Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 3 Bahagian 2
“ SURPRISE!!! HAPPY BIRTHDAY MAN!!! ” Mulutku melopong tak terkata apa-apa. Dalam gembira hatiku hiba.
Zamri, Azizi, Haziq, Yasin, Khasrul, Firdaus, Fauziah, Sarimah, Danisya, Rashidah, Anis, Wati dan beberapa kawan lagi termasuklah kawan Mat Saleh Richard, Lee, Tan, Isaac dan Elaine semuanya berada di situ bagi meraikan harijadi yang belum pernah seumur hidup aku raikan sebelum ini.
Mereka mendendangkan lagu birthday hingga gamat satu restoran disusuli tepukan dari mereka juga pengunjung restoran yang lain. Azizi pula sibuk merakamkan peristiwa itu dengan handycamnya. Kemudian Zamri menyuruh aku meniup lilin yang terletak di atas Kek New York Cheese kegemaran aku itu tapi didajalnya aku dengan memegang kek itu jauh kira-kira satu meter dari aku. Puas aku meniupnya untuk memadamkan tiga batang lilin berwarna merah itu tapi tak berjaya hinggalah Zila membantu meniupkannya untuk aku. Mungkin dia tak sampai hati melihat mukaku merah dibuli rakan-rakan serumahku.
Kemudian mereka menyuruh aku berdiri di atas kerusi untuk memberikan ucapan.
“ Nak kata apa? Aku tak tau nak kata apa?
“ Bedal ajelah Labu!!...” Sahut Zamri disambut dengan gelak tawa mereka yang lain.
Mataku menjeling pada Zila geram sebab dia merahsiakan semua ini dari pengetahuanku.
“ Okay! Okay! Assalamulaikum and good evening to all”. Aku memulakan ucapan. Ucapan yang aku sendiri tak tahu mana arah tujunya.
“ Sebenarnya saya tak tahu apa nak cakap apa sebab seumur hidup, dah masuk 21 tahun, inilah pengalaman kali pertama saya menyambut harijadi. Kat US pulak tu. Saya cuma nak ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang berusaha menjayakan majlis ini dan percayalah akan saya kenang semua ini buat selama-lamanya. Itu je..” Ucapku ringkas bagi menyempurnakan permintaan mereka.
Empat bungkusan hadiah diberikan padaku. T-shirt merah UNL dari Zamri, Bola Rugby American Football dari rakan serumahku, Wati menghadiahkan sebiji mug yang tertera tulisan Happy 21 st Birthday, dalam gambar hati yang besar di tengah-tengahnya dan akhir sekali dari Zila dan rakan serumahnya menghadiahkan aku digital radio. Lantas aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka semua.
Haziq yang dari tadi memerhatikan aku membuka bungkusan hadiah mengeluarkan bungkusan kecil dari poket jeans seluarnya dan menghulurkannya kepadaku.
“ Yang ini hadiah khas dari aku..” Kata Haziq sambil tersengih.
Kertas pembalut bungkusan kecil itu aku siat.
“ Cinabeng punya Haziq!!! Ada ke bagi aku kondom!! ” Jeritku pada Haziq yang sudah tergelak berdekah-dekah kerana berjaya dalam misinya mengenakan aku. Semua yang berada di situ turut ketawa.
Suasana gembira penuh dengan gelak tawa itu berlanjutan hingga lewat malam. Restoran Denny’s dipenuhi dengan aura keseronokan sepanjang malam.
Setelah selesai barulah aku tahu dari Zamri yang semua ini dirancangkan oleh Zila malah dia juga yang mengeluarkan perbelanjaan malam itu. Aku yakin dia juga yang menempah kek tersebut kerana dia tahu kek itu kegemaranku.
Suasana meriah malam itu tak akan aku lupakan sepanjang hidupku.
Malam itu pukul 11.30 barulah semuanya berakhir. Dengan perut kenyang dan hati yang gembira kami semua memulakan langkah beredar dari Restoran itu. Wati mendekati aku dan mengajak aku pulang bersama tetapi aku menolaknya dengan mengatakan yang aku telah berjanji untuk pulang bersama Zila. Airmukanya kelihatan sugul ketika dia melangkah meninggalkan aku.
“ Zam, aku balik dengan Zila okay. ” kataku pada Zamri.
“ Aku tahu...” Jawabnya tersenyum sinis.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, Zila mengeluarkan sebungkus hadiah berbunga biru bersama dengan sekeping kad bersampul pink dari drawer keretanya. Balutan hadiahnya kemas sekali menunjukkan orang yang membalutnya seorang yang sangat teliti seperti Zila. Orang yang bersifat teliti dan sangat prihatin.
