29 Oktober 2009

Sedikit Mengenai Faizal Yusup

Sedari kecil minat dihati saya ialah untuk membantu orang, memberi nasihat, kaunseling dan motivasi dan lama kelamaan saya menjadi semakin arif tentangnya jadi dari pengalaman-pengalaman ini saya mengambil keputusan untuk menulis blog / buku walhal latarbelakang saya sebenarnya berbidangkan pelaburan.


Apapun saya hanya makhluk Allah yang kerdil ingin berkhidmat pada manusia yang lain.


Blog ini juga saya mulakan untuk tujuan memberikan pengisian dari sudut perspektif kehidupan dari kacamata saya dengan harapan ia dapat membantu anda menjalani kehidupan dengan tenang, aman dan damai. InsyaAllah.


Pada 2002
Mengarang Buku Keluar Dari Tempurung,
Pembentukan Diri Ke Arah Kecemerlangan
Terbitan Utusan Publications


Pada 2003
Menyelenggara Buku Bicara Tentang Mahathir
Terbitan Pekan Ilmu Publications


Pada 2005
Mengarang Buku Keluar Dari Tempurung 2,
Kaedah Mudah Menangani Masalah
Terbitan Utusan Publications


Pada 2009
Mengarang Buku Anda Yang Baru
Minda kental, hati cekal
Terbitan Alaf21


Mengarang Novel pertama berjudul Konflik Cinta
Terbitan Pekan Ilmu Publications
Insya Allah bakal terbit hujung tahun ini


Menyelenggara buku Kereta Mayat
Pengisian Akhirat
Terbitan Utusan Malaysia Publications
Juga bakal terbit penghujung tahun ini.


Saya juga kadangkala menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan dan menulis puisi.


Dewasa ini saya sedang sibuk menulis


Sebuah novel bertajuk "Maruah" juga
Buku Anda Yang Cemerlang dan Anda Yang Tenang.


Insyaallah akan cuba saya siapkan penghujung tahun ini dan terbit tahun hadapan kalau ada rezeki.


Sekiranya berminat, buku-buku ini boleh didapati di MPH dan di kedai-kedai buku berhampiran anda kalau stok masih ada.


Sekian, serba sedikit mengenai saya.


Faizal Yusup.


PS - Sedikit fakta lain mengenai saya,
Seorang penunggang motosikal yang cekap, boleh menyanyi dan melukis potret.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tip Menangani Masalah Kehidupan - Konsep Benang Bersimpul

Bapa borek anak rintik.
Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.


Peribahasa ini membawa maksud kebiasaannya tabiat seseorang anak itu akan menyerupai tabiat bapanya. Dalam lain perkataan sekiranya si bapa seorang perokok kebiasaannya beliau akan merokok di dalam rumah sambil diperhatikan oleh anaknya. Ini berlaku tahun demi tahun dan ini menyebabkan si anak menyangkakan yang merokok itu adalah sesuatu yang dibolehkan.


Konsep Benang Tersimpul ini bagi saya merupakan satu konsep yang baik untuk diikuti dan dijadikan prinsip diri. Merokok, menipu, pengotor, pemalas dan segala tabiat buruk yang lainnya merupakan simpulan di dalam diri kita. Sekiranya sesuatu simpulan itu telah wujud dalam generasi yang terdahulu, ini boleh menyebabkan simpulan itu wujud dalam diri kita.


Sebagai contoh saya pernah berjumpa dengan seorang bapa yang sangat bengis. Ini disebabkan generasinya yang terdahulu juga mempunyai sifat yang sedemikian. Bapa ini tidak berjaya membuka simpulan kebengisan. Si bapa boleh memukul anaknya hingga lebam seluruh badan dan pernah sekali anaknya dikejarkan ke hospital kerana dipukul hingga pengsan. Dewasa ini kes seperti ini dinamakan penderaan.


Ada yang menyangka dengan berbuat demikian mereka akan memberikan pengajaran kepada anaknya bagi menghindarkan dirinya dari melakukan kesalahan tetapi apa yang menyedihkan adakalanya hukuman yang dilakukan tidak setimpal dengan kesalahannya. Nyamuk yang mengigit dihukum bunuh. Kebiasaan ini akan menyebabkan tabiat kebengisan ini mula bertapak dalam diri anak itu. Kemudian anak ini berkahwin dan dia pula menjadi bapa. Sekiranya simpulan yang sama tidak diungkaikan maka keadaan ini akan berterusan dari generasi ke generasi. Katalah si anak yang didera tadi berjaya membuka simpulan kebengisan ini dan dia pula memelihara anaknya dengan penuh kasih sayang maka anak-anaknya tak akan nampak kebengisan ini. Saya percaya anak-anaknya tak akan mewarisi kebengisan ini. Dalam lain perkataan benang itu telah berjaya dibuka.


Simpulan ini pula ada yang besar dan ada yang kecil. Bila saya bacakan topik ini kepada seorang kawan, dia mengatakan yang dia tidak mempunyai sebarang simpulan. Dari apa yang saya lihat dia seorang yang suka mencarut, suka mengarah bila meminta tolong dan kuat mencubit lalu saya perkatakan yang ini juga merupakan simpulan tetapi mungkin hanyalah simpulan kecil yang tak menjejaskan. Saya percaya semua orang mempunyai simpulan dalam dirinya kalau tak besar, kecil.


