Bapa borek anak rintik.
Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.
Peribahasa ini membawa maksud kebiasaannya tabiat seseorang anak itu akan menyerupai tabiat bapanya. Dalam lain perkataan sekiranya si bapa seorang perokok kebiasaannya beliau akan merokok di dalam rumah sambil diperhatikan oleh anaknya. Ini berlaku tahun demi tahun dan ini menyebabkan si anak menyangkakan yang merokok itu adalah sesuatu yang dibolehkan.
Konsep Benang Tersimpul ini bagi saya merupakan satu konsep yang baik untuk diikuti dan dijadikan prinsip diri. Merokok, menipu, pengotor, pemalas dan segala tabiat buruk yang lainnya merupakan simpulan di dalam diri kita. Sekiranya sesuatu simpulan itu telah wujud dalam generasi yang terdahulu, ini boleh menyebabkan simpulan itu wujud dalam diri kita.
Sebagai contoh saya pernah berjumpa dengan seorang bapa yang sangat bengis. Ini disebabkan generasinya yang terdahulu juga mempunyai sifat yang sedemikian. Bapa ini tidak berjaya membuka simpulan kebengisan. Si bapa boleh memukul anaknya hingga lebam seluruh badan dan pernah sekali anaknya dikejarkan ke hospital kerana dipukul hingga pengsan. Dewasa ini kes seperti ini dinamakan penderaan.
Ada yang menyangka dengan berbuat demikian mereka akan memberikan pengajaran kepada anaknya bagi menghindarkan dirinya dari melakukan kesalahan tetapi apa yang menyedihkan adakalanya hukuman yang dilakukan tidak setimpal dengan kesalahannya. Nyamuk yang mengigit dihukum bunuh. Kebiasaan ini akan menyebabkan tabiat kebengisan ini mula bertapak dalam diri anak itu. Kemudian anak ini berkahwin dan dia pula menjadi bapa. Sekiranya simpulan yang sama tidak diungkaikan maka keadaan ini akan berterusan dari generasi ke generasi. Katalah si anak yang didera tadi berjaya membuka simpulan kebengisan ini dan dia pula memelihara anaknya dengan penuh kasih sayang maka anak-anaknya tak akan nampak kebengisan ini. Saya percaya anak-anaknya tak akan mewarisi kebengisan ini. Dalam lain perkataan benang itu telah berjaya dibuka.
Simpulan ini pula ada yang besar dan ada yang kecil. Bila saya bacakan topik ini kepada seorang kawan, dia mengatakan yang dia tidak mempunyai sebarang simpulan. Dari apa yang saya lihat dia seorang yang suka mencarut, suka mengarah bila meminta tolong dan kuat mencubit lalu saya perkatakan yang ini juga merupakan simpulan tetapi mungkin hanyalah simpulan kecil yang tak menjejaskan. Saya percaya semua orang mempunyai simpulan dalam dirinya kalau tak besar, kecil.
Kalau kita tak sabar dan menarik benang tersebut simpulan itu akan menjadi lebih ketat dan lebih sukar untuk diungkaikan. Ini bermakna dalam contoh tadi, kita mungkin jadi lebih bengis dari bapa kita. Kita tambah pula simpulan yang sedia ada dengan menjadi seorang kaki pukul.
Ada pula yang mengambil jalan mudah untuk membuka satu-satu simpulan iaitu dengan memutuskannya. Pendekatan yang sebegini adalah pendekatan yang paling buruk. Bagi mereka yang mempunyai simpulan besar dan terlalu berserabut mereka mungkin akan berputus asa atau mengambil jalan keluar dengan membunuh diri.
Namun begitu ada diantara kita yang langsung tidak mempedulikan simpulan ini. Ada pula diantara kita yang langsung tidak sedar akan wujudnya simpulan itu di dalam diri kita lantas kita biarkan sahaja ianya di situ tanpa berbuat apa-apa.
Selain dari itu konsep benang bersimpul ini sesuai digunakan dalam isu menangani masalah. Kita boleh perhatikan sesuatu masalah itu umpama benang yang tersimpul yang perlu diungkaikan.
Oleh itu sebagai kesimpulan, carilah apa jua simpulan yang ada dalam diri kita dan leraikannya satu persatu. Kalau kita lihat cara terbaik untuk membuka simpulan benang kita perlu mencari punca benang tersebut dan kita juga perlu melalukannya melalui laluan yang sepatutnya bagi mengelakkan simpulan yang lebih teruk. Kita perlu melakukannya dengan sabar kerana ia mungkin mengambil masa yang lama untuk diungkaikan. Kemudiannya kita pastikan yang benang itu tidak lagi tersimpul dengan harapan generasi kita yang akan datang dapat menjalankan hidup dengan lebih baik, tenang dan tenteram.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.