14 Ogos 2015

SURAT TERBUKA KEPADA MOF, SC DAN BURSA MALAYSIA - KERJAYA REMISIER YANG TERPINGGIR

SURAT TERBUKA KEPADA MOF, SC DAN BURSA MALAYSIA - KERJAYA REMISIER YANG TERPINGGIR

Kepada sesiapa yang berkenaan di,

Ministry of Finance
Securities Commission
Bursa Malaysia

Nama saya Faizal Yusup atau FY. Surat terbuka ini FY tujukan kepada anda. Semoa ia membawa kepada keterbukaan pintu hati dan kefahaman kepada anda mengenai betapa terpinggirnya kerjaya sebagai seorang remisier serta cadangan akan kaedah bagaimana untuk mengembalikan kegemilangannya.

Remisier.
Kerjaya yang hanya wujud di Malaysia dan di Singapura.
Dahulu di tahun 90’an kerjaya sebagai remisier ini merupakan satu kerjaya yang gemilang dimana boleh pada masa itu brokerage pada kadar 1% dengan kenaikan pasaran saham telah menjadikan kebanyakan remisier seorang jutawan.

Namun semua itu telah berlalu. Sejak Asian Financial Crisis pada tahun 1997 dan Sub Prime Crisis di Amerika sekitar tahun 2007 yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham segalanya berubah. Pada tahun 2008 pula dasar liberalisasi diperkenalkan dengan membiarkan market forces menentukan halatuju pasaran dalam banyak segi dengan gangguan yang minima dari pihak regulators.

Ini menyebabkan antaranya keistimewaan penyertaan 30% Bumiputera dalam pasaran kewangan dilonggarkan, liberalisasi terhadap persaingan antara broker saham, terhadap brokerage lantas menyebabkan kerjaya sebagai remisier ini tergugat, kerjaya dalam bidang pelaburan terjejas malah syarikat-syarikat broker juga semakin lama semakin berkurangan dan sebagainya.

Persoalannya adakah strategi ini bagus, praktikal dan sesuai untuk negara kita yang sedang membangun ini?

Pada FY strategi yang diperkenalkan di Barat, di negara-negara maju dimana tamadunnya jauh lebih lama bertapak tidak sesuai kalau dilaksanakan di negara ini. Brunei contohnya tidak mempedulikan undang-undang Barat tetapi terus sahaja memperkenalkan satu demi satu undang-undang Islam yang pastinya bakal membawa kebenaran dan kejayaan. Namun demikian di sini, itu semua tidak berlaku.

Kali ini FY ingin menceritakan tentang dasar liberalisasi terhadap brokerage fees yang dikenakan dalam setiap penjualan dan pembelian saham. Kalau dahulu ia 1% tetapi sekarang ia 0.7% maksima dengan minima RM40 sekiranya menggunakan khidmat Remisier. Masalahnya ialah ia tiada lantai sekiranya pelabur menggunakan kaedah online. Jadi di sini ia boleh turun sehingga 0% atau percuma sama sekali dengan terma dan syarat yang tertentu. Yang peliknya perkara yang sama tidak pula dikenakan terdapat transaksi saham-saham unit amanah. Para agen masih boleh mendapat antara 1.5% hingga 5% yuran atas pembelian saham-saham amanah itu. Jadi, industri ini berkembang dengan adanya insentif duit yang besar ini. Begitu juga industri Insuran yang mengenakan yuran yang tinggi bagi setiap pembelian polisi Insuran.

Namun ini tidak berlaku kepada Remisier yang juga merupakan agen bagi pelabur untuk melabur secara terus dalam pasaran saham. Keadaan ini sebenarnya menyumbang kepada pelbagai permasalahan. Kekurangan dan penurunan kadar brokerage ini menyebabkan industri yang begitu hebat pada tahun 90an menjadi lemah gemalai kini. Syarikat broker dan para pekerjanya terjejas. Syarikat broker yang boleh memberikan 24 bulan bonus sudah tiada lagi. Banyak yang ditutup, pekerja diberi Voluntary Separation Scheme (VSS) dengan pampasan tertentu untuk diberhentikan.

