30 Oktober 2009

Kisah Pendekar 4 Bhg 2

Bahagian 1 kisah ini ada di awal blog ini.


Nak tahu apakah sambungan Kisah Pendekar yang saya selitkan dalam blog ini? Mari kita lihat sambungannya.


Mungkin anda pernah menonton cerita Karate Kid. Cerita mengenai seorang budak remaja yang ingin belajar seni mempertahan diri Karate dengan seorang guru karate bernama Mr. Miyagi.


Apa yang pelik ialah sebagai permulaan gurunya menyuruh dia menyental lantai dengan berus dengan gerakan membulat. Selepas tangan kanan tangan kiri. Keesokan harinya dia menyuruh hero itu untuk mengecat dinding ke atas dan ke bawah dan begitulah juga hari-hari yang seterusnya.


Lambat laun hero menjadi marah kerana dia ingin berlatih Karate tetapi asyik disuruh mengemas.


Namun demikian ada tujuan tersirat kenapa gurunya menyuruh dia berbuat demikian. Rupa-rupanya ia adalah jurus gerakan yang bertujuan untuk pertahanan. Bila musuh memukul, gerakan membulat, ke atas dan ke bawah itu dapat menepis pukulan musuh.


Begitu jugalah dalam kisah Pendekar. Selama tiga bulan pertama mereka hanya disuruh mengemas, mengecat, menimba air di perigi dan membawanya ke puncak gunung, memotong pokok, menebas serta membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya sepertimana kisah Karate Kid tadi. Hang Dua tak tahu apakah yang tersirat dari semua kerja-kerja ini.


Pada suatu hari dia berkata kepada kedua-dua rakannya,


“ Mungkin Pendekar Mastur ini pendekar tipu yang tak tahu mengajar silat kerana selepas tiga bulan kita hanya disuruh mengemas dan dijadikan orang suruhan. ” Luah hatinya.


“ Habis tu kau nak buat apa? ” Tanya Hang Empat.


“ Aku dah tak larat dan aku mahu pulang ke kampung tetapi sebelum aku mengalah aku mahu mengujinya. ” Jawabnya bersemangat.


“ Besok semasa menebas aku akan menyerangnya dengan parang ini. ” Sambungnya sambil menunjukkan parang panjang yang digenggam erat.


“ Kau ni dah gila agaknya Dua. ”


“ Ah! Aku tak peduli. Lagipun dia dah tua dan selalunya hanya mencangkul batas di hujung sana. ” Sambil menghalakan jarinya ke sebuah pondok dalam kawasan itu.


Keesokan harinya...


Sepertimana kebiasaannya selepas subuh dan bersarapan mereka disuruh untuk menyambung kerja-kerja menebas. Pendekar Masturpun mengambil cangkulnya menuju ke arah pondok kecil di hujung sana. Tak semena-mena Hang Dua terus menerjah dan menyerang Pendekar Mastur dengan melibaskan parang panjangnya. Pendekar Mastur pantas mengelak sambil menghalakan batang cangkulnya serong ke arah libasan parang Hang Dua.


Libasan parang panjang Hang Dua menyebabkan batang cangkul terpotong menyerong dan menjadikannya runcing. Tak semena-mena batang cangkul itu menjadi senjata dan menghunus di leher Hang Dua.


Hang Dua begitu terkejut dan terpaku. Serangannya disanggah hanya dengan satu gerakan. Satu jurus yang cukup membuktikan kehebatan pendekar ulung yang terkenal di seluruk pelusuk tanah air itu. Terbeliak keempat-empat biji mata Hang Tiga dan Empat menonton drama yang terjadi di hadapan mereka. Buat seketika drama itu seakan terhenti, terpaku tanpa gerakan.


Hanya permohonan kemaafan yang dapat dilafazkan oleh Hang Dua selepas dari itu. Malam itu Hang Dua menerangkan sebab kenapa dia menyerang Pendekar Mastur dan Pendekar Mastur faham kerana peristiwa yang sama pernah berlaku dahulu. Katanya dalam hidup kita kena selalu bersedia kerana kebanyakan dugaan yang datang bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.


Hang Dua berasa sangat bersalah lantas mengambil keputusan untuk berhenti berlatih dan kembali ke kampungnya. Maka tinggalkan Hang Tiga dan Hang Empat yang masih meneruskan latihan untuk menjadi pendekar di puncak gunung tersebut.


Pada satu malam setelah selesai mengemaskan seluruh kawasan persilatan, Pendekar Masturpun menerangkan kepada mereka berdua sebab musabab kenapa untuk sekian lama dia menyuruh mereka mengemaskan tempat itu. Pertamanya dia mahu menguji kesabaran mereka. Kesabaran dan ketabahan amat penting dalam ilmu persilatan kerana dia tak mahu anak didiknya nanti menyalahgunakan ilmu persilatan yang bakal diajarnya. Kisah Hang Dua dijadikannya contoh.


Seterusnya, tujuan dia menyuruh menimba dan mengandar air dari perigi ialah untuk meningkatkan stamina serta menguatkan otot-otot kaki mereka. Tujuan mengecat dengan kaedah yang tertentu itu ialah untuk mengukuhkan jurus pertahanan dan tujuan menebas serta memotong pokok pula adalah bagi tujuan penyerangan.


