10 Mei 2010

Nak Berhenti Merokok?


 

Salam sejahtera semua...


Kali ini FY ingin menulis mengenai perihal merokok...


Pengalaman FY

Menurut kajian 50% daripada lelaki dewasa di Malaysia merokok.

Faizal Yusup merokok? Ya saya PERNAH merokok tetapi saya dah lama berhenti. Apapun berbelas tahun jugalah saya dalam arena merokok ini.

Seperti kebanyakan saya mula merokok di zaman remaja dan kemuncaknya semasa di Amerika Syarikat memandangkan rokok Marlboro pada masa itu hanya berharga USD1.99 sekotak, satu harga yang murah kalau dibandingkan dengan jumlah elaun yang kami terima. Pada masa itu saya boleh merokok melebihi 20 batang sehari, cuaca sejuk menambah lagi keinginan untuk merokok ini.

Mulanya begitu murah semakin lama semakin meningkat harganya dari RM2.00 ke RM3.00 ke RM4.00 dan pada harga RM5.70 pada tahun 1997 saya mengambil keputusan untuk berhenti. Satunya kerana harganya yang mahal dan saya rasakan ia satu pembaziran, keduanya kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan disebabkan kejatuhan pasaran saham yang begitu teruk dan alasan yang ketiganya ialah anak saya yang pertama bakal lahir. Ianya sukar untuk keluar dari rumah dan menjauhkan diri dari isteri yang mengandung hanya untuk merokok.


Jom tengok diari saya mengenainya yang saya tulis pada tahun 1997...


Pada hari Khamis tanggal 3 haribulan Julai 1997 aku mengambil keputusan untuk berhenti merokok. Setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam arena perokokan ini aku rasa masanya sudah sampai untuk aku meninggalkan tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini. Aku sebenarnya ada beberapa sebab mengapa. Pertamanya aku terbaca sebuah risalah mengenai saudara seagamaku di Palestin yang banyak terbunuh oleh Israel kerana duit yang aku dan mereka-mereka yang merokok "dermakan" kepada mereka  untuk pembelian senjata. Alangkah malangnya saudara-saudaraku itu. Keduanya atas nasihat doktor yang menyatakan ianya boleh menjejaskan kandungan isteriku dan akhir sekali ianya adalah satu pembaziran yang nyata. Kadangkala aku juga agak tidak percaya dengan pencapaian ini. Tapi aku rasa  kesedaran memainkan peranan penting dalam pencapaian aku kali ini.

Ini bermakna sekiranya seseorang ingin mengubah sesuatu hendaklah satu bentuk kesedaran timbul dalam dirinya sebelum perubahan itu boleh berlaku disamping itu pengetahuan dari segi pendidikan juga penting untuk mendapatkan kesedaran itu.


Tahukah anda rupanya itu merupakan alasan atau niat yang salah. Apapun kali pertama ini saya berjaya berhenti selama 5 tahun hinggalah ke tahun 2002 atas sebab-sebab yang tertentu atau lebih jelas lagi bila ekonomi semakin kukuh dan bila isteri saya tak lagi mengandung semuanya kembali bermula. Ini ditambah dengan kelompok kawan-kawan yang semuanya terdiri daripada perokok.

Saya kembali merokok.


Ini berlangsung kira-kira 2 tahun sehingga harga rokok mencecah RM6.50 sekotak. Kali ini saya berhenti kerana saya betul-betul mahu berhenti dan bukannya sebab yang lainnya. Saya berhenti kerana Allah Taala. Saya berhenti kerana saya tak mahu kalah kepada nafsu, tak mahu kalah kepada rokok ciptaan manusia. Saya cukup yakin kalau Nabi SAW diberikan rokok maka baginda tak akan merokok. Kita manusia makhluk mulia kalah dengan kejadian yang lebih rendah tarafnya dari kita. Persoalannya kenapa kita perlu jadi hamba rokok?

Semenjak itu saya berhenti dan hingga kini setelah saya langsung tak berminat / tak ada rasa untuk merokok.

