08 Februari 2026

Kesilapan Pelabur Zero, Newbie, Beginner 3 - Gagal Merancang, Merancang Untuk Gagal

KESILAPAN PELABUR ZERO SIRI 3

Oleh Haji Faizal Yusup

Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia

 

BAB 3

Gagal Merancang, Merancang Untuk Gagal

Ramai pelabur menyangka bahawa selepas niat dibetulkan dan ilmu dipelajari, kejayaan dalam pelaburan saham akan datang dengan sendirinya. Hakikatnya tidak begitu. Ilmu tanpa perancangan ibarat peta tanpa arah. Tahu banyak, tetapi tidak tahu ke mana hendak dituju.

FY sering bertemu pelabur yang sudah membaca buku, menghadiri seminar dan mengikuti kelas pelaburan, tetapi masih gagal menghasilkan keputusan yang konsisten. Apabila diteliti, masalahnya bukan pada ilmu, tetapi pada ketiadaan perancangan, sistem dan disiplin.

Bab ini membincangkan kesilapan pelabur yang kelihatan teknikal, tetapi sebenarnya berpunca daripada sikap yang gagal merancang dan gagal mematuhi perancangan sendiri.

Tiada Perancangan Pelaburan Yang Jelas

Antara kesilapan paling kerap berlaku ialah membeli saham tanpa perancangan yang jelas. Ramai pelabur tahu saham apa yang mereka beli, tetapi tidak tahu kenapa mereka membelinya dan apa yang perlu dibuat selepas itu.

Apabila harga saham naik, pelabur menjadi keliru samaada perlu menjual atau terus menunggu. Apabila harga turun, pelabur panik kerana tidak bersedia menghadapi senario tersebut. Dalam keadaan ini, keputusan dibuat secara spontan dan emosi menjadi penentu.

FY percaya perancangan pelaburan bukan tentang meramal masa depan, tetapi tentang menyediakan rangka tindakan. Pelabur yang merancang tahu apa yang perlu dilakukan dalam pelbagai keadaan, bukan hanya ketika pasaran memihak kepada mereka.

Tiada Sistem Dalam Membuat Keputusan

Ramai pelabur membuat keputusan berdasarkan situasi. Hari ini mereka beli saham kerana Analisis Fundamental. Esok mereka jual kerana carta teknikal kelihatan lemah. Lusa mereka masuk saham lain kerana mendengar cerita mengenainya.

Tanpa sistem, setiap keputusan berdiri sendiri dan tidak berkait antara satu sama lain. Pelabur sukar menilai samaada sesuatu keputusan itu betul atau salah kerana tiada kerangka yang konsisten.

FY sering tekankan bahawa sistem tidak perlu rumit. Apa yang penting ialah ia jelas, difahami dan boleh diulang. Sistem yang sederhana tetapi konsisten jauh lebih berkesan daripada strategi hebat yang berubah-ubah.

Disiplin Yang Longgar Walaupun Tahu Apa Yang Betul

Satu kesilapan besar yang jarang diakui ialah kegagalan mematuhi perancangan sendiri. Ramai pelabur tahu apa yang patut dibuat, tetapi tidak melakukannya apabila emosi terganggu.

Stop loss diubah kerana tidak sanggup rugi kecil. Sasaran keuntungan dilanjutkan kerana tamak. Pelan yang dibuat ketika tenang dilupakan apabila pasaran mula bergerak laju.

FY percaya bahawa dalam pelaburan, disiplin lebih penting daripada kepintaran. Pasaran tidak menguji sejauh mana pelabur tahu, tetapi sejauh mana pelabur mampu patuh kepada keputusan sendiri.

Menukar Strategi Terlalu Kerap

Ramai pelabur mudah hilang keyakinan terhadap strategi mereka sendiri. Apabila strategi tidak memberi hasil dalam masa singkat, mereka menyimpulkan bahawa strategi itu tidak berkesan.

Mereka kemudian mencari strategi lain, berharap strategi baharu itu akan memberikan hasil segera. Masalahnya bukan pada strategi, tetapi pada jangkaan dan kesabaran pelabur.

Setiap strategi memerlukan masa untuk diuji dan dinilai. Melompat daripada satu strategi ke strategi lain hanya menyebabkan pelabur sentiasa berada dalam fasa “mencuba”, tetapi tidak pernah benar-benar menguasai apa-apa.

 

Tidak Menyimpan Rekod & Membuat Post-Mortem

Ramai pelabur tidak menyimpan rekod pelaburan mereka. Mereka lupa mengapa sesuatu saham dibeli dan dijual. Apabila untung, mereka tidak tahu faktor kejayaan. Apabila rugi, mereka tidak tahu punca sebenar.