Seperkara lagi Pendekar Mastur menerangkan yang dalam kehidupan setiap perkara punya dua sudut. Sudut yang tersurat dan sudut yang tersirat. Apa yang kelihatan pada mata kasar tak semestinya menerangkan keadaan yang sebenarnya. Kita mesti selalu peka untuk meneliti dan mengambil iktibar dari setiap kejadian.


“ Kamu berdua telah melepasi semua ujian ini. Maka bersedialah untuk ke peringkat yang seterusnya. ” Hujah Pendekar Mastur lagi.


Kisah bersambung lagi...



' style='padding: 0; border: none;'/>

Kebersihan Hati

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan kamu dan tidak juga kepada rupa kamu tetapi Allah memandang kepada hati kamu.


Riwayat Muslim




Kebersihan hati akan menyebabkan semua yang kita lakukan itu adalah dengan niat kerana Allah baik dari segi hati, lidah dengan pengeluaran kata-kata serta perbuatan. Saya percaya yang nawaitu sebegini berniatkan Allah Taala akan menjadikan apa yang kita lakukan itu diberkati Allah. Hati yang bersih akan menyebabkan pemiliknya melakukan pekerjaan yang baik dari semua sudut pancainderanya. Bercakap perkara yang baik, buah fikiran yang positif, cetusan yang penuh kerendahan hati, melakukan pekerjaan yang baik dan sebagainya.


Mari kita lihat dari sudut perkataan dan cetusan yang dikeluarkan. Sebenarnya kita boleh tahu dan rasa apakah cetusan yang keluar dari mulut kita itu samaada ia adalah cetusan yang dikeluarkan akal fikiran dan dengan niat kerana Allah atas tujuan dan matlamat yang tertentu atau adakah apa yang dikeluarkan itu adalah cetusan perasaan, emosi dan nafsu yang membawa kepada kemungkaran.


Cetusan nafsu akan bermatlamatkan untuk bergembira, berjenaka, kotor, mencarut, atas rasa tak puas hati, memuaskan nafsu syahwat dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan yang tertentu yang bersifat sementara. Seorang yang kotor hatinya akan menumpukan kepada permasalahan serta bersikap negatif dalam cetusannya.


Contohnya sekiranya dia pergi ke sebuah restoran maka dia akan menumpukan kepada perkara buruk yang ada dalam restoran tersebut. Maka dia mungkin akan menumpukan kepada perkhidmatannya yang lambat tetapi orang bersih hatinya pula akan mencari faktor positif. Makanannya yang sedap, tempatnya yang bersih, suasana yang menyenangkan dan sebagainya. Tempat yang sedap dan ramai orang maka logiklah perkhidmatannya agak lambat. Orang yang kotor hatinya memandang hujan sebagai satu kesusahan sedangkan orang yang bersih hatinya akan memandang hujan sebagi rahmat.


Cetusan akal dari hati yang bersih ini mempunyai matlamat jangkamasa panjang, berniat baik, tanpa prasangka, ikhlas dan sebagainya. Ia bertujuan untuk membantu, menyokong, mengasihani, mengasihi dan menyayangi. Ia mempunyai sifat yang positif dalam menjalani kehidupan.


Cuba kaji kembali cetusan-cetusan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang berada di sekeliling kita, maka sebenarnya kita boleh nampak dan membezakan samada ia keluar dari akal dengan niat yang baik mahupun dari nafsu dengan niat yang terpesong.


Persoalannya kenapa kita perlu menzalimi diri dengan mengeluarkan cetusan berbentuk lucu dan lucah, kemarahan dan kebencian, tohmahan dan hinaan dan segalanya yang hitam dan kotor yang bakal membawa kemudaratan tanpa kita sedari, tanpa matlamat sedangkan adalah lebih baik kita memelihara kata-kata dengan kebersihan dan keputihan untuk mencapai matlamat yang tentu. Pastinya lidah yang dicipta dan dikurniakan kepada kita itu bukan gunanya untuk berkata yang sia-sia.


Mereka yang gagal membersihkan hati dengan mengeluarkan cetusan-cetusan berbentuk nafsu ini sebenarnya memberikan kemenangan kepada setan dan lambat laun ia akan menggelapkannya. Mungkin hati boleh dibersihkan dengan mendekatkan diri dengan Allah dan orang-orang yang soleh, boleh dilembutkan dengan mendengar ayat-ayat Al Quran dan sebagainya. Cuba lihat sekeliling anda, adakah anda punya kawan orang-orang soleh yang bercerita tentang pengisian keimanan, kehebatan Allah dan isu ugama Islam serta mengajak ke jalan yang benar yang mana boleh membersihkan hati dan meningkatkan keimanan pada Allah atau adakah kawan-kawan anda terdiri dari mereka-mereka yang hanya bercerita tentang dunia serta segala isinya kandungannya, cerita isu semasa mahupun kebanggaan dalam melakukan perkara yang mungkar?


Oleh itu perhatikanlah setiap cetusan yang tercetus di hati, analisa setiap kata yang keluar dari mulut yang kemudiannya diikuti dengan perkataan. Pastikan yang cetusan yang keluar itu keluar dari akal bersandarkan kalimah kerana Allah Taala.