Demikianlah kisah saya yang boleh saya kisahkan setakat ini. InsyaAllah saya harap ia akan berkekalan begitu. Hidup bebas dari rokok. Rasanya tak perlulah saya huraikan statistik, fakta, akibat dan sebagainya mengenai rokok ini kerana saya yakin anda telahpun tahu mengenainya.

Saranan saya berhentilah kerana anda betul-betul ingin berhenti, berhentilah kerana Allah Taala dan bukan atas sebab yang lainnya.

Tanya diri satu soalan ini..

Adakah anda suka / minat merokok?

Selagi anda menjawab anda suka merokok maka anda akan terus-terusan merokok.

Bila anda dah jawab dengan perkataan tidak suka. Saya yakin pada masa itu anda telahpun berhenti dari merokok.


Mari kita buat satu kajian ringkas mengenai kebaikan serta keburukannya.

Apa manfaatnya?
Apa mudaratnya?

Membazir duit

Mudarat pada kesihatan

Mudarat pada kesihatan orang lain

Puntung dan habuk bersepah

Buang masa

Menyusahkan orang lain

Bau yang kurang menyenangkan

Manfaat?
Anda carilah sendiri kerana saya buat-buat tak tahu.

Membazir duit?
Selalu kita dengar mengenai perkara ini. Sekotak rokok mencukupi malah melebihi jumlah wang yang dibelanjakan untuk makan tengahari dan kalau dikumpulkan duit membeli rokok itu dalam masa setahun dan cukup untuk beli sebuah motorsikal, kalau dikumpulkan selama 10 tahun dan cukup untuk beli sebuah kereta.

Mudarat pada kesihatan?
Mudarat pada kesihatan orang lain?
Tak perlulah nak dihuraikan sebab dah bersepah artikel mengenainya.

Puntung dan Habuk bersepah?
Saya rasa anda pun boleh nampak di kedai-kedai mamak, di dalam tandas, di tangga dan tempat-tempat port perokok yang lainnya.

Buang masa?
Ada orang sanggup meninggalkan mesyuarat itu ini hanya kerana ingin keluar dari bangunan seketika untuk melepaskan ketagihan.

Menyusahkan orang lain?
Nak kena suruh anak pergi kedai belikan rokok, minta rokok orang lain bila kehabisan rokok dan lelain lagi. Yakin ikhlas ke diorang bagi rokok tu?

Bau yang kurang menyenangkan?

Dan banyak lagi. Apa yang pasti keburukannya lebih banyak dari kebaikannya. Saya yakin para Nabi dan orang yang beriman kepada Allah Taala pastinya akan mengelakkan amalan-amalan yang tak berfaedah ini.

Jadi kalau boleh berhentilah. Jangan bazirkan sumber yang ada.

Di sini yang pasti ia lebih memudaratkan daripada memanfaatkan. Dari segi hukum ada yang mengatakan yang ianya makruh, ada yang mengatakan ia makruh berat dan ada juga yang mengatakan yang ianya HARAM. Sepertimana di negara Arab Saudi.

Apapun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Hal Ehwal Islam Malaysia ke 37 pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa amalan merokok itu adalah HARAM menurut Islam. (Harian Metro 10 Mei 2010)

Maka mereka yang merokok akan marah kepada saya dengan mengatakan itu ini dan akan selagi daya menegakkan benang yang basah. Menegakkan kebenaran yang merokok itu dibolehkan. (Sama macam saya dahulu). Hakikatnya tetap satu diri kita sendiri yang sebenarnya kalah dengan rokok! Rokok tu kalau tak dinyalakan tak akan dapat buat apa-apapun. Kita yang salah. Pergi ke kedai beli rokok, nyalakan api dan menghisapnya.

Nak kata apa lagi?

Merokok juga sebenarnya tanda yang kita gagal mengalahkan nafsu untuk merokok tak kiralah walau apa juga alasan yang kita keluarkan. Kalau kita gagal melawan nafsu untuk merokok maka saya yakin banyak lagi dugaan yang bakal gagal kita kalahkan. Kalau kita gagal dalam mengatasi dugaan merokok ini maka kita mungkin akan gagal dalam dugaan arak, dadah, zina, hiburan, porno, game, judi dan segala macam dugaan yang lain.


Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.