05 Mac 2012

Penyenaraian Felda Global Ventures Berhad Yang Menguntungkan

Penyenaraian yang menguntungkan


KEKUSUTAN dan kontroversi yang berlaku dalam usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke papan utama Bursa Malaysia pada Mei ini adalah suatu perkara yang amat menyedihkan dan merugikan negara.
Bagi kami, remisier yang terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti pasaran saham negara melihat penyenaraian FGVH ini akan membawa kebaikan yang amat besar kepada negara khususnya para peneroka Felda .

Penyenaraian FGVH merupakan suatu pengumuman yang begitu dinanti-nantikan dan jika berjaya disenaraikan kelak, ia akan menyaksikan FGVH muncul sebagai satu lagi syarikat 'Blue Chip' atau syarikat berwajaran besar di Bursa Malaysia dan bakal melonjakkan modal pasaran FGVH dari sekitar RM3 bilion kepada sehingga RM21 bilion.
FGVH bakal dikategorikan dalam sektor perladangan yang merupakan saham jenis 'defensive', yang bermakna saham ini boleh bertahan dan stabil dalam apa jua situasi ekonomi dunia. Pada amnya, pembayaran dividen kepada pemegang saham dalam sektor ini merupakan satu perkara yang dilakukan pada setiap tahun dan jumlah dividennya pula adalah tinggi.

Cuba bayangkan jika tanah-tanah perladangan Felda dan KPF dapat digabungkan untuk penyenaraian ini, maka FGVH akan menjadi syarikat perladangan tersenarai terbesar di dunia dan dikuasai kaum bumiputera!

Senarai tawaran saham yang dicadangkan bagi saham FGVH yang terdiri daripada institusi pelaburan utama negara seperti PNB, KWSP, KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen) dan Tabung Haji yang terbukti berjaya menjaga kepentingan pelaburan rakyat negara ini.

Sementara itu, tawaran yang dicadangkan bagi institusi luar negara pula peratusan kecil, kurang dari 5%. Syarikat-syarikat tersenarai awam (PLC) yang dikuasai institusi-institusi pelaburan kerajaan atau luar negara mempunyai tarikan pelaburan yang baik dan sentiasa menjaga kepentingan pelabur minoriti.

Sesuatu PLC memerlukan pelaburan asing untuk menjadi sebahagian daripada pemegang sahamnya kerana ini akan memudahkan mereka mendapat liputan media luar negara dan seterusnya menjadikan PLC ini lebih terkenal bagi membina platform antarabangsa.

Namun demikian, kadar 5% pelaburan asing dalam saham FGVH yang ditawarkan, tidak akan menjejaskan kedudukan harga saham atau pengurusan FGVH seandainya pelabur asing itu menjual pegangan mereka di pasaran terbuka.

Persetujuan kerajaan untuk memberi 'blue form' dan 'pink form' kepada peneroka dan pekerja Felda adalah satu langkah bijak. Peneroka Felda seharusnya bersyukur dan berasa bangga kerana diberi "durian runtuh" ini dan secara tidak langsung menjadikan mereka di antara pemilik sebuah syarikat gergasi dunia.

Pengalaman kami sendiri melalui pemberian 'blue form' kepada remisier ketika proses penyenaraian saham Bursa Malaysia Berhad pada tahun 2005 boleh dijadikan rujukan dan panduan. Jumlah saham yang kami terima ketika itu adalah mengikut tempoh perkhidmatan sebagai remisier, lebih lama berkhidmat, lebih banyak saham yang diterima.
Remisier telah mendapat banyak manfaat daripada penyenaraian ini, di antaranya adalah keuntungan besar di atas penjualan saham-saham percuma ini, penerimaan dividen yang tinggi setiap tahun dan sehingga kini kebanyakan kami masih memegang sekurang-kurangnya 100 unit saham yang melayakkan kami secara beramai-ramai menghadiri mesyuarat agung tahunan Bursa Malaysia dan memberi pandangan mengenai cara pengurusan dan hala tuju syarikat yang kami turut miliki ini.

Tawaran saham 'pink form' kepada pekerja Felda dan pelabur bumiputera melalui tawaran khas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berbeza dari 'blue form' yang diterima peneroka. Sekali lagi para peneroka beruntung kerana pemberian 'blue form'membolehkan mereka mendapat saham sesuatu syarikat secara percuma, tanpa sebarang bayaran bagi mendapatkan saham yang ditawarkan.