Apa yang pasti mereka yang dapat mengawal diri dari mengeluarkan cetusan yang berbentuk nafsu dengan mengalahkannya dengan kekuatan akal, cetusan yang bakal keluar dari mulut mereka akan bersifat lembut dan berisi. Mereka akan hanya berkata apa yang perlu dengan cara pertuturan yang baik tanpa meninggikan suara bagi tujuan menyampaikan maksud. Dalam ertikata lain menyampaikan dengan hikmah. Mereka juga tahu akan sebab kurniaan mulut lidah dan suara. Andai lidah mulut dan suara boleh bersuara maka apakah yang akan dikatakan? Andai kita hanya punya suara yang terhad bagaimana pula akan kita gunakan suara itu?


Ini baru huraian perihal cetusan kata-kata yang tercetus dari hati. Bagaimana pula dengan pendengaran, penglihatan, pernafasan, penulisan, pekerjaan dan sebagainya. Hati yang bersih akan menjadikan semua itu bersih dan begitu jugalah sebaliknya.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Sistem Akal – Konsep 4T

Pernahkah anda pergi ke sebuah pertemuan dengan kawan-kawan dan bila anda pulang anda merasakan yang anda tak dapat mencakup walau satupun input baru? Ini kerana isu yang dibincangkan tidak bersifat ilmiah hanya bergosip, menceritakan perihal orang lain dan sebagainya atau mungkin juga anda telah punya ilmu pengetahuan yang terdahulu yang kukuh dalam diri lantas menyebabkan keadaan ini terjadi.


Atau


Pernahkah anda membaca sebuah buku dan merasakan yang ia begitu membosankan kerana anda telah tahu kebanyakan isinya dengan hanya satu dua isi tambahan yang dapat anda cakupi.


Atau


Pernahkah anda bertemu dengan pengikut ajaran sesat dan anda kemudiannya menyanggah semua pengisian yang cuba diberikan mereka.


Atau


Pernahkah anda menyertai sebuah seminar atau kursus motivasi dan merasakan yang ia begitu membosankan kerana anda telah tahu kebanyakan isinya dan anda merasakan yang anda boleh memberikan pengisian yang lebih baik?


Dan pelbagai contoh yang lainnya.


Terus terang saya katakan saya telah melalui semua pengalaman ini. Kadangkala hati saya meronta-ronta untuk ke depan bilik seminar dan seakan ingin mengambil alih tempat guru di hadapan kerana merasakan saya boleh menyampaikan dengan lebih baik dengan kaedah yang lebih berkesan namun demikian ia tak pernah berlaku kerana saya tak mahu mengganggu kredibiliti guru yang berkenaan. Bukanlah nak mengatakan yang diri ini pandai tetapi saya mahu berbuat demikian kerana saya ingin membantu menambahbaikan seminar tersebut dengan harapan ia membawa manfaat kepada pendengarnya. Itu sahaja niat saya.


Mungkin sebab inilah saya menulis buku bagi menyampaikan apa yang tahu dengan niat yang sama. Semoga ia membawa manfaat kepada anda. Kalau anda merasakan yang buku saya ini tiada input maka saya yakin anda seorang yang banyak ilmunya, jadi saya ingin sarankan agar anda mula menulis dan sampaikan kepada khalayak akan ilmu yang anda tahu itu. Saya yakin pasti ia akan membawa kebaikan.


Apapun bila mendapat sesuatu pengisian saranan saya gunakanlah Konsep 4T yang bakal saya huraikan ini dengan itu anda bakal mendapat mengasingkan ilmu yang jitu dari maklumat yang begitu banyak kita terima saban hari.


Konsep 4T


Tangkis
Tapis
Tukar
Tambah


Disini izinkan saya menerangkan mengenai konsep 4T dalam sistem akal ini. Sistem yang saya gunakan dan mungkin juga berguna untuk anda. Di sini saya terangkan dengan cara yang ringkas.


Tangkis
Tangkis ini bermakna dalam satu-satu pengisian kita perlu membuang apa yang tak perlu. Pengisian dengan kelucuan dan kelucahan yang melampau contohnya, pengisian yang menimbulkan konflik serta kontroversi, firnah, menipu, yang membebankan dan sebagainya.


Tapis
Maklumat dan pengetahuan yang kita dapati itu sebenarnya bersifat mentah. Kita perlu menapisnya bagi mendapatkan intipatinya isinya. Hampasnya kita buang. Sebagai seorang Islam Al Quran dan Hadith Nabi adalah merupakan penapis dan penangkis yang baik. Setiap pengisian mestilah ditapis dengan melihat adakah ia selari dengan Islam. Kalau benar maka ia boleh diambil, kalau tidak maka keluarkan pengisian itu walaupun pahit.


Tukar
Seterusnya kalau dahulu kita percaya kepada prinsip B yang telah menjadi prinsip diri sekian lama tetapi kemudiannya kita bertemu dengan prinsip A yang jauh lebih baik juga merupakan prinsip yang benar, maka saya sarankan kita buang prinsip yang terdahulu dan gantikan dengan prinsip yang baru ini.


Tambah
Kalau kita sudah ada prinsip A contohnya dan penyampai menyampaikan pengisian yang sama tetapi ia jauh lebih baik dari apa yang kita ada. Di sini kita akan berkesempatan untuk mencantikkan prinsip A kita itu. Menambah bunga mencantikkan ia menjadi prinsip A yang berkilat.


