21 November 2010

KONFLIK CINTA - Bab 4 Bahagian 2


Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 4 Bahagian 2
 

Malam itu aku mengambil keputusan untuk menulis pada Kak Ina mengenai apa yang terjadi secara kasarnya. Setelah bertanyakan perkhabarannya dan menceritakan fitnah Wati dan pemulauan yang berlaku. Titipan penku di atas kertas mula mengatur rentaknya seakan mengikut kata hati yang terbuku...


Kak Ina yang diingati,

Nampaknya dalam dugaan kali ini masyarakat sekeliling membuat tohmahan dan memulaukan Man. Inilah masalahnya hidup dalam masyarakat melayu yang kecil. Segala apa kejanggalan yang berlaku akan kelihatan dan dijadikan bahan bicara mereka, samaada benar atau tidak, tidak pula mereka selidiki. Ini jelas menunjukkan yang melayu tidak semestinya Islam. Keadaan ini membuatkan Man membuka mata dan mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

Bagi Man semua ini bergantung kepada kebersihan hati seseorang itu. Cetusan berprasangka buruk, hinaan dan tohmahan yang bersifat negatif tanpa usul periksa sebenarnya mencerminkan hati mereka. Kebersihan hati akan menyebabkan semua yang kita lakukan itu adalah dengan niat kerana Allah baik dari segi hati, lidah dengan pengeluaran kata-kata serta perbuatan. Man percaya yang nawaitu sebegini berniatkan Allah Taala akan menjadikan apa yang kita lakukan itu diberkati Allah.

Sebenarnya kita boleh tahu dan rasa apakah cetusan yang keluar dari mulut kita itu samaada ia adalah cetusan yang dikeluarkan akal dan dengan niat kerana Allah atas tujuan dan matlamat ibadah atau adakah apa yang dikeluarkan itu adalah cetusan nafsu yang membawa kepada kemungkaran. Dalam hal ini cetusan nafsu mereka hanya bertujuan untuk memuaskan hati dan untuk mendapatkan pakatan ramai.

Ramai tak semestinya benar dan sedikit tak semestinya salah. Peperangan Badar telah membuktikannya. Bila Man kaji kembali setiap hari cetusan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang berada di sekeliling, maka semakin lama Man boleh nampak dan membezakan samaada ia keluar dari akal dengan niat yang baik mahupun dari nafsu dengan niat yang terpesong.
       
Kak Ina yang dihormati,      

Kadang-kadang Man hairan kenapa manusia perlu menzalimi diri dengan mengeluarkan cetusan berbentuk kemarahan dan kebencian, tohmahan dan hinaan dan segalanya yang hitam dan kotor yang bakal membawa kemudaratan tanpa kita sedari, tanpa matlamat sedangkan adalah lebih baik kita memelihara kata dengan kebersihan dan keputihan dengan matlamat yang baik. Man yakin cetusan yang baik mempunyai matlamat jangkamasa panjang, tanpa prasangka, bersih dan sebagainya. Ia bertujuan untuk membantu, menyokong, mengasihani, mengasihi dan menyayangi.

Apa yang pasti mereka yang dapat mengawal diri dari mengeluarkan kata-kata yang berbentuk nafsu dengan mengalahkan nafsu tersebut dengan kekuatan akal, cetusan yang bakal keluar dari mulut mereka akan bersifat lembut dan berisi. Mereka akan hanya berkata apa yang perlu dengan cara pertuturan yang baik tanpa meninggikan suara bagi tujuan menyampaikan maksud.

Bagi mereka yang gagal membersihkan kata-kata dengan mengeluarkan cetusan-cetusan berbentuk nafsu ini sebenarnya hanya memberikan kemenangan kepada syaitan.

Ah! Lantaklah diorang. Ikut suka hati dioranglah nak buat apa. Kan Kak Ina?

Kak Ina, sorilah Man merapu begini... Hanya nak meluahkan rasa.

Agaknya kalau Allah bisukan mereka dan benarkan mereka hanya sepuluh perkataan sahaja untuk bercakap maka mereka masih menggunakannya untuk berkata benda yang tak baik. Mentang-mentanglah boleh cakap berjuta-juta perkataan maka bolehlah dibazirkan begitu sahaja. Tak tahu ke nanti kena kita soal kat akhirat dengan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita itu?


