Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan kamu dan tidak juga kepada rupa kamu tetapi Allah memandang kepada hati kamu.
Riwayat Muslim
Kebersihan hati akan menyebabkan semua yang kita lakukan itu adalah dengan niat kerana Allah baik dari segi hati, lidah dengan pengeluaran kata-kata serta perbuatan. Saya percaya yang nawaitu sebegini berniatkan Allah Taala akan menjadikan apa yang kita lakukan itu diberkati Allah. Hati yang bersih akan menyebabkan pemiliknya melakukan pekerjaan yang baik dari semua sudut pancainderanya. Bercakap perkara yang baik, buah fikiran yang positif, cetusan yang penuh kerendahan hati, melakukan pekerjaan yang baik dan sebagainya.
Mari kita lihat dari sudut perkataan dan cetusan yang dikeluarkan. Sebenarnya kita boleh tahu dan rasa apakah cetusan yang keluar dari mulut kita itu samaada ia adalah cetusan yang dikeluarkan akal fikiran dan dengan niat kerana Allah atas tujuan dan matlamat yang tertentu atau adakah apa yang dikeluarkan itu adalah cetusan perasaan, emosi dan nafsu yang membawa kepada kemungkaran.
Cetusan nafsu akan bermatlamatkan untuk bergembira, berjenaka, kotor, mencarut, atas rasa tak puas hati, memuaskan nafsu syahwat dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan yang tertentu yang bersifat sementara. Seorang yang kotor hatinya akan menumpukan kepada permasalahan serta bersikap negatif dalam cetusannya.
Contohnya sekiranya dia pergi ke sebuah restoran maka dia akan menumpukan kepada perkara buruk yang ada dalam restoran tersebut. Maka dia mungkin akan menumpukan kepada perkhidmatannya yang lambat tetapi orang bersih hatinya pula akan mencari faktor positif. Makanannya yang sedap, tempatnya yang bersih, suasana yang menyenangkan dan sebagainya. Tempat yang sedap dan ramai orang maka logiklah perkhidmatannya agak lambat. Orang yang kotor hatinya memandang hujan sebagai satu kesusahan sedangkan orang yang bersih hatinya akan memandang hujan sebagi rahmat.
Cetusan akal dari hati yang bersih ini mempunyai matlamat jangkamasa panjang, berniat baik, tanpa prasangka, ikhlas dan sebagainya. Ia bertujuan untuk membantu, menyokong, mengasihani, mengasihi dan menyayangi. Ia mempunyai sifat yang positif dalam menjalani kehidupan.
Cuba kaji kembali cetusan-cetusan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang berada di sekeliling kita, maka sebenarnya kita boleh nampak dan membezakan samada ia keluar dari akal dengan niat yang baik mahupun dari nafsu dengan niat yang terpesong.
Persoalannya kenapa kita perlu menzalimi diri dengan mengeluarkan cetusan berbentuk lucu dan lucah, kemarahan dan kebencian, tohmahan dan hinaan dan segalanya yang hitam dan kotor yang bakal membawa kemudaratan tanpa kita sedari, tanpa matlamat sedangkan adalah lebih baik kita memelihara kata-kata dengan kebersihan dan keputihan untuk mencapai matlamat yang tentu. Pastinya lidah yang dicipta dan dikurniakan kepada kita itu bukan gunanya untuk berkata yang sia-sia.
Mereka yang gagal membersihkan hati dengan mengeluarkan cetusan-cetusan berbentuk nafsu ini sebenarnya memberikan kemenangan kepada setan dan lambat laun ia akan menggelapkannya. Mungkin hati boleh dibersihkan dengan mendekatkan diri dengan Allah dan orang-orang yang soleh, boleh dilembutkan dengan mendengar ayat-ayat Al Quran dan sebagainya. Cuba lihat sekeliling anda, adakah anda punya kawan orang-orang soleh yang bercerita tentang pengisian keimanan, kehebatan Allah dan isu ugama Islam serta mengajak ke jalan yang benar yang mana boleh membersihkan hati dan meningkatkan keimanan pada Allah atau adakah kawan-kawan anda terdiri dari mereka-mereka yang hanya bercerita tentang dunia serta segala isinya kandungannya, cerita isu semasa mahupun kebanggaan dalam melakukan perkara yang mungkar?
Oleh itu perhatikanlah setiap cetusan yang tercetus di hati, analisa setiap kata yang keluar dari mulut yang kemudiannya diikuti dengan perkataan. Pastikan yang cetusan yang keluar itu keluar dari akal bersandarkan kalimah kerana Allah Taala.
Apa yang pasti mereka yang dapat mengawal diri dari mengeluarkan cetusan yang berbentuk nafsu dengan mengalahkannya dengan kekuatan akal, cetusan yang bakal keluar dari mulut mereka akan bersifat lembut dan berisi. Mereka akan hanya berkata apa yang perlu dengan cara pertuturan yang baik tanpa meninggikan suara bagi tujuan menyampaikan maksud. Dalam ertikata lain menyampaikan dengan hikmah. Mereka juga tahu akan sebab kurniaan mulut lidah dan suara. Andai lidah mulut dan suara boleh bersuara maka apakah yang akan dikatakan? Andai kita hanya punya suara yang terhad bagaimana pula akan kita gunakan suara itu?
Ini baru huraian perihal cetusan kata-kata yang tercetus dari hati. Bagaimana pula dengan pendengaran, penglihatan, pernafasan, penulisan, pekerjaan dan sebagainya. Hati yang bersih akan menjadikan semua itu bersih dan begitu jugalah sebaliknya.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.