Setelah melakukan semua proses ini dalam minda maka saya percaya maklumat yang kta terima itu akan menjadi ilmu yang benar. Ia secara tak langsung akan mengutuhkan penyampaian kita dan meningkatkan kredibiliti kita sebagai penyampai.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


PS - Saya ada menulis huraian yang lebih mendalam dalam manuskrip buku Anda Yang Cemerlang yang sedang saya usahakan. InsyaAllah anda boleh mendapatkan buku tersebut bila ia terbit nanti.

' style='padding: 0; border: none;'/>

29 Oktober 2009

Tujuan Hidup

Seringkali dalam kehidupan ini kita bertemu dengan soalan “Apakah tujuan kita dilahirkan dimuka bumi ini atau apakah objektif sebuah kehidupan? Sebuah kehidupan yang pastinya menuju ke arah kematian. Kematian yang pasti tak dapat disangkal oleh sesiapapun juga walaupun telah ramai saintis yang mencuba untuk mengelakkan kematian namun ia tetap datang juga.


Pernahkah anda bertanyakan soalan kenapakah anda dilahirkan di mukabumi ini kepada diri anda sendiri dan apakah jawapan anda?


Tak pernah?


Kalau tak pernah, izinkan saya bertanya kepada anda apakah tujuan anda dilahirkan di muka bumi ini?


Apakah jawapan anda?


Persoalannya adakah kehidupan di dunia ini hanya untuk bergembira, berhibur, berseronok, bekerja, berniaga mencari rezeki, mencari kemewahan, kekayaan mahupun mengumpul harta atau adakah ia untuk kita menjadi terkenal, mendapat gelaran, pangkat dan nama? Atau mungkin juga untuk kita berusaha menjadi ilmuan, cendiakawan, saintis dan sebagainya? Namun demikian kita tetap juga mati dan lama kelamaan bila masa beredar kita bakal dilupakan sepertimana begitu ramai manusia yang pernah terkenal, yang pernah kaya yang singgah di mukabumi ini satu ketika dahulu yang mati tanpa kita mengenali mereka.


Apa yang pasti ialah kita punya masa yang singkat dalam dunia ini. Bagi kebanyakan kita, kehidupan kita di mukabumi ini tak sampaipun 100 tahun. Jadi apakah tujuan kita dihidupkan?


Kalau kita asyik berseronok dan bergembira saya pasti kehidupan kita sama seakan binatang yang hanya makan minum tidur dan melakukan hubungan seks dan bermain. Ramai juga yang saya kenal yang hidup begini. Masih bujang walaupun umur sudah lanjut, bertukar-tukar pasangan dan hidup seakan tanpa tujuan. Setiap hari apa yang dicari hanyalah hiburan semata-mata, Muzik, internet, bermain “games”, “clubbing” di hujung minggu dan sebagainya. Inikah tujuan kehidupan?


Bagaimana pula sebelum semua ini dicipta manusia. Apakah pula yang mereka lakukan di zaman dahulu? Pada masa zaman snooker, bowling, panggung wayang, teknologi komputer dan internet belum lagi dicipta. Apa pula yang mereka lakukan untuk mencari hiburan? Beruntung kita punya pelbagai elemen keseronokan kalau dibandingkan dengan orang zaman dahulu. Elemen keseronokkan yang akan terus-terusan dicipta selagi daya untuk tujuan tersebut.


Suatu hari saya memandu kereta sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya melalui jalanraya yang bertar, mempunyai garisan, pembahagi jalan, round about, traffic light, flyover, papan tanda jalan dan sebagainya. Kemudian saya terfikir. Semua ini disediakan oleh kerajaan atau manusia bagi tujuan memberi manfaat kepada saya yang sedang memandu ini. Malah kereta yang saya pandu ini juga memberi manfaat kepada saya untuk memudahkan saya sampai ke destinasi siap dengan udara sejuk dan nyaman dari penghawa dingin dan bumbung yang dapat melindungi saya dari panas terik dan hujan.


Kemudian kelihatan pula di kiri kanan jalan tanah batu batan dan pasir, pokok-pokok yang besar dan kecil, awan dan langit malah matahari juga memberi manfaat kepada saya. Bila difikirkan tanpa udara kita akan mati tanpa matahari kita akan hidup dalam kegelapan dan sebagainya. Pokok menghasilkan kayu, batang, daun, buah dan oksigen, haiwan menjadi makanan, pakaian dan sebagainya. Semuanya mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Apapun pastinya ada manfaat yang datang dari mereka dan seterusnya menyeimbangkan kehidupan ini.


Jadi apakah fungsi kita sebagai manusia? Saya pasti kita juga ada fungsinya yang tersendiri. Fungsi yang mana kita juga perlu bertindak untuk membawa manfaat bukan hanya pada diri malah kepada makhluk lain sepertimana yang dilakukan oleh elemen-elemen yang telah saya perkatakan tadi. Ini bersesuaian dengan saranan Rasullullah S.A.W. yang menyarankan matlamat kita sebagai manusia iaitu agar kita menjadi khalifah di atas mukabumi ini dan memakmurkannya. Bukankah semua elemen yang diperkatakan tadi membawa manfaat yang bertujuan membawa kemakmuran kepada bumi? Maka pastinya kita dijadikan Allah Taala bagi tujuan kebaikan iaitu untuk membawa manfaat kepada semua. Malangnya ramai yang tidak sedar lantas bertindak membawa kerosakan, kemusnahan, peperangan dan sebagainya baik kepada diri sendiri mahupun kepada umum.