Kalau kita tak sabar dan menarik benang tersebut simpulan itu akan menjadi lebih ketat dan lebih sukar untuk diungkaikan. Ini bermakna dalam contoh tadi, kita mungkin jadi lebih bengis dari bapa kita. Kita tambah pula simpulan yang sedia ada dengan menjadi seorang kaki pukul.


Ada pula yang mengambil jalan mudah untuk membuka satu-satu simpulan iaitu dengan memutuskannya. Pendekatan yang sebegini adalah pendekatan yang paling buruk. Bagi mereka yang mempunyai simpulan besar dan terlalu berserabut mereka mungkin akan berputus asa atau mengambil jalan keluar dengan membunuh diri.


Namun begitu ada diantara kita yang langsung tidak mempedulikan simpulan ini. Ada pula diantara kita yang langsung tidak sedar akan wujudnya simpulan itu di dalam diri kita lantas kita biarkan sahaja ianya di situ tanpa berbuat apa-apa.


Selain dari itu konsep benang bersimpul ini sesuai digunakan dalam isu menangani masalah. Kita boleh perhatikan sesuatu masalah itu umpama benang yang tersimpul yang perlu diungkaikan.


Oleh itu sebagai kesimpulan, carilah apa jua simpulan yang ada dalam diri kita dan leraikannya satu persatu. Kalau kita lihat cara terbaik untuk membuka simpulan benang kita perlu mencari punca benang tersebut dan kita juga perlu melalukannya melalui laluan yang sepatutnya bagi mengelakkan simpulan yang lebih teruk. Kita perlu melakukannya dengan sabar kerana ia mungkin mengambil masa yang lama untuk diungkaikan. Kemudiannya kita pastikan yang benang itu tidak lagi tersimpul dengan harapan generasi kita yang akan datang dapat menjalankan hidup dengan lebih baik, tenang dan tenteram.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

28 Oktober 2009

Tip Menangani Masalah Kehidupan - Konsep Puting Beliung

Adakalanya di dalam kehidupan kita menghadapi terlalu banyak masalah pada satu masa. Yang satu belum selesai datang satu lagi. Ia datang bertimpa-timpa.


Sekiranya anda berada dalam keadaan huru hara sebegini disebabkan terlalu banyak masalah yang menimpa adalah baik sekiranya anda mempelajari konsep yang saya namakan konsep puting beliung. Bila berada di dalam pusaran taufan, kedudukan yang lebih jauh daripada pusarnya akan terasa lebih teruk dan anda akan melayang tunggang langgang hinggakan tidak dapat mengawal keadaan persekitaran. Kita akan berada dalam keadaan yang tidak rasional. Ini sama seperti kita menghadapi masalah kewangan, masalah cinta, masalah keluarga, masalah kerja dan lain-lain masalah pada satu masa yang sama.


Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam diri kita dari aspek rohani, jasmani dan akliah. Dari segi akal kita mengatakan yang kita berada dalam keadaan baik tetapi jasmani kita iaitu badan kita tidak dapat melakukan apa-apa. Kita rasa tidak bermaya. Keadaan ini boleh berlaku bila kita menghadapi terlalu banyak masalah pada satu masa atau bagi seorang wanita yang mengandung pula perubahan hormon yang berlaku juga boleh menjadi penyebab keadaan ini berlaku.


Dalam sesebuah puting beliung, tempat yang paling tenang ialah di tengah-tengah pusaran tersebut. Oleh itu apa yang perlu anda lakukan ialah untuk membayangkan diri anda berada di tengah-tengah pusaran itu. Anda cuma perlu melihat sekeliling dan perhatikan semua masalah yang melayang berpusing-pusing di hadapan mata anda. Dengan berbuat demikian anda akan dapat mencari jalan yang rasional bagi mengatasi satu-satu masalah yang anda atasi.


Dalam menghadapi masalah sebegini anda hendaklah cuba menyelesaikannya satu persatu kerana setiap masalah itu mempunyai jangka masa hayatnya yang tersendiri. Ia tidak akan kekal buat selama-lamanya. Lihat pada keutamaannya. Sekiranya aku tidak menyelesaikan masalah ini aku mungkin akan berada dalam keadaan yang lebih teruk dari ini.


Masalah tersebut terdiri daripada dua bahagian iaitu yang bersifat objektif dan yang bersifat subjektif.


Masalah yang bersifat objektif lebih mudah untuk diselesaikan kalau dibandingkan dengan yang subjektif. Jadi masalah sebegini hendaklah diberikan keutamaan terlebih dahulu.


Masalah yang bersifat objektif dalam contoh tadi ialah masalah kewangan dan masalah kerja.


Dalam menangani masalah kewangan jalan yang terbaik ialah untuk mencari jalan penyelesaiannya ialah dengan berjimat atau mencari jalan yang boleh mendatangkan pendapatan. Bukan dengan sistem gali lubang tutup lubang atau mencarinya dengan cara jenayah. Masalah kerja pula boleh diatasi dengan mencari jalan mempelajari kerja yang kita lakukan, meningkatkan prestasi diri atau pindah tempat kerja.


Masalah yang bersifat subjektif lebih abstrak dan sukar untuk diselesaikan. Ia juga mungkin mengambil masa yang lebih lama. Dalam masalah perhubungan ini kita boleh mengubah diri kita tetapi kita tidak dapat mengubah orang lain. Ada banyak sebab kenapa perselisihan perhubungan boleh berlaku antara manusia. Adakalanya perbezaan umur, daerah, kaum, agama, ideologi dan sebagainya. Dalam kes ini masalah yang bersifat subjektif ialah masalah cinta dan masalah keluarga.