Tanpa rekod dan post-mortem, pelabur tidak belajar daripada pengalaman sendiri. Kesilapan yang sama akan berulang, cuma dalam bentuk yang berbeza.

FY melihat pelabur yang matang sentiasa menilai keputusan lampau. Bukan untuk menyalahkan diri, tetapi untuk memperbaiki proses.

Perancangan Memberi Ketenangan

Perancangan tidak menjamin keuntungan, tetapi ia memberi ketenangan. Pelabur yang merancang tidak panik apabila harga turun dan tidak tamak apabila harga naik.

Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kenapa mereka melakukannya. Dalam dunia pelaburan yang penuh ketidaktentuan, hakikatnya ketenangan adalah satu kelebihan.

Penutup Bab

Ilmu tanpa perancangan tidak akan bertahan lama. Perancangan tanpa disiplin pula tidak akan berfungsi. Kedua-duanya perlu berjalan seiring.

FY ingin anda faham bahawa pelaburan yang berjaya bukan dibina atas keputusan spontan, tetapi atas proses yang terancang dan konsisten. Gagal merancang sebenarnya bermaksud merancang untuk gagal.

Dalam bab seterusnya, FY akan membawa sidang pembaca kepada kesilapan yang paling mahal dalam dunia pelaburan saham iaitu kegagalan mengurus risiko dan melindungi modal.

www.seminarsaham.my


' style='padding: 0; border: none;'/>

Kesilapan Pelabur Zero, Newbie, Beginner 2 - Pelaburan Tanpa Ilmu Adalah Judi Yang Tersembunyi

KESILAPAN PELABUR ZERO SIRI 2
Oleh Haji Faizal Yusup
Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia
 
BAB 2


Pelaburan Tanpa Ilmu Adalah Judi Yang Tersembunyi 

Ramai orang menyangka bahawa untuk berjaya dalam saham, cukuplah dengan keberanian dan keyakinan. Asalkan berani masuk, berani ambil risiko, dan berani menunggu, keuntungan akan datang dengan sendirinya. Hakikatnya, keberanian tanpa ilmu bukan kekuatan, tetapi kelemahan yang merbahaya.

FY sering melihat pelabur yang masuk ke pasaran dengan penuh yakin, tetapi kosong dari segi kefahaman. Mereka tidak sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat tanpa ilmu sebenarnya adalah satu bentuk pertaruhan. Bezanya, pertaruhan ini disembunyikan dengan istilah pelaburan, analisis ringkas dan harapan.


Bab ini membincangkan kesilapan pelabur yang kelihatan kecil, tetapi membawa implikasi besar iaitu melabur tanpa ilmu dan kefahaman sebenar. 

Tiada Ilmu Pelaburan

Antara kesilapan paling asas ialah apabila seseorang masuk ke pasaran saham tanpa ilmu yang mencukupi. Mereka belajar secara separuh jalan, dengar sedikit di sana sini, kemudian terus berani melabur dengan wang sebenar.

Pelabur sebegini biasanya tidak tahu mengapa mereka membeli sesuatu saham. Mereka hanya tahu harga sedang naik atau orang lain sedang bercakap tentangnya. Apabila harga bergerak berlawanan arah, mereka mula panik kerana tiada sandaran bagi mempertahankan keputusan tersebut.
FY percaya ilmu pelaburan bukan untuk menjadikan seseorang itu pandai bercakap, tetapi untuk menjadikan mereka tenang apabila pasaran tidak menentu. Tanpa ilmu, ketenangan hampir mustahil.

Tidak Faham Perniagaan Yang Dilabur

Ramai pelabur membeli saham syarikat yang mereka sendiri tidak faham bagaimana syarikat itu menjana keuntungan. Selagi harga saham naik, mereka rasa yakin dan selesa.

Masalah timbul apabila berlaku perubahan dalam perniagaan atau industri. Apabila keuntungan menurun atau syarikat berdepan cabaran mahupun harga sahamnya dimanipulasi, pelabur menjadi keliru. Mereka tidak tahu samaada masalah itu sementara atau serius kerana mereka tidak memahami bisnes tersebut sejak awal.
FY sering tekankan bahawa melabur saham bermaksud melabur dalam sesebuah perniagaan. Jika pelabur tidak faham operasi perniagaan syarikat yang mereka beli, maka mereka akan panik apabila berdepan ujian pasaran.

