01 Julai 2011

Pelaburan Untuk Peningkatan Diri / Modal Insan




Kita dilahirkan dengan keinginan untuk menentu dan mengawal hala tuju hidup. Ia adalah kunci kepada kejayaan dan kehidupan yang lebih baik- Robert Foster Bennet.

Kita adalah penentu kepada nasib kita, samada baik atau buruk. Situasi ekonomi global dan krisis kewangan yang meleset mungkin menjejaskan prestasi perniagaan atau menghentikan operasi mereka sehingga menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan. Namun, ini bukanlah alasan untuk anda berputus asa, sebaliknya inilah masanya untuk memikirkan semula apa yang penting bagi diri serta apa yang perlu diutamakan. Perkara ini sangat penting agar anda mampu memacu masa depan dengan langkah yang sewajarnya.

Kitaran Ekonomi

Sebagaimana yang diketahui, aktiviti ekonomi bergerak dalam kitaran. Penguncupan ekonomi yang berlaku pada masa ini tidak akan berlanjutan buat selama-lamanya. Pada penghujung peringkat ini, apa yang biasanya berlaku ialah penyusunan semula perniagaan dan pembayaran hutang tertunda oleh pengguna. Setelah mengharungi peringkat penyatuan, pengguna akan kembali yakin dengan keadaan ekonomi dan mula berbelanja. Ini menandakan  permulaan untuk peringkat pemulihan. Walaupun sukar untuk meramalkan bila trend aktiviti akan meningkat, masih ada peluang keemasan yang menanti anda dalam ekonomi yang meleset ini. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah berfikir secara positif dan bijak bertindak untuk masa depan yang lebih cerah.

Salah satu peluang utama yang perlu direbut dalam keadaan ekonomi yang serba kekurangan ini ialah pembangunan modal insan.
Menambah nilai modal insan anda

Setelah bekerja, kebanyakan orang mengabaikan aspek latihan dan peningkatan kemahiran. Selain latihan semasa bekerja yang  perlu dibuat samada suka ataupun tidak, anda tidak memberikan perhatian yang serius kepada aspek latihan yang lebih formal dalam usaha untuk terus membangunkan potensi diri.

Lama kelamaan, perkara yang dilakukan menjadi rutin dan anda tidak lagi memerlukan usaha keras untuk melaksanakan kerja tersebut. Ada kemungkinan anda akan menjadi seperti ’robot’ yang hanya bertindak mengikut arahan dan tidak sukakan perubahan. Inilah bahayanya apabila anda mula rasa terlalu selesa dengan kerja yang dilakukan. Jika ada kerja ataupun jawatan baru yang ditawarkan, mungkin anda berasa serba tidak kena dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Ini sudah menjadi satu perkara biasa bagi ramai orang, dan akibatnya, ramai juga yang takut untuk menimba ilmu dan mencari kemahiran baru. Ilmu dan kemahiran baru ini dikhuatiri menjadi sesuatu yang perlu diamalkan dalam skop kerja ataupun jawatan baru kelak.

Masa untuk bangkit semula!

Selain itu, ramai orang mempunyai tanggapan negatif terhadap pengurangan tenaga kerja ataupun pembuangan kerja. Namun, persepsi ini haruslah dilihat daripada aspek positif kerana secara tidak langsung, apa yang diperolehi dalam situasi sebegini ialah tempoh masa untuk anda berehat, berfikir semula dan merangka strategi yang mampu mendatangkan kebaikan buat diri sendiri.  Mungkin anda ingin bertukar bidang pekerjaan, memulakan perniagaan atau bekerja sendiri. Gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya untuk menambahkan kemahiran ataupun memperolehi kelulusan dalam sesuatu bidang lain yang anda minati tetapi tidak berpeluang melakukannya sebelum ini.

Gunakan modal insan untuk membangunkan modal kewangan 

Kita seringkali bercakap mengenai cara untuk mengembangkan modal kewangan, manakala isu perkembangan modal insan pula kerapkali diketepikan. Ini adalah suatu pandangan yang harus diperbetulkan secepat mungkin kerana pelaburan dalam modal insan sebenarnya dapat menjana kekayaan dalam jangka masa panjang. Pada usia muda, kita sering menitikberatkan kemahiran dan ilmu yang dimiliki untuk menjana kekayaan sebagai bekalan di masa hadapan. Apabila usia semakin meningkat, modal insan diri mula diketepikan demi memperkembangkan modal kewangan ke tahap yang membolehkan anda bergantung sepenuhnya pada modal kewangan tersebut. Di sinilah anda mula menempuhi alam persaraan.

Oleh yang demikian, kita mesti mempertingkatkan mutu modal insan selagimana kita mempunyai peluang untuk melakukannya.  Inilah salah satu aspek yang ditekankan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, dimana  rakyat Malaysia digalakkan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau dalam bidang berbeza. Bagi merealisasikan hasrat pakej rangsangan ini, kerajaan telahpun menyediakan kemudahan bagi rakyat Malaysia dalam bentuk subsidi bagi kursus-kursus tertentu. Rebutlah peluang ini bagi membolehkan anda terus berdaya saing dalam persekitaran yang semakin mencabar seperti sekarang.

Persediaan untuk peringkat pemulihan 

Berbekalkan kemahiran dan ilmu baru yang diperolehi, anda akan berupaya menarik perhatian lebih ramai bakal majikan yang tentunya menghargai kepelbagaian dari segi bakat dan pengetahuan. Jangan sesekali mengehadkan kebolehan anda. Ini kerana kebolehan memperluaskan bidang ilmu dan mempelbagaikan kemahiran akan menjadi batu loncatan bagi anda untuk maju ke hadapan apabila pasaran kembali seperti sediakala.

Sesetengah orang mungkin ingin  merebut peluang ini untuk memulakan perniagaan sendiri.

Biarpun ada yang berpandangan yang langkah ini agak berisiko kerana pasaran tidak menentu, janganlah lepaskan peluang tersebut sekiranya harapan untuk anda berjaya amat cerah. Malah, tindakan ini mungkin berpihak kepada anda dengan adanya kos pembiayaan yang rendah dan insentif yang disediakan kerajaan untuk usahawan baru. Selain itu, kos anda boleh dikurangkan lagi dengan membeli peralatan dan kelengkapan pada harga yang lebih murah. Ini semua dapat membantu menjayakan perniagaan anda.

Inilah yang dimaksudkan kata-kata yang kerapkali diulangi pakar-pakar pelaburan – “dalam setiap krisis, ada peluang untuk direbut”. Ia bergantung kepada cara anda menginterpretasikan  sesuatu situasi; sama ada anda menganggapnya sebagai cabaran ataupun masalah. Anggaplah setiap satu halangan itu sebagai cabaran. Dengan itu, barulah anda dapat menemui peluang yang wujud dalam setiap masalah yang dihadapi.

SECURITIES INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION (SIDC), peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di ASEAN, adalah cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1994 dan diperbadankan pada 2007.

Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.