Dengan menyelesaikannya satu persatu, pusaran puting beliung anda semakin lama semakin kecil hinggalah ke satu tahap dimana keadaan menjadi terkawal dan tidak begitu menekan. Taufan ini semakin lama semakin reda dan mungkin di satu tahap yang tinggal hanyalah masalah kecil yang bersifat subjektif yang memerlukan masa untuk mengatasinya.


Saya ingin sambung bab ini dengan satu huraian untuk difikirkan.


Dalam hal memberi keutamaan kepada masalah yang dihadapi, cuba anda bayangkan senario berikut ;


Anda merupakan seorang doktor dan bertemu dengan pesakit yang ditikam. Pasakit itu didapati patah kaki dan tangan dan darahnya masih lagi kelihatan mengalir, pada masa yang sama bahunya terseliuh, nafasnya sesak, perutnya terkena tikaman, dia juga ada masalah buah pinggang dan menghidap penyakit kencing manis.


Jadi apakah tugas anda sebagai doktor? Yang manakah yang bakal anda rawat dahulu? Dalam hal ini sistem menyelamatkan nyawa, sekiranya si doktor merawat kaki atau tangannya dahulu nescaya pasakit itu akan mati dalam masa beberapa minit kerana tak dapat bernafas. Cara yang sebaiknya ialah dengan memberi keutamaaan kepada masalah yang paling kritikal. Maka keutamaan patut diberi kepada sesak nafasnya kemudian barulah yang lainnya yang rendah kemungkinan membawa matian.


Sepertimana halnya konsep puting beliung tadi, beginiah juga cara yang terbaik dalam menangani masalah kehidupan andaikata pelbagai masalah datang pada anda dalam satu masa .


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
http://faizalyusup.blogspot.com
Tel : 03-7625 9033
Hp : 012-654 0130



Gambar diambil semasa saya sedang menyampaikan ceramah motivasi di rumah anak-anak yatim piatu di Kuala Langat.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Menghargai Amanah


Kita tahu akan amanah harta yang dipinjamkan Tuhan kepada kita. Kita akan berkata ini amanah Tuhan yang perlu dijaga dengan baik dan tidak boleh disalahgunakan. Kalau kita menjadi pemimpin juga kita tahu yang kita perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Kita membuat keputusan yang terbaik untuk yang ramai. Namun tanpa kita sedari pada masa yang sama kita diamanahkan dengan kurniaan nyawa, masa, tenaga, akal, anggota, pancaindera dan lain-lain. Persoalannya, kenapa kita tidak menjaga amanah ini dan bertanggungjawab ke atasnya? Kebanyakan kita mengambil sikap sambil lewa ke atas kurniaan-kurniaan ini.

Sebagai contoh, setiap hari kita diamanahkan dengan kurniaan mata sejak kita bangun dari tidur hinggalah kita tidur semula tetapi adakah kita peka akan penggunaannya? Berapa banyak ilmukah yang dapat kita cakupi, berapa banyakkah masa penggunaannya yang kita sia-siakan, berapa banyakkah yang kita menungkan dan berapa banyakkah yang kita mengutip dosa dengan penggunaannya dalam sehari?

Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin dalam secara sendirinya. Kita perlu memimpin kerajaan kita sendiri. Kerajaan yang saya maksudkan itu ialah jasmani, rohani dan akal. Kalau kita dapat mentadbir kerajaan ini, barulah seterusnya kita dapat mentadbir keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kita sebenarnya menghadapi masalah mentadbir kerajaan diri kita sendiri.

Kita juga selalu menghargai sesuatu yang kelihatan. Sebagai contoh kita menghargai jasa ibubapa kita yang membesarkan kita, kita menghargai guru-guru kita kerana sumbangan ilmu mereka kepada kita. Kita menghargai hadiah yang diberikan kawan-kawan kepada kita. Lagi besar hadiah yang diberikan lagilah kita menghargainya. Berterima kasih beratus kali. Mana tidaknya katalah saya memberikan hadiah sebuah kereta Ferrarri kepada anda bukankah anda akan berterima kasih bertalu-talu. Tetapi konsep ini tidak pula kita gunakan secara keseluruhannya.

Semasa kita lahir ke dunia, kita lengkap dengan nyawa, akal fikiran, segala pancaindera dan anggota, ditambah pula dengan pelbagai kurniaan lain seperti rezeki, tenaga, masa dan sebagainya. Kenapa tidak pula kita berterima kasih dan bertanggung jawab dalam menggunakannya?

Katalah kita dilahirkan hanya dengan badan, kepala, otak dan anggota pernafasan tanpa yang lainnya. Kemudian ia diberikan satu persatu. Mula-mula kita diberikan mata. Bukan main kita berterima kasih dan memandang semua yang ada hinggakan semut merayap pun kita perhati dengan penuh minat. Dunia yang dahulunya gelap gelita telah menjadi terang dan penuh dengan warna warni. Kemudian, diberikan pula telinga. Wah! bukan main kita berterima kasih atas pemberian kedua ini. Dunia yang senyap sunyi telah kedengaran. Habis semua benda kita nak lihat dan dengar. Begitulah seterusnya hingga sempurna sifat kita. Mungkin sekiranya manusia dijadikan melalui tertib yang sedemikian rupa barulah kita mahu menggunakan kurniaan-kurniaan ini dengan penuh tanggungjawab?

