Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam
ugama Islam (dengan mematuhi) seluruh hukum-hukumnya.
Al – Baqarah ayat 208
Dalam
perspektif selain Islam termasuklah ideologi Barat, semua perkara dibahagikan
kepada dua kategori iaitu yang baik dan yang buruk tetapi dalam perspektif
ugama Islam ia dibahagikan kepada lima kategori hukum utama selain dari
hukum-hukum yang lainnya.
WAJIB, SUNAT, HARUS, MAKRUH dan HARAM
Wajib – Buat dapat
pahala, tak buat berdosa.
Sunat – Buat dapat
pahala, tak buat tak mengapa.
Harus – Buat / tak buat
tak mengapa.
Makruh – Buat kemungkinan
dapat dosa, tak buat tak mengapa.
Haram – Buat berdosa, tak
buat dapat pahala.
Contohnya pengisian yang kita dengar seharian juga tertakluk kepada
hukum. Ada pengisian yang haram iaitu pengisian yang bersifat fitnah, mengadu
domba, penipuan dan sebagainya, ada juga pengisian yang makruh iaitu pengisian
yang sia-sia, ada pula pengisian yang harus yang menceritakan tentang isu
semasa, kemudian ada pula pengisian sunat yang bertujuan merapatkan
silaturrahim dan ada juga pengisian fardhu iaitu pengisian dakwah yang membawa
kebenaran.
Bagi
saya terdapat banyak maklumat yang berkisar di dunia ini hinggakan kemajuan
internet telah membolehkan kita memperolehi pelbagai maklumat dengan hanya satu
petikan jari pada tetikus. Pada pendapat saya dalam maklumat yang begitu banyak
itu akan terselit ilmu. Ilmu itu sebenarnya datang Allah dan benar sifatnya.
Pengisian inilah pengisian dakwah yang berada dalam rangkuman Fardhu Kifayah
yang tinggi nilainya kalau dibandingkan dengan pengisian-pengisian maklumat
yang lainnya.
Sebagai contoh lain semua kerja yang kita lakukan juga tertakluk pada
hukum. Menyanyi, berhibur, membuang masa sia-sia dan tak berfaedah boleh jadi
makruh hukumnya. Ada puasa wajib di bulan Ramdhan, ada puasa sunat pada hari
Isnin dan Khamis ada puasa harus, ada puasa makruh pada hari Ahad dan ada puasa
yang haram kalau dijalankan pada Hari Raya contohnya. Ada wajib makan kalau
kita sudah terlalu lapar hingga boleh memudaratkan, ada sunat makan, ada harus
makan ada makruh makan kalau sudah berlebihan ada haram makan kalau apa yang
dimakan itu diharamkan.
Kalau difikirkan apakah kerja yang kita lakukan sekarang dan apakah
kategorinya? Membaca buku bersifat ilmu boleh jadi fardhu kifayah tetapi
membaca majalan hiburan lain pula hukumnya.
Apakah pula kerja yang kita lakukan sekarang? Adakah kita bekerja di
Bank, di Hotel, di Genting Highland, di Kelab-kelab malam, di kilang rokok dan
Arak atau melibatkan penipuan, rasuah dan riba yang boleh menyebabkan rezeki
yang kita terima berada dalam lingkungan makruh mahupun haram?
Rezeki yang diterima dengan cara yang sebegini pasti ada implikasinya
yang tersendiri dan dari kajian yang saya buat ia bakal mengundang kesusahan
kepada penerimanya.
Kemudian timbul pula persoalan rezeki yang diterima itu kemana pula ia
dibelanjakan. Pengisian dunia tidak mengatakan kemana ia dibelanjakan oleh itu
orang Barat lebih suka membelanjakannya ke arah perkara-perkara yang makruh.
Melalui televisyen mereka memaparkan kemewahan dalam bentuk rumah yang besar
siap dengan semua perhiasannya, kereta yang canggih dan sebagainya lantas
inilah yang ditiru orang kita tanpa mengettahui yang semua ini berada dalam
rangkuman makruh.
Dalam Islam orang yang bermampuan hendaklah menyempurnakan kewajipan
rezeki dengan melangsaikan hutang, menunaikan zakat dan menunaikan haji,
kemudian sedekah dari yang dekat kepada yang jauh, membantu anak yatim dan
orang yang dalam kesusahan dan sebagainya. Seterusnya menyediakan keperluan
makan, minum dan tempat perlindungan yang termasuk dalam rangkuman harus. Perhiasan
rumah, shopping, membesarkan rumah
hingga berlebihan boleh termasuk dalam hukum makruh dan akhir sekali
penyalahgunaan rezeki dengan aktiviti haram hendaklah dielakkan sama sekali.
