IPO DAN KEPENTINGANNYA DALAM MERANCAKKAN PASARAN SAHAM
IPO di zaman-zaman 90 dahulu sangat rancak dan membawa banyak pelabur runcit memulakan pelaburan dalam Bursa Malaysia. Ini kerana pada ketika itu dalam setiap IPO yang disenaraikan, kebanyakan peruntukkan saham-saham ini ditawarkan kepada pelabur runcit dan hanya sedikit yang diperuntukkan kepada pelabur institusi. Pada masa itu belum ada lagi peruntukan saham IPO di MITI. Pada masa yang sama pada masa itu para pelabur tidak boleh memohon saham IPO ini dengan begitu mudah secara online. Kuota 30% Bumiputera juga digunapakai dan brokerage fees masih pada paras 1% bagi setiap transaksi pada masa itu.
Rata-rata IPO Second Board pada ketika itu ditawarkan sedikit sahaja dengan Modal pasaran yang cuma RM60 juta memudahkan kenaikannya. Harga saham-saham ini naik berkali-ka li ganda bermula pada hari ia disenaraikan. Mana taknya harga tawaran IPO RM4.50, listing terus naik ke RM8.00 besoknya RM13.00, lusa RM15.00 dan begitulah seterusnya. Boleh dikatakan semua saham papan kedua ini pada masa berharga lebih RM10.00 malah ada yang sampai ke harga melebihi RM100.00 seunit! Ramai juga pelabur yang menjadi jutawan IPO pada ketika itu. Apa yang mereka lakukan ialah mereka mengutip kad pengenalan satu kampung dan menggunakannya untuk memohon mana-mana saham IPO dengan hanya menggunakan satu alamat sahaja. Penama yang mendapat saham ini akan diberikan cenderahati dan saham tersebut akan di”transfer”kan sebelum hari ia disenaraikan. (Untuk pengetahuan dahulu transfer saham boleh dijalankan dengan sesuka hati kepada sesiapa juga). Jutawan IPO yang menjalankan operasi ini untung berlipat kali ganda.
Memanglah pada masa itu Bursa Malaysia Kuala Lumpur (BSKL) masih belum cukup teratur, masih belum kukuh dan banyak kepincangan kerana pelbagai faktor tetapi apa yang pasti ia membawa banyak pelabur runcit masuk ke dalam pasaran dan salah satu sebab utama ialah disebabkan oleh pasaran saham IPO ini.
Pasaran IPO sebenarnya adalah pintu masuk untuk pelabur saham baru. Disinilah pengalaman pelaburan saham di Bursa Malaysia bermula. Bagi pelabur lama dan berpengalaman pula ia seakan Simpanan Fixed Deposit yang menguntungkan. Ia berisiko rendah tetapi pulangannya tinggi sepertimana yang telah FY jelaskan dalam artikel sebelum ini.
Permohonan IPO ini juga mudah kerana dewasa ini ia boleh dipohon melalui kaedah pembankan online. Namun demikian dewasa ini oleh sebab peruntukannya kepada pihak pelabur runcit adalah kecil jadi peratus kebarangkalian untuk berjaya mendapatkannya juga menjadi kecil. Kegagalan demi kegagalan untuk mendapatkannya akan menyebabkan pelabur baru ini berputus asa lantas tidak lagi mahu memohonnya.
Di sini sepertimana yang pernah FY sarankan, peratus peruntukan saham IPO kepada pelabur runcit mesti ditingkatkan dengan tujuan menarik minat permulaan langkah mereka memasuki pasaran saham. Mungkin pihak institusi berpendapat yang mereka tidak perlukan pegangan pelabur awam yang bersifat jangkamasa pendek dalam portfolio pegangan saham mereka tetapi harus diingat penjualan saham-saham mereka ini akan akhirnya sampai juga kepada pelabur jangkamasa panjang dan pelabur Institusi. Lagipun bagi pelabur saham Bumiputera, poket mereka belum cukup dalam untuk memegang saham-saham ini untuk jangkamasa panjang. Bantulah mereka menjana keuntungan dan dalamkanlah poket mereka, lambat laun pelabur jangka masa pendek ini bakal menjadi pelabur jangkamasa panjang sesuai dengan kedalaman poket mereka. Atikel mengenai kedalaman poket pelabur ini juga penah FY paparkan sebelum ini.
Andainya peratusan peruntukkan saham-saham IPO ini lebih kepada pelabur runcit maka pelabur Institusi tidak mendapatnya. Jadi apa yang berlaku ialah mereka terpaksa berlumba antara satu sama lain untuk mendapatkan saham-saham ini bila ia disenaraikan kelak. Inilah merupakan faktor penyebab kenapa harga saham-saham ini dalam trend menaik sejurus selepas ia disenaraikan sebaliknya sekiranya mereka para pelabur Institusi telah mendapat saham-saham ini dalam proses IPO maka tak perlulah mereka mengejar saham-saham tersebut bila ia tersenarai nanti. Yang pastinya jarang pelabur runcit yang akan membeli pada hari penyenaraian kaunter baru di Bursa Malaysia.