Tak Faham Penyata Kewangan Syarikat

Satu kesilapan besar yang sering berlaku ialah menganggap penyata kewangan sebagai sesuatu yang rumit dan tidak perlu difahami. Ramai pelabur menyerahkan tugas ini kepada orang lain atau mengabaikannya terus.
Sedangkan penyata kewangan menceritakan keadaan sebenar syarikat. Ia menerangkan bagaimana ia menjana keuntungan, mengurus hutang dan aliran tunai. Tanpa kefahaman asas ini, pelabur mudah terpedaya dengan angka yang kelihatan cantik dalam penyata kewangannya.
FY tidak mengatakan semua pelabur perlu menjadi akauntan, tetapi memahami asas penyata kewangan adalah tanggungjawab minimum seorang pelabur.

Tidak Membuat Analisis

Beli saham tanpa analisis bermaksud membeli berdasarkan sangkaan dan harapan. Ramai pelabur masuk hanya kerana mendengar cerita, membaca tajuk berita atau melihat harga saham bergerak laju.

Apabila pelabur tidak membuat analisis sendiri, mereka juga tidak tahu bila sepatutnya keluar. Keputusan menjadi kabur dan sering berubah-ubah.
Analisis bukan jaminan keuntungan, tetapi ia memberi sebab yang jelas kenapa sesuatu saham dibeli dan bila ia perlu dilepaskan.

Ilmu Tanpa Amalan Juga Satu Masalah

FY juga sering melihat pelabur yang sudah belajar, tetapi gagal mengamalkan apa yang dipelajari. Mereka tahu apa yang betul, tetapi tidak melakukannya apabila emosi terganggu.
Ilmu tanpa amalan tidak memberi kesan. Ia hanya menjadi hiasan minda, bukan panduan tindakan.
Pelabur yang berjaya ialah mereka yang sanggup mempraktikkan ilmu dengan disiplin, walaupun dalam pasaran yang mencabar.

Penutup Bab

Ilmu bukan jaminan kekayaan, tetapi ketiadaan ilmu hampir pasti membawa kepada kerugian. Pelaburan tanpa ilmu hanyalah perjudian yang disamar, walaupun niat kelihatan baik.

FY ingin pembaca faham bahawa melabur saham bukan soal berani atau tidak, tetapi soal faham atau tidak. Semakin tinggi kefahaman, semakin tenang perjalanan pelaburan.

Dalam bab seterusnya, FY akan membawa pembaca melihat satu lagi punca besar kegagalan pelabur iaitu tiada perancangan, sistem dan disiplin, walaupun ilmu sudah ada.


www.seminarsaham.my

' style='padding: 0; border: none;'/>

Kesilapan Pelabur Zero, Newbie, Beginner 1 - Kesilapan Niat

KESILAPAN PELABUR ZERO SIRI 1

Oleh Haji Faizal Yusup

Pemenang 7 Anugerah Bursa Malaysia


Kesilapan Niat & Salah Faham Tentang Saham

Ramai orang masuk ke pasaran saham dengan niat yang baik. Ada yang mahu menambah pendapatan, ada yang mahu menyediakan masa depan keluarga, dan ada juga yang mahu mencari kebebasan kewangan. Semua ini adalah niat yang fitrah dan tidak salah.

Namun realitinya, ramai pelabur akhirnya kecewa, tertekan dan ada yang meninggalkan pasaran saham dengan perasaan serik. Apabila perkara ini berlaku, ramai menyalahkan pasaran, kaunter, broker atau keadaan ekonomi. Jarang yang berani berhenti sejenak dan bertanya soalan paling asas: “Adakah niat dan kefahaman aku tentang saham ini sudah betul?”

FY percaya bahawa kegagalan dalam pelaburan saham selalunya bermula jauh sebelum seseorang menekan butang beli. Ia bermula daripada niat dan disusuli oleh salah faham tentang hakikat sebenar pelaburan saham. Bab ini ditulis untuk menerangkan mengenai asas tersebut.

Niat Main Saham, Bukan Melabur Saham

Salah satu kesilapan paling awal yang FY sering dengar ialah apabila seseorang menyebut, “FY, saya nak main saham.” Ayat ini mungkin kedengaran biasa, tetapi implikasinya sangat besar. Perkataan main membawa maksud mencuba nasib, mengambil mudah dan mengharapkan hasil segera.

Apabila saham dianggap permainan, keputusan yang dibuat juga bersifat permainan. Hari ini beli kerana harga naik. Esok jual kerana takut harga turun. Lusa masuk saham lain kerana dengar rumors. Dalam keadaan ini, pelabur tidak lagi mengawal keputusan, sebaliknya dikawal oleh emosi dan pergerakan harga.