“ Ni hadiah dari Zila. Malu nak bagi tadi. Tapi Man buka kat rumah nanti okay? ”
“ Okay... Zila, terima kasih for such a lovely day okay. Tak pernah Man rasa macam ni. ”
“ No prob.., What’s a friend for? ” Sahutnya memalingkan mukanya padaku tersenyum manja.
Setibanya di rumah dan mengucapkan selamat malam pada Zila aku terus naik ke bilik lalu meletakkan bungkusan hadiah dengan kad tersebut di atas meja tulisku. Aku mencapai tuala dan terus mandi. Zamri dengan rakan-rakan yang lain pula sedang menonton televisyen di bawah .
Selesai menunaikan solat Isyak, bungkusan hadiah itulah agenda pertamaku. Aku membuka balutannya dan di dalamnya ada sebuah kotak berwarna hitam. Penutupnya kubuka dan di dalamnya ada 21 ketul hati pewter kecil yang tersusun rapi membentuk sebuah hati yang besar.
“ Cantiknya tapi apa maknanya? ” Desis hatiku.
Kad Harijadi berwarna merah itu aku buka.
Dearest Azman,
Kehadiran Man dalam hidup Zila umpama cahaya yang menerangi diri ini. Terus terang Zila katakan Zila rasa seronok setiap kali berdampingan dengan Man. Bagi Zila, Man seorang yang baik, caring, pandai menasihati dan mengambil hati. Oleh itu Zila ingin membalas kebaikan Man itu dengan mengaturkan satu majlis khas bagi menyambut Hari Lahir yang tak pernah Man sambut seumur hidup. Zila harap semuanya okay nanti.
Zila sebenarnya tak tahu apa yang Zila nak bagi sebagai hadiah untuk harijadi Man. Zila terbayangkan sebuah hadiah yang tidak begitu mahal tetapi bermakna khas buat Man tetapi pada masa yang sama tidak terlalu “daring”. Puas Zila rayau satu Lincoln mencarinya dan inilah hadiah yang Zila rasakan yang paling baik buat Man.
Hope you liked it.
By the way, Happy 21st Birthday.
Take good care,
With Love,
Zila.
PS - Setiap hati itu melambangkan setiap tahun yang Man tak meraikannya. Umpamakanlah 21 hati itu adalah sebagai hadiah dari Zila buat setiap tahun semenjak Man berumur setahun hinggalah sekarang.
Seronok rasanya diraikan dan diberi penghargaan yang sedemikian rupa. Seumur hidup aku tak pernah merasakannya kerana menyambut harijadi bukanlah satu amalan dalam keluargaku. Apa yang dilakukan Zila malam ini benar-benar menyentuh hatiku. Hadiah kristal pemberiannya ini bagiku sungguh istimewa.
Sedang aku hanyut dalam angan-angan tiba-tiba handphone yang terletak di atas katil berbunyi. Ada SMS masuk. Aku bangun mencapainya lantas melabuhkan diri berbaring di atas katil bujangku.
SMS dari Zila terpampang jelas pada muka panel handphone tersebut.
How’s ur day b’day boy? Soalnya.
Thanx for such a beautiful day.
No prob. Suka tak hadiah Zila?
Suka. Tapi kenapa beli hadiah mahal sangat? Tanyaku pula.
For a special person...
Aku terkesima... Butang-butang telefon itu kembali kupicit.
Special ke?
Buat tak faham pulak...
Anyway, Gud nite n take gud care. Mlm ni mimpi Zila k?
U2.. Jawabku lantas meletakkan telefon itu disisi katil sebelah kananku.
Malam itu bunga-bunga kemesraan antara aku dengan Zila terus mekar. Walaupun sifat luarannya nampak agak kasar namun hatinya halus, dia mempunyai hati yang sangat prihatin dan suka memenuhi hajat orang lain. Inilah yang aku nampak dalam dirinya. Mungkin persamaan inilah antara sebab kenapa hatiku tertarik padanya.
Apapun, padaku hadiah yang paling bermakna yang aku terima sempena harilahirku yang ke 21 ini ialah sebuah ketenteraman. Bagiku ini adalah hadiah dari Allah atas tindakan yang aku ambil semalam. Hadiah sempena hari lahirku. Mungkin dengan kemaafan yang kita hadiahkan kepada orang lain Allah menghadiahkan ketenteraman hati. Inilah pelajaran yang aku pelajari dari pengalaman ini. Mulai hari ini lembaran baru akan aku buka dalam hidupku.
Tengah malam itu dengan hati yang tenteram itulah telefon aku dail, aku berbicara dengan bapaku yang jauh.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.