16 November 2010

Aku Dah Beruban


SALAM AIDIL ADHA

Kepada anda semua pengunjung blog Faizal Yusup yang saya hormati sekelian dengan ucapan tak buat korban ke tahun ni?

Telah 4 hari saya tak menulis dalam blog ini atas alasan saya agak sibuk dengan kerja kebelakangan ini memandangkan keadaan pasaran saham yang aktif. Kemudian perlawanan futsal hujung minggu lepas juga menyebabkan saya keletihan dan mengambil masa untuk kembali cergas. Mungkin saya kena terima hakikat yang pada umur 40 tahun ianya sudah tidak sesuai lagi untuk saya bermain futsal.

Walaupun demikian saya bersyukur ke hadrat Allah kerana walaupun saya tidak menulis sekian lama, blog ini masih dikunjungi ramai. Seperti yang pernah saya katakan dahulu ilmu bersifat menjangkaui zaman dan ia hidup. Maka InsyaAllah pasti ada yang mencarinya dan saya harap apa yang anda cari bakal anda temui di sini. Kalau tak banyak sedikitpun jadilah.

Apapun semasa sesi futsal itu berlangsung saya bertemu dengan seorang kawan lama yang agak lama tidak saya temui, rakan yang lebih kurang sama baya dengan saya. Dahulu semasa mudanya orangnya merupakan seorang yang kacak dan tampan. Namun pertemuan kali ini saya dapat lihat satu perbezaan yang ketara. Dia telahpun mula botak di bahagian tengah rambutnya dan rambutnya itu pula dipenuhi uban. Dia dah kelihatan begitu tua.

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan saya kepada diri saya sendiri. Mungkin tak lama lagi saya juga akan mengalami nasib yang sama. 

Apapun uban ini sebenarnya salah satu petanda malaikat maut, petanda yang kita sudah semakin tua dan menghampiri hari kematian. Dari sudut psaikologi pula ia menunjukkan tanda stress dan kalau dilihat dari sudut yang lagi satu mereka mengatakan yang ia ada kena mengena dengan isu genetik dan makanan. Apapun saya lebih suka mengambilnya dari sudut yang pertama iaitu ia petanda malaikat maut kerana ini akan mengingatkan saya kepada kematian yang pasti muncul dan tak akan dapat dielakkan.

Dewasa ini dalam zaman moden ini ramai yang stress disebabkan rutin kehidupan yang begitu mencabar. Sibuk dengan kerja yang mencabar saban hari, peihal peribadi, perihal keluarga dan sebagainya. Akhirnya ada yang gagal menanganinya hingga menyebabkan gangguan fizikal, mental dan spiritual, botak, beruban, stress, tekanan mental, resah gelisah, tak boleh tidur, putus asa, bunuh diri dan sebagainya. Mungkin betul juga stress ini menyebabkan uban tumbuh dengan jayanya.

Terus terang kalau ada pilihan, pilihlah jalan yang lebih tenang, jalan yang tidak begitu mencabar. Terus terang saya katakan, tak ada apa yang nak dikejarkan dalam dunia ini. Ia bersifat sementara dan bila tiba masa kita akan pergi juga.

Maka dalam hal ini beruntunglah mereka yang menjalani kehidupan jauh dari stress, dalam keadaan yang aman tenteram, dapat melakukan amal ibadah dan sebagainya dengan penuh keharmonian dan kesejahteraan.

Dalam hal ini ada pula mereka yang agaknya TAKUT TUA lalu mewarnakan rambut dengan warna hitam untuk menyembunyikan uban tersebut yang mana saya yakin ia melanggar hukum Allah melainkan untuk tujuan perang. 

Kemudian ada pul ayang mencabutnya. Janganlah cabut uban. tersebut ini kerana uban adalah cahaya bagi orang Islam. Nabi S.A.W menegah kita mencabutnya sebagaimana yang diriwayatkan 'Amr bin Syu'aib daripada ayahnya daripada datuknya bahawa baginda SAW bersabda :

"Jangan cabut uban kerana ia cahaya orang Islam. Tidaklah seorang muslim yang ditumbuhi uban dalam Islam, melainkan Allah menulis baginya 1 pahala dan mengangkat 1 darjatnya. Dan Dia menghapuskan 1 dosanya."
 
(Hadith riwayat Abu Dawud, Ahmad, Tirmizi, an-Nasai dan Ibn Majah)
Apapun saya cukup yakin kesejahteraan dalaman ini bakal dapat dilihat dari luarannya yang awet muda, segar dan cergas dalam menjalani kehidupan seharian.

Fikir-fikirkanlah.

Sekian dahulu. 

Wassalam.


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.