MANGGA YANG CANTIK KULITNYA
“Facade” ini adalah perkataan bahasa Perancis
yang bermaksud Luaran ataupun Permukaan dalam Bahasa Melayu. Saya menggunakan
perkataan ini kerana saya tidak bertemu dengan makna yang sesuai untuknya dalam
Bahasa Melayu di dalam kamus. Apapun saya yakin penerangan yang bakal saya
titipkan akan menjelaskan maksud saya berkenaan dengan isu ini.
Ia diibaratkan seperti sebuah rumah yang kelihatan begitu
cantik dari luarnya. Struktur binaannya begitu halus siap dengan pagar batu,
rumput karpet dan sebagainya. Sebuah kereta berjenama diletakkan di anjung
hadapan rumah tersebut. Dari mata kasarnya kita mengatakan yang segala yang
baik tentang pemilik rumah tersebut.
Masalahnya bila kita masuk ke dalam rumah tersebut keadaannya
bersepah, penuh dengan sampah sarap langsung tidak berkemas. Keluarga mereka
sebenarnya hidup dalam porak peranda dan dibelenggu hutang.
Inilah contoh yang terbaik yang dapat saya huraikan bagi
menerangkan topik ini. Dalam hal kemanusiaan orang yang “facade” ini
hanya mahu menunjukkan apa yang gah di luar tetapi menyorokkan segala kelemahan
mahupun kekotoran yang ada di dalamnya. Seumpama buah mangga yang cantik dan
wangi di luar tetapi busuk dan berulat di dalamnya.
Ada yang sanggup berhabis-habisan untuk menunjukkan status
mereka kepada yang ramai. Dari pakaian dan perhiasan diri, telefon bimbit,
kereta dan rumah semuanya yang canggih dan berjenama walhal belum sampai cukup
bulan kantung mereka dah kosong. “Biar papa asal bergaya”. Kata mereka. Mereka
juga sanggup meminjam hak orang lain semata-mata untuk menayang dan
menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
Contohnya di zaman bujang ada yang sanggup membeli minyak
wangi dan pakaian yang mahal, malah sanggup untuk meminjam duit dan pakaian
rakan hanya untuk keluar ber”dating” dengan kekasih hati dan makan di restoran
yang mahal.
Bagi yang senang pula mereka berbuat demikian untuk
menayangkan kemewahan yang mereka. Semua penerapan ini sebenarnya bermula dari
Barat yang di war-warkan melalui media massa mereka. Dalam lain perkataan
mereka menunjukkan dalam filem-filem mereka betapa kekayaan itu sesuatu yang
dipandang tinggi. Mereka menunjukkan kereta, rumah dan barang-barang
mewah yang lainnya dan kemudiannya diikuti oleh semua bangsa di seluruh dunia.
Orang Vietnam, Cina, Malaysia malah Iraq sekalipun yang hidup dalam serba
kekurangan dan kesederhanaan pada awalnya bila keadaan ekonominya meningkat
akan mengikut cara kebaratan ini. Mereka sanggup berhutang dan bergolok gadai
untuk menujukkan status mereka walhal sebenarnya mereka dalam hutang yang
menimbun.
Lebih ekstrim lagi kita dapat lihat orang tua kaya yang
berkahwin dengan seorang perempuan muda yang cantik. Perempuan cantik dan muda
ini dinamakan “isteri piala” seperti yang dilakukan oleh Donald Trump hartawan
hartanah Amerika Syarikat. Kemudian ada yang menampakkan kebahagiaan dalam
perhubungan kekeluargaan namun pada hakikatnya penuh dengan masalah. Mereka
menampakkan kasih sayang dengan berpelukan di hadapan mata yang yang melihat
namun di belakang mereka bagai anjung dan kucing yang tak boleh berhenti
bergaduh.
Mereka ini sebenarnya adalah orang yang hipokrit, terdiri
dari orang-orang yang mementingkan aspek keduniaan yang bersifat luaran semata-
mata. Penerapan diri ialah untuk sentiasa kelihatan anggun dan canggih, kelihatan
kaya dan mewah, merasakan yang semua orang memandang, merasakan diri lebih baik
dari orang lain dan berbangga berbuat demikian dengan mengharapkan penghargaan
dan pujian. Semua kelemahan akan ditutup dan menipu sekiranya perlu. Menipu dan
terus menipu. Ini adalah salah satu penerapan nilai yang dianjurkan Barat
melalui rancangan televisyen yang lama-kelamaan menjadi prinsip diri orang
kita. Memang ia kelihatan gah dari segi luarannya tetapi hakikat sebenarnya
jiwa mereka kosong. Lambat laun ia akan memakan diri sendiri.
Sikap ini bukan hanya berlaku pada peringkat individu malah
menular dalam pengurusan syarikat dan digelar “window dressing” juga
dalam pemerintahan sesebuah negara dan dinamakan propaganda. Ini semua adalah
dakyah yang bertujuan mengabui mata orang luar yang tidak memahami lantas
diperdaya / dimanipulasi.
Sebagai manusia yang merupakan kejadian yang tidak sempurna,
maka adalah lebih baik kita menjadi insan yang benar, berterus terang dan
ikhlas. Ini kerana kita tak perlu bersusah payah untuk menunjukkan barang yang
bukan milik kita, kita tak perlu menipu untuk menunjuk-nunjuk, kita tak perlu
berpura-pura untuk mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Apa yang ada di luar
itulah yang ada di dalam. Lagipun, kelemahan dan ketidaksempurnaan memang fitrah kita sebagai
manusia.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala
kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya
pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih
meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka
blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak
manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.