02 Januari 2011

Faizal Yusup Meninggal Dunia

Salam sejahtera buat semua,
Hari ini 1.1.11 ramai yang berkunjung ke blog ini untuk mencari kisah pelakon Faizal Yusup yang meninggal dunia siang tadi kerana serangan jantung. Untuk pengetahuan anda saya juga bernama Faizal Yusup pemilik blog ini dan tak ada kena mengena dengan Faizal Yusup pelakon itu. Persamaannya cuma terletak pada nama. Alhamdullillah saya masih sihat dan salam takziah saya ucapkan kepada keluarga saudara Faizal Yusup kerana kehilangan arwah dalam usia yang begitu muda.

Apapun disini saya paparkan kisah pelakon itu bagi mereka yang mencari kisahnya.

Pelakon Mohd Faizal Yusup, 33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di sini, Sabtu, kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung. Menurut abangnya, Shaiful Yusup, 35, Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul.

Akibat kejadian itu, Shaiful dan isteri Mohd Faizal iaitu Rosmunira Rashid, 27, membawa Faizal ke Pusrawi untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 10 pagi.

“Ketika di hospital, Faizal mengadu dadanya sakit dan berusaha untuk bangun sendiri tetapi saya halang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusrawi di sini, Sabtu.

Tambah Shaiful, ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung apabila salah satu saluran pada jantungnya tersumbat.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin kritikal sehinggalah dia disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, bekas isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 25, yang ditemui berkata Faizal ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk bercakap dengan anak mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, tetapi anaknya tiada bersama Nana pada ketika itu.

Bagaimanapun, pada petang Sabtu, Nana mendapat panggilan telefon mengatakan Faizal dimasukkan ke hospital dan dia mahu melihat anaknya.
Berikutan itu, Nana sempat membawa Muhammad Rayyan ke hospital dan Faizal sempat berjumpa dengan anaknya itu.

Selepas berpisah dengan Nana, Faizal mendirkan rumahtangga dengan Rosmunira yang kini mengandung lima bulan pada awal tahun lalu.
Turut kelihatan menziarahi Allahyarham di hopsital, pelakon Amyza Aznan, Zulkifli Ariffin, Pierre Andre, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Liyana Jasmay dan Tania Hudson.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Sentul, Sabtu dan dijadualkan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Ahad.

Marilah kita sama-sama menyedekahkan Al Fatihah kepada Allahyarham dengan iringan doa semoga Allah Taala mencucuri rahmat dan meletakkan beliau dikalangan orang-orang yang beriman. InsyaAllah.
Dia pernah hidup sezaman dengan kita dan telahpun pergi meninggalkan kita dan giliran kita lambat laun akan tiba juga.  Oleh itu buatlah persiapan yang sebaiknya sebelum  kita menghembuskan nafas yang terakhir.

Sekian dulu. Wassalam.

Faizal Yusup
www.faizalyusup.com

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.