Kemudian aku menyambung warkah ini dengan cerita tentang Zila, tentang pelajaran dan aku akhiri warkah ini dengan doa agar dia sentiasa sejahtera dalam lindungan Allah Taala.

Aku masukkan surat itu terus ke dalam sampul tanpa membacanya sekali lagi. Esok aku akan mengeposnya.

XXXXXX

Kesibukan menyiapkan kertas kerja untuk subjek Psikologi di sebelah siangnya dan sebelah malamnya pula aku kena bekerja menyebabkan masalah Wati dan fitnahnya terhadapku terlepas dari ingatan. Pun begitu boleh dikatakan semua ahli rakan serumahku telah berdiam diri dan menjauhkan diri dariku. Hanya Zamri yang melayan aku itupun dalam keadaan yang berjaga-jaga. Mungkin dia berada dalam keadaan yang serba salah.

Terdapat sedikit perubahan pada Zila selepas dia mengetahui akan hal Wati. Dia lebih banyak mendiamkan diri. Keceriaan yang biasa ditonjolkan terpadam. Dalam hal ini jelas menunjukkan betapa dia sebenarnya tidak mengenali aku secara keseluruhan dan masih ada perkara yang perlu dia pelajari dan terokai bagi mengenali hati budi diriku ini. Mungkin tak logik baginya mengenangkan aku seorang lelaki yang berada di Amerika Syarikat berdua-duaan dengan seorang gadis dalam satu ruang yang tertutup dan tak berlaku apa-apa.

Peristiwa ini telah menyebabkan berlakunya seakan perang dingin antara aku dengan Zila. Cuma apa yang dapat aku katakan ialah entah kenapa ia berlaku tetapi aku rasa yang calaran ini bermula semenjak peristiwa hari tu. Mungkin juga perasaan cemburunya sebagai seorang perempuan. Kalau benar dia cemburu maka mungkin ini tanda kasih sayangnya padaku semakin menebal. Telahanku.

Entahlah aku rasa yang semua ini hanya akan menjejaskan perhubunganku dengannya namun bila aku fikirkan aku perlu menyampaikan padanya akan hukum hakam Allah Taala dan menjauhkan dirinya dari mengikut perasaan. Aku perlu menjalankan kaunseling pengisian kepadanya kerana ia amat penting untuk membawa kesedaran dan kefahaman dalam dirinya. Mungkin selama hari ini aku terlepas pandang mengenai hal ini namun sekarang aku rasa tindakan perlu aku ambil bagi memperbaiki keadaan dan perspektifnya mengenai kehidupan. Apapun aku rasa cara yang paling baik ialah dengan menjalankannya dengan kaedah atau cara yang tersirat.

Biarlah, satu hari nanti aku yakin yang Allah Taala akan membuka hatinya kelak. Ibuku sering mengingatkan aku, apa yang tidak difahami hari ini mungkin akan difahami di masa yang akan datang. Ia mungkin akan datang dengan kematangan atau mungkin juga ia akan datang dengan hidayah yang Allah kurniakan ke dalam hati.

Kuliah Psikologi selesai dalam pukul 2.00 petang lantas akupun menghantar kertas kerja yang telah aku siapkan semalam. Kelas Management seterusnya pada jam 4:00 petang. Aku ada dua jam untuk menunggu. Aku malas nak ke Union sebab ramai pelajar melayu melepak di situ. Aku mengambil keputusan untuk melepak di Cafe yang terletak di College of Business Administration itu. Minum kopi dan barangkali boleh menelaah sedikit atau mungkin juga aku boleh hanya berehat selepas penat menyiapkan kertas kerja yang panjang itu. Matapun mengantuk sebab semalam aku tidur lewat.

        Suasana keliling sejuk walaupun keadaannya terang. Bahang matahari tak sampai ke muka bumi dalam musim sebegini. Aku memasukkan tanganku ke dalam poket jaket tebalku dan terus melangkah laju melalui Perpustakaan menuju ke Cafe. Ramai juga pelajar yang berada di sana mungkin mencari tempat berlindung jauh dari kesejukan.

        Aku mencari tempat duduk di celah-celah pelajar yang ramai itu.

        “ Man! Man! ” Terdengar suara Zila memanggil aku dalam keriuhan suasana di situ. Di hujung cafe yang berdindingkan kaca itu ternampak sesusuk tubuh berdiri melambai padaku di tengah orang yang ramai itu.