Malangnya manusia
lebih suka melakukan perkara yang makruh dan haram. Suka membazir, bercakap
perkara yang tiada faedah, melakukan kerja-kerja yang haram dan sebagainya. Saya pernah ditanya soalan akan apa salah
sekiranya seorang melayu mewarnakan rambut perang dan memakai kanta lekap
berwarna biru tetapi iman dalam hati siapa yang tahu? Lalu saya katakan yang
Allah sukakan kepada perkara yang wajib dan sunat dikerjakan manusia maka
berambut kuning dan bermata biru berada dalam kedudukan makruh malah mungkin
haram maka sebenarnya ia jelas menunjukkan kedudukan keimanan seseorang itu.
Mereka yang beriman pasti akan mengelakkan dari melakukan perkara-perkara yang
makruh dan haram sebegini.
Dalam berpakaian juga kita boleh melihat kepercayaan dan penerapan diri
seseorang insan itu. Pada masa yang sama ia juga berada dalam rangkuman hukum
Islam yang sedang diperkatakan ini. Ada yang berpakaian menjolok mata yang
haram sifatnya, ada yang berpakaian bersilau dan berkelip-kelip yang menjadi
tumpuan ramai, ada yang memakai baju Manchester United mahupun Liverpool demi
menunjukkan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka tanpa melihat sokongan
kepada Red Devil atau setan merah mahupun jenama arak yang terpampang di dada.
Bukankah semua ini berada dalam rangkuman makruh dan berkemungkinan menjadi
haram sedangkan kita boleh memakai baju putih dan menutup aurat mengikut sunnah
Nabi Muhammad S.A.W. yang menjanjikan pahala dari Allah Taala.
Ini semua sebenarnya adalah dakyah Barat yang pada masa yang sama
didorongi syaitan dibelakangnya. Kalau kita perhatikan sedalam-dalamnya mereka
menonjolkan rangkuman makruh dan haram dengan budaya hedonism iaitu budaya
hiburan, maksiat, seks, dadah dan arak, penonjolan kepada kemewahan, kekayaan
dan sebagainya. Ramai pula diantara kita yang lebih suka mengagung-agungkan
budaya Barat ini kerana mereka percaya yang budaya ini merupakan budaya
universal yang sepatutnya diterima umum walhal budaya ini pada hakikatnya serba
lemah dan banyak kekurangannya.
Mungkin juga kedudukan keimanan seseorang itu bergantung kepada apa yang
dilakukan sepertimana di bawah ini.
WAJIB, SUNAT, HARUS
|
Solat
Puasa
Menunaikan zakat
Menunaikan Haji
Berdakwah
Bercakap Benar
Berzikir
Mengaji Al Quran
Sedekah
Derma
Saling Berkhidmat
Bersilaturrahim
Bekerja
Belajar
Berniaga
Bercucuk tanam
dan lain-lain ibadah.
|
MAKRUH DAN HARAM
|
Mewarna rambut
Membuka aurat
Merokok
Bercakap sia-sia
Membazir masa, tenaga dan sumber
Fitnah
Mengadu Domba
Menipu
Syak wasangka buruk
Berjudi
Minum arak
Bercampur gaul
Bergaduh
Melakukan zina
dan lain-lain maksiat.
|
Dari rangkuman di atas anda berada dalam golongan yang mana?
Masa juga sebenarnya tertakluk kepada hukum. Kita diwajibkan solat setiap
kali masa waktu 5 kali sehari iaitu menjelang fajar, menjelang tengahari,
menjelang petang, menjelang senja dan menjelang malam. Setiap kali waktu itu menjelang
maka perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah bersolat fardhu yang
diwajibkan ke atas kita kemudian barulah kita buat urusan dalam rangkuman hukum
yang lainnya. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah S.A.W., apakah
amalan yang paling baik untuk dilakukan? Baginda menjawab, mendirikan solat di
awal waktu, berbuat baik kepada ibubapa dan berjihad ke jalan Allah. Ia membawa
maksud yang kita menjadikan Allah keutamaan iaitu mendahulukan Allah sebelum
perkara yang lain. Inilah disiplin yang diterapkan Islam yang begitu sempurna
tiada dalam ugama lain.
Saya juga pernah mendengar satu khutbah yang mengatakan menurut statistik
kebanyakan penceraian yang berlaku di negara ini adalah disebabkan penghuni di
dalam rumah tangga itu tidak menunaikan solat atau mempelecehkan soal solat.
Cuba perhatikan sampel-sampel yang berada di sekeliling anda. Adakah mereka
yang menghadapi cerai berai ini terdiri dari mereka yang mendirikan solat atau
sebaliknya? Saya tak tahu apa hubungkait penceraian dengan rumahtangga tetapi
saya yakin yang fakta ini adalah benar.
Apapun Allah
Taala suka kepada makhlukNya yang melakukan kerja-kerja dalam rangkuman Wajib
dan Sunat. Wajib mesti ditegakkan dan sunat pula sebagai tambahan kepada Wajib
sekiranya Wajib tidak dapat disempurnakan dengan sebaiknya atau Sunat merupakan
bonus kepada Wajib yang telah dilengkapkan.
Kesimpulannya
pula sebagai seorang Islam semua perkara dalam kehidupan kita sebenarnya
tertakluk kepada hukum.
Sekian dulu buat kali ini.
FY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.