Di sini teori ekonomi permintaan dan penawaran mengambil tempatnya. Permintaan akan meningkat bila penawarannya kurang maka harga saham itu akan naik. Dalam hal ini, permintaan pelabur-pelabur Institusi yang banyak terhadap peruntukan saham yang kecil dalam pasaran akan pastinya menaikkan harganya.
Seterusnya bilamana seseorang pelabur yang mula berjinak-jinak dalam pasaran saham mendapat gula-gula dalam bentuk keuntungan dalam pelaburan IPO ia akan memberikan dia kusyen atau pemampan dalam bentuk modal untuk dia membeli saham-saham dalam ready market atau saham-saham yang telah tersenarai di Bursa Malaysia. IPO ini membentuk keberanian untuk dia membeli saham-saham yang mana risikonya lebih tinggi. Kesukaran untuk mendapatkan saham-saham IPO, kerugian kali pertama membeli saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia bakal menjadi penyebab untuk mereka berputus asa dan meninggalkan pasaran.
Bilamana ramai pelabur IPO mendapat saham-saham IPO dan menjana keuntungan darinya pastinya ia akan menambah pendapatan dan kuasa beli mereka. Kuasa beli yang ramai ini pula akan membantu bertindak sebagai consumer spending bagi merancakkan ekonomi negara ini secara keseluruhannya. Faktor ini sedikit sebanyak telah membantu ekonomi negara berkembang sebanyak lebih 8 peratus selama lebih sedekad di tahun-tahun 90an dahulu.
Kenapa nisbah peruntukan saham IPO ini satu ketika dahulu?
Ia mernurun disebakan oleh Asean Financial Crisis yang berlaku pada tahun 1997 yang menyebabkan penurunan yang nilai Ringgit Malaysia dan penurunan Bursa Saham Kuala Lumpur. Ini telah menyebabkan permohonan IPO menurun dengan drastiknya dan kebanyakan saham-saham IPO ini undersubscribe atau terkurang langganan kerana pelabur takut yang ianya akan merugikan bdi hari penyenaraiannya kelak. Atas sebab ini pihak Bursa dan SC telah menukar nisbah peruntukan ini lantas menawarkan kebanyakan saham-saham ini kepada pihak Institusi.
Keadaan telah berubah, ekonomi negara dah lama pullih tetapi peruntukan saham IPO masih dalam nisbah peruntukan yang sama. Kebanyakan diberikan kepada phak Institusi sedangkan pelabur awam telah punya modal dan memohonnya dalam jumlah yang banyak tetapi peluang untuk mendapatnya amat tipis. Contohnya IPO Reach Energy dahulu terdapat 857 juta permohonan dari pelabur awam tetapi hanya 20 juta saham diperuntukkan. Permohonan sebanyak 1 juta saham hanya punya peluang sebanyak 80% bagi mendapat hanya 11,000 unit saham. Bukankah ini sama sekali tidak munasabah?
Berikut ini FY sertakan bukti mengenai perihal yang FY nyatakan dalam artikel kali ini. Bagaimana peruntukan saham kepada pelabr runcit begitu kecil berbanding dengan permintaannya.
Bagi IPO Bio Alpha hanya 20 juta saham diperuntukan sedangkan yang memohon berjumlah 663 juta saham. |
Bagi IPO Dolphin 107 juta saham dipohon sedangkan hanya 15 juta diperuntukkan. |
Bagi IPO Ikhmas Jaya pula sebanyak 238 juta dipohon pelabur awam tetapi hanya 26 juta diperuntukan. |
Jadi sebagai kesimpulan, salah satu faktor utama bagi meningkatkan penyertaan pelabur runcit ke dalam pasaran saham ialah dengan menambah peruntukan saham IPO kepada pelabur awam. IPO sebenarnya merupakan pintu masuk kepada pelabur awam. Buat masa ini peruntukan IPO untuk pihak awam dan dan peruntukan saham di MITI masih kecil kalau dibandingkan dengan jumlah pelabur-pelabur yang FY pernah bincangkan akan perihal ini dengan lebih lanjut dan teliti dalam surat terbuka kepada PM tak lama dahulu. Secara langsung ia akan meningkatkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran juga merancakkan dagangan di Bursa Malaysia. Secara tak langsung ia juga akan meningkatkan pendapatan Syarikat Broker Saham juga Remisier secara khususnya.
FY harap mesej FY ini sampai ke pihak Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, MOF mahupun Menteri yang bertanggungjawab dalam isu ini dan tindakan diambil untuk memperuntukkan lebih banyak saham-saham IPO kepada pelabur awam di luar sana.
Itu sahaja catatan buat kali ini.
Faizal Yusup
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia
016 6667430
Dapatkan ebook pelaburan saham karya FY setebal 134 mukasurat sevara percuma di http://faizalyusup.my untuk memulakan langkah anda dalam pelaburan saham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.