28 Oktober 2009

Tip Menangani Masalah Kehidupan - Konsep Puting Beliung

Adakalanya di dalam kehidupan kita menghadapi terlalu banyak masalah pada satu masa. Yang satu belum selesai datang satu lagi. Ia datang bertimpa-timpa.


Sekiranya anda berada dalam keadaan huru hara sebegini disebabkan terlalu banyak masalah yang menimpa adalah baik sekiranya anda mempelajari konsep yang saya namakan konsep puting beliung. Bila berada di dalam pusaran taufan, kedudukan yang lebih jauh daripada pusarnya akan terasa lebih teruk dan anda akan melayang tunggang langgang hinggakan tidak dapat mengawal keadaan persekitaran. Kita akan berada dalam keadaan yang tidak rasional. Ini sama seperti kita menghadapi masalah kewangan, masalah cinta, masalah keluarga, masalah kerja dan lain-lain masalah pada satu masa yang sama.


Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam diri kita dari aspek rohani, jasmani dan akliah. Dari segi akal kita mengatakan yang kita berada dalam keadaan baik tetapi jasmani kita iaitu badan kita tidak dapat melakukan apa-apa. Kita rasa tidak bermaya. Keadaan ini boleh berlaku bila kita menghadapi terlalu banyak masalah pada satu masa atau bagi seorang wanita yang mengandung pula perubahan hormon yang berlaku juga boleh menjadi penyebab keadaan ini berlaku.


Dalam sesebuah puting beliung, tempat yang paling tenang ialah di tengah-tengah pusaran tersebut. Oleh itu apa yang perlu anda lakukan ialah untuk membayangkan diri anda berada di tengah-tengah pusaran itu. Anda cuma perlu melihat sekeliling dan perhatikan semua masalah yang melayang berpusing-pusing di hadapan mata anda. Dengan berbuat demikian anda akan dapat mencari jalan yang rasional bagi mengatasi satu-satu masalah yang anda atasi.


Dalam menghadapi masalah sebegini anda hendaklah cuba menyelesaikannya satu persatu kerana setiap masalah itu mempunyai jangka masa hayatnya yang tersendiri. Ia tidak akan kekal buat selama-lamanya. Lihat pada keutamaannya. Sekiranya aku tidak menyelesaikan masalah ini aku mungkin akan berada dalam keadaan yang lebih teruk dari ini.


Masalah tersebut terdiri daripada dua bahagian iaitu yang bersifat objektif dan yang bersifat subjektif.


Masalah yang bersifat objektif lebih mudah untuk diselesaikan kalau dibandingkan dengan yang subjektif. Jadi masalah sebegini hendaklah diberikan keutamaan terlebih dahulu.


Masalah yang bersifat objektif dalam contoh tadi ialah masalah kewangan dan masalah kerja.


Dalam menangani masalah kewangan jalan yang terbaik ialah untuk mencari jalan penyelesaiannya ialah dengan berjimat atau mencari jalan yang boleh mendatangkan pendapatan. Bukan dengan sistem gali lubang tutup lubang atau mencarinya dengan cara jenayah. Masalah kerja pula boleh diatasi dengan mencari jalan mempelajari kerja yang kita lakukan, meningkatkan prestasi diri atau pindah tempat kerja.


Masalah yang bersifat subjektif lebih abstrak dan sukar untuk diselesaikan. Ia juga mungkin mengambil masa yang lebih lama. Dalam masalah perhubungan ini kita boleh mengubah diri kita tetapi kita tidak dapat mengubah orang lain. Ada banyak sebab kenapa perselisihan perhubungan boleh berlaku antara manusia. Adakalanya perbezaan umur, daerah, kaum, agama, ideologi dan sebagainya. Dalam kes ini masalah yang bersifat subjektif ialah masalah cinta dan masalah keluarga.


Dengan menyelesaikannya satu persatu, pusaran puting beliung anda semakin lama semakin kecil hinggalah ke satu tahap dimana keadaan menjadi terkawal dan tidak begitu menekan. Taufan ini semakin lama semakin reda dan mungkin di satu tahap yang tinggal hanyalah masalah kecil yang bersifat subjektif yang memerlukan masa untuk mengatasinya.


Saya ingin sambung bab ini dengan satu huraian untuk difikirkan.


Dalam hal memberi keutamaan kepada masalah yang dihadapi, cuba anda bayangkan senario berikut ;


Anda merupakan seorang doktor dan bertemu dengan pesakit yang ditikam. Pasakit itu didapati patah kaki dan tangan dan darahnya masih lagi kelihatan mengalir, pada masa yang sama bahunya terseliuh, nafasnya sesak, perutnya terkena tikaman, dia juga ada masalah buah pinggang dan menghidap penyakit kencing manis.


Jadi apakah tugas anda sebagai doktor? Yang manakah yang bakal anda rawat dahulu? Dalam hal ini sistem menyelamatkan nyawa, sekiranya si doktor merawat kaki atau tangannya dahulu nescaya pasakit itu akan mati dalam masa beberapa minit kerana tak dapat bernafas. Cara yang sebaiknya ialah dengan memberi keutamaaan kepada masalah yang paling kritikal. Maka keutamaan patut diberi kepada sesak nafasnya kemudian barulah yang lainnya yang rendah kemungkinan membawa matian.


Sepertimana halnya konsep puting beliung tadi, beginiah juga cara yang terbaik dalam menangani masalah kehidupan andaikata pelbagai masalah datang pada anda dalam satu masa .


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
http://faizalyusup.blogspot.com
Tel : 03-7625 9033
Hp : 012-654 0130



Gambar diambil semasa saya sedang menyampaikan ceramah motivasi di rumah anak-anak yatim piatu di Kuala Langat.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.