07 November 2010

Perihal Ilmu / Menulis Blog




Saya bersyukur kehadrat Allah Taala kerana dengan limpah kurnianya memberi saya kelebihan untuk menulis dan dengan kelebihan itu maka saya dapat menulis artikel-artikel, buku-buku malah blog untuk menyampaikan ilham yang dikurniakan Allah ini kepada khalayak.

Selalunya saya menyampaikan pengisian motivasi atau kaunseling secara berdepan tetapi ini hanya dapat dilakukan secara terhad dan bukan secara umum.

Jadi saya mengambil keputusan untuk menulis buku dengan harapan saya dapat menyampaikannya kepada khalayak yang lebih ramai dan Alhamdulillah semenjak kali pertama saya menulis ia diterima penerbit dan diterbitkan. Buku Berubah Sebelum Rebah adalah buku yang keempat dan InsyaAllah kalau ada umur banyak lagi yang ingin saya kongsikan.

Seterusnya saya mengambil keputusan untuk menulis blog. Penulisan blog ini membolehkan saya menyampaikan ilmu pengetahuan ini secara pasif iaitu dengan menulis artikel-artikel di dalam blog ini ia boleh dibaca oleh sesiapa sahaja walau dimana mereka berada pada bila-bila masa. Walaupun saya sedang tidur masih ada yang berkunjung membacanya maka ini menggembirakan saya. Harapan saya agar sesiapa sahaja yang dijodohkan di sini mendapat manfaat darinya. Lebih baik lagi sekiranya ia memangkin perubahan dalam diri. InsyaAllah.

Maknanya di sini saya tak perlu pergi bertemu dengan orang yang secara empat mata untuk menyampaikannya. Penyampaian empat mata ini sebenarnya adalah lebih sukar kerana selalunya disebabkan masalah wavelength yang tidak sama. Kita hanya dapat menyampaikan pengisian bila orang membuka pintu hatinya untuk menerima pengisian tersebut. Kalau tidak ia akan hanya menjadi sia-sia.

Ini tidak terjadi dalam blog kerana mereka yang datang, mereka datang kerana mereka mencari sesuatu kepastian dalam persoalan yang ada di hati mereka. Mereka datang dalam keadaan hati mereka telah bersedia untuk menerima pengisian itu.

Apa yang kita perlu lakukan ialah dengan menyediakan mereka dengan jawapan tersebut dangan harapan jawapan itu memuaskan hati mereka. Bila jawapan itu memuaskan maka kemungkinan mereka akan datang lagi atau mencari topik lain sebagai pengetahuan.

Kepada penulis blog pula, saranan saya tulislah sesuatu yang bermanfaat. Tulislah sesuatu yang mendidik dan mempunyai ilmu pengetahuan di dalamnya. Sedarilah menulis sesuatu yang bersifat konflik, makruh dan haram akan hanya membawa kerosakan, kita juga yang akan dipertanggungjawabkan satu hari kelak kalau tak di dunia, di akhirat kelak.

Tulislah ikhlas kerana Allah kerana sesuatu yang datang dari hati akan dirasai oleh hati yang satu lagi. Janganlah menulis sesuatu yang mengusik nafsu syahwat manusia hanya kerana kita mahu ramai orang berkunjung ke blog kita. Janganlah menulis kerana nama, gelaran, wang, ingin terkenal, popular dan sebagainya kerana percayalah ia akan hanya membawa kerosakan dan kesusahan kelak. Ia mungkin tak kelihatan hari ini tetapi percayalah ia akan kelihatan satu masa hadapan.

Kepada mereka yang dikurniakan ilmu pengetahuan tetapi bertangguh-tangguh tidak mahu menyampaikannya maka sedarilah yang ilmu pengetahuan itu amanah pinjaman Allah Taala. Janganlah menjadi orang yang pentingkan diri sendiri dan menggunakan ilmu itu hanya untuk kepentingan diri sendiri kerana pastinya ada hak untuk orang lain di dalamnya. Sekali lagi saya yakin ilmu yang tidak disampaikan itu akan ditanya di akhirat kelak.

Sampaikanlah semua ilmu yang ada dalam diri anda kerana ia akan membawa kepada kurniaan ilmu yang LEBIH banyak lagi. Hanya dengan cara ini masyarakat dan rakyat negara ini akan dapat meningkatkan perkembangan ilmu dengan lebih cepat dan pastinya akan membawa kebaikan kepada manusia sejagat.

Janganlah jadi orang yang punya ilmu tetapi menjualnya dengan harga yang tertentu. Sesungguhnya ilmu Allah ini hanyalah setitik dari lautan ilmu Allah. Sampaikanlah, kongsikanlah. Ia pasti akan membawa kebaikan malah ia mungkin akan membawa perkembangan ilmu oleh sesiapa sahaja yang membacanya. Ini kerana kita mungkin punya sebahagian dari ilmu itu tetapi seorang yang lain mempunyai sebahagian yang lain dan keadaan ini menjadikan ilmu itu lengkap. Siapa tahu.

Janganlah jadi orang yang kedekut ilmu kerana selain ia menjadikan ilmu itu terhad dan menjadikan kita seakan burung kakak tua, ilmu itu juga kemungkinan akan hilang dari dalam diri kita tanpa kita sendiri sedari.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.