Di rumah usang inilah aku dibesarkan semenjak tahun 1978 hinggalah ke tahun 2001. Di rumah bernombor C 49, Kampung Awal, Universiti Malaya. Melihatkan keusangannya menyebabkan hatiku tersentuh. Betapa aku merindui tempat ini. Namun semuanya itu sudah berlalu. Pada tanggal 13 Februari 2006 aku ke mari dan apa yang aku lihat begitu menyayat hati.
Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Kami sekeluarga berpindah buat kali yang ketujuh dari Pantai dalam ke rumah ini pada bulan Mei tahun 1978. Pada masa itu aku berada dalam darjah dua, abangku dalam darjah tiga. Kami bersekolah di Sekolah Rendah Brickfields dan adikku pula belajar di sekolah MGS dalam darjah satu.
Aku seakan tidak percaya yang satu hari nanti kampung yang pernah menjadi tempat tinggalku ini bakal menjadi kampung yang dilupakan, ditinggalkan pergi tanpa penghuni.
Helai gelak tawa kami sekeluarga di dalam rumah quarters dua bilik ini masih terngiang-ngiang di dalam benakku. Inilah syurga kami pada waktu itu. Kalau dapat dikembalikan masa ingin aku kembali ke saat itu di suatu masa yang lalu. Aku ingin semua ini kembali. Aku ingin kembali bersama seluruh ahli keluargaku. Kalau boleh aku ingin kembali bersama arwah bapaku mengecapi hari-hari yang ceria bersama. Namun apa dayaku....
Semuanya telah berlalu. Senja ini segalanya pudar, sepudar hati yang melihat semua ini di hadapan mata. Rumah yang dahulunya teguh telah dimamah usia. Pokok renek yang merimbun dan yang menjalar memenuhi setiap ruang memedihkan mata dan menyayat hati yang memandang. Sampah-sampah bertaburan di sana sini. Bapaku telah pergi takkan kembali. Kami telahpun punya bapa yang baru. Aku dan abangku telah lama hidup berkeluarga. Kami telah bertahun meninggalkan mukim ini.
Di halaman ini masih kelihatan kami adik beradik bermain, berlari jatuh bangun. Masih terbayang bayangan arwah bapaku menendang bola mengajarku teknik-teknik bermain bola.
Berlatarbelakangkan rumah inilah pelbagai drama kehidupan telah mengambil tempat yang suka mahupun yang duka.
Namun semua ini tiada lagi. Semenjak arwah bapaku meninggalkan kami sekeluarga kami terpaksa berpindah meninggalkan lembah ini. Yang tinggal hanyalah kenangan silam jauh di lubuk hati yang tak mungkin akan kami lupakan. Sejak dari itu rumah buruk ini terus berjasa untuk keluarga anggota keselamatan yang lain.
Di hadapan rumah ini, mengenangkan aku pada arwah bapaku yang sedang sibuk membaiki jalanya yang sering dia gunakan bila pergi menangkap ikan. Di hadapan pintu itulah tempat dia menyanyi lagu-lagu Mercy’s, Dylloyd’s, Alleycats, Black Dog Bone dan Broery yang menusuk kalbu bertemankan irama gitar kapuknya menghiburkan kami. Alangkah aku merindui semua ini.
Manakah perginya jiran-jiran serta sahabat handai yang pernah membesar bersamaku dahulu. Mana perginya Pakcik Din Talib serta anak Shapary, mana perginya Pakcik Kassim serta anak beranaknya, Adnan, Kumi dan Zarina.
Kemana menghilang Pakcil Iman Saujana, Pakcik Sahak, Pakcik Peng Aziz serta anak-anaknya Kamarul Bahrain, Kamarul Azmi dan yang lainnya
Masihkah kamu semua ada dimuka bumi ini atau sebaliknya adakah kamu telah meninggalkan kami. Pakcik Ahmad Noordin, Pakcik Yahaya dan beberapa lagi yang seangkatan dengan bapaku ramai juga yang telah mengikut jejak langkah arwah bapaku kembali ke rahmatullah.
Kemanakah menghilang kawan-kawanku Adam, Daud, Arif, Azizi (Baran), Azli, Pak Itam, Dolmat serta yang lainnya. Andai anda semua dijodohkan dengan nukilan ini carilah aku. Mungkin kita boleh kembali menyambung sirat.
Beginilah lumrah kehidupan, tiada apa yang kekal. Yang tinggal hanyalah kenangan-kenangan yang mengusik jiwa, menyentuh kalbu.
Di bahagian belakang rumah inilah aku ditugaskan untuk membersihkan longkang setiap petang. Sekali sekala ular dan lipan memasuki kawasan ini mengganggu ketenteraman kami sekeluarga.
Anak-anak tangga ini menjadi saksi kehadiran kami di daerah ini selama itu. Di sinilah kami sering duduk menghirup udara petang sambil melihat kanak-kanak kampungku seronok bermain dan berlari, ada juga yang sekawan dua yang mundar mandir mengayuh basikal. Beberapa kali juga kereta terlajak di tangga ini kerana pada masa itu tiada penghalang yang menghalangi perjalanannya. Mujurlah sepanjang masa itu tiada yang nahas berlaku.
Inilah pandangan Kg Awal dari atas bukit rumahku. Suasananya nyaman dan harmoni suasana sebuah kampung di tengah ibukota. Namun pemandangan ini hanya tinggal dalam memori yang tak pernah padam.
Dewasa ini kampungku ini akan diambil alih atas alasan pembangunan. Semua penghuninya diarahkan berpindah ke rumah pangsa di Pantai Dalam. Sebuah kampung yang tidak berpenghuni tidak lengkap untuk dipanggil kampung. Rumah-rumah ini bakal dirobohkan dan digantikan dengan bangunan tinggi yang serba moden.
Di sinilah aku dibesarkan, menghabiskan usia kanak-kanak hingga remaja serta didedahkan kepada dunia. Walau dimana aku berada, walau langit ku gapai sekalipun namun aku akan tetap mengenangmu. Aku anak jaga yang membesar di sebuah rumah kecil di Kampung Awal. Jasamu takkan aku lupakan dan imej-imej ini akan terus melekat utuh di dalam sanubariku hinggalah ke hari aku menghembuskan nafasku yang terakhir.
Terima kasih Kampung Awal dan selamat tinggal aku ucapkan.
FY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.