Seterusnya dalam Islam, tujuan kehidupan manusia telah diperjelaskan dengan sangat jelas iaitu Allah berfirman “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah / mengabdikan diri padaKu ”.


Jadi apakah yang telah kita usahakan saban hari sepanjang umur kehidupan kita selama ini? Adakah kita menjalankan usaha-usaha pengabdian atau ibadah tu atau sebaliknya kita terlalu sibuk mengejar dunia dan segala isinya?


Ramai yang menyangka perkataan ibadah membawa kepada amalan seperti solat, zikir, mengaji, puasa, sedekah dan sebagainya tetapi sebenarnya ia jauh lebih mudah dari tu. Sebenarnya segala perbuatan yang baik dan dilakukan dengan niat kerana Allah Taala berada dalam rangkuman ibadah. Senyum itu sedekah maka senyum juga termasuk dalam rangkuman ibadah. Makan, minum, tidur, bekerja, berniaga, bersilaturahim, bantu membantu, berdakwah, solat, puasa, haji , zakat dan sebagainya juga berada dalam rangkuman ibadah dan semua ini InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel-artikel yang mendatang.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Ada banyak artikel motivasi era baru percuma.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Sedikit Mengenai Faizal Yusup

Sedari kecil minat dihati saya ialah untuk membantu orang, memberi nasihat, kaunseling dan motivasi dan lama kelamaan saya menjadi semakin arif tentangnya jadi dari pengalaman-pengalaman ini saya mengambil keputusan untuk menulis blog / buku walhal latarbelakang saya sebenarnya berbidangkan pelaburan.


Apapun saya hanya makhluk Allah yang kerdil ingin berkhidmat pada manusia yang lain.


Blog ini juga saya mulakan untuk tujuan memberikan pengisian dari sudut perspektif kehidupan dari kacamata saya dengan harapan ia dapat membantu anda menjalani kehidupan dengan tenang, aman dan damai. InsyaAllah.


Pada 2002
Mengarang Buku Keluar Dari Tempurung,
Pembentukan Diri Ke Arah Kecemerlangan
Terbitan Utusan Publications


Pada 2003
Menyelenggara Buku Bicara Tentang Mahathir
Terbitan Pekan Ilmu Publications


Pada 2005
Mengarang Buku Keluar Dari Tempurung 2,
Kaedah Mudah Menangani Masalah
Terbitan Utusan Publications


Pada 2009
Mengarang Buku Anda Yang Baru
Minda kental, hati cekal
Terbitan Alaf21


Mengarang Novel pertama berjudul Konflik Cinta
Terbitan Pekan Ilmu Publications
Insya Allah bakal terbit hujung tahun ini


Menyelenggara buku Kereta Mayat
Pengisian Akhirat
Terbitan Utusan Malaysia Publications
Juga bakal terbit penghujung tahun ini.


Saya juga kadangkala menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan dan menulis puisi.


Dewasa ini saya sedang sibuk menulis


Sebuah novel bertajuk "Maruah" juga
Buku Anda Yang Cemerlang dan Anda Yang Tenang.


Insyaallah akan cuba saya siapkan penghujung tahun ini dan terbit tahun hadapan kalau ada rezeki.


Sekiranya berminat, buku-buku ini boleh didapati di MPH dan di kedai-kedai buku berhampiran anda kalau stok masih ada.


Sekian, serba sedikit mengenai saya.


Faizal Yusup.


PS - Sedikit fakta lain mengenai saya,
Seorang penunggang motosikal yang cekap, boleh menyanyi dan melukis potret.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tip Menangani Masalah Kehidupan - Konsep Benang Bersimpul

Bapa borek anak rintik.
Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.


Peribahasa ini membawa maksud kebiasaannya tabiat seseorang anak itu akan menyerupai tabiat bapanya. Dalam lain perkataan sekiranya si bapa seorang perokok kebiasaannya beliau akan merokok di dalam rumah sambil diperhatikan oleh anaknya. Ini berlaku tahun demi tahun dan ini menyebabkan si anak menyangkakan yang merokok itu adalah sesuatu yang dibolehkan.


Konsep Benang Tersimpul ini bagi saya merupakan satu konsep yang baik untuk diikuti dan dijadikan prinsip diri. Merokok, menipu, pengotor, pemalas dan segala tabiat buruk yang lainnya merupakan simpulan di dalam diri kita. Sekiranya sesuatu simpulan itu telah wujud dalam generasi yang terdahulu, ini boleh menyebabkan simpulan itu wujud dalam diri kita.


Sebagai contoh saya pernah berjumpa dengan seorang bapa yang sangat bengis. Ini disebabkan generasinya yang terdahulu juga mempunyai sifat yang sedemikian. Bapa ini tidak berjaya membuka simpulan kebengisan. Si bapa boleh memukul anaknya hingga lebam seluruh badan dan pernah sekali anaknya dikejarkan ke hospital kerana dipukul hingga pengsan. Dewasa ini kes seperti ini dinamakan penderaan.