Aku menuju ke arah Zila.

“ Zila tak ada kelas ke? ” Tanyaku padanya seraya duduk di bangku bertentangan dengannya.

“ Zila ponteng, nak kena study sikit sebab ada kuiz jap lagi. ” Jawabnya.

Senyap. Dia kembali membaca buku tebal dengan lampiran yang terbuka sejak tadi.

Aku bangun dan meminta izin untuk pergi membeli kopi. Aku kembali dengan dua gelas kopi di tangan dan aku berikan satu pada Zila. Dia masih membisu.

Dia panggil aku tadi hanya untuk membisu seribu bahasa? Detik hatiku.

“ Zila, Man minta maaflah kalau ada buat apa-apa kesalahan pada Zila. ” Aku serkap jarang cuba meneutralkan keadaan yang gelisah.

“ Apa pulak ni.. ” Balasnya namun matanya masih tepat memandang pada lampiran buku yang dibacanya.

Aku diam. Mungkin dia tak mahu aku mengganggu fokusnya lantas akupun membuka beg dan mengeluarkan kertas lukisan sketch dengan pensel. Aku duduk di situ sambil melukis gambar Zila. Melukis merupakan salah satu theraphy diri yang aku gunakan bagi melepaskan tekanan sebab kadang-kadang berfikir, membaca dan menelaah memerlukan pengunaan kapasiti otak yang banyak jadi aku melukis.


Separuh jalan telefon yang aku letak di atas meja tadi berbunyi. Di panelnya jelas nama Wati. Aku tahu Zila juga perasan.

Wati telefon? Kenapa pulak ni? Hatiku jadi tak tentu arah.

“ Hello.. Assalamualaikum.. ”

“ Waalaikumussalam, Man kau kat mana tu?

“ Kat Cafe Business School kenapa? ”

“ Kau dengan Zila ye? Aku ada hal penting nak cakap dengan kau. ”

 “ Jap..”

“ Zila, kejap. ” Izin kupinta dari Zila yang masih duduk terconggok memerhatikan tingkah lakuku. Aku bingkas bangun menuju ke arah pintu tandas lelaki di hujung cafe tersebut. Di situ keadaannya jauh lebih aman.

“ Kenapa kau tabur fitnah macam tu Wati? Berdosa kau tahu tak? ” Soalku tatkala sampai di situ.

“ Aku peduli apa Man, asalkan hati aku puas! Macamana keadaan kau sekarang? Sedap tak kena pulau dengan orang sekeliling? ” Tegasnya lagi.

“ Aku tak kesah Wati tapi kalau aku ceritakan hal yang sebenarnya malu kau nanti. ”

“ Kau nak cerita ceritalah, It’s my say against yours. Aku akan nafikan sekeras-kerasnya. Orang sure percaya punya. ”

“ Kau ni gilalah kau tau tak? ” Sesekali mata aku memandang pada Zila dan aku juga perasan sesekali dia memerhatikan gerak-geriku. Mungkin dia sedang cuba membacanya. Di luar salji kelihatan mula turun.

“ Aku peduli apa. Kau yang bersalah tinggalkan aku for Zila.. Tapi aku ada satu cadangan untuk kau. Kira macam peace offeringslah. ”

“ Apa dia? ” Dahiku mengerut memikirkan apakah agenda si Wati seterusnya.

“ Macam ni, aku akan tarik balik semua yang aku katakan dengan satu syarat. ”

“ Syarat apa? ”

“ Kau balik dengan aku dan kau tinggalkan Zila for good. ”

“ Berapa lama aku ada masa untuk beri jawapan? ” Aku cuba mencari helah untuk melengah-lengahkan keadaan walhal jauh di sudut hatiku aku sudah tahu apakah jawapan yang akan aku berikan.

“ Secepat mungkin. Aku bagi kau tempoh seminggu untuk berfikir. ”

“ Okay.. I’ll think about it. ”

Aku menekan punat merah pada telefon itu untuk memutuskan talian. Bila aku angkat kepala Zila sudah tiada lagi di tempat duduknya. Air kopi dua gelas bersama buku sketch lukisanku masih berada di atas meja. Jaket dan begku juga masih terletak di tempatnya.

“ Payah ni... ” Bisikku perlahan.

Bersambung...

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda, sharekan atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.