17 Jun 2011

Soal Jawab Mengenai Saham IPO, Pink Form, IPO MITI

FY nampak ada yang tidak berapa faham akan perihal saham IPO MITI ini dan perbezaannya dengan saham IPO yang dipohon melalui bank dengan menyediakan Bank Draft atau membuat pembayaran melalui ATM juga beberapa soalan lain. Jadi di sini FY akan cuba menerangkannya secara ringkas semoga ia membawa kefahaman kepada sesiapa juga membacanya.

Saham IPO atau Initial Public Offer atau Saham Terbitan Awam ini ialah saham syarikat yang mahu menyenaraikan syarikatnya di Papan Bursa Malaysia. Mereka menjual sebahagian daripada saham syarikat mereka kepada pelabur baik institusi mahupun pelabur runcit bagi mendapatkan duit bagi mengembangkan perniagaan dan mungkin juga untuk tujuan yang lain.

Apapun saham terbitan awam ini akan dibahagikan kepada 3 atau 4 bahagian ;

1. Pertamanya kepada kakitangan syarikat atau lebih dikenali sebagai Pink Form, borang merah jambu - borang yang mana permohonan saham itu PASTI dapat. Selalunya ia dalam lingkungan 10% dari peruntukan saham tersebut.

2. Keduanya kepada Pelabur Institusi dan ini diuruskan oleh Bank Penasihat yang dilantik syarikat tersebut. Selalunya ia dalam lingkungan 60 % daripada peruntukan saham tersebut.

3. Kemudian saham itu diperuntukkan pula kepada pihak MITI untuk diagihkan kepada Pelabur Bumiputera. Dalam hal ini ada juga syarikat yang disenaraikan tidak melalui MITI, ini kerana mereka telahpun punya profil atau kuota pelabur Bumiputera yang mencukupi. Contohnya Smartag, Mclean, XOX dan yang terbaru Eversendai tidak melalui MITI. Bagi yang kurang maka MITI lah tempatnya. Kira-kira 10 % peruntukan dikhaskan kepada MITI. Cara permohonannya ialah dengan memohon iaitu menulis surat kepada MITI dan menyediakan borang-borang yang diperlukan. Pada ketika ini akaun CDS, mahupun penyediaan Bank Draf tidak diperlukan.

Nota - PNB, Tabung Haji adalah antara institusi yang berada dalam kelompok saham peruntukan khas MITI ini. Mereka dikenali sebagai Tier 1 yang mana MITI memberi keutamaan kepada mereka. Selalunya kalau mereka memohon mereka akan memohon dengan jumlah yang banyak maka tinggallah saki baki untuk para pelabur kecil dan runcit.

*Kalau dahulu 30% pegangan saham Bumiputera merupakan satu kemestian sebelum satu-satu syarikat itu disenaraikan namun sekarang atas alasan liberalisasi semua ini tiada lagi.

4. Setelah melalui ketiga-tiga proses ini barulah IPO itu pergi kepada Public atau orang awam. Pelabur awam adalah tempat peruntukan saham yang terakhir dan ia juga berada dalam lingkungan 10% sahaja dengan hanya kira-kira 2% diperuntukkan kepada Bumiputera. Inilah sebabnya ia begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan saham melalui undian ini kerana jumlah peruntukannya yang kecil. Saham ini dipohon samaada melalui ATM atau dengan menyediakan Bank Draf juga dengan memberikan no akaun CDS kepada samaada MIH atau MIDF bergantung kepada di mana saham itu diperuntukkan. Ia akan menjalani undian dan kalau gagal duit itu akan dipulangkan semula.

*Satu tip - Kalau hendak membelinya saham IPO Public ini, belilah pada jumlah yang banyak contohnya 11 lots, 21 lots, 51 lots, 101 lots dan sebagainya kerana ia akan diundi dalam kotak yang berasingan dan pastinya kotak 100 lots ke atas lebih kurang isinya kalau dibandingkan dengan kotak 10 lots ke bawah. Jadi peluang untuk diundi lebih tinggi. namun demikian jumlah yang bakal diperuntukkan terpulang kepada mereka.

IPO Public ini merupakan tempat yang terakhir sebelum ia masuk untuk disenaraikan. Ia perlu bagi mendapatkan spread seramai minimum 1000 pelanggan bagi menunjukkan yang profil syarikat itu seimbang yang mana pelaburnya terdiri daripada pelabur-pelabur dari pelbagai peringkat baik institusi mahupun individu.

Akhir sekali setelah semua ini diselesaikan dan pembayaran telah dibuat dan saham telah diagihkan maka syarikat itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia tak berapa lama kemudian.

FY harap penjelasan ini menjawab pelbagai soalan yang bermain di fikiran anda akan apakah perbezaan saham MITI dengan saham IPO ini.

Sekian dahulu buat kali ini.

Kalau anda ada apa-apa soalan mengenai pelaburan saham ini, hubungi FY. InsyaAllah FY akan cuba menjawabnya.

FY
016 6667430
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia


Link perkhidmatan kami ;
FOLLOW FY di Twitter – twitter.com/afaizalyusup
SUBSCRIBE di www.faizalyusup.net bagi mendapatkan artikel-artikel TERKINI mengenai pelaburan saham.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.