Ada yang menyangka dengan berbuat demikian mereka akan memberikan pengajaran kepada anaknya bagi menghindarkan dirinya dari melakukan kesalahan tetapi apa yang menyedihkan adakalanya hukuman yang dilakukan tidak setimpal dengan kesalahannya. Nyamuk yang mengigit dihukum bunuh. Kebiasaan ini akan menyebabkan tabiat kebengisan ini mula bertapak dalam diri anak itu. Kemudian anak ini berkahwin dan dia pula menjadi bapa. Sekiranya simpulan yang sama tidak diungkaikan maka keadaan ini akan berterusan dari generasi ke generasi. Katalah si anak yang didera tadi berjaya membuka simpulan kebengisan ini dan dia pula memelihara anaknya dengan penuh kasih sayang maka anak-anaknya tak akan nampak kebengisan ini. Saya percaya anak-anaknya tak akan mewarisi kebengisan ini. Dalam lain perkataan benang itu telah berjaya dibuka.


Simpulan ini pula ada yang besar dan ada yang kecil. Bila saya bacakan topik ini kepada seorang kawan, dia mengatakan yang dia tidak mempunyai sebarang simpulan. Dari apa yang saya lihat dia seorang yang suka mencarut, suka mengarah bila meminta tolong dan kuat mencubit lalu saya perkatakan yang ini juga merupakan simpulan tetapi mungkin hanyalah simpulan kecil yang tak menjejaskan. Saya percaya semua orang mempunyai simpulan dalam dirinya kalau tak besar, kecil.


Kalau kita tak sabar dan menarik benang tersebut simpulan itu akan menjadi lebih ketat dan lebih sukar untuk diungkaikan. Ini bermakna dalam contoh tadi, kita mungkin jadi lebih bengis dari bapa kita. Kita tambah pula simpulan yang sedia ada dengan menjadi seorang kaki pukul.


Ada pula yang mengambil jalan mudah untuk membuka satu-satu simpulan iaitu dengan memutuskannya. Pendekatan yang sebegini adalah pendekatan yang paling buruk. Bagi mereka yang mempunyai simpulan besar dan terlalu berserabut mereka mungkin akan berputus asa atau mengambil jalan keluar dengan membunuh diri.


Namun begitu ada diantara kita yang langsung tidak mempedulikan simpulan ini. Ada pula diantara kita yang langsung tidak sedar akan wujudnya simpulan itu di dalam diri kita lantas kita biarkan sahaja ianya di situ tanpa berbuat apa-apa.


Selain dari itu konsep benang bersimpul ini sesuai digunakan dalam isu menangani masalah. Kita boleh perhatikan sesuatu masalah itu umpama benang yang tersimpul yang perlu diungkaikan.


Oleh itu sebagai kesimpulan, carilah apa jua simpulan yang ada dalam diri kita dan leraikannya satu persatu. Kalau kita lihat cara terbaik untuk membuka simpulan benang kita perlu mencari punca benang tersebut dan kita juga perlu melalukannya melalui laluan yang sepatutnya bagi mengelakkan simpulan yang lebih teruk. Kita perlu melakukannya dengan sabar kerana ia mungkin mengambil masa yang lama untuk diungkaikan. Kemudiannya kita pastikan yang benang itu tidak lagi tersimpul dengan harapan generasi kita yang akan datang dapat menjalankan hidup dengan lebih baik, tenang dan tenteram.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

28 Oktober 2009

Tip Menangani Masalah Kehidupan - Konsep Puting Beliung

Adakalanya di dalam kehidupan kita menghadapi terlalu banyak masalah pada satu masa. Yang satu belum selesai datang satu lagi. Ia datang bertimpa-timpa.


Sekiranya anda berada dalam keadaan huru hara sebegini disebabkan terlalu banyak masalah yang menimpa adalah baik sekiranya anda mempelajari konsep yang saya namakan konsep puting beliung. Bila berada di dalam pusaran taufan, kedudukan yang lebih jauh daripada pusarnya akan terasa lebih teruk dan anda akan melayang tunggang langgang hinggakan tidak dapat mengawal keadaan persekitaran. Kita akan berada dalam keadaan yang tidak rasional. Ini sama seperti kita menghadapi masalah kewangan, masalah cinta, masalah keluarga, masalah kerja dan lain-lain masalah pada satu masa yang sama.


Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam diri kita dari aspek rohani, jasmani dan akliah. Dari segi akal kita mengatakan yang kita berada dalam keadaan baik tetapi jasmani kita iaitu badan kita tidak dapat melakukan apa-apa. Kita rasa tidak bermaya. Keadaan ini boleh berlaku bila kita menghadapi terlalu banyak masalah pada satu masa atau bagi seorang wanita yang mengandung pula perubahan hormon yang berlaku juga boleh menjadi penyebab keadaan ini berlaku.


Dalam sesebuah puting beliung, tempat yang paling tenang ialah di tengah-tengah pusaran tersebut. Oleh itu apa yang perlu anda lakukan ialah untuk membayangkan diri anda berada di tengah-tengah pusaran itu. Anda cuma perlu melihat sekeliling dan perhatikan semua masalah yang melayang berpusing-pusing di hadapan mata anda. Dengan berbuat demikian anda akan dapat mencari jalan yang rasional bagi mengatasi satu-satu masalah yang anda atasi.