Profesion Remisier yang begitu gah sebagai konsultan professional satu ketika dahulu hanya tinggal kenangan. Kegemilangan di tahun 90an telah menjadi lipatan sejarah. Ramai yang telah meninggalkan pasaran dan mencari kerja lain. Yang masih tinggal kebanyakannya tidak aktif, kalaupun masih datang ke pejabat mereka punya kerja sampingan yang lain bagi menampung kehidupan. Memandu teksi, berniaga kecil-kecilan, menjadi agen insuran dan saham amanah, buat catering, berniaga restoran, menjadi dealer kereta malah ada yang hanya berharap kepada belas ihsan suami atau isteri mereka yang bekerja. Kepada yang proaktif maka mereka menjalankan pelbagai aktiviti dagangan yang tidak hanya terhad di Bursa Malaysia, mereka menjalankan kursus dan seminar dan sebagainya demi menyara kehidupan.

Populasinya menurun dan tak ramai yang ingin menceburkan diri dalam industri yang serba mencabar, tiada economical gain  dan highly regulated ini. Silap tindakan kerugian bakal menjelma, silap percaturan denda yang besar pula akan dikenakan oleh pihak yang berwajib, silap langkah lesen akan ditarik balik.

Bank backed broker boleh mengenakan caj brokerage yang rendah kerana mereka mendapat deposit daripada para pelabur dan duit deposit ini boleh digunakan sebagai pinjaman yang dikenakan bunga dan sebagainya. Atas sebab ini brokerage digunakan sebagai hadiah kepada para pelabur mereka. Namun demikian strategi ini tidak boleh digunapakai oleh broker saham yang tiada Bank Backed.

Keadaan ini pula membawa kepada price war antara broker lantas menyebabkan para pelabur lari ke sana mengikut broker mana yang memberikan caj yang terendah. Namun demikian perlu FY jelaskan melabur saham ini bukanlah mudah, tanpa bantuan remisier yang baik, tanpa ilmu kerugianlah yang bakal menjadi milik anda.

Liberalisasi brokerage ini juga memudahkan para sindiket saham untuk memanipulasi pasaran dengan membuka banyak akaun online dan trade melaluinya dengan kadar brokerage yang rendah akan memudahkan urusan mempermainkan harga-harga saham ini dan ia juga menyebabkan aktiviti gelap mereka ini sukar dikesan.

Tamadun ini masih lagi muda dan mentah. Pasaran saham di negara ini bermula pada tahun 1963 sedangkan di Amerika ia telah wujud sejak kurun ke 18 lagi lebih 150 tahun lamanya. Pelabur negara ini masih belum cukup sophisticated dan pengenalan kepada instrumen-instrumen kewangan serta produk-produk kewangan yang baru dalam pasaran sepertimana yang ada di negara maju tidak difahami lantas selalunya ia akan hanya dipinggirkan pelabur.

Maka di sinilah perlunya para Remisier yang berpengetahuan, berpendidikan dan berpengalaman untuk mendidik para pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang baik dan berhemah yang bakal menguntungkan pelaburan yang dibuat pelabur.

Liberalisasi brokerage ini telah diperkenalkan di Singapura dan ia membawa kesan yang negatif kepada remisier, ia juga memberi kesan buruk kepada beberapa saham yang dimanipulasikan dengan teruk yang membawa kerugian besar kepada banyak pihak. Di Thailand lantai brokerage yang dikenakan ialah lebh kurang RM95 bagi setiap transaksi dan ini membawa kepada kebaikan. Ini kerana duit ini boleh digunakan broker untuk pelbagai aktiviti dan program pendidikan di seluruh Thailand bagi meningkatkan kefahaman para pelabur runcit di sana. Ia juga membolehkan industri pelaburan dan broker ini berkembang dengan baik. Jumlah dagangan dan nilai dagangan juga lebih tinggi kalau dibandingkan negara ini.