Yelah, kita pasti akan berkata begini :
“ Kau tahu dulu sebelum aku dapat mata punyalah susah, dunia gelap gelita apapun tak nampak, Syukurlah sekarang aku dah ada mata. Boleh tengok semua benda. “

Tetapi bagi yang tidak bertanggung-jawab, keadaan akan jadi sama seperti sekarang, menggunakan mata untuk melihat yang lucah, menggunakan telinga untuk mendengar yang sia-sia, menggunakan mulut untuk menabur fitnah, mencarut dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya : Hargailah segala apa yang ada di sekeliling kita. Kerana besok ia mungkin tiada lagi.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

' style='padding: 0; border: none;'/>

27 Oktober 2009

Bicara Buku Anda Yang Baru



TESTIMONI
Buku ini bakal menjadi buku bestseller!
En Suhaimi Ahmad
CEO 
ASAR Sdn Bhd

         Saban masa, pengalaman hidup berlalu tanpa catatan yang signifikan. Buku Anda Yang Baru merakamkan pemerhatian penulis terhadap fenomena insan sekeliling. Ditulis dalam bahasa Melayu yang tersusun kosa katanya serta perbendaharaan bahasa yang dipilih begitu rapi; buku ini mampu menyuluh jauh dalam diri pembacanya. Bacalah dengan minda yang terbuka dan hati yang akur dengan kelemahan diri; pasti karya ini memberikan manfaat bagi pembacanya.
Puan Zaidah Abu Bakar
Pensyarah
IPGM Kampus Gaya
Kota Kinabalu, Sabah


ULASAN
Oleh Rohaidah Haron
          Buku motivasi ini pada pendapat saya memberi persepsi motivasi yang bersahaja dengan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami oleh semua golongan. Oleh kerana Saudara Faizal adalah "orang baru" dalam dunia penulisan ini, saya cuba membandingkan karya beliau dengan karya pakar motivasi yang terkenal dan berpengalaman. Ternyata penulisannya membuat saya "terdiam" dan berfikir seketika. Cuba memahami lebih mendalam dan cuba mencari fakta-fakta untuk menyanggah namun tidak berjumpa!


SYABAS saudara Faizal! Tidak rugi membaca buku ini! Saya percaya sesuatu akan berlaku selepas membaca buku ini. Cumanya, kesan jangka panjang atau pendek kenalah yang empunya diri/pembaca fikir sendiri! Secara asasnya, buku ini mengajar kita supaya bersedia menerima perubahan. Belajar bagaimana mengadaptasikan pelbagai input dan pengisian yang diterima dengan cara yang betul bagi membentuk keperibadian diri yang hebat dan cemerlang.


Dan antara proses penerapan sesuatu nilai itu adalah melalui pengisian, pengulangan, pengukuhan dan penerapan sebelum ia dapat menyerap dan menjadi prinsip diri. Saya ingin meminjam kata-kata dari seorang pakar motivasi yang terkenal; "Berubah itu mungkin mudah tapi kekal dengan perubahan yang dibuat itu mungkin payah!"


Apapun TAHNIAH di atas kelahiran buku motivasi ANDA YANG BARU ini. Semoga saudara Faizal dapat meningkatkan lagi mutu penulisan dan semoga berjaya di dalam segala bidang serta dapat mencapai apa yang dirancangkan. Moga ALLAH merestui dan merahmati segala apa yang dilaksanakan. Bagi sesiapa yang masih tercari-cari akan matlamat hidup dan cuba menjadi DIRI SENDIRI, jawapannya ada di buku ini.


Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.


' style='padding: 0; border: none;'/>

26 Oktober 2009

Laa... Masih Marah lagi?


Ini adalah artikel ketiga yang saya tulis mengenai isu marah ini. Apapun untuk pengisian kali ini saya akan memandangnya dari sudut ugama Islam.


Mari kita ulangi sedikit pengisian yang lalu mengenai marah ini mengikut turutan nilai ini,


Sifat pemarah ;
• Memarahi hingga membunuh.
• Memarahi hingga mencederakan.
• Memarahi dengan kata-kata mencarut dan menghina.
• Memarahi dengan nada suara yang tinggi.
• Memarahi dengan tenang.
• Dan lain-lain lagi.


Nilai-nilai yang saya utarakan ini merupakan ini sebenarnya berada dalam rangkuman negatif kalau dijalankan dengan kaedah yang salah. Apa kata kita lihat dari sudut yang satu lagi. Sudut orang sabar dan tenang dan langsung tak marah.


Sifat penyabar ;
• Bersabar walaupun Allah Taala dipermainkan
• Bersabar walaupun Nabi Muhammad SAW dicerca
• Bersabar walaupun ibu diapa-apakan
• Bersabar walaupun adik perempuan dicabul
• Bersabar walaupun diri dipukul, dihina dan dicerca.


Bagaimana? Bolehkah anda bersabar?


Sebenarnya nilai yang saya perkatakan di atas adalah nilai yang membolehkan kita marah dalam Islam. Ia merupakan base yang membolehkan kita marah dan mempertahankan diri. Inilah yang dinamakan marah bertempat atau sabar bertempat. Pun begitu ada cara marahnya dan kita tak boleh melakukannya dengan membabi buta. Kena setimpal.


Mungkin inilah sebabnya Nabi SAW sentiasa menyuruh kita bersabar dan mengawal marah. Sifat-sifat ini hakikatnya adalah sebahagian dari iman. Tak caya, tanya ustaz. Lagipun banyak kisah dan riwayat yang kita dengar mengenai perihal MARAH dan SABAR ini di sepanjang kehidupan. Contohnya kisah Nabi SAW yang dilempar najis di Taif hinggakan malaikat meminta izin dari Nabi SAW untuk membaling gunung-ganang sebagai balasan. Namun demikian Rasullullah SAW mengambil pendekatan bersabar.