Dalam menghadapi masalah sebegini anda hendaklah cuba menyelesaikannya satu persatu kerana setiap masalah itu mempunyai jangka masa hayatnya yang tersendiri. Ia tidak akan kekal buat selama-lamanya. Lihat pada keutamaannya. Sekiranya aku tidak menyelesaikan masalah ini aku mungkin akan berada dalam keadaan yang lebih teruk dari ini.


Masalah tersebut terdiri daripada dua bahagian iaitu yang bersifat objektif dan yang bersifat subjektif.


Masalah yang bersifat objektif lebih mudah untuk diselesaikan kalau dibandingkan dengan yang subjektif. Jadi masalah sebegini hendaklah diberikan keutamaan terlebih dahulu.


Masalah yang bersifat objektif dalam contoh tadi ialah masalah kewangan dan masalah kerja.


Dalam menangani masalah kewangan jalan yang terbaik ialah untuk mencari jalan penyelesaiannya ialah dengan berjimat atau mencari jalan yang boleh mendatangkan pendapatan. Bukan dengan sistem gali lubang tutup lubang atau mencarinya dengan cara jenayah. Masalah kerja pula boleh diatasi dengan mencari jalan mempelajari kerja yang kita lakukan, meningkatkan prestasi diri atau pindah tempat kerja.


Masalah yang bersifat subjektif lebih abstrak dan sukar untuk diselesaikan. Ia juga mungkin mengambil masa yang lebih lama. Dalam masalah perhubungan ini kita boleh mengubah diri kita tetapi kita tidak dapat mengubah orang lain. Ada banyak sebab kenapa perselisihan perhubungan boleh berlaku antara manusia. Adakalanya perbezaan umur, daerah, kaum, agama, ideologi dan sebagainya. Dalam kes ini masalah yang bersifat subjektif ialah masalah cinta dan masalah keluarga.


Dengan menyelesaikannya satu persatu, pusaran puting beliung anda semakin lama semakin kecil hinggalah ke satu tahap dimana keadaan menjadi terkawal dan tidak begitu menekan. Taufan ini semakin lama semakin reda dan mungkin di satu tahap yang tinggal hanyalah masalah kecil yang bersifat subjektif yang memerlukan masa untuk mengatasinya.


Saya ingin sambung bab ini dengan satu huraian untuk difikirkan.


Dalam hal memberi keutamaan kepada masalah yang dihadapi, cuba anda bayangkan senario berikut ;


Anda merupakan seorang doktor dan bertemu dengan pesakit yang ditikam. Pasakit itu didapati patah kaki dan tangan dan darahnya masih lagi kelihatan mengalir, pada masa yang sama bahunya terseliuh, nafasnya sesak, perutnya terkena tikaman, dia juga ada masalah buah pinggang dan menghidap penyakit kencing manis.


Jadi apakah tugas anda sebagai doktor? Yang manakah yang bakal anda rawat dahulu? Dalam hal ini sistem menyelamatkan nyawa, sekiranya si doktor merawat kaki atau tangannya dahulu nescaya pasakit itu akan mati dalam masa beberapa minit kerana tak dapat bernafas. Cara yang sebaiknya ialah dengan memberi keutamaaan kepada masalah yang paling kritikal. Maka keutamaan patut diberi kepada sesak nafasnya kemudian barulah yang lainnya yang rendah kemungkinan membawa matian.


Sepertimana halnya konsep puting beliung tadi, beginiah juga cara yang terbaik dalam menangani masalah kehidupan andaikata pelbagai masalah datang pada anda dalam satu masa .


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
http://faizalyusup.blogspot.com
Tel : 03-7625 9033
Hp : 012-654 0130



Gambar diambil semasa saya sedang menyampaikan ceramah motivasi di rumah anak-anak yatim piatu di Kuala Langat.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Menghargai Amanah


Kita tahu akan amanah harta yang dipinjamkan Tuhan kepada kita. Kita akan berkata ini amanah Tuhan yang perlu dijaga dengan baik dan tidak boleh disalahgunakan. Kalau kita menjadi pemimpin juga kita tahu yang kita perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Kita membuat keputusan yang terbaik untuk yang ramai. Namun tanpa kita sedari pada masa yang sama kita diamanahkan dengan kurniaan nyawa, masa, tenaga, akal, anggota, pancaindera dan lain-lain. Persoalannya, kenapa kita tidak menjaga amanah ini dan bertanggungjawab ke atasnya? Kebanyakan kita mengambil sikap sambil lewa ke atas kurniaan-kurniaan ini.

Sebagai contoh, setiap hari kita diamanahkan dengan kurniaan mata sejak kita bangun dari tidur hinggalah kita tidur semula tetapi adakah kita peka akan penggunaannya? Berapa banyak ilmukah yang dapat kita cakupi, berapa banyakkah masa penggunaannya yang kita sia-siakan, berapa banyakkah yang kita menungkan dan berapa banyakkah yang kita mengutip dosa dengan penggunaannya dalam sehari?

Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin dalam secara sendirinya. Kita perlu memimpin kerajaan kita sendiri. Kerajaan yang saya maksudkan itu ialah jasmani, rohani dan akal. Kalau kita dapat mentadbir kerajaan ini, barulah seterusnya kita dapat mentadbir keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kita sebenarnya menghadapi masalah mentadbir kerajaan diri kita sendiri.

