30 Oktober 2009

Dugaan Kehidupan



Dalam kehidupan kita sebagai manusia kita tidak dapat lari dari menempuhi pelbagai dugaan-dugaan kehidupan. Saban hari kita diduga dari segi kewangan, kesihatan, pekerjaan, perniagaan, perhubungan dan sebagainya namun apakah tujuan Allah sebenarnya. Apakah tujuan kita sebagai manusia diuji sedemikian rupa. Kadangkala kita membuat pelbagai persiapan bagi mengelak masalah kewangan namun ia tetap akan datang juga, kita bersenam setiap hari sepanjang hidup namun penyakit datang juga dan begitulah seterusnya. Kalau kita tak punya masalah kewangan kita akan punya masalah perhubungan pula dan seribu satu macam lagi permasalahan yang bakal datang dan perlu kita tangani.


Setiap dekad kita akan bertemu dengan kejatuhan ekonomi dunia yang melibatkan ramai pihak, mungkin ia disebabkan oleh kenaikan harga minyak yang mendadak, penurunan saham, kejatuhan nilai matawang, masalah inflasi dan resessi dan sebagainya. Maka kita akan diuji dari sudut sudut kewangan dengan kekurangan pendapatan mahupun kehilangan pendapatan. Pada masa ini ramai yang bakal dibuang kerja, kadar penggangguran akan meningkat, perniagaan banyak yang tutup dan sebagainya. Kenapakah kita diuji sebegini?


Pun begitu di zaman kemerosotan ekonomi maka kita terfikirkan akan zaman kecemerlangan dan bertanyakan soalan kenapa semasa kita senang dahulu kita tak berjimat sebagai persiapan bagi melalui hari-hari sukar di zaman kemerosotan ini? Bila difikirkan keseangan yang kita terima dahulu juga merupakan satu ujian. Kenapakah kita diuji sedemikian rupa?


Ada yang kehilangan kerja, berpisah dengan yang tersayang, terjejas perhubungan, kemalangan, sakit, mengalami bencana alam banjir, tanah runtu, tsunami, gempa bumi dan puting beliung, ada yang kerugian saham, ditipu, kecurian, perniagaan yang rugi dan sebagainya. Sekali lagi kenapakah kita diuji sedemikian rupa?


Bagi saya jawapannya hanya satu. Sebenarnya Allah ingin MENGUJI KEIMANAN makhlukNya agar kita sebagai makhluk terus-terusan berada dalam landasan keimanan kepada Allah Taala. Adakah sakit akan menyebabkan seseorang yang belum beriman menjadi orang yang beriman atau adakah ujian sakit itu mempertahan serta memperteguhkan iman mereka yang telah sedia ada beriman atau sebaliknya mereka jadi putus asa dan kembali ke jalan yang sesat?


Kalau difikirkan dan kalau Allah berikan kesedaran maka pasti kita akan terfikir yang Allah berkuasa untuk menjadikan kita kebal dan bebas dari semua jenis penyakit tetapi Allah jadikan kita lemah supaya kita mudah diuji. Semakin kita tua semakinlah kita hilang upaya dan semakinlah kita dihinggapi dengan pelbagai jenis penyakit. Sebabnya mudah iaitu untuk kita merasa lemah, kerdil dan hina serta kembali ke jalan Allah Taala. Namun demikian ada juga diantara kita tidak punya kesedaran itu. Masih cuba menongkah arus, menongkat dunia.


Sedarlah apa juga dugaan yang datang, datangnya dari Allah sebagai peringatan, pembalasan, dugaan agar kita berada dalam landasan keimanan. Yang diluar diingatkan supaya masuk dalam landasan dan yang dalam landasan kena pastikan tidak terkeluar dan usaha atas keimanan terus-terusan dipertingkatkan. InsyaAllah.


Besar sangatkah dugaan yang sedang anda lalui ketika ini? Adakah ia sebesar dugaan sahabat Rasullullah S.A.W. Bilal bin Rabah yang diseksa di padang pasir yang panas dengan batu yang berat dihempap di atas dada? Atau adakah ia sebesar dugaan Nabi Ayub A.S. yang diduga dengan penyakit yang tak dapat diubati selama 7 tahun, ditinggalkan isteri, kematian anak dan kehilangan harta benda dan binatang ternak? Pastinya tidak. Dugaan kita rasanya jauh lebih kecil.


Sanggupkah kita kehilangan anak, isteri, rumah, kereta, pekerjaan, berada dalam kesakitan yang berpanjangan mahupun diseksa?


Oleh itu bersabarlah dalam menempuhi dugaan Allah sepanjang kita singgah dimuka bumi disepanjang kehidupan ini kerana di sebaliknya ia hanyalah dugaan bagi menguji keimanan kita pada Allah Taala dan membandingkan dugaan orang lain yang lebih teruk dari dugaan yang kita alami adalah lebih wajar dan InsyaAllah bakal membawa keinsafan dalam hati kita.

Fikir-fikirkanlah.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.