08 Februari 2014

APAKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN SELEPAS MENGHADIRI SEMINAR SAHAM?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua.

FY harap artikel-artikel dalam blog ini serba sedikit membantu anda dalam pelaburan di Bursa Malaysia. InsyaAllah banyak lagi yang ingin FY kongsikan dengan anda, semoga ia secara tak langsung membawa manfaat dan berguna kepada pihak anda dalam manjalankan urusniaga pelaburan di Bursa Malaysia.

Baiklah, memandangkan kebelakangan ini begitu banyak bengkel, woksyop, kursus dan seminar saham dijalankan jadi FY mengambil keputusan untuk menulis sebuah artikel yang bertajuk Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Selepas Menghadiri Seminar Saham tak kiralah samaada anda pulang dari Seminar Super Investor FY atau yang lainnya.

Dari pemerhatian FY ramai juga yang balik dari seminar hanya mendapatkan ilmu pelaburan saham namun tidak melakukan apa-apa tindakan susulan atas sebab-sebab tertentu.

Jadi di sini FY akan terangkan langkah-langkah yang perlu anda ambil sekembalinya dari sebuah seminar saham kepada mereka yang telah punya modal dan bersedia untuk terjun dalam arena pelaburan saham ini.

BUKA AKAUN CDS
Sesetengah seminar menyediakan perkhidmatan membuka akaun CDS, jadi bukalah akaun CDS kerana inilah akaun yang wajib bagi semua pelabur saham di negara ini. FY ada menulis garispanduan membukanya dalam artikel yang lalu. Setelah menghantar borang untuk diproses tunggu sehingga pihak Bursa menghantar surat penyata untuk mengesahkannya.

Nota – Akaun CDS tidak boleh dibuka oleh pelabur yang Bankrap, tetapi bagi pelabur yang blacklist punya masalah CTOS dan CCRIS ia tidak menjadi masalah. 

BUKA AKAUN TRADING / ONLINE
Kemudian FY buka Akaun Trading dengan pihak Broker dan pastikan siapakah Remisier atau Dealer anda. Ini penting kerana sekiranya anda ada apa-apa urusan dan pertanyaan anda boleh bertanya dengan mereka. Akaun Trading digunakan untuk menggunakan perkhidmatan Remisier atau Dealer tersebut dalam menjalankan urusniaga saham. Akaun ini juga merupakan akaun yang wajib anda buka sekiranya anda ingin memulakan pelaburan saham.

Akaun CDS adalah tempat saham disimpan dan Akaun Trading ialah akaun dimana transaksi jual beli saham dijalankan.

Anda juga boleh membuka akaun Trading Secara Online selepas membuka akaun Trading ini. Akaun online ini membolehkan anda melihat papan Bursa melalui platform yang disediakan oleh syarikat broker saham.

Langkah-langkah membukanya juga pernah FY tulis dalam blog ini.

Kemudian anda akan menerima penyata dari syarikat broker tentang pembukaan Akaun Trading ini. Selepas akaun-akaun ini siap anda telah sedia untuk memulakan pembelian saham yang pertama anda.

MASUKKAN MODAL PELABURAN
Langkah seterusnya ialah untuk memasukkan modal saham dalam akaun Bank Syarikat Broker. Contohnya akaun Maybank atas nama Kenanga Investment Bank Berhad. Langkahnya telah FY tulis dalam aritikel dalam blog sebelum ini.

PEMILIHAN SAHAM
Ini adalah langkah yang paling sukar. Anda perlu membuat Analisis Makro dan Mikro, Analisis Asas, Analisis Kewangan, Analisis Teknikal dan pelbagai lagi sebelum terjun dan membeli saham pertama anda atau anda boleh bertanya Remisier anda untuk bantuan. Ini kerana Remisier yang berpengalaman dan berkelayakan akan pastinya dapat membantu anda memandangkan mereka kenal kebanyakan saham-saham yang didagangkan di Bursa Malaysia ini.

Sebenarnya seorang remisier yang hebat boleh memberi garispanduan akan saham-saham yang baik untuk dibeli, bila masa yang paling sesuai untuk membeli saham tersebut serta pada harga yang baik.

Setelah mengenalpasti saham mana yang ingin dibeli maka bolehlah anda terjun dan membelinya. Jangan takut kerana tiada apa yang perlu ditakutkan bila anda telah membuat persiapan yang rapi.