Hakikatnya, melabur saham bermaksud membeli sebahagian pemilikan dalam sesebuah perniagaan. Seorang pemilik perniagaan tidak membuat keputusan setiap hari berdasarkan perasaan. Dia berfikir tentang hala tuju, risiko, nilai dan jangka panjang. Selagi niat masih untuk “main”, selagi itulah pelaburan tidak akan stabil.

Jadi tukarlah niat daripada bermain saham kepada melabur saham bagi mendapatkan keuntungan.

Melabur Saham Tanpa Matlamat Pelaburan Yang Jelas

Ramai pelabur tidak pernah menetapkan matlamat pelaburan mereka dengan jelas. Mereka masuk saham sekadar “nak cuba” atau “nak tengok dulu”. Tanpa matlamat yang jelas, pelaburan menjadi sesuatu yang kabur dan tidak berarah.

Hari ini pelabur itu berkata dia mahu simpan saham untuk jangka panjang. Namun apabila harga turun sedikit, dia mula gelisah dan terus menjualnya. Besok dia masuk semula kerana takut ketinggalan. Semua ini berlaku kerana tiada matlamat yang menjadi panduan dalam membuat keputusan yang jitu.

FY sering menegaskan bahawa matlamat pelaburan ialah kompas. Samaada untuk persaraan, pendidikan anak atau pendapatan pasif, setiap matlamat memerlukan pendekatan dan kesabaran yang berbeza. Tanpa matlamat, pelabur akan mudah hilang arah walaupun pasaran sedang baik.

Menganggap Saham Sebagai Jalan Cepat Kaya

Salah faham yang sangat berbahaya ialah anggapan bahawa saham adalah jalan pintas untuk cepat kaya. Cerita kejayaan orang lain mudah tersebar dan sering menjadi inspirasi, tetapi jarang diceritakan perjalanan sukar di sebalik kejayaan tersebut.

Apabila pelabur masuk dengan jangkaan yang terlalu tinggi, kesabaran menjadi sangat singkat. Saham yang baik dijual terlalu awal kerana mahu cepat ambil untung. Saham yang salah pula disimpan terlalu lama kerana berharap ia akan berpatah balik.

FY ingin pembaca faham bahawa pasaran saham bukan mesin duit. Ia adalah medan yang menguji disiplin, kesabaran dan kematangan. Mereka yang datang dengan mentaliti cepat kaya selalunya akan keluar dengan pengalaman pahit.

Pelaburan Yang Tidak Selari Dengan Nilai & Prinsip Hidup

Satu lagi kesilapan yang jarang disedari ialah apabila pelaburan dibuat tanpa mengambil kira nilai dan prinsip hidup sendiri. Ada pelabur yang melabur dalam sesuatu yang sebenarnya tidak selari dengan pegangan mereka, tetapi diteruskan kerana mengejar pulangan.

Pada peringkat awal, selagi harga naik, semuanya kelihatan baik. Namun apabila timbul isu berkaitan integriti, etika atau prinsip, keyakinan mula goyah. Pelabur menjadi serba salah dan emosi terganggu.

FY percaya pelaburan sepatutnya memberi ketenangan, bukan keresahan. Pelaburan yang selari dengan nilai hidup membolehkan pelabur membuat keputusan dengan yakin dan tidur lena walaupun pasaran tidak menentu.

Niat Yang Salah Melahirkan Keputusan Yang Salah

Niat bukan sekadar lintasan di hati. Ia mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan bertindak balas apabila diuji. Pelabur yang masuk dengan niat yang salah akan cenderung membuat keputusan yang salah walaupun mempunyai ilmu dan pengalaman.

Sebaliknya, apabila niat dibetulkan, pelabur lebih mudah bersabar, lebih rasional dan lebih bertanggungjawab terhadap keputusan sendiri. Kesilapan tetap akan berlaku, tetapi ia menjadi proses pembelajaran, bukan punca kejatuhan. 

Penutup Bab

Segala perjalanan pelaburan saham bermula dengan niat dan kefahaman. Jika kedua-duanya sudah tersasar, strategi sehebat mana pun akhirnya akan bocor. Bab ini bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk mengajak pembaca bermuhasabah sebelum melangkah lebih jauh.

Kita perlu sedar bahawa pelaburan saham bukan soal siapa paling cepat atau paling berani, tetapi siapa paling jelas niatnya dan paling betul kefahamannya. Dari asas inilah pelaburan yang matang dan berdisiplin dapat dibina.

Dalam bab seterusnya, FY akan membawa anda semua menyelami satu lagi kesilapan besar iaitu melabur tanpa ilmu, walaupun niat sudah kelihatan betul.

www.seminarsaham.my

' style='padding: 0; border: none;'/>