26 Februari 2011

Keselamatan Di Jalan Raya


PANDU CERMAT JIWA SELAMAT

Kalau di Amerika Syarikat pejalan kaki lebih penting daripada penunggang basikal, penunggang basikal lebih penting daripada penunggang motor, penunggang motorsikal lebih penting daripada pemandu kereta dan begitu jugalah seterusnya. Dalam ertikata lain yang kecil lebih utama daripada yang besar.

Semasa saya di sana kalau kita hendak melintas maka boleh dikatakan semua kenderaan akan berhenti dan mereka memberi laluan kepada saya. Ini kerana pada mereka nyawa manusia lebih penting dari segalanya bila berasa di jalan raya.

Malangnya di negara ini keadaannya TERBALIK. Yang besar lebih berkuasa daripada yang kecil.

Tatkala kita hendak melintas jalan lagi lajulah kereta atau motor dan kadangkala sengaja pula pemandunya mendekatkan kenderaannya kepada kita. Begitu hampir mengenai tubuh badan kita yang tak kebal ini. Kononnya nak mengajar kita supaya ketepi sedangkan ia jelas menunjukkan sifat dan hati kaldu mereka yang buruk. Agaknya mereka merasakan yang jalanraya ini milik mereka kerana mereka sudah menjelaskan cukai jalan.


Kemalangan maut juga paling banyak melibatkan penunggang motosikal di negara ini kerana kebanyakan kenderaan yang lebih besar darinya yang tidak prihatin dengan penunggang-penunggang motosikal ini. Terus terang bagi mereka yang pernah menunggang motosikal dan kemudian memandu kenderaan lain baik kereta, bas mahupun lori mereka ini lebih prihatin kepada penunggang motosikal. Mereka akan berhati-hati dan memastikan tiada penunggang motosikal yang mencelah ketika mereka mahu mengambil selekoh atau memasuki simpang. Pemandu yang terus memandu kereta dan tak pernah menunggang motosikal pula tidak seprihatin pemandu yang pernah menunggang motosikal sepertimana yang saya sebutkan tadi. Mereka ini mengambil selekoh, menukar lorong, membrek, memasuki simpang sesuka hati tanpa memberi signal lantas menyebabkan kemalangan. Anda dalam kereta maka besi menjadi pelindung anda sedangkan bagi pemandu motorsikal hanya baju dan kulit yang menjadi pelindungnya.

Sebenarnya semakin laju kita memandu maka semakin tinggi risiko kita kemalangan atau semakin cepatlah kita ke lubang kubur.

Ramai juga yang telah berubah dari seorang pemandu yang ganas menjadi pemandu yang berhemah namun dalam kebanyakan kes ia sudah terlambat. Terlambat kerana ada orang yang disayangi telah cacat atau mati disebabkan tragedi kemalangan. Lebih malang lagi perubahan berlaku tatkala kita telahpun duduk di atas kerusi roda. Perubahan berlaku kerana tamparan yang terkena di muka sendiri.

Terus terang dimasa muda saya juga begitu, memandu kereta mahupun motosikal tanpa hemah. Memecut ikut suka hati. Mereka yang mengenali saya secara peribadi tahu akan hakikat ini. Mujurlah hingga kini Allah Taala masih mengizinkan saya meneruskan perjuangan kehidupan. Kalau tak tak dapatlah anda membaca artikel ini dalam blog ini. Ye tak?

Namun demikian saya juga telah insaf dan sedar akan berjuta bahaya yang menunggu kita di jalan raya. Kesedaran saya datang tatkala menonton koleksi tragedi kemalangan di Youtube yang jelas menunjukkan yang malang itu MEMANG TAK ADA BAU. Adakalanya kita memandu dengan penuh hemah dan perlahan tapi orang lain pula yang melanggar kita. Tapi itu cerita lain. InsyaAllah dalam artikel lain akan saya kisahkan mengenainya.

Apapun, pandulah dengan cermat, InsyaAllah jiwa akan selamat...

Ingatlah orang yang tersayang dan lebih penting lagi ingatlah Allah Taala ketika memandu.

Salam sejahtera... Faizal Yusup mengundur dulu..

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.