Melabur saham buat kali yang pertama sama sahaja seperti terjun Bungee Jumping. Anda takut akan jatuh menyembah bumi dan luka parah namun sekiranya persediaan rapi telah dibuat, faktor keselamatan, faktor cuaca dan sebagainya telah diambil kira maka InsyaAllah anda akan terjun dengan jayanya. FY percaya selepas 100 kali terjun maka terjunan anda akan menjadi lebih baik dan disusuli dengan aksi-aksi menarik. Begitu halnya dengan pelaburan saham. Anda takut kerugian dan sebagainya namun sekiranya persediaan rapi telah dibuat InsyaAllah akan dapat membeli kaunter yang selamat dan menguntungkan anda nanti.

Apapun FY akan menulis tip-tip pemilihan saham ini nanti dalam artikel yang lain pula. InsyaAllah.

INVESTOR ATAU TRADER?
Dalam hal ini anda kenalah pastikan samaada anda seorang Investor atau seorang Trader. Seorang Trader wajib ada akaun online kerana mereka perlu melihat pergerakan harga saham setiap masa namun ia tidak wajib bagi seorang Investor kerana mereka hanya perlu melihat pergerakan harga saham sekali sekala.

Ini kerana seorang Trader menggunakan strategi jangkamasa pendek sedangkan seorang Investor pula menggunakan strategi jangkamasa panjang.

Artikel ini juga pernah ada tulis sebelum ini.

GROUP SAHAM DI FB, WHATSAPP DLL
Sekiranya seminar tersebut  berjanji akan memasukkan anda dalam Group Saham dan sebagainya maka saranan FY hubungi mereka kerana kemungkinan besar mereka ini sibuk dan tak sempat untuk berbuat demikian. Dengan menghubungi mereka InsyaAllah mereka akan memasukkan anda ke dalam group-group yang berkenaan. Bagi Alumni Seminar Super Investor anda boleh menghubungi FY sendiri bagi tujuan ini.

TINDAKAN SETERUSNYA
Seminar Super Investor FY memberikan pandangan Basic yang menyluruh tentang pelaburan di Bursa Malaysia ini dan ia memadai untuk anda menjadi seorang INVESTOR saham tetapi ia tidak memadai untuk anda menjadi seorang TRADER saham kerana anda perlu mendalami ilmu Analisa Teknikal untuk menjadikan anda seorang Trader saham yang baik.

Dalam hal ini saranan FY bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran menjadi seorang TRADER saham maka datanglah ke Seminar SuperTech Investor kerana di sini anda boleh mempelajari selok belok menjadi seorang trader saham. Ia dijalankan oleh dua orang Sifu yang punya kelayakan MSTA(UK) iaitu Sifu Zuhri Zain dan Sifu Nabil Fikri. Untuk pengetahuan anda Sifu Nabil Fikri adalah salah seorang Regional Technical Analyst di CIMB Investment Bank Berhad dan merupakan satu-satunya Technical Research Analyst berbangsa melayu di situ.

Dalam hal ini sekali lagi FY nasihatkan, pastikan siapa sifu anda dan pastikan mereka ini berlesen, berpengalaman dan berkelayakan. Bukan apa FY takut anda belajar ilmu yang salah dan akhirnya akan merugikan pihak anda.

Seterusnya sekiranya anda perlukan software bantuan dalam menjalankan urusniaga trading anda maka datanglah ke Seminar SuperTrader yang mana di sini cara menggunakan Software SuperTrader akan dihuraikan.

Seminar-seminar ini ada FY promosikan dalam blog ini bilamana ia dijalankan. 

Tujuan FY promosikan seminar-seminar ini bukan untuk mendapatkan ganjaran kewangan darinya tetapi seminar-seminar ini disusun sedemikian rupa dengan pengisian yang kukuh dan mendalam supaya anda menjadi pelabur yang berhemah dan bijak dan InsyaAllah bakal menjadikan pelaburan saham ini sebagai sumber meningkatkan ekonomi keluarga anda khususnya serta ekonomi ummah secara amnya.  

Seperkara lagi subscribelah blog FY ini dengan masukkan email anda di dalam blog www.faizal yusup.net. Dengan cara itu semua artikel yang FY tulis akan sampai terus ke dalam email tuan-tuan dan puan dan InsyaAllah ia akan dapat membantu serba sedikit memberi pandangan mengenai isu-isu semasa pelaburan saham.

FY rasa cukup setakat ini buat kali ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi di lain paparan.

Sekian.

FY
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia


Perkhidmatan kami ;
  • Seminar Super Investor akan diadakan pada 1 Mac 2014
  • Seminar SuperTech Investor akan diadakan pada 15 Feb 2014
  • Seminar SuperTrader
  • Membuka akaun CDS
  • Memulakan portfolio pelaburan saham
  • Ebook - Panduan Lengkap Memohon IPO di MITI
Follow FY di Twitter – twitter.com/afaizalyusup
Add FY di Facebook - www.facebook.com/faizalyusupii
Like Page FB FY – www.facebook.com/SeminarSuperInvestor

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.