Ia sebenarnya dugaan atas manusia untuk menggunakan AKAL bagi mengalahkan NAFSU. Mungkin juga anda pernah mendengar kisah kejadian Nafsu yang telah dimasukkan dalam api neraka bertahun-tahun lamanya dan sebagainya sebelum dimasukkan ke dalam hati manusia. Jadi AKAL lah yang kena menguasainya agar kita tidak kalah dengan nafsu. Inilah antara perkara penting dalam ajaran Islam iaitu untuk menewaskan NAFSU. Nafsu marah, nafsu makan, nafsu shopping, nafsu menghisap rokok, nafsu minum arak dan sebagainya yang membelenggu di dalam diri.


Masalahnya di sini kita pula tak boleh bersabar dan akan marah bila ;

• Kereta rosak
• Kekasih lewat sampai
• Hari hujan
• Isteri tak masak
• Jalan jem
• Dan benda-benda kecil yang lainnya


Kita kena lempar najis ke? Nak marah-marah ni?


Janganlah gunakan MARAH kerana marahkan makhluk, kejadian dan ciptaan. Marahlah kerana Allah, kerana menegakkan Islam dan perkara-perkara yang membolehkan kita marah.


Bila kita biasa marah ia akan menjadi tabiat, kita akan menjadi bak kata orang putih “loose cannon” atau meriam yang tak berikat menembak sesuka hati ke arah hala tuju yang tak tentu. Ini sebenarnya nilai sekular atau nilai dunia. Marah ikut perasaan, ikut logik dan ikut emosi. Maka disini tiada bezalah anda orang Islam dengan orang kafir tu. Marah sana, marah sini, caci, herdik, tohmah, carut, tangan, kaki semua cukup.


Dalam hal ini belajarlah mengawal marah. Cari pengisian sepertimana pengisian ini sebagai contoh, lakukan berulang-ulang, bila nak marah telan marah tu, cari pengukuhan, minta bantuan orang lain untuk menegur contohnya maka lama kelamaan saya yakin ia akan terpupuk dan menjadi prinsip diri.


Sekian, jangan marah ar..


Fikir-fikirkanlah.


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Anda Yang Baru – Motivasi Generasi Baru


Email : greng70@yahoo.com
http://faizalyusup.blogspot.com
Tel : 03-7625 9033
Hp : 012-654 0130

' style='padding: 0; border: none;'/>

Terkini Anda Yang Baru

Alhamdullillah buku Anda Yang Baru yang terbit bulan lepas mendapat sambutan yang menggalakkan. Semalam saya ke MPH Mid Valley membuat tinjauan dan mereka mengatakan yang buku tersebut diterima pada 16 September sebanyak 100 naskah dan yang tinggal hanyalah satu naskah. Itu pun ia tidak dapat ditemui di rak buku yang dikatakan. Nampaknya kenalah telefon penerbit Alaf 21 untuk memberitahu mereka mengenainya.


Pagi tadi pula, En Suhaimi CEO ASAR sebuah syarikat motivasi telah membeli 42 naskah buru Anda Yang Baru ini untuk diberikan sebagai cenderahati program kendaliannya dan akan mendapatkan banyak lagi untuk progaram-program yang akan datang. Alhamdullillah.


Kemudian, sekali lagi saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana setakat ini maklumbalas yang diterima pembaca juga baik dan memberansangkan. Nanti kalau saya telah mendapat kebenaran mereka akan saya utarakan di blog ini. InsyaAllah. Bagi saya ini adalah hadiah dari Allah Taala.


Seorang mentor pernah berkata kenalkan diri pada seorang demi seorang. Lama kelamaan ia akan berkembang menjadi ramai. Kalau tak dapat jual buku kepada seorang cari lagi sepuluh orang, kalau tak dapat jual kepada 10 orang carilah 100 orang begitu jugalah seterusnya. Lambat laun pasti akan ada yang membeli, mempercayai dan menceritakannya kepada orang lain. Jangan takut dengan bayang-bayang sendiri, jangan takut dengan penolakan. Kita yang kena membiasakan diri dengannya.


Apapun terus terang saya katakan saya baru bermula, baru mengorak langkah dalam bidang penulisan ini dan masih banyak yang ada dalam otak pemikiran saya ini untuk disampaikan. Semoga Allah kurniakan saya masa dan ruang untuk saya berbuat demikian.

' style='padding: 0; border: none;'/>

22 Oktober 2009

Sampaikanlah pengisian


Apapun topik ini mengingatkan saya pada kakak-kakak angkat saya di Universiti Malaya dahulu semasa kecil. Kami tinggal di kuarters yang disediakan untuk pengawal keselamatan dan kakak-kakak ini menyewa bilik di kuarters-kuarters ini. Setiap petang mereka akan duduk di hadapan tangga rumah saya dan menceritakan tentang geografi, politik geologi, sains sosial, perubatan dan sebagainya berdasarkan kursus yang mereka ambil. Saya mula mendengarnya pada lingkungan umur 8 tahun hinggalah ke 16 tahun semasa saya masuk sekolah berasrama.

Mereka inilah yang secara tak langsung bertanggung-jawab membentuk diri saya menjadi seorang yang gemar berfikir tentang kehidupan. Saya tak sedar itu dahulu tetapi pembentukan inilah yang menjadikan saya seorang yang suka mencari ilmu dan pada masa yang sama suka menyampaikan ilmu. Mungkin atas sebab inilah saya menjadi seorang penulis buku genre motivasi.