Akhirnya bila difikirkan liberalisasi dengan membiarkan market forces mengambil tempatnya dan ini bakal membunuh remisier dan juga broker. Hanya remisier yang proaktif yang akan selamat dan hanya broker yang besar yang akan dapat terus bertahan di masa-masa yang mendatang. Mungkin inilah yang mereka mahu. Dewasa ini mereka yang besar dan berduit akan berkuasa dalam menentukan hala tuju yang akan hanya menguntungkan mereka.

Usaha memperjuangkan Standardize Brokerage Rates (SBR) merupakan usaha bersatu yang berterusan dari PRIBUMI, PERSAMA dan PERIMSA namun masa depan dan kejayaan kepada usaha ini nampaknya semakin lama semakin pudar dan malap. Walau apa juga alasan yang diberikan Dasar Liberalisasi nampaknya lebih berkuasa.

Andai ia berjaya FY percaya the spin effect will be tremendous!. Peluang kerjaya dalam industri ini akan terbuka luas baik bagi broker mahupun remisier. Ia boleh membantu mengurangkan lebih 400,000 graduan yang menganggur dewasa ini, ia akan menguntungkan broker dan mengembalikan kerjaya remisier ke zaman kegemilangannya. Lebih ramai populasi remisier akan membawa kepada lebih ramai pelabur, lebih ramai pelabur akan membawa kepada kenaikan volum, kecairan dan velocity dalam pasaran saham. Pasaran modal akan meningkat dan ini akan menguntungkan pelbagai pihak, ia kemudian akan merancakkan ekonomi kerana kenaikan kuasa beli dan consumer spending mana pastinya akan mengukuhkan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya sepertmana yang berlaku di tahun-tahun 90 an dahulu.

Dewasa ini hanya terdapat lebih kurang 6500 pemegang lesen Dealer’s Representative yang terdiri dari Remisier dan Dealer untuk berkhidmat kepada 30 juta rakyat Malaysia sedangkan terdapat lebih 30,000 agen Insuran, agen Unit Trust dan agen kad kredit di negara ini. Atas sebab itulah mereka mencapai KPI mereka sedangkan Remisier tidak kerana kurangnya forces atau kekuatan dalam pasaran. Dalam 6500 itupun mungkin separuh tidak aktif kerana pendapatan yang semakin berkurangan dengan pengenalan dasar Liberalisasi sejak tahun 2008 ini.

Kalaupun tidak ada Remisier selain di Singapura dan Malaysia, apa salahnya kerjaya ini diperkembangkan? Dan bukannya dibunuh hanya kerana kita ingin mengikut cara dan kaedah di Barat? Kementerian dan Menteri di negara ini pun lebih banyak dan ramai rationya kalau dibandingkan dengan negara-negara lain sebagai contoh. Bukankah ia memberikan satu peluang kerjaya yang unik kerana menjadikan seseorang itu seorang usahawan, peluang kerjaya yang pelbagai di syarikat-syarikat broker, peluang pengembangan syarikat-syarikat broker yang akhirnya membayar cukai kepada kerajaan. Yang mana menguntungkan semua pihak? Tapi ia perlukan sokongan dari pihak yang berwajib, sokongan dalam penggubalan undang-undang yang membawa kepada kemudahan dalam menjalankan urusniaga, sokongan dalam bentuk perks yang membawa kepada keuntungan dalam bentuk kewangan bagi setiap peserta dalam industri ini.

Bayangkanlah apakah yang akan terjadi kepada pasaran andai jumlah remisier melebihi 30,000 orang sepertimana agen unit trust, kad kredit dan Insuran? FY yakin pasaran akan hidup sihat dan gemilang dan silap-silap kembali ke zaman kegemilangannya di tahun-tahun 90an dahulu.

Sebaliknya ingin FY tegaskan Dasar Liberalisasi ini akan hanya mengundang kepada keadaan yang sebaliknya. Tepuk dada tanya selera.

Sekian.

Yang benar,

Faizal Yusup
Remisier
Kenanga Investment Bank Berhad
Naib Presiden
Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia
016 6667430


Nota – Surat terbuka ini ditulis atas kapasiti individu FY sebagai blogger dan tak ada kena mengena dengan Kenanga Investment Bank Berhad mahupun Persatuan Remisier Bumiputera Berhad. 

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.