23 Januari 2011

Mencari Idea – Inspirasi Untuk Menulis


Alhamdulillah. Tahun 2011 menandakan genap 10 saya menjadi penulis. Saya mula menulis buku pertama iaitu buku genre Motivasi bertajuk Keluar dari Tempurung yang diterbitkan Utusan Publications dalam tahun 2001 dan tahun ini 2011 maka genaplah 10 tahun saya menjadi seorang penulis.

Apapun banyak yang telah berlaku sejak itu. Kalau dahulu ia mengambil masa lebih kurang 2 tahun untuk satu buku sekarang saya boleh menyiapkan satu buku dalam masa kurang dari sebulan. Kalau dahulu saya menulis genre motivasi sekarang saya boleh menulis novel. Kemudian saya juga telah mula menulis dalam blog semenjak penghujungtahun 2009 dan alhamdulillah sehingga kini blog saya masih dikunjungi pelayar-pelayar internet yang sedang mencari jawapan kepada persoalan kehidupan mereka. Apapun saya harap mereka bertemu dengan jawapannya di sini dan InsyaAllah banyak lagi yang ingin saya sampaikan dan saya harap Allah mengizinkan saya untuk terus-terusan berbuat demikian untuk satu jangkamasa yang panjang dengan harapan lebih banyak lagi perihal kehidupan yang akan dapat saya huraikan dengan ilham dan inspirasi yang dikurniakan Allah Taala.

Seperkara lagi tahun lalu saya menulis sejumlah 6 buah manuskrip kesemuanya dan ini merupakan jumlah yang terbanyak dan InsyaAllah semuanya akan terbit tahun ini. Buku novel remaja Trilogi Man Rempit, Buku Himpunan Cerita Lawak dan Teka Teki berjudul Jangan Senyum - (Tajuk-tajuk yang belum muktamad), kemudian novel Konflik Cinta, novel umum saya yang pertama dan novel remaja bertajuk Cinta Komuter. Bagi tahun 2011 ini saya pun tak tahu berapa banyak lagi buku yang akan saya tulis tapi yang pastinya saya akan terus-terusan menulis kerana penulisan telah sebati dengan diri saya. Di siang hari saya seorang Remisier yang menjalankan transaksi saham dan di malam hari pula saya bertukar peranan sebagai seorang penulis. Itulah rutin harian saya.

Susah juga nak jadi Faizal Yusup ni kan... Hawhawhaw...

Baiklah, topik kali ini adalah berkenaan dengan kisah mencari ilham, idea atau inspirasi.

Sebenarnya semenjak pertengahan bulan November iaitu semenjak saya menyiapkan manuskrip novel Cinta Komuter saya seakan tak punya ilham yang baru untuk menulis. Penulisan pada waktu itu seakan terhenti. Selama itu juga saya rasa pelik dan setiap kali saya cuba menulis karya yang keluar darinya bersifat hambar dan tak memuaskan hati. Mungkin kerana pada waktu itu saya memaksa diri untuk berkarya. Jadi selama waktu itu saya lebih banyak berehat. Merehatkan minda, mencari input baru dan sebagainya. Atau mungkin juga kenaikan pasaran saham menyebabkan saya sibuk membuat penyelidikan tentang kaunter-kaunter saham di pasaran.

Apapun dalam masa yang sama saya berdoa kepada Allah Taala agar dia memberikan inspirasi baru untuk saya menulis buku yang baru, buku yang boleh membantu dalam pembaikan ummah. Namun masa berlalu hari demi hari masih kosong. Tiada apa yang muncul.

Untuk pengetahuan anda semua saya selalunya menulis sesuatu yang saya tahu dan saya tak menulis sesuatu yang saya tak tahu atau kurang pengetahuan mengenainya. Atas sebab itulah kalau ada yang bertanya dan meminta saya menulis sesuatu yang saya tak tahu atau belum dikurniakan ilmu mengenainya maka saya tidak menulisnya kerana saya takut apa yang saya tulis itu tidak menepati matlamatnya.

Akhirnya Alhamdulillah dengan keizinan Allah minggu yang lalu ia datang dan saya telah mendapat plot keseluruhannya dalam akal fikiran ini dan yang tinggal hanyalah untuk menulis dan menyiapkannya. Pada ketika saya menulis artikel ini saya telahpun menulis 65 mukasurat manuskrip buku tersebut. Inilah yang dinamakan inspirasi dan saya cukup yakin ia datang dari Allah Taala kerana dengan kedatangannya ia membolehkan saya menulis dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Jadi buku kali ini mengenai apa? Buku kali ini juga merupakan buku novel tetapi pengisiannya adalah berkenaan dengan pelaburan saham dan InsyaAllah sesiapa yang membeli dan membaca akan mendapat tahu rahsia berkesan melabur saham di Bursa Malaysia.

InsyaAllah... Saya harap ia akan siap menjelang penghujung Februari nanti untuk saya hantarkan kepada penerbit.

Apapun doakanlah saya okay...

Sekian dahulu.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.