Kepada mereka saya ucapkan terima kasih walau dimana mereka berada terutama sekali buat kak Sarimah binti Lasim yang berasal dari Pasir Gudang, Johor yang belajar di Universiti Malaya antara tahun 1978 hungga 1986.

Sekarang ialah masanya untuk saya berbuat demikian kepada sesiapa juga yang saya temui dan saya harap ia akan membawa perubahan ke dalam diri mereka kelak. InsyaAllah.

Saya mahu berusaha melakukan perubahan tersebut sepertimana yang mereka lakukan pada saya dahulu. Saya ingin cuba melakukan perubahan tersebut sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka. Saya tahu bagaimana saya terbentuk dengan pengisian yang mereka lakukan pada dulu dan saya juga telah tahu bagaimana caranya untuk melakukan perubahan tersebut pada orang lain berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.

Saya tahu pengisian yang disampaikan ke dalam diri seseorang itu boleh mengubah mereka ke satu jalan yang baru dan baik. Mungkin inilah sebabnya saya berterus-terusan menulis dan menyampaikan pada yang ramai dengan harapan pengisian ini bakal membawa perubahan di hati mereka.

Percayalah dengan menyampaikan pengisian, ia akan menambahkan ilmu, ilmu ini seterusnya boleh bawa perubahan ke dalam diri lantas menukar haluan kepada arah tuju yang lebih baik. Jadi sampaikanlah.

Sekian.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

' style='padding: 0; border: none;'/>

20 Oktober 2009

Sifat Dan Sikap Orang Cemerlang


Bagi menyambung kajian mengenai sifat ini, mari kita perhatikan carta di bawah ini pula ;

Sikap kita
Sikap orang yang cemerlang

Tiada matlamat
Punya matlamat yang jelas
Pemalas
Gigih
Mudah mengalah
Tak kenal putus asa
Lembab
Kreatif
Melepaskan peluang
Mencari peluang
Membuang masa
Menghargai masa
Negatif
Positif

            Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang berjaya, tanyalah jutawan, tanyalah seorang cendiakawan, tanyalah seorang ahli sukan yang berjaya, mereka pasti akan mempunyai sikap cemerlang sepertimana yang saya huraikan ini. Kejayaan Syed Mokhtar Al Bukhary, Shun Fujimora, Nik Nur Madihah, William Tong, George Lucas, Kolonel Saunders dan lain-lain yang akan saya sampaikan dalam buku ini bukan datang bergolek tetapi setiap seorang dari mereka punya sifat dan sikap cemerlang yang terpupuk dalam dirinya.

            Sifat-sifat seperti menghargai masa, gigih, tak kenal putus asa ada saya dedahkan dalam bentuk pengisian cerita dalam buku ini. Di sini saya ingin memperkenalkan sidang pembaca yang budiman kepada sifat kreatif seorang yang cemerlang.

Sifat Kreatif
Kisah PTS Publications Sdn Bhd

            Sebuah syarikat penerbitan buku bernama PTS Publications Sdn. Bhd. yang ditubuhkan di negara ini hampir sedekad yang lalu telah meningkat setapak demi setapak hingga menjadi salah sebuah syarikat penerbitan yang disegani di negara ini dengan penjualan buku bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

            Mari kita kaji sedikit sebanyak kejayaan mereka dan apakah sifat kreatif yang ada pada mereka. Pada ketika rakyat Malaysia sibuk dengan novel genre umum yang disasarkan kepada golongan dewasa, PTS mengorak langkah menerbitkan buku novel genre remaja memandangkan kajian mendapati para remaja generasi baru terdiri dari golongan yang membaca kerana sikap ini telah dipupuk oleh ibubapa generasi awalnya yang tahu akan kepentingan membaca ini.

            Seterusnya pada ketika syarikat lain sibuk dengan kualiti buku, PTS pula memilih untuk mengeluarkan buku dengan kuantiti yang banyak. Tajuk-tajuknya pula dipilih dari tajuk-tajuk yang belum ada di pasaran bagi mengelakkan pertindihan. Keadaan ini memberikan pembaca pilihan yang lebih luas kalau dibandingkan dahulu. Strategi ini berhasil yang mana dewasa ini kita akan dapat lihat rak-rak buku melayu terbitan syarikat ini di pasaran yang tiada sebelum ini. Dewasa ini PTS menerbitkan lebih 400 judul setahun dengan pelbagai genre penulisan fiksyen dan bukan fiksyen, umum , motivasi, akademik dan lain-lain malah ingin menambahkannya ke 1000 judul di masa hadapan kelak.

            Kemudian kreativiti pengurusan PTS berkembang dengan memperkenalkan para penulisnya, merapatkan hubungan penulis dengan pembacanya, hubungan syarikat dengan pengedarnya, menjalankan bengkel-bengkel penulisan, menerbitkan buku-buku yang diterjemahkan, memasarkan bukunya ke luar negara, mengeluarkan produk-produk merchandise, menjalankan aktiviti pemasaran aktif di internet dan banyak lagi yang mana semua ini tidak dijalankan oleh kebanyakan syarikat penerbitan yang lain. Saya yakin pihak pengurusan PTS akan terus memecahkan kepala mereka dengan sifat kreatif memikirkan jalan lain bagi mengembangkan lagi PTS ke tahap yang lebih tinggi. Jadi tak hairanlah sekiranya mereka akan terus menguasai peratusan pasaran pembukuan di negara ini.

