13 September 2011

Berita Terkini Gas Malaysia


Gas Malaysia bakal bayar dividen besar
Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/09/12

MMC Corp jamin pelabur nikmati 75 peratus keuntungan tahun kedua penyenaraian

PEMEGANG saham Gas Malaysia Bhd bakal menikmati pulangan lumayan kerana pengedar dan peruncit gas asli terbesar Malaysia itu bakal mengagihkan 100 peratus keuntungan bersihnya sebagai dividen pada tahun pertama penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan Disember ini.

Syarikat induknya, MMC Corp Bhd, turut memberi jaminan bahawa pada tahun kedua pula, dividen yang bakal diagihkan GAS Malaysia kepada pemegang sahamnya ialah 75 peratus daripada keuntungan bersihnya.
Pengarah Urusan MMC Corp, Datuk Hasni Harun, berkata penetapan kadar dividen dalam tempoh dua tahun itu bertujuan memberi ganjaran terhadap kesetiaan pemegang saham syarikat itu.
Penetapan kadar dividen untuk tempoh dua tahun pertama itu adalah bagi memberikan ganjaran pemegang saham yang setia selama bertahun-tahun dengan Gas Malaysia.

Insya-Allah, ia akan diteruskan selepas tahun berikutnya (bergantung kepada prestasi syarikat), katanya kepada Berita Harian dan Business Times dalam temu bual bersempena dengan 100 tahun penubuhan MMC Corp di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MMC Corp Bhd, syarikat yang dikuasai usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada 16 Ogos lalu, mengumumkan penyenaraian Gas Malaysia itu bakal membabitkan tawaran awal permulaan (IPO) 333.84 juta saham atau 26 peratus daripada modal saham berbayar dan terbitannya.

Daripada 333.84 juta saham itu, 303.498 juta akan diperuntukkan untuk langganan pelabur institusi, dengan 147.678 juta untuk institusi terpilih Bumiputera dan pelabur terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); dan 155.820 juta untuk pelabur institusi terpilih tempatan.
Sebanyak 30.342 juta saham pula akan ditawarkan kepada pelabur runcit, dengan 12.84 juta adalah untuk langganan awam Bumiputera, manakala 12.84 juta lagi untuk bukan Bumiputera.

Baki 4.662 juta lagi dikhususkan untuk langganan kakitangan dan pengarah syarikat itu yang layak.

Berikutan Gas Malaysia tidak akan menerbitkan saham baru bagi IPO itu, MMC dan rakan kongsinya dalam syarikat itu akan menawarkan saham dalam beberapa bahagian bersandarkan kepada jumlah kepentingan masing-masing.

Ketika ini, MMC menguasai 41.8 peratus kepentingan dalam Gas Malaysia dengan bakinya dipegang Petronas Gas Bhd (20 peratus), Tokyo Gas-Mitsui & Co (25 peratus) dan selebihnya oleh Shapadu Holdings.

Mengenai kemajuan penyenaraian Gas Malaysia, Hasni berkata, kumpulan itu sudah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti bagi cadangan IPO itu, dan ia sedang menunggu kelulusan.

Gas Malaysia kini berada dalam landasan untuk disenaraikan dan jika tiada masalah, ia akan dilakukan Disember ini.

Penyenaraiannya adalah sebagai sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan lagi nilai, selain membantu mengurangkan paras hutang kumpulan.

Bersandarkan kepada kedudukan kewangan yang kukuh serta dengan kadar hutang sifar, selain prospek peningkatan penggunaan komoditi itu di kalangan pelbagai peringkat pengguna, khususnya pelanggan industri, MMC yakin IPO Gas Malaysia kelak akan mendapat sambutan baik, katanya.

Difahamkan, Gas Malaysia, kini mempunyai 400 pelanggan industri baru dalam senarai menunggu untuk mengguna produknya.

Penganalisis ketika dihubungi yakin, apabila disenaraikan kelak, saham Gas Malaysia mudah menarik minat pelabur institusi tempatan dan asing bersandarkan prospek kestabilan perniagaan syarikat itu, selain turut memiliki aliran tunai positif dan margin kukuh sentiasa terpelihara.

"Boleh disifatkan permintaan terhadap gas tidak terjejas walaupun dalam persekitaran ekonomi tidak menentu atau kemelesetan," katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.