Kita juga selalu menghargai sesuatu yang kelihatan. Sebagai contoh kita menghargai jasa ibubapa kita yang membesarkan kita, kita menghargai guru-guru kita kerana sumbangan ilmu mereka kepada kita. Kita menghargai hadiah yang diberikan kawan-kawan kepada kita. Lagi besar hadiah yang diberikan lagilah kita menghargainya. Berterima kasih beratus kali. Mana tidaknya katalah saya memberikan hadiah sebuah kereta Ferrarri kepada anda bukankah anda akan berterima kasih bertalu-talu. Tetapi konsep ini tidak pula kita gunakan secara keseluruhannya.

Semasa kita lahir ke dunia, kita lengkap dengan nyawa, akal fikiran, segala pancaindera dan anggota, ditambah pula dengan pelbagai kurniaan lain seperti rezeki, tenaga, masa dan sebagainya. Kenapa tidak pula kita berterima kasih dan bertanggung jawab dalam menggunakannya?

Katalah kita dilahirkan hanya dengan badan, kepala, otak dan anggota pernafasan tanpa yang lainnya. Kemudian ia diberikan satu persatu. Mula-mula kita diberikan mata. Bukan main kita berterima kasih dan memandang semua yang ada hinggakan semut merayap pun kita perhati dengan penuh minat. Dunia yang dahulunya gelap gelita telah menjadi terang dan penuh dengan warna warni. Kemudian, diberikan pula telinga. Wah! bukan main kita berterima kasih atas pemberian kedua ini. Dunia yang senyap sunyi telah kedengaran. Habis semua benda kita nak lihat dan dengar. Begitulah seterusnya hingga sempurna sifat kita. Mungkin sekiranya manusia dijadikan melalui tertib yang sedemikian rupa barulah kita mahu menggunakan kurniaan-kurniaan ini dengan penuh tanggungjawab?

Yelah, kita pasti akan berkata begini :
“ Kau tahu dulu sebelum aku dapat mata punyalah susah, dunia gelap gelita apapun tak nampak, Syukurlah sekarang aku dah ada mata. Boleh tengok semua benda. “

Tetapi bagi yang tidak bertanggung-jawab, keadaan akan jadi sama seperti sekarang, menggunakan mata untuk melihat yang lucah, menggunakan telinga untuk mendengar yang sia-sia, menggunakan mulut untuk menabur fitnah, mencarut dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya : Hargailah segala apa yang ada di sekeliling kita. Kerana besok ia mungkin tiada lagi.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

' style='padding: 0; border: none;'/>

27 Oktober 2009

Bicara Buku Anda Yang Baru



TESTIMONI
Buku ini bakal menjadi buku bestseller!
En Suhaimi Ahmad
CEO 
ASAR Sdn Bhd

         Saban masa, pengalaman hidup berlalu tanpa catatan yang signifikan. Buku Anda Yang Baru merakamkan pemerhatian penulis terhadap fenomena insan sekeliling. Ditulis dalam bahasa Melayu yang tersusun kosa katanya serta perbendaharaan bahasa yang dipilih begitu rapi; buku ini mampu menyuluh jauh dalam diri pembacanya. Bacalah dengan minda yang terbuka dan hati yang akur dengan kelemahan diri; pasti karya ini memberikan manfaat bagi pembacanya.
Puan Zaidah Abu Bakar
Pensyarah
IPGM Kampus Gaya
Kota Kinabalu, Sabah


ULASAN
Oleh Rohaidah Haron
          Buku motivasi ini pada pendapat saya memberi persepsi motivasi yang bersahaja dengan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami oleh semua golongan. Oleh kerana Saudara Faizal adalah "orang baru" dalam dunia penulisan ini, saya cuba membandingkan karya beliau dengan karya pakar motivasi yang terkenal dan berpengalaman. Ternyata penulisannya membuat saya "terdiam" dan berfikir seketika. Cuba memahami lebih mendalam dan cuba mencari fakta-fakta untuk menyanggah namun tidak berjumpa!


SYABAS saudara Faizal! Tidak rugi membaca buku ini! Saya percaya sesuatu akan berlaku selepas membaca buku ini. Cumanya, kesan jangka panjang atau pendek kenalah yang empunya diri/pembaca fikir sendiri! Secara asasnya, buku ini mengajar kita supaya bersedia menerima perubahan. Belajar bagaimana mengadaptasikan pelbagai input dan pengisian yang diterima dengan cara yang betul bagi membentuk keperibadian diri yang hebat dan cemerlang.


Dan antara proses penerapan sesuatu nilai itu adalah melalui pengisian, pengulangan, pengukuhan dan penerapan sebelum ia dapat menyerap dan menjadi prinsip diri. Saya ingin meminjam kata-kata dari seorang pakar motivasi yang terkenal; "Berubah itu mungkin mudah tapi kekal dengan perubahan yang dibuat itu mungkin payah!"


Apapun TAHNIAH di atas kelahiran buku motivasi ANDA YANG BARU ini. Semoga saudara Faizal dapat meningkatkan lagi mutu penulisan dan semoga berjaya di dalam segala bidang serta dapat mencapai apa yang dirancangkan. Moga ALLAH merestui dan merahmati segala apa yang dilaksanakan. Bagi sesiapa yang masih tercari-cari akan matlamat hidup dan cuba menjadi DIRI SENDIRI, jawapannya ada di buku ini.


Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.


' style='padding: 0; border: none;'/>