Jadi, kesimpulannya sifat kreatif ini adalah salah satu sifat positif dalam rangkuman sifat-sifat cemerlang yang lain. Oleh itu untuk berjaya kita mesti menyiapkan diri dengan memupuk semua sikap positif ini ke dalam diri dan kemudiannya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian walau dalam apa juga yang kita usahakan. Maka saya yakin kecemerlangan bakal menjadi milik anda!

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.



' style='padding: 0; border: none;'/>

19 Oktober 2009

Tip Menangani Sifat Marah - Anda Marah Lagi ?

Mari kita buat kajian mudah akan siapa itu MARAH dan dari mana ia datang.


MARAH dicipta Allah. Ia adalah salah satu kejadian Allah yang dimasukkan ke dalam diri manusia. Dalam ertikata lain ia berkhidmat untuk manusia. Ia telah berkhidmat semenjak dari dahulu lagi iaitu semenjak Nabi Adam AS turun ke mukabumi lagi.


Analoginya begini, marah ini seakan penyakit selsema. Kenapa penyakit ini tak dapat dihapuskan sehingga kini? Ia bergerak dari seorang kepada seorang yang lain dan kemudian ia datang semula pada kita. Baru minggu lepas dah selsema, minggu ni kena lagi.. Kata kita.. dalam ertikata lain virus selsema ini tak dapat dihapuskan sama sekali di atas muka bumi ini. Kejadian penyakit selsema ini sebenarnya adalah satu cara positif untuk memberitahu tuanpunya badan yang selsema itu untuk berehat selepas terlebih kerja.


Begitu jugalah dengan kejadian marah ini. Ia adalah satu penyakit, tetapi pada masa yang sama ia juga merupakan satu therapy, outlet bagi mengeluarkan toksik dalam badan. Dalam hal ini apa yang penting ialah kita tahu bagaimana untuk mengawal kejadian MARAH ini. Marah menggunakan akal dan bukan mengikut emosi, marah bertempat dan sebagainya. Malah lebih baik lagi kita bersabar dan serahkan hak pembalasan itu kepada Allah Taala sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.


Marahlah pada yang hak iaitu antaranya pada mereka yang mempermainkan Islam, mempermainkan Allah dan Rasulnya, mempermainkan Al Quran, melindungi hak ibubapa, anak isteri dan keluarga contohnya. Kenapa nak marahkan hari yang hujan, kereta yang pancit, anak yang tumpahkan air dan sebagainya? Marah kepada perkara dan kejadian yang begitu kecil.


Lagipun sedarlah kita manusia adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah andai kita beriman. Oleh kerana kita makhluk yang paling mulia, maka pastinya kejadian MARAH ini tak semulia kita atau dalam ertikata lain lebih hinalah. Kedudukan kita dia atas sedangkan MARAH di bawah. Oleh itu malulah kalau kita tak dapat menguasai kejadian MARAH ini. Umpama seorang Bos yang takut kepada keraninya.


Oleh kerana kejadian MARAH ini akan terus berada di muka bumi hinggalah ke hari kiamat, Kat dalam kubur atau kat Padang Mahsyar nak marah apa lagi? Menyesal adalah.


Saya ulangi oleh kerana kejadian MARAH ini akan terus berada di muka bumi hinggalah ke hari kiamat dan tak dapat nak dihapuskan sama sekali.. jadi belajarlah untuk menguasainya, belajarlah untuk mengawalnya, gantikanlah ia di dalam hati dengan kejadian TENANG, balaslah setimpal dengan apa yang diperlakukan dan lebih baik lagi bersabarlah. Serahkan pembalasan ini kembali kepada Allah untuk menguruskannya.


Soalan :
Apa akan jadi kepada manusia sekiranya kejadian MARAH ini tidak dicipta Allah Taala?


Dunia pasti akan menjadi aman kerana KEMARAHAN tiada lagi dalam driri setiap manusia. Semua orang saya dan anda akan menjadi orang yang penyabar dan tenang.


Soalan :
Siapa yang anda marahkan? Apa yang anda marahkan?


Maka orang itu atau perkara itulah merupakan perantara Allah untuk menguji anda.


Sedarilah kejadian DUGAAN memang kerja dan fungsinya untuk menguji keimanan manusia. Selagi anda tak lulus dengan dugaan itu maka selama itulah anda akan diuji dengannya.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih membaca!


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
http://faizalyusup.blogspot.com
Tel : 03-7625 9033
Hp : 012-654 0130

' style='padding: 0; border: none;'/>

18 Oktober 2009

SIFAT DAN SIKAP - SATU KAJIAN MUDAH



Dalam apa juga keadaannya sejak manusia berada di muka bumi ini sifat dan perasaan ini adalah tetap. Orang dahulu marah, orang sekarang juga marah, orang dulu sedih lantas menangis, orang sekarang juga sedih dan menangis. Perasaan dan sifat ini sifatnya tetap. Tidak terdapat evolusi di dalamnya. Mungkin yang berubah adalah perkara yang dimarahnya. Kalau dahulu manusia memarahi Sultan, Bendahara dan Temenggung, sekarang manusia memarahi kerajaan contohnya. Marah tetap marah.

Apapun terdapat pelbagai perbezaan nilai sikap dan sifat yang ada dalam diri manusia ini. Mari kita kaji beberapa sifat ini ;

Pemarah ; 

- Memarahi hingga membunuh.  
- Memarahi hingga mencederakan.  
- Memarahi dengan kata-kata mencarut dan menghina.  
- Memarahi dengan nada suara yang tinggi.  
- Memarahi dengan tenang.

