘sardin’ sambil meneruskan kerja dunia kita.., atau lebih teruk kita caci maki kawan kita dengan menuduh beliau ahli riak, perasan bagus dan sibuk jaga tepi kain orang. Sabar, jangan tuduh kawan kita melulu sebagai tak faham ugama atau ahli riak, padahal kita yang tak tahu bezakan antara Hak dan Batil, untuk makluman, benarlah kerja dunia yang kita buat hari hari inipun adalah ibadah, akan tetapi dalam setiap ibadah ada tahap-tahapnya.
Bagi saya amalan adalah segala perbuatan yang dilakukan dan Ibadah pula ialah amalan yang membolehkan kita mendapat pahala kebaikan dari Allah Taala. Kerja merupakan amalan manusia tetapi kerja dengan niat kerana Allah adalah ibadah. Jadi ada amalan yang boleh jadi ibadah namun ada amalan yang hanya amalan tanpa mendapat apa-apa manfaat. Menyanyi, menari, berhibur, tengok TV, dan kerja-kerja yang tak berfaedah yang lainnya seharusnya dielakkan.
Izinkan saya yang juga sedang belajar ‘gaya pulang ke pangkal jalan’ huraikan serba sedikit, mudah-mudahan Allah bagi kita semua kefahaman yang benar :
Secara ringkasnya, ibadah itu bolehlah kita anggap terbahagi kepada empat tahap :
Ibadah tahap BINATANG
Contoh : Makan, minum, seks, cari tempat teduh dan lain-lain.
Dalil : Burung-burung keluar perut kosong balik perut penuh
sambil berzikir kepada Allah ( hadith )
Ibadah tahap MALAIKAT
Maksud : Buat hubungan dengan Allah,
Contoh : Haji, puasa, solat, zikir, tasbih, tahmid, membaca Al-Quran dan lain-lain.
Dalil : Manusia boleh mencapai lebih tahap malaikat atau bawah tahap syaitan ( hadith )
Ibadah tahap KHALIFAH
Maksud : Buat akhlak baik dengan orang ( makhluk ) kerana Allah.
Contoh : Adil, iqram, sedekah, senyum, kasih sayang, hormat dan lain-lain
Dalil : Sesungguhnya manusia itu dicipta sebagai khalifah ( Al- Quran )
Ibadah tahap NABI
Maksud : Ajak orang kepada Allah.
Contoh : Dakwah, Tabligh, Azan, Nasihat, Ceramah, Tazkirah dan lain-lain
Dalil : Sesungguhnya Kamu sebaik-baik Umat mengajak pada yang makruf… ( Al – Quran)
Jadi di sini kita dapat lihat yang makhluk binatang yang tidak dikurniakan dengan akal fikiran maka ia bergerak dengan mengikut naluri. Naluri untuk meneruskan hidup. “Survival of the Fittest”. Mereka mencari makanan, minuman, habitat tempat berlindung, melakukan hubungan seks untuk memperkembangkan zuriat mahupun demi untuk melepaskan syahwat, bergurau dan bermain dan sebagainya. Apapun binatang jelas tunduk patuh kepada perintah Allah dengan menjalankan peranan masing-masing tanpa soal. Lembu dan Kambing patuh makan rumput dan tak makan binatang lain, Harimau dan Ular makan binatang lain dan tak makan rumput dan sebagainya. Babi patuh tinggal dan makan benda-benda yang kotor dan andai Babi boleh bersuara pasti dia tak mahu makan makanan tersebut. Apapun kepatuhan binatang inilah merupakan ibadah dan khidmat mereka kepada Allah Taala.
Bayangkanlah sekiranya kita makhluk manusia tidak dikurniakan akal oleh Allah Taala maka bukankah kita juga akan jadi sama seperti binatang? Pun begitu walaupun dengan kurniaan akal kita masih lagi dapat lihat manusia yang hidupnya seperti binatang langsung tidak menjalankan ibadah-ibadah yang disebutkan di atas. Mereka hidup tanpa hukum, makan minum tak kira halal atau haram, seks bebas, sumbang muhrim, buang anak dan sebagainya hingga kadangkala lebih rendah martabatnya dari makhluk binatang itu sendiri. Mereka ini hanya mencari jalan untuk meneruskan kehidupan mengikut naluri kata hati.
Bagi makhluk malaikat pula, ia dijadikan Allah tidak sama dengan binatang yang perlukan makan, minum dan tidur sebaliknya ia dijadikan Allah untuk menghambakan diri dengan menjalankan ritual beribadat kepada Allah dengan secara terus-terusan tanpa henti dengan berzikir, bertahmid, bersolat dan sebagainya. Inilah tugas malaikat selain dari tugas 10 malaikat-malaikat yang telah kita ketahui secara umumnya. Ketua Malaikat Jibril A.S. penyampai wahyu, Malaikat Mikail menyampaikan rezeki, Malaikat Malek menjaga pintu neraka dan sebagainya. Apapun malaikat juga berkhidmat untuk Allah dan berkhidmat untuk manusia maka inilah ibadah mereka.
Di sini jelas sebagai makhluk manusia jika kita terlalu sibuk hanya melakukan ritual maka saya pasti Allah tidak menjadikan kita sebagai manusia tetapi akan menjadikan kita sebagai malaikat yang saban hari menjalankan ritual kepatuhan kepada Allah sepertimana yang disebutkan tadi. Ini bermakna yang tugas makhluk manusia sebagai khalifah di mukabumi ini lebih dari binatang malah lebih dari malaikat. Mungkin atas sebab inilah Allah Taala memuliakan makhluk bernama manusia ini.
Dalam hal ini tak semua makhluk bernama manusia dijadikan Allah sebagai seorang ulamak, ahli sufi, kiai, atau mufti dan sebagainya. Namun pemahaman dalam konsep ibadah ini amat penting kerana dengannya barulah kita nampak akan kedudukan kita yang sebenarnya. Kita boleh berada dalam golongan yang beribadah dengan tahap malaikat sedangkan pada masa itu kita sebenarnya berada pada tahap ibadah yang rendah.
Kita juga pernah mendengar cerita orang Alim yang tinggal di hujung kampung dan bila bala melanda kampung itu, dia juga tak terlepas dari azab sengsara yang menimpa.
Kenapa?
Kerana dia tidak tidak berdakwah ( Ibadah tahap Nabi ) kepada orang-orang kampungnya, sibuk beribadat ( tahap Malaikat ) dan mungkin tidak bergaul dengan masyarakat, menyendiri ( tidak menunaikah hak sebagai manusia -Khalifah ).
Nah! sekarang kita dah tahu maksud dalam setiap ibadah, memanglah kerja tu ibadah tapi ibadah tahap binatang, memang wajib kena buat tapi pandai-pandailah kita bagi masa sebab tu turun surah ‘demi masa.’ Jadi sebaiknyalah masa itu kita gunakan bagi mendapatkan tahap ibadah yang paling tinggi iaitu dengan berdakwah. Setiap seorang dari umat Muhammad S.A.W telah diberikan amanah ini jadi janganlah kita memalingkan diri darinya kerana takut / malu kepada mana-mana makhluk.
Sekarang kita pergi kepada beberapa contoh cerita dalam menambah kefahaman kita bersama :
Kisah Satu
Ada seorang sahabat Nabi sedang membina rumah ( ibadah tahap binatang ) tiba-tiba beliau terdengar azan lalu berhenti ( ibadah tahap malaikat ) walaupun hanya tinggal seketul batu sahaja lagi nak letak bagi menyiapkan rumah tersebut.
Lalu ditegur seseorang..
“Kenapa tak siapkan? Satu batu sahaja lagi yang tinggal…”
Sahabat tadi tak marah ( ibadah tahap khalifah ) dan beritahu pada orang tu,
“Aku takut nanti Allah tanya di akhirat mana yang kau lebih diutamakan , Allah atau batu?” Lantas mengajak sahabat tu pergi masjid. ( ibadah tahap nabi )
Kisah Dua
Kalau kita tengah kerja tu, kira ibadah tahap binatanglah, wajib kita cari rezeki untuk anak-anak serta keluarga tetapi bila dah dengar azan wajiblah kita pergi masjid, tu ibadah tahap malaikat. Dalam perjalanan ada orang lemas minta tolong, tak tolong jadi mayatlah pula, maka kita wajib tolong dia , itu ibadah tahap khalifah dan kau dapati dia orang Islam dan sah tak sembahyang lagi, (sebab lemas masa azan) lalu kita ajak dia sembahyang berjemaah sekali. Itulah ibadah tahap Nabi.
Bukan capai tahap Nabi tetapi ibadah tahap Nabi.
Maka kesimpulannya kepada mereka yang masih meneruskan kerja selepas dengar Azan dan diri tiada uzur : Sesungguhnya, kerja itu adalah ibadah tahap binatang.
Sesungguhnya, manusia itu apabila ia Benar, akan menjadi lebih mulia dari Malaikat, dan diberi kedudukan di sisi para Nabi alahisalam, akan tetapi apabila ia Salah, bukan sahaja dihina seperti binatang, malahan akan diazab bersama Syaitan...
Kereta Mayat
Ikhlas,
FY
Al Haj
0166667430
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.