Mereka hanya perlu membayar yuran RM10 bagi pembukaan akaun CDS di Bursa Malaysia atau tempat penyimpanan saham di syarikat broker saham dengan menandatangani borang tersebut di hadapan wakil syarikat broker saham yang biasanya adalah remisier. Hanya nombor akaun CDS ini dan tandatangan peneroka diperlukan di 'blue form' ini.
Tawaran saham 'pink form' adalah satu tawaran yang menetapkan jumlah saham yang layak dilanggan oleh pelabur tanpa melalui proses cabutan undi, namun ia memerlukan bayaran untuk melangganinya.

Jika tawaran saham 'pink form' melebihi keupayaan kewangan pelabur, mereka bolehlah memohon untuk mendapat pembiayaan bagi melanggan saham tersebut dari syarikat broker saham atau bank yang menawarkan skim pembiayaan saham secara marjin atau "share margin financing" (SMF).

Walau bagaimana pun, SMF mengenakan kos dokumentasi dan faedah pembiayaan yang tinggi dan seringkali dikaitkan dengan kerugian besar pelaburan atau kehilangan kuasa pengurusan syarikat ekoran kejatuhan harga saham di bawah paras tertentu.

Harga saham bagi peminjam SMF diawasi pada setiap hari dan jika harga saham tiba-tiba jatuh, peminjam diberi tempoh hanya tiga hari untuk "top-up" atau memperbetulkan keadaan yakni dengan menambah sejumlah wang bagi mengimbangi nilai pegangan saham yang telah susut harga sahamnya.

Jika peminjam tidak dapat memenuhi syarat ini, maka sahamnya akan dijual di pasaran terbuka sehinggalah ratio pinjaman pulih kembali.

Dalam hal ini, perkara yang amat tidak adil adalah apabila harga saham jatuh tanpa ada kaitan dengan prestasi sebenar syarikat yang masih kukuh, sebaliknya harga saham jatuh ekoran masalah ketidakcairan saham di mana pelabur yang memerlukan wang terpaksa menjual sahamnya dengan harga murah kerana ketiadaan pembeli pada harga semasa.

Penjualan secara paksa saham peminjam SMF memburukkan lagi keadaan dan seterusnya akan berlaku 'domino effect' sehingga adakalanya harga saham jatuh merudum dan mengakibatkan pengurusan syarikat yang turut mengambil pinjaman bank dengan mencagarkan saham mereka, hilang kuasa kerana terpaksa turut menjual pegangan mereka akibat harga saham yang jatuh teruk.

Perkara ini begitu mudah berlaku pada syarikat tersenarai awam berwajaran kecil dan sederhana yang mempunyai masalah kecairan atau "liquidity" saham yang rendah. Badan pelaburan kerajaan seperti PNB, Khazanah, KWSP dan KWAP yang tidak mempunyai mandat atau kuasa untuk membeli saham-saham syarikat berwajaran kecil dan sederhana, walaupun syarikat-syarikat ini mencatatkan prestasi yang baik dan cemerlang.

Polisi ini tidak adil dan perlu dikaji semula. Para pelabur khususnya pelabur runcit sering mengeluh mengenai kesukaran mereka untuk menjual saham syarikat tersenarai awam bumiputera (BPlc) yang telah lama dipegang atas sebab tiada pembeli dan mendatangkan kerugian besar terhadap pelaburan mereka.

Di samping itu, ketiadaan publisiti meluas dan kekurangan analisis teknikal terhadap BPlc di media-media massa tempatan yang majoritinya dikuasai bukan Bumiputera telah memburukkan lagi keadaan sehingga kadang kala nama sesetengah BPlc itu tidak pernah langsung didengari oleh para pelabur.

Kajian Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) melalui penghasilan buku bertajuk 'Ikon PLC Bumiputera 2011' yang akan dilancarkan tidak lama lagi, sehingga 31 Disember 2011 hanya 11% syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dikuasai bumiputera dan sekadar mampu menguasai 15% daripada keseluruhan modal pasaran 'market capitalization' Bursa Malaysia yang kini bernilai trilion ringgit.

Tambahan, jika dikaji lebih mendalam, daripada 15% modal pasaran ini hanya 2% sahaja peratusan penguasaan keseluruhan modal pasaran bagi BPlc-BPlc bumiputera berwajaran kecil dan sederhana yang tidak mempunyai pemilikan saham oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau kerajaan negeri dalam saham mereka.
Namun, para pemegang saham FGVH sekali lagi beruntung kerana modal pasaran FGVH akan melonjak berganda-ganda, setanding dengan syarikat-syarikat gergasi dunia dan akan diwujudkan satu entiti syarikat pegangan pelaburan atau 'investment holding company' yang akan menjaga hal-ehwal harga dan kecairan saham FGVH setelah disenaraikan sambil memastikan saham FGVH terus berada di tangan bumiputera.

Isu ketirisan saham juga merupakan satu isi yang harus dipandang berat. Ketirisan saham bumiputera akan terus berlaku sekiranya para pelabur runcit bumiputera masih tidak dididik mengenai kebaikan pemilikan saham dan hak-hak mereka sebagai pelabur.

Penetapan minda yang mahu mendapatkan keuntungan pada kadar yang segera juga harus dihapuskan. Kaedah seperti 'grow with the company' dan 'long-term investment' diyakini suatu kaedah yang betul dan membawa pelbagai kebaikan.

Ramai pelabur terutamanya pelabur luar bandar kurang mendapat pendedahan dan tidak mengetahui langsung hak-hak mereka sebagai seorang pelabur. Sebagai contoh mesyuarat agung tahunan (AGM) sesuatu PLC harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pemegang saham, jika tidak dapat hadir boleh hantar proksi contohnya anak sebagai wakil.

Para pelabur seharusnya menghadiri mesyuarat secara beramai-ramai bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh pihak pengurusan dan bersama-sama membuat keputusan penting syarikat.

Pelabur juga perlu bijak mengunakan hak-hak mereka dengan menyoal dan mengundi sekalipun mempunyai pegangan saham kecil 'minority shareholder' di dalam sesebuah PLC.

Ini sekali gus sebagai peringatan kepada pihak pengurusan supaya 'jangan main-main dengan duit kita' . Begitu juga halnya dengan peneroka felda yang berjumlah lebih kurang 112,600 orang, gunakanlah hak-hak anda dengan sebetulnya dan jadilah pemerhati terhadap prestasi syarikat anda.

Akhir kata, permasalahan penurunan ekuiti bumiputera selama ini yang telah PRIBUMI ajukan kepada kerajaan sejak lima tahun yang lalu seperti ketirisan saham, pembiayaan saham secara pembiayaan marjin, kecairan saham , harga saham BPlc yang rendah dan tiada publisiti, kehilangan kuasa pengurusan bumiputera boleh di atasi dan menjadi model penyelesaian melalui penyenaraian FGVH.

Promosi mengenai penyenaraian FGVH di harap dapat melibatkan para pemikir yang mempunyai penglibatan secara langsung 'hands-on' terhadap pasaran saham seperti ahli-ahli PRIBUMI satu Malaysia yang tugas utama mereka adalah memberi penerangan dan menarik minat rakyat terhadap pasaran saham negara.

Individu penting berhubungan dengan Felda seperti Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Gabungan Generasi Wawasan Felda (GWGF) yang mempunyai pengalaman luas mengenai pasaran saham negara melalui syarikat tersenarai beliau sendiri Puncak Niaga Holdings Berhad perlu dilibatkan dalam usaha ini.

Gandingan usaha penerangan PRIBUMI dengan 500 ahlinya dari seluruh Malaysia dan GWGF dengan pegawai seranta di seluruh 317 penempatan Felda, jika diberi peluang, insya- Allah akan dapat membantu meredakan kekusutan yang sedang berlaku mengenai cadangan penyenaraian FGVH ini.

Pandangan sempit sesetengah pihak yang hanya melihat kepada keburukan dan menggunakannya sebagai satu medium untuk menghentam kerajaan tanpa melihat kepada keseluruhan kebaikan yang dibawa dalam penyenaraian FGVH ini harus ditepis.

Penyenaraian FGVH berlatarbelakangkan sokongan kuat pemimpin-pemimpin nombor satu negara; Felda ditubuhkan di bawah bekas Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Abdul Razak, penyenaraiannya pula dicetus oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kini diteruskan perjuangan penyenaraiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jaminan Perdana Menteri bahawa kepentingan peneroka tetap menjadi keutamaan sekalipun FGVH disenaraikan merupakan satu kelegaan.

Seperti mana penyenaraian saham Petronas Chemicals Group Berhad dan MSM Malaysia Holdings di papan utama Bursa Malaysia dahulu, kami telah menyaksikan ramai bumiputera menjadi kaya dan ada yang bergelar jutawan.

Insya-Allah dengan penyatuan kuat seluruh warga Felda, pelabur runcit dan institusi pelaburan kerajaan, penyenaraian FGVH akan berjaya meningkatkan ekuiti bumiputera di pasaran modal negara, seterusnya menjadi sebuah syarikat paling gah di Bursa Malaysia atau 'darling of stock market' dan terus berkembang menjadi juara dunia.

Petikan dari Utusan Malaysia

www.faizalyusup.net

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.