    Dan sebagainya. Apapun lawan sifat iini adalah sifat sabar.

    Penipu ;

    - Menipu untuk mendapatkan keuntungan diri 
      Menjadi con man untuk mendapatkan duit  
    - Menipu kerana kebiasaan
      Pantang ditanya pasti menipu. 
    - Menipu bertempat – terpaksa menipu bagi mengelakkan kesusahan diri. 
      Terpaksa menipu bos kerana lambat tiba ke pejabat. 
    - Menipu sunat 
      Menipu untuk menjaga hati orang lain. 
    - Menipu darurat 
      Terpaksa menipu kerana nyawa menjadi taruhan.

              Dan sebagainya. Lawan sifat ini pula ialah bercakap benar.

              Walau apapun keadaannya dari segi sifat dan sikap manusia akhirnya akan tetap menuju ke arah satu base atau asas yang sama. Base atau asas inilah yang disarankan dalam Al Quran. Dalam contoh di atas Islam menyarankan manusia menjadi seorang yang penyabar dan kalau nak marah sekalipun ia punya cara dan kaedah yang tertentu. Contohnya kita hanya boleh membalas setimpal dengan apa yang dilakukan terhadap diri kita. Dalam aspek menipu pula Islam menyarankan kita bercakap benar. Inilah asasnya. Lagipun Islam itu datang salah satunya dengan tujuan untuk membaiki akhlak manusia sejagat.

              Apapun sama ada anda percaya atau tidak, bagi kebanyakan orang, semua masalah sifat dan sikap yang buruk dan terpupuk dalam diri dalam sedar mahupun tidak ini akhirnya akan keluar dan digantikan dengan sifat dan sikap yang baik.

              Ini kerana pelbagai keburukan yang akan berlaku kepada orang yang mengamalkan sikap yang buruk ini. Tak ada manusia yang suka kepada orang yang penipu, pemarah, kedekut, berlagak dan sebagainya. Lambat laun mereka ini akan dipinggirkan masyarakat.

              Begitu juga kita sering melihat ramai orang yang dahulunya pemarah telah bertukar menjadi seorang yang tenang, penipu menjadi seorang yang bercakap benar, orang sombong menjadi orang yang rendah diri dan sebagainya. Ianya dalam perjalanan menuju ke base.

              Dalam salah satu kes yang saya kendalikan seorang yang bermula dengan menghisap ganja meningkat menjadi seorang penagih dadah yang lebih berat dan kemudiannya menjadi seorang pengedar. Bila dalam perjalanan kembali ke pangkal jalan perubahan yang berlaku juga melalui jalan yang serupa. Pada mulanya dia meninggalkan fasa penjualan, kemudian dadah yang berat dan akhir sekali dadah yang ringan. Sekarang dia langsung telah berhenti menagih dadah sama sekali. Ini sebuah kisah benar.

              Analogi ini samalah seperti pembentukan sikap dalam diri. Kemarahan yang bermula dengan kata-kata, menjadi kata-kata kesat tanpa kawalan, seterusnya akan meningkat sehingga boleh mencederakan dan akhir sekali mungkin sehingga membunuh. Apapun keinsafan mungkin berlaku dengan perlahan berperingkat atau secara terus ia terpulang kepada diri sendiri. Apapun ia pastikan sekali lagi kembali kepada base yang saya katakan tadi.

              Pembentukan sikap buruk ini selalunya berlaku tanpa disedari. Terbentuk dengan Konsep 4P iaitu pengisian, pengulangan, pengukuhan dan penerapan yang ada diterangkan dalam buku ini. Mari kita buat perbandingan mudah ;

              PEMBENTUKAN SIFAT / SIKAP BAIK ATAU BURUK

              Sikap Buruk
              Sikap Baik (Base)

              Pendendam
              Pemaaf
              Pemarah
              Penyabar
              Ego
              Rendah diri
              Tak puas hati
              Redha
              Menunjuk-nunjuk
              Tiada apa yang hendak dibanggakan
              Mengadu Domba
              Tidak menceritakan keburukan orang
              Iri hati
              Menyokong
              Hipokrit
              Telus
              Penipu
              Bercakap benar
              Pemalas
              Rajin
              Melihat keburukan
              Melihat kebaikan

               Ia kemudian dizahirkan dan kelihatan dalam bentuk amalan yang dijalankan.

              Amalan buruk
              Amalan Baik

              Melepak di kelab-kelab
              Menasihati
              Mengambil dadah
              Bertanam
              Minum arak
              Menulis buku
              Berjudi
              Beribadat
              Kaki perempuan
              Membantu orang lain

              Buruk
              Amalan
              Baik
              Makan berlebihan
              Makan
              Ala kadar
              Gelojoh

              Tenang
              Membazir

              Secukupnya

              Huraian ini adalah dalam bentuk pembentukan kecemerlangan jati diri bagi menjadikan diri seorang yang berbudi pekerti mulia.


              Jadi, untuk berjaya kita mesti menyiapkan diri dengan memupuk semua sikap positif ke dalam diri dan kemudiannya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian walau dalam apa juga yang kita usahakan. Maka saya yakin kecemerlangan bakal menjadi milik anda!

              Fikir-fikirkanlah..

              Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

              Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih membaca!


              PS – Artikel ini dipetik dari manuskrip Anda Yang Cemerlang yang sedang saya tulis.

              ' style='